Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 08. 03. 2001 /  12 ZulHIJJAH 1421)
ADAB DUKACITA & SUKACITA DALAM UBUDIYAH
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan dari Keterangan Pengajian Terdahulu;

Maka barangsiapa ada waktunya dukacita,  tiada sunyi ia

Dan segala sebab dukacita itu tiga perkara iaitu; Keterangan Suluk

Bermula dukacita yang diketahui sebab atau puncanya adalah berdasarkan kepada tiga pokok utama iaitu;
    Pertamanya oleh sebab sesuatu dosa yang sengaja dilakukan olehmu;  Bukanlah ini bermaksud  semata-mata dosa seperti meninggalkan sholat atau puasa kerana sememangnya ianya telah sedia termaklum oleh semua orang Salik.  Ini adalah kerana bukanlah dinamakan Salik atau Murid seorang yang melakukan dosa-dosa yang sedia termaklum seperti meninggalkan sholat atau puasa atau mencuri,  berzina,  minum arak dan sebagainya.  Tetapi dosa yang dimaksudkan di sini ialah seperti;

   Keduanya,  kerana kehilangan dunia atau berkurangnya dunia daripadamu; Kehilangan-kehilangan seperti di atas adalah antara punca yang menyebabkan seseorang hamba itu berdukacita.

  Sebab ketiga dari dukacita yang diketahui ialah kerana merasakan diri dizholimi atau dianiyai oleh makhluk ke atas dirinya,  harta-bendanya serta kaum keluarganya.  Kita tak buat apa-apa kesalahan atau menggangu orang lain,  tetapi tiba-tiba sahaja ada manusia.......

Inilah antara punca-punca yang diketahui yang menjadikan seseorang itu berdukacita dan bersedih.   Suka atau tidak,  kedukaan-kedukaan itu pasti juga akan mendatangi.  Namun,  sebagai seorang Salik atau sebagai seorang hamba yang menyedari akan Kekuasaan dan Keesaan TuhanNya,   atau sebagai seorang yang menyedari akan kedudukan dirinya dan Ketinggian TuhanNya,  maka semestinya mereka dikehendaki melaksanakan Hak Ubudiyahnya sebagaimana yang terdapat dari ......................

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka apabila datang atasmu dukacita daripada salah suatu daripada segala sebab ini,  maka Ubudiyah itu menghendaki engkau rujuk kepada ilmu yang diistimalkan baginya seperti yang disuruh engkau.

Keterangan Suluk

Sesuatu yang didatangkan ke dalam hatimu itu adalah merupakan sebab-sebabnya.  Sebab-sebab itulah yang menjadikan engkau berdukacita,  rungsing,  cemas dan perit.  Oleh kerana ianya datang sebagai satu sebab,  maka sewajarnya bagi seorang Salik seperti engkau  melaksanakan hak-hak Kehambaanmu kepada Allah Taala Yang Menjadikan sebab itu.  Di waktu begini,  apa yang dituntut ke atasmu ialah "rujuk kepada ilmu yang diistimalkan"  yang bermaksud;   dengan menyandarkan tindakan atau apa yang harus dilakukan kepada pengetahuan(ilmu) yang perlu dipakaigunakan.

Apabila berlaku pelanggaran dosa,  maka ilmu yang mesti diistimalkan menuntut agar engkau segera bertaubat dengan sungguh-sungguhnya di waktu itu;   Lari dan terus meninggalkan perbuatan atau sesuatu yang menyebabkan engkau terjerumus untuk kali yang seterusnya,

Inilah apa yang dimaksudkan dengan bertaubat.  Bukan semata-mata dengan mengatakan aku menyesalinya sedangkan hal keadaan diri sama sahaja seperti dahulu.  Apa yang perlu ialah adanya peningkatan amal taat kepada Allah dan berkurangnya kecenderungan diri untuk berjinak-jinak dengan jalan-jalan yang membawa kepada kelalaian dan maksiat.  Keadaan inilah sahaja yang dapat dijadikan bukti bahawa Taubatmu itu adalah taubat yang benar dan ikhlas.

Apabila berdukacita dengan kehilangan dunia pula,  maka ilmu yang mesti diistimalkan,  menuntut agar engkau;   taslimkan(serahkan) kepada Kekuasaan Allah dan  redho di atas KehendakNya;

Seorang hamba patut menerima apa sahaja perlakuan dari TuanNya.  Inilah ilmu yang mesti diistimalkan sewaktu berdukacita dalam kehilangan dunia;  Harta benda,  pangkat,  kedudukanmu,  Keramat,  ilham,  laduni,  barakah yang pernah diberikan,   harus bagiNya menarik balik bila-bila masa dan apa jua masa sekalipun,  mengikut barang KehendakNya.  Untuk itu,  serahlah dan redholah kepada Kekuasaan dan KehendakNya Yang Mutlak  dengan melenyapkan upaya,  kuasa dan kehendak-kehendak dirimu.

Seterusnya apabila kedukaan dirimu itu kerana disakiti,  dizholomi atau dianiyai oleh manusia lain,  maka adalah menjadi kewajipanmu sebagai seorang hamba menerimanya dengan sabar.  Sabarlah dengan kerenah makhluk lain dengan memandang kepada Yang Menjadikannya yakni Allah.

Seorang Wali Allah Abu Osman Al-Hairi dijemput oleh seorang dalam jamuanmakan. Apabila beliau datang, beliau pun dihalau dengan kata-kata yang kasar. Kemudian beliau diajak lagi. Beliau datang lagi tetapi dihalau lagi.  Beliau pun pulang. Beliau diajak lagi. Beliau pergi dan dihalau lagi.
Beliau pulang. Lebih kurang 30 kali perkara itu berlaku tetapi beliau tidak peduli. Akhirnya orang itu menjadi murid beliau dan menghormati beliau. Murid itu bertanya bagaimana beliau dapat menahan sabar sedemikian.  Al-Hairi menjawab;

"Sebenarnya tidak ada luar biasa tentang perkara itu. Apa yang saya buat,  anjing pun boleh buat. Apabila diajak dia datang;apabila dihalau, dia  pergi. Ini bukanlah tanda kewalian yang besar".

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan adapun apabila datang dukacita atasmu dan tiada engkau ketahui baginya sebab,  maka waktu itu dua waktu;  Suatu malam, kedua siang.
Maka duka itu diumpamakan dengan malam dan suka itu diumpamakan dengan siang.

Keterangan Suluk

Setelah diperincikan berkenaan dengan dukacita yang diketahui sebab dan puncanya,  maka keterangan selanjutnya menjelaskan pula berkaitan dengan dukacita yang tidak diketahui sebab atau puncanya.  Hal ini biasalah berlaku ke atas hati seorang hamba.  Tanpa sesuatu kerana,  tanpa sesuatu sebab,  tiba-tiba sahaja hati menjadi cemas,  atau berdebar-debar,  atau rasa cemas,  rungsing dan berdukacita.

Mengikut keterangan di atas,  apabila hadir pelbagai rasa dukacita seperti  di atas,  maka hendaklah disedari dan difahami bahawa sememangnya ianya adalah menjadi lumrah kehidupan seorang hamba di dunia ini.  Tidak ada satu manusia pun yang didatangkan semata-mata dengan sukacita dari semenjak ia lahir sehinggalah meninggalkan dunia yang fana ini.  Demikian juga,  dukacita itu tidaklah selama-lamanya.  Duka dan suka pasti akan datang silih berganti sebagaimana silih bergantinya siang dan malam.  Semata-mata sebagai satu fitrah makhluk yang bernama manusia.

Pun begitu,  walaupun tanpa diketahui puncanya,  seseorang hamba itu perlu juga melaksanakan adab-adab dalam Ubudiyahnya  sebagaimana adab-adab yang lainnya.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka apabila datang duka atasmu dengan tiada sebab,  maka engkau ketahui akan dia.  Maka Wajib atasmu sukun(tetap hati dengan Qada' Allah).  Dan sukun itu atas tiga perkara iaitu;

Keterangan Suluk

Apa yang dituntut dan dikehendaki oleh seorang hamba ialah beradab dengan sukun yakni tetap dan teguh berdiri hatinya dengan Qada' Allah Taala.  Tidak merungut-rungut,  tidak berganjak daripada hemah dan cita-citanya yang satu,  tidak mudah kalah kepada rasa sakit,  perit dan penderitaan yang mendatangi,  tidak mempedulikan kerisauan dan kebimbangan yang datang cuma sebagai satu bentuk kenyataan dan penzhohiran Kehendak dan Kekuasaan Allah Taala.

Dan adalah sukun ataupun tetap hati dengan Qada' Allah itu terbahagi kepada tiga perkara;

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan barangsiapa ada waktunya sukacita,  maka tiada sunyi ia ada kalanya diketahui baginya sebab.  Maka segala sebab sukacita itu tiga perkara iaitu;

Keterangan Suluk

Adapun sebab-sebab sukacita diketahui itu pula berpunca daripada tiga perkara iaitu;

Yang mana semua contoh-contoh di atas akan menghasilkan kegembiraan dan sukacita pada hati seseorang hamba.  Pun demikian,  dalam berseronok dan bersukacita itu,  seseorang itu janganlah pula lupa dan lalai kepada adab-adabnya sebagai seorang hamba.  Ubudiyahnya menuntut agar mereka melaksanakan adab-adabnya sebagaimana...............
 

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka apabila datang atasmu suka daripada salah suatu daripada sebab ini,  maka Ubudiyah itu menghendaki bahawa engkau lihat asar nikmat dan kurnia daripada Allah Taala atasmu dan jangan engkau lihat daripada bahagian suatu bagi dirimu.

Keterangan Suluk

Bila saja datang nikmat kesukaan pada dirimu,  maka wajib ke atasmu melaksanakan adab-adab Ubudiyahmu semasa bersukacita itu.  Pandanglah dan lihatlah ianya sebagai satu tanda penzhohiran nikmat dan anugerah Allah ke atas dirimu tanpa sesuatu sebab atau kerana daripada dirimu.  Bergembiralah dengan Kurnia Allah itu untuk Allah kepada Allah,  bukan kerana telah buat itu dan buat ini,  ada ini dan ada itu.  Tidak diizinkan sama sekali untuk kau memandangkan dan melihat ianya kepada bahagian dirimu.  Dengan kerana itu,

Apabila bertambah  dalam taat,  maka peliharalah kurniaNya ini dengan menetapkan dan mendawamkan serta mengistiqamahkan ketaatan itu di samping punya rasa takut dan bimbang ianya akan disentak dari dirimu.  Ini adalah kerana kegagalan untuk memelihara dan mengistiqamahkan ketaatan yang didirikan itu,  merupakan sebagai satu bencana dan musibah yang akan membinasakan dirimu nanti.  Sebab itulah,  telah muafakat segala orang-orang Arif mengatakan bahawasanya "Istiqamah itu terlebih baik daripada seribu keramat".  Dalam mendapat sukacita keramat,  ramai yang telah kecundang dan binasa atau sekurang-kurangnya tersekat jalannya untuk Wasil ilaLlah dengan sebab memandang kepada bahagian dirinya dan bersukacita dengan keramat tersebut sehingga mengabaikan istiqamah dalam taatnya..

Demikian juga dalam bertambah dunia.  Ianya hendaklah tidak lebih sebagai satu nikmat untuk tubuh badanmu,  maka Ubudiyah itu menghendaki agar engkau memandangnya sebagai satu pemberian dari Allah untuk dirimu yang bukannya untuk digunakan sewenang-wenangnya.  Bukan pula untuk dijadikan sebagai penegak status dan kedudukan dirimu sebagai seorang yang berharta atau berpangkat di sisi masyarakat;  dan jauh sekali bukannya sebagai satu lambang kejayaan dirimu yang cekap dan bijak dalam mengurus kehidupan duniamu  sebagaimana sangkaan di jahil.  Di samping itu juga,  hendaklah engkau sentiasa berhati-hati dan takut kepada sesuatu kebinasaan yang tersembunyi di sebalik nikmat dunia itu.  Ianya seumpama racun yang tersembunyi di sebalik kelazatan satu hidangan makanan yang berhiasan cantik dengan aromanya yang membangkitkan selera.  Silap makan,  dirimu akan binasa atau menderita dihinggapi penyakit yang kronik.

Dan dalam mendapat pujian dan sanjungan manusia itu,  hak Ubudiyah itu menuntut agar engkau bersyukur di atas nikmat Allah yang telah menyembunyikan banyak aib dan celanya dirimu itu.  Segala yang buruk-buruk dan dan rendah-rendah Allah sembunyikan daripada dapat dikesani oleh kebanyakan manusia.  Bersyukur engkau itu adalah kerana walaupun dirimu masih kurang dan penuh dengan keaiban,  Allah dengan limpah RahmatNya menzhohirkan dan menyatakan apa-apa yang baik sahaja pada pandangan manusia.  Memang sepatutnya engkau bersyukur dan terus bersyukur kepadaNya.

Untuk itu,  hendaklah engkau sentiasa takut kepada Allah daripada menzhohirkan kejahatan,  keaiban dan kejelekan batinmu kerana sekali Allah dedahkan perihal dirimu yang sebenarnya,  maka binasalah dirimu dengan kejian dan cacian manusia yang pernah memuji dan menyanjungi dirimu.  Di manakah lagi harga dirimu di sisi mereka?  Di manakah lagi kesukaan dan kebanggaan dirimu selama ini?  Sesungguhnya Allah itu Maha Pelindung dan dalam berkasih sayang IaNya telebih Kasih dan Sayang daripada kedua ibu-bapamu hatta daripada dirimu sendiri.  Masya Allah.....di manakah lagi dapat dicari Kasih Sayang yang melebihi Kasih Sayang Allah Taala ini?

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan adapun sukacita yang tiada diketahui baginya sebab itu,  maka hak Ubudiyah dalamnya itu [ialah dengan] meninggalkan meminta dan sejahteralah ia hingga mati.  Inilah adab dukacita dan adab sukacita dalam Ubudiyah.  Wassalam Intaha (Sayyidi Abu Hassan Al-Syazili ra.).

Keterangan Suluk

Maksud meninggalkan meminta ialah tidak cenderung dan berharap lagi akan rezeki dan habuan di tangan-tangan makhluk;  dan tidak lagi meminta-minta kepada Allah;   kerana dalam Ubudiyah jenis  ini,  apabila sudah didapati akan sukacita itu dengan tanpa diketahui sebab-sebabnya,  maka hendaklah diyakini bahawa limpah kurnia Allah Taala itu adalah tanpa ada sedikitpun campur tangan dan bahagian makhluknya.  Bukan kerana itu,  bukan kerana ini dan apa-apa kerana jua.

Allah bisa sahaja memberikan sesuatu yang memang diperlui walaupun tanpa diminta.  Ia lebih Mengetahui mana yang patut dan mana yang tidak layak untuk seseorang hamba.  Di dalam doa dan meminta-minta itu seakan menyatakan bahawa Allah itu perlu diingat-ingatkan akan hak kita,  perlu dirayu-rayu  untuk disampaikan sesuatu hajat sedangkan Allah Taala telah Menentukan dan Mengkadarkan sesuatu habuan buat seseorang hamba sebelum ianya dijadikan lagi.  Permintaanmu itu seakan mengandungi ketidakyakinanmu terhadapNya.

Maka dengan sebab itu ada sebahagian dari para sufi yang sampai ke maqam ini meninggalkan asbab,  meninggalkan tadbir dan ikhtiar,  meninggalkan meminta-meminta terhadap makhluk hatta meninggalkan berdoa kepada Allah Taala.  Bukan kerana mereka menafikan sunnah Rasulullah untuk sentiasa berdoa dan meminta kepada Allah,  tetapi semata-mata menunjukkan hampirnya kedudukan dirinya dengan Allah Taala,  sehingga merasa malu untuk meminta lagi kerana telah dilihat olehnya batapa banyaknya kebaikan yang tiada kehinggaan dilimpahkan oleh Allah ke atasnya;  yang tidak diminta olehnya,  dihajati olehnya dan yang tidak pernah terlintas di hatinya

Dan orang begini akan sentiasa sejahteralah ia daripada sebarang pesekutuan dan syak wasangka terhadap Allah.  Sejehteralah mereka sehingga mereka menemui TuhanNya Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Demikianlah berakhirnya keterangan (Sayyidi Abu Hassan Al-Syazili ra.)  berkenaan dengan kata-kata yang didatangkan oleh Tok Pulau Manis dalam usahanya untuk memperincikan berkenaan dengan Dukacita dan Sukacita dan bagaimana seharusnya seorang hamba melaksanakan adab-adab kehambaannya untuk dihadapkan kepada Haq Ketuhanan Allah.

Bersambung lagi dalam catatan pengajian yang berikutnya ......Hakikat Tegah Dan Kurnia

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar