Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam pada hari Khamis ( 17. 06. 1999 / 3 Rabiul Awal 1420)

Hemah Mereka Yang Berakal

Berkata Kalam Hikmah  Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA.
 

"Jangan  melampaui  niat tujuanmu kepada lain-lainNya. Maka Yang  Karim itu tidak dapat  dilewati oleh sesuatu harapan (angan-angan)".

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam

Jangan sekali-kali kiranya melalui akan Allah   cintamu  (hemah/maksud hati)   kepada lainnya.   Maka yang  Karim itu tiada  dapat melangkah akan Dia (oleh) segala  angan-angan  kepada  lainnya dalam  sesuatu  kerana   bahawasanya Yang Karim itu iaitu yang meliputi kepada tiap-tiap kesempurnaan yang dikasihiNya.  Maka kurnianya itu amat  besar dan janjiNya  itu tiada dusta dan tiada  redho Ia bahawa engkau mengangkatkan hajat  kepada lainnya.

Keterangan Suluk

Hemah atau keazaman yang kuat untuk mencapai sesuatu maksud atau tujuan hati seorang Salik dalam menempuh perjalanannya untuk sampai kepada Allah sentiasa sahaja dibayangi oleh sesuatu yang berupa ujian atau cubaan.  Terkadang suka dan ghairah dengan kekeramatan (perkara yang mencarik adat kebiasaan) yang ada pada manusia. Terkadang dengan diberikan  keistimewaan kepada wiridnya sehingga dapat menyembuhkan beberapa penyakit yang ganjil yang dideritai oleh orang lain.  Kadang-kadang dibukakan sebahagian daripada yang ghaib-ghaib seperti dapat membaca detik hati seseorang yang berada di hadapannya atau berjauhan dengannya.  Banyak lagilah contoh-contoh keistimewaan yang lain di mana apabila perkara-perkara ini dihadapkan kepada Salik,  ramai antara mereka yang terpesong dari tujuan perjalanan mereka yang asal dan sebenar kerana cenderung hatinya dan mungkin tertambat hatinya kepada keistimewaan-keistimewaan itu dengan puji-pujian serta penghormatan dari manusia yang dapat melihat tanda-tanda kelebihan yang ada pada Salik itu.

Mereka menjadi tersohor dengan keajaiban yang jarang ada pada manusia lain.  Maka di kala ini ramai antara mereka yang terhenti perjalanannya kerana hatinya sudah berpaling kepada sesautu selain daripada Allah.

Inilah sebahagian daripada maksud dan isyarat yang cuba diutarakan dalam Kalam Hikmah di atas  Jangan sekali-kali kiranya melalui akan Allah   cintamu  (hemah/maksud hati)   kepada lainnya. Sememangnya itu hanyalah khayalan atau sangkaan atau semata-mata hanya sebagai angan-angan mereka yang mereka itu telah benar dengan Allah Taala  sedangkan keadaan diri mereka berada dalam kebergantungan kepada amalan atau wirid (makhluk) yang disangkakan dapat memberikan sesuatu keistimewaan.  Sentiasalah hamba itu berhajat kepada wirid/amalan yang dikatakan sebagai sumber keistimewaan yang dimilikinya.

Ini adalah satu pemesongan dari hakikat yang sebenarnya kerana  bahawasanya Yang Karim itu iaitu yang meliputi kepada tiap-tiap kesempurnaan yang dikasihiNya.  Maka kurnianya itu amat  besar dan janjiNya  itu tiada dusta dan tiada  redho Ia bahawa engkau mengangkatkan hajat  kepada lainnya.

Dengan sebab itulah Tok Pulau Manis menjelaskan hal ini dengan huraiannya seperti berikut;

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam

Maka barangsiapa berpegang  ia akan Allah tiada kepada tiap-tiap suatu,   maka keluar ia   daripada  tiap-tiap barang yang  lain daripadaNya.

Keterangan Suluk

Ini membawa maksud kepada jika seseorang itu kuat keimanannya dan keyakinannya kepada Allah, nescayalah ia akan sentiasa bergantung dan berpegang kepada Allah dalam setiap hal atau keadaan.  Dengan teguhnya pegangan kepada kekuasaan serta limpah kurnia Allah Taala,  maka ia akan bebas dari dibelenggu dan  dipenjara oleh sesuatu yang lain termasuk dirinya, amalannya atau hal-ahwalnya atau apa sahaja selain daripada Allah..

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam

Dan  selagi  yang Salik itu berpaling   ia kepada yang  lain daripada TuhanNya,  maka tiadalah patut  Ia (Allah) bagi kasih akan dia.  Dan tiadalah ada Tauhid  yang   kholis akan Dia.

Keterangan Suluk

Berpaling kepada Allah bermaksud memanjatkan sesuatu hajat atau merasa senang dan selesa dengan sesuatu selain daripada Allah sama ada kepada;

Mereka yang sebegini adalah mereka yang syirik dengan Allah dan tidak layak untuk mencapai maqam Mahabbah (Kasihkan Allah) malah amat jauh sekali dari menjejaki makna Tauhid yang sebenar-benar bersih dan Shodiq(benar).

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam

Maka orang  yang  Aqil (berakal/Arif) itu iaitu (mereka) yang   tiada redho ia dalam kedua negeri (dunia dan akhirat)  lain daripada  TuhanNya dan tiada  meminta (mengadu) ia lain daripadaNya kerana telah diketahui dan telah ditahqiqkan bahawa tiada  di sana (pada  pandangan hakikat) melainkan Ia (Allah) jua.    Maka yang wajib atas seorang  itu bahawa jangan diangkatkan(minta atau pohon) akan hajatnya melainkan kepada  Yang  Esa dengan KeesaanNya.  Dan apabila ada  pekerjaannya (hakikatnya) seperti demikian itu,   maka  kata Muaalif;

Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA.
 

"Jangan angkatkan/mengadukan sesuatu hajat itu kepada selain daripadaNya sebab Ia jua yang mendatangkan hajat  itu kepadamu".

Keterangan oleh Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam

Maka jangan engkau angkatkan hajat kepada yang  lain daripadaNya (kerana) Ia  jua yang mendatangkan  dia atasmu daripada umpama Fakir dan sakit dan barang yang lain daripada itu.  Maka bahawasanya  segala Agyar (sesuatu selain Allah) itu berkehendak ia kepadaNya dan  tiada jua didatangkan atasmu hajat melainkan kerana Tadaru'  kepadaNya dalam segala kerajaan .  Maka bahawasanya Haq Taala itu Ghoni   lagi Qawi  dan lainnya itu   fakir lagi   'Ajir  dan barang yang dihantarkanNya tiadalah boleh lainnya mengangkatkan dia.

Keterangan Suluk

Setiap sesuatu hal seperti miskin, susah dalam penghidupan, sakit, bala atau musibah yang mendatangi ke atas seseorang hamba adalah mengikut Iradat(Kehendak) dan Ketentuan Allah yang Maha Berkuasa.  Biasanya semasa menerima sesuatu bala atau musibah kehidupan ini,  hamba itu kadang-kadang menjadi hilang pertimbangannya dan ingin cepat-cepat ianya berlalu dari terus mencengkam kesusahannya.  Berbagai-bagai usaha dan ikhtiar yang akan dilakukannya untuk mencapai hajat dan kebutuhannya itu. Ada yang sanggup tunduk dan patuh kepada manusia lain yang dianggap berkuasa untuk membantunya.

Kalam hikmah di atas ini cuba memberi kefahaman kepada kita semua,  bahawa setiap hajat dan kebutuhan untuk membebaskan diri dari keresahan dan kesusahan itu, hendaklah diajukan atau dihadapkan kepada Allah.  Ini adalah kerana pada pandangan hakikatnya Allahlah yang menimpakan sesuatu kesusahan itu dan Dialah juga yang akan melepaskannya.  Maka amatlah tidak  wajar sekali untuk dihadapkan rayuan dan hajat kita itu kepada makhluk kerana makhluk itu sendiri lemah dan berhajat seperti kita dan sentiasa berada di bawah KekuasaanNya..

Adapun sesuatu kesusahan yang mendatangi seorang hamba itu, ada mempunyai berbagai-bagai hikmahNya dengan tujuan supaya seorang hamba itu sedar akan dirinya yang lemah, dhoif, fakir dan hina dan sentiasa berhajat kepada Allah.  Maka jiwa yang sedar ini akan sentaiasa merendah diri, tunduk dan akur dengan pelakuan Allah terhadapnya.  Biasanya Manusia ini bila sentiasa diberi kesenangan dan keselesaan, mereka akan cepat lupa pada Allah malah ada antara mereka yang kufur dan menentang Allah.  Inilah antara bahaya yang terdapat dalam kesenangan yang berpanjangan dan contoh-contohnya boleh dilihat kepada Qarun, Firaun serta orang-orang kaya dan para penguasa yang lupa diri.  Mereka  angkuh,  sombong dan kadang-kadang sanggup menghina manusia lain bahkan hukum-hukum Allah.

Oleh itu,  yakinilah sesuatu kesusahan dan kesempitan hidup itu adalah bertujuan untuk mendekatkan hamba itu kepada Allah dengan menginsafi bahawa Allah itu Maha Kaya lagi Maha Gagah(Menguasai).  Jadi semestinyalah sesuatu yang Allah timpakan kepada seseorang,  Allah lah juga yang berkuasa untuk mengangkat/membebaskannya. Semua makhluk tidak berupaya untuk berbuat apa-apa malah mereka sendiri pun adalah lemah seperti kita juga.

Dengan kerana itulah, didatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya oleh;

Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam dengan katannya;
 

Maka betapa(tidak mungkin) mengangkatkan yang lain daripadaNya(Allah) barang yang Ia menghantarkan baginya dan Ia jua Yang Memerintah segala pekerjaanNya dan patut Yang Kuat dan Yang Kuasa dan lain daripadaNya itu yang dhoif dan yang lemah.

Keterangan Suluk

Dalam bahasa mudahnya Kalam Hikmah di atas membawa maksud seperti berikut;

"Maka bagaimanakah sesuatu selain Allah akan dapat menyingkirkan sesuatu yang diletakkan oleh Allah".

Keterangannya adalah seperti berikut;

Adalah tidak munasabah sekali bagi hamba yang lemah ini menyandarkan  sesuatu kebutuhan dan keperluannya kepada selain daripada Allah sedangkan Allahlah Yang Menentukan dengan KekuasaanNya sesuatu yang menyebabkan hamba itu merasa berhajat dan memerlukan sesuatu itu. Setiap sesuatu itu adalah dikuasai dan diperintah oleh Taala.  Dialah Allah Yang Mengatur dan Memerintah tiap-tiap sesuatu mengikut KehendakNya. Dialah Yang Kaya dan Yang Kuat dan tiap-tiap sesuatu itu selainNya adalah lemah dan dhoif.  Sentiasa berhajat kepadaNya dan mengharapkan limpah kurnia dan Kasih SayangNya.

Dialah Yang Menaikkan seseorang dan Dia juga Yang Menjatuhkan.  Dialah Yang Menimpakan Ribut Taufan yang kuat menghancurkan dan melenyapkan tamadun sesuatu daerah dan Dialah juga Yang menurunkan hujan dari langit yang membawa keberkatan untuk bumi yang gersang.  Tidak ada sesuatu  yang dapat menghalang Qadanya dan tidak kuasa (pada pemerintah/penguasa) yang berhak campurtangan dalam urusan PentadbiranNya dan ada tidak teknologi  yang dapat menahan sesuatu Yang Allah inginkan dan tidak ada kepakaran yang mampu menjadikan sesuatu yang Allah tidak mahu MenjadikanNya.  Benarlah firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud;

"Dan Akulah Yang Menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu kerjakan"

Jadi amatlah tidak wajar seorang hamba mengharapkan sesuatu daripada yang lemah dan dhoif sepertinnya juga. Juga amatlah bodoh hamba itu menyandarkan hajatnya kepada sesuatu yang ia sendiripun menyandarkan kepada Yang Lain untuk mewujudkannya.

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam

Kata seorang Arif;

Telah dikata orang bagiku dalam antara jaga dan tidur.  Katanya;

"Jangan engkau zohirkan hajat bagi lain daripadaKu (Allah).  Maka  adalah atas mu itu dengan sejahat-jahat adab bagimu.  Dan hanyasanya telah Aku cuba engkau dengan hajat (bala atau susah) dan telah Kuhukumkan bagi diriKu (Allah) dengan Kaya  supaya terkejut (sedar) engkau daripadanya (hajat itu) kepadaKu (Allah) dan Tadaru' engkau dengan dia (hajat itu) bagiKu(Allah) dan tawakkal engkau di dalamnya (hajat itu) atasKu (Allah).  Maka jikalau engkau sampaikan(pohonkan)  akan dia (hajat itu) padaku nescaya Ku sampaikan akan dia  dengan KayaKu dan jikalau engkau sampaikan akan ia (hajat itu) lain daripada Ku (Allah ) nescaya Ku putuskan kepada mu Kasih dan TolongKu dengan jauh engkau daripada Ku.
 

Keterangan Suluk

Bagi orang Salik yang ingin menjejaki hakikat Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyah, mereka sepatutnya menjaga adab-adab kehambaan dan Ketuhanan.  Sejahat-jahat adab bagi mereka ialah menyatakan kehajatan mereka kepada sesuatu selain daripada Allah.  Natijah yang akan ditimpakan kepada mereka yang melanggari adab ini ialah terputusnya pertolongan Allah dalam perjalanan mereka malah lebih teruk daripada itu.  Waspadalah Salik akan jurang yang curam ini kerana kesalahan syirik ini adalah sebesar-besar kesalahan bagi mereka yang  dalam perjalanan hati untuk sampai kepada Allah.  Perhatikan kata-kata ahli sufi Wahab bin Munabbih ini;

"Allah telah mewahyukan kepada Nabi Daud A.S.: Hai Daud, Demi Kemuliaan dan KebesaranKu,  tiada seorang hambaKu yang meminta tolong kepadaKu dengan sungguh-sungguh kepadaKu,  tidak pada lainnya dan Aku ketahui dari niatnya,  kemudian hamba itu akan diperdayakan oleh penduduk langit yang tujuh dan bumi yang tujuh,  melainkan pasti Aku akan menghindarkannya dari semua itu.  Sebaliknya demi Kemuliaan dan KebesaranKu,  tiada seorang yang berlindung dengan seorang makhlukKu,  tidak kepadaKu dan Aku ketahui yang demikian dari niatnya melainkan Aku putuskan ia dari rahmat yang dari langit dan Aku longsorkan bumi di bawahnya,  dan tidak Aku hiraukan dalam lembah jurang yang mana ia binasa".

Semoga anda bisa menghayati apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.  Allah memberi petunjuk kepada sesiapa  yang dikehendakiNya

Allahu A'lam.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar