Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam pada hari Khamis (01. 07. 1999 /17 Rabiul Awal 1420)

Husnul Dzan

Terjemahan Kalam Hikmah  Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. oleh Tok Pulau Manis;
 

"Jikalau tiada engkau perbaikkan sangkamu akan Dia(Allah) kerana sifatNya,  maka perbaikkanlah olehmu akan sangkamu akan Dia kerana mua'amalnya sertamu".

Keterangan Tok Pulau Manis

Jikalau tiada engkau perbaik akan sangkamu padanya(Allah) kerana SifatNya seperti bahawa engkau tilik kesempurnaanNya dalam sifat Jalal dan Jamalnya dan dalam KesempurnaanNya,  maka engkau ketahui bahawasanya Hak Taala itu bersifat Jamil;  dan Jamil itu tiadalah berbuat Ia melainkan kebajikan;  maka engkau putuskan segala angan-angan daripada yang lain daripadanya bagi barang yang telah engkau tahqiqkan akan Dia daripada Kamalat(Kesempurnaan) sifatNya dalam segala sifat Yang Maha Tinggi ; MAKA perbaikkan olehmu akan sangkamu padaNya dalam segala pekerjaan dunia seperti bahawa engkau sangka bahawasanya Haq Taala itu yang menyampaikan Ia kepadamu segala yang memberi manfaat dan menolakkan Ia daripadamu segala yang memberi mudhorat dan barang yang lain daripada itu seperti  bahawa engkau taat kuat Roja'(Harap kepada Allah) dalam Qabul(terima) amal dan menyempurnakan pahala atasnya(amal).

Keterangan Suluk

Mengikut pandangan ulama-ulama yang Muhaqqiqin, Allah menjadikan alam dan segala isi kandungannya dengan Sifat Jalal dan JamalNya.  Sifat-sifat inilah yang menunjukkan kepada KesempurnaanNya sama ada dari segi ZatNya, SifatNya dan PerbuatanNya.  Bagi pandangan mereka,  Sifat Jalal dan Jamal ini nyata kelihatan dalam susunan pemerintahan Allah yang penuh berhikmah.

Ada antara mereka yang melihat kedua-dua sifat ini pada tiap-tiap penzhohiran yang berlaku.  Ada pula yang sentiasa berada dalam keadaan kecut dan takut (khauf) kerana dihadapkan dengan sifat-sifat Jalal Allah yang mengerasi di atas segala sesuatu.  Ada pula yang tenggelam dalam lautan keindahan manifestasi Sifat Jamalnya.  Semuanya bergantung dengan hal-ahwal atau tajalli Allah yang dikurniakan kepada mereka.

Dari kerana itulah,  sepatutnya seorang hamba yang beriman dengan Allah dan RasulNya akan  dapat melihat akan Keesaan dan Keagungan Allah Yang Maha Perkasa yang mentadbir dan memerintah alam ini mengikut Kesempurnaan dan Ketinggian sifatNya yang mengatasi segala kehendak dan cita-cita hambanya.   Allah bisa memberikan sesuatu kepada seseorang yang tidak berhajat kepada sesuatu perkara dan Allah bisa menahan sesuatu yang diperlukan oleh seseorang tanpa sebarang campur tangan hamba atau sebab musabab. Contohnya,  seseorang boleh jadi kaya dengan tiba-tiba tanpa sebarang usaha atau seseorang boleh jadi alim dengan tidak perlu belajar banyak.  Seseorang itu boleh jadi miskin atau jahil walaupun mereka berusaha ke arah itu sepanjang usia mereka.  Seseorang itu boleh menjadi kafir dan seseorang itu boleh beriman mengikut Kehendak dan KekuasaanNya yang Mutlak.  Sesiapa pun tidak boleh mempertikaikan Kehendak dan KekuasaanNya kerana di sinilah terselitnya  Makna Ketuhanan Yang Esa.

Semuanya itu adalah merujuk kepada makna Tauhid Uluhiyah(Keesaan dalam Ketuhanan)  dan Tauhid Rububiyah(Keesaan dalam PemerintahanNya) yang mengandungi seluruh kebajikan dan hikmah kepada hamba-hambaNya yang sholihin.  Inilah pegangan dan pandangan mukmin sejati yang tahqiq dengan keimanannya.  Dengan pegangan dan pandangan inilah mereka menyerahkan segala urusan mereka bulat-bulat kepada Allah dengan memutuskan segala angan-angan dan waham kepada wujud makhluk.

Namun tidak semua hamba yang akan dapat merasai pegangan dan pandangan Jalal dan Jamal  Allah Yang Maha sempurna itu lantaran dosa-dosa maksiat dan kejahilan mereka.  Dari itu Kalam Hikmah di atas memberi panduan kepada hamba yang tidak menjejaki  pandangan mereka itu dengan membaiki sangka sangkaannya kepada Allah pada segala kegiatan pekerjaan mereka di dunia ini yang terdiri daripada bahagian urusan ibadat dan urusan pekerjaan harian mereka.

Mereka hendaklah sentiasa membuat sangkaan baik (husnul dzan) bahawa Allah Taala sentiasa memberi nikmat yang tidak terhingga kepada mereka sama ada yang diketahui atau tidak, semasa kecilnya atau semasa dewasa dan semasa tua mereka.  Allah Taala sentiasa memberi rezeki yang melimpah ruah kepada mereka dari makanan, minuman, pakaian, rumah, kenderaan, ilmu, amal dan sebagainya tanpa diminta oleh mereka.  Allah Taala jugalah yang melindungi mereka daripada segala bencana dan Dialah juga menolak segala musibah yang mendatangi mereka tanpa diminta.

Selain itu,  mereka hendaklah juga sentiasa memasang sangkaan baik bahawa Allah Taala memberikan mereka limpah kurniaNya menjadikan mereka seorang hamba yang kuat beribadat, taat kepada segala suruhanNya dan patuh kepada segala laranganNya.  Menjadikan mereka bersifat dengan sifat yang mulia lagi terpuji seperti Roja (Harap kepada Allah),  sentiasa menerima amalan dan ibadat yang dikerjakan oleh hambaNya dan menyempurnakan pahala yang tidak terhitung kepada setiap amalan yang mereka kerjakan.

Keterangan Tok Pulau Manis

Maka betapa(bagaimana) tiada ada baik sangkamu padaNya kerana mu'amalNya sertamu daripada anugerahNya dan kemudahanNya dan nikmatNya seperti bahawa engkau tilik kepada kebajikan yang dahulu(sebelum dilahirkan) dan anugerahNya yang layak.  Maka menanggungkan(membawa) Ia akan dikau demikian itu (anugerahNya dan kemudahanNya dan nikmatNya) atas membaiki sangka pada yang angan-angan akan Dia daripadaNya dan memutuskan nazor(tilik) daripada cenderung kepada lainnya.  Dan adalah yang menolong atas yang demikian itu (anugerahNya dan kemudahanNya dan nikmatNya) (ialah) pandangmu bagi segala perbuatan Yang Jamil.

Keterangan Suluk

Keterangan Tok Pulau Manis seterusnya adalah sebagai memperteguhkan keterangannya sebelum ini.  Mengikut Wali Allah ini,  bagaimana tidak bersangka baik seorang hamba itu kepada Allah Taala sedangkan Allah sentiasa memberi anugerahNya, kemudahannya serta nikmatNya dalam setiap perbuatan dan pekerjaan mereka.  Sebagai buktinya, jika ditilik dan diperhatikan;

Tentulah sekali Allah Taala Yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi.

Seterusnya semua anugerah, kemudahan dan nikmat yang Allah berikan itulah yang membawa kepada kesedaran hamba untuk membaiki sangkaannya pada Allah Taala dimana dengan kurnia ini hamba itu dapat memutuskan segala angan-angan dan tilikannya serta kecenderungannya  kepada selain daripada Allah.  Pandangan mereka sentiasa diperbaiki dari masa ke semasa mengikut kesedaran jiwa mereka tentang  nikmat anugerah Allah Taala yang bersifat dengan Jamil yang Maha Indah dan Kasih Sayang dalam memberi, Mengatur dan Menyusun urusan hidup hamba-hambaNya.
 

Keterangan Tok Pulau Manis

Maka barangsiapa menilik ia akan Kesempurnaan SifatNya dan amat besar Ihsannya,  maka kuatlah imanya dan baiklah sangkanya padaNya.

Dan barangsiapa tiada memandang ia kepada KesempurnaanNya kerana berdirinya beserta segala agyar(sesuatu selain Allah) dan terhijabnya dengan segala asar(bekas kejadian Allah),  maka hendaklah memandang  ia kepada barang yang telah dikurniakan Allah Taala baginya daripada membaiki mu'amalah kerana bahawasanya Allah Taala menjadikan ia (mu'amalah) akan dikau daripada 'adam(tiada) kepada wujud,  kemudian kepada tiada ada sesuatu;  dan dijadikan bagimu mendengar dan melihat dan berkata dan berlaku.

Keterangan Suluk

Keterangan selanjutnya sebagai menyatakan kelebihan yang akan diberikan kepada hamba-hamba Allah yang dapat menilik dan memerhatikan Kesempurnaan Sifat Allah Yang Jalal dan Yang Jamal.  Keterangan sebelum ini ditujukan kepada hambanya yang hanya dapat menilik Allah dengan Sifat JamalNya yang banyak memberi kurnia kepada hamba-hambanya di mana dengannya hamba itu akan dapat memperbaiki sangkaan terhadap Allah.

Kesempurnaan pandangan seorang hamba terhadap Allah itu ialah di mana mereka dapat menilik dan  melihat Keagungan (Jalal) dan Jamal (Keindahan) Allah  berserta dengan melihat betapa besarnya IhsanNya Allah dalam setiap perkara yang mendatangi mereka sama ada dari nikmat, taat, maksiat, bala, kesampaian hajat atau tidak kesampaian hajat.  Semuanya itu dipandang sebagai kebajikan dan kebaikan dari Allah Taala malah sebagai sesuatu yang bertujuan untuk memperbaiki dan meninggikan darjat mereka di sisi Allah.   Kepada mereka yang dapat menetapkan tilikan dan pandangan mereka di atas Kesempurnaan Sifat Allah, maka bertambah kuatlah keimanan mereka dan bertambah bersihlah sangkaan mereka terhadap Allah Taala.
 

Keterangan Tok Pulau Manis

Dan terlebih ghorib(pelik atau ajaib) daripada demikian itu bahawasanya Haq Taala mengenalkan Ia kepadamu dalam tiap-tiap sesuatu hingga engkau kenal akan Dia dalam tiap-tiap sesuatu.  Maka jikalau tiada ia,  nescaya tiada engkau kenal akan  Subhanahuwa Taala iaitu yang menunjuk  ia akan dikau kapada jalan petunjuk  dan istiqamah atas jalanNya.  Maka nazor(tilik) olehmu hai saudaraku kepada kurnia yang amat besar daripada Tuhan Yang Karim.

Keterangan Suluk

Tok Pulau Manis dalam keterangan yang selanjutnya  cuba mendedahkan suatu kurnia dan anugerah Allah Taala yang terlebih ajaib lagi selain daripada yang telah dinyatakan di atas..  Anugerah ini berupa makrifat yang membolehkan seseorang itu;

Sekiranya tiada kurnia makrifat ini nescaya seorang hamba itu akan tidak mendapat petunjuk untuk sampai kepada Allah, dan dapat tetap di atas jalanNya dengan berpegang teguh kepadaNya  dalam apa jua keadaan.

Apakah tidak kamu melihat atau merasai nikmat kurniaNya yang amat besar dan bermakna daripada  Allah  yang Maha Karim?????.

Lihatlah dirimu nescaya terserlah di situ rahsiaNya. Siapa yang kenal dirinya nescaya akan kenal Allah.

Bersambung dalam pengajian yang seterusnya.

Allahhu A'lam

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar