Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 06. 07. 2000 / 03 Rabiul Akhir 1421)
ADAB TASAUF DAN HAL-AHWALNYA 
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Kata Abu Hafshin r.a.;

Keterangan Suluk

Keterangan tokoh sufi di atas bolehlah dijadikan asas panduan bagi seseorang yang masih keliru dan nanar dengan apakah yang dimaksudkan dengan Tasauf.  Menurut beliau seorang pengamal tasauf yang tulen ialah seorang memenuhi dan melengkapi diri mereka dengan budi pekerti yang baik dan mulia yang terjelma dari baik adabnya.  Dan adalah adab seorang ahli tasauf ini pula mencakupi setiap juzuk dan dimensi kehidupannya.  Tidak hairanlah kerana hanya seorang benar-benar berpakaian dengan adab-adab kehambaan dan bermakrifat dengan adab-adab Ketuhanan sahaja yang layak untuk mencapai kehampiran dengan Allah Taala.

sekelian adab bermaksud menjaga adab sama ada yang zhohir atau pun yang batin.  Tujuh anggota yang zhohor seperti tangan,  kaki,  telinga, mulut,  hidung,  perut dan faraj beradab dengan adab-adab yang digariskan oleh hukum ilmu syarak.  Contohnya tangan....maka tangan yang beradab adalah tangan yang TAHU akan hukum takhlif yang lima (wajib,  haram,  makruh,  sunat dan harus) dalam melakukan dan menjauhkan sesuatu amal perbuatan.  Bagaimana mungkin seorang yang jahil dengan hukum syariat seperti di manakah sunat diletakkan kedua-dua tangan selepas takbiratul ihram boleh mencapai kesempurnaan adab dalam sholat;  jauh sekali maqam munajat dengan Allah.  Demikian juga;  Qiyaslah dengan segala perbuatan dan amalan yang lain

Tegasnya perkara asas atau dasar kepada tasauf ini ialah beradab dengan adab syariat.  Untuk itu wajib bagi seorang yang mendakwa dirinya sebagai seorang pengikut tasauf,  membereskan sekurang-kurangnya ilmu fardu ain dan sebaiknya mendalaminya hingga ke fardu kifayah.

Demikin pula halnya dengan I'tiqad atau pegangan hati.  Dalam menetap dan memegang sesuatu i'tiqad,  wajib bagi seorang yang beradab dapat membezakan manakah I'tiqad yang benar dengan yang salah.

Untuk itu,  bagi melengkapi adab seorang hamba dengan adab i'toqad atau pegangan yang shohih,  mereka wajib mendalami Ilmu Usuluddin sehingga mampu beradab dengan pegangan yang meyakinkan.

dan bagi tiap-tiap waktu adab bermaksud seorang pengamal tasauf yang tulen akan menjaga dengan baik adab setiap waktu atau nafasnya.  Mereka akan mengikat diri mereka dengan hak hukum waktu yang semestinya dilaksanakan oleh seorang hamba yang beradab dalam Ubudiyahnya. Antara hak-hak hukum waktu yang perlu dilaksanakan ialah:

Ini menunjukkan bahawa dalam setiap saat seorang ahli sufi yang beradab tidak bisa lari dari salah satu daripada tuntutan hukum waktu tersebut. Bukan semestinya dalam waktu kita senang atau sihat sahaja,  malah pada setiap ketika,  waktu keadaan dan situasi.

dan bagi tiap-tiap hal adab bermaksud adalah wajib bagi seseorang yang dianugerahkan hal-ahwal yang tertentu seperti

menjaga hal-ahwal ini sebagaimana yang semestinya.  Umpama seorang yang pertama kali mendapat pengalaman keruhanian dengan dikurniakan zauk pandangan mata hatinya untuk melihat kesatuan wujud,  tidak seharusnya mengeluarkan rahsia keruhanian tersebut di kalangan yang tidak ahli.  Dan adalah amat tidak beradab sekali seseorang yang baru berada dalam maqam mengenal ilmu yakin,  mengeluarkan kata-kata yang orang-orang yang Syakr(mabuk) atau fana seperti "Aku lihat Allah di kebun" semata-mata kerana ingin memperagakan kebolehannya mentafsirkan hakikat maknanya.  Sesungguhnya mereka ini adalah sejahil-jahil hamba yang tidak tahu adab dan tatasusila ilmu keruhanian.

Adalah mereka yang benar-benar mendapat pengalaman keruhanian ini akan meenyembunyikan rahsia dan amanah Allah sebagaimana kata-kata orang Arif;

"Bermula segala hati orang yang telah suci itu tempat menanam segala rahsia".

dan bagi tiap-tiap Maqam adab bermaksud bagi setiap perhentian atau kedudukan Maqam yang ditempatkan pada seseorang yang Salik itu ada adab-adabnya yang tersendiri.  Dan adalah adab-adabnya berbeza-beza mengikut maqam-maqam atau kedudukannya di sisi Allah.  Umpamanya seeorang yang berada pada Maqam asbab perlu tetap pada kedudukannya dengan bekerja dan berusaha untuk menguruskan kehidupan lahiriahnya.  Meninggalkan ikhtiar dan usaha dengan tujuan untuk menumpukan seluruh waktu kepada zikir-zikir dan wirid-wirid sebagaimana yang dilaksanakan oleh mereka yang berada pada Maqam Tajrid adalah menunjukkan pelanggaran adab,  malah didorong oleh syahwat yang tersembunyi;  yang mengheret mereka kepada tidak redho dengan ketetapan Allah.  Sila lihat tajuk Syahwat Yang Tersembunyi sebagai penjelasan lanjutnya.  Di samping itu lihat juga pada tajuk  Tanda-tanda Bergantung Pada Amalan untuk penjelasan lanjut berkaitan dengan adab-adab Ahli Thoriq.

Jika difahami perbincangan dan bahasan di atas,  maka bagi mereka yang tahu dan tetap hemahnya dalam menjaga adab-adabnya dalam segala waktu dan ketika, akan berjaya sampai ke destinasi terakhirnya iaitu Wasil ilaLlah(sampai kepada Allah) iaitu satu maqam yang khusus untuk lelaki yang sebenar atau Maqam Al-Rijal.  Inilah yang boleh dikutip dari keterangan Abu Hafshin r.a yang berikutnya;

Maka barangsiapa menetapkan adab kepada segala waktu,  maka sampailah ia kepada Maqam  Al-Rijal;

sebaliknya bagi mereka yang melanggar adab-adab di atas,  akan dibalakan dengan dilontar jauh dari Allah sedangkan mereka menyangka dekat dan hampir dengan Allah. Semata-mata memiliki ilmu atau pengetahuan atau cakap-cakap yang tinggi dan halus tentang tasauf mereka adalah sangkaan dan khayalan cuma.   Doa mereka sebenarnya ditolak oleh Allah.  Harapan dan maksud hati mereka sebenarnya ditolak oleh Allah. Mereka adalah golongan yang tertolak dan jauh dari Allah.  Inilah apa yang dimaksudkan oleh Abu Hafshin r.a dengan katanya;

dan barangsiapa mensia-siakan adab,  maka iaitu jauhlah daripada sekira-kira menyangka Qarbun(hampir dengan Allah);  dan tertolaklah daripada sekira-kira menyangka Qabul(diterima oleh Allah)

Keterangan Tok Pulau Manis selanjutnya;

Dan kata Abdullah bin Khofif;

Telah berkata Ruwaim bagiku;  "Hai anakku...jadikan olehmu akan
amalmu garam dan adabmu tepung."

Keterangan Suluk

Melanjutkan bahasan dan perbincangan mengenai adab-adab dalam ilmu keruhanian ini,  Mushonif selanjutkan mendatangkan petikan kata-kata dari Ahli Sufi di atas.  Maksud jadikan amalmu garam adalah sebagai nisbah antara amal dan adab.  Biarlah amal yang dikerjakan itu sedikit sahaja,  tetapi hendaklah diperbanyakkan atau dilebihkan tumpuan kepada usaha untuk menyempurnakan adab-adab dalam setiap amalan yang dikerjakan; sebagaimana banyaknya sukatan tepung berbanding dengan sedikitnya garam dalam sesuatu masakan.

Keterangan Tok Pulau Manis selanjutnya;

Dan kata setengah mereka itu(ahli tasauf);

Lazimkan olehmu akan adab pada zhohir dan batin.  Maka tiada menjahatkan seorang akan adab pada batin melainkan dibalas pada batin;  dan tiada menjahatkan akan adab pada zhohir melainkan dibalas pada zhohir.

Dan kata Zinnun Al-Misri r.a;

Apabila keluar murid daripada had al-Adab,  maka bahawasanya kembali ia daripada sekira-kira datangnya.

Keterangan Suluk

Kata-kata Zinnun di atas sebagai satu peringatan yang ditujukan kepada mereka yang telah melanggar dan merobohkan had adab.  Orang yang sebegini akan dibalas dengan dilontar kembali kepada tempat asalnya sewaktu jahil dan tidak mengerti dengan perjalanan keruhanian ini.

Umpamanya seorang salik yang telah bersusah payah bermujahadah dalam perjalanannya menuju kehampiran dengan Allah,  dan telah berjaya merasai beberapa pengalaman "hal" dan mendaki beberapa "maqam",  dan tiba satu masa mereka telah melanggar had adab "hal" atau maqam tersebut;   seperti membuka rahsia-rahsia keruhanian yang khusus untuknya;  maka balasannya adalah dilontarkan kembali kepada keadaan sebelum yang jahil sebagaimana yang sebelumnya.

Lebih jelas lagi ialah seumpama seorang yang berjawatan tinggi telah dilucutkan jawatannya menjadi seorang penganggur sebagaimana sebelumnya.  Kesalahannya adalah kerana pecah amanah atau membocorkan rahsia-rahsia penting syarikat atau kerajaan.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Thauri al-Saqti r.a.;

Barangsiapa tiada beradab bagi waktu,  maka waktunya binasa.

Keterangan Suluk

Yang tidak tahu menjaga dan mengisi waktunya dengan adab-adab yang sepatutnya,  maka sia-sialah waktu tersebut.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Ibnu al-Mubaraq r.a.;

Adalah kami kepada sedikit daripada adab terlebih berkehendak kepada kami daripada banyak amal.

Keterangan Suluk

Kata-kata di atas dengan jelas sekali menunjukkan betapa para pengamal ilmu tasauf  lebih mengutamakan ketelitian dan menjaga adab-adab daripada banyak amal,  tetapi merobekkannya kelebihannya dengan melakukan jahat adab.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dikata orang bagi setengah mereka itu;  "Hai yang jahat adab".
Maka dikata;  " Tiadaku jahat adab".
Maka dikata baginya;  "Apa adabmu?
Maka kata;  "Sufiah"

Keterangan Suluk

Hanya mereka yang memahami dan mengamalkan adab-adab dan thoriq perjalanan ilmu Tasauf yang tulen sahaja yang tahu beradab.  Mereka amat teliti dengan adab-adab yang menjadi dasar bagi setiap hal-ahwal atau maqam mereka.  Tidak sesekali mereka akan melanggar adab-adab tersebut,  walaupun di sisi orang awam menganggapnya sebagai sesuatu yang kecil atau remeh sahaja.

Pada mereka,  sama sahaja kecil atau besar,  zohir atau batin;  kerana di dalam setiap waktu itu ada adab-adabnya yang khusus dan saling mengikat antara satu sama lain.  Kefahaman berkaitan dengan ini boleh didapati dari keterangan Tok Pulau Manis yang berikut;

Dan adab yang lazim bagi murid itu melengkapi pada zhohirnya dan batinnnya;  dan adab zhohir itu mengikat bagi adab batin itu iaitu berpakaian dengan segala yang membaiki perangai.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan tersebut dalam hadis daripada Rasulullah SAW. bahawa sabdaNya;

"Telah beradabkan Tuhanku akan daku;  maka aku membaiki akan adabku.  Maka menyuruh akan daku dengan membaiki perangai dengan firmanNya;  "Kerjakan olehmu(Muhammad) pada yang telah Ma'ruf dan palingkan olehmu daripada yang jahil."

Keterangan Suluk

Umum telah memaklumkan bahawa Rasulullah SAW.  adalah merupakan seorang yang paling mulia dan tinggi akhlaknya di kalangan hamba-hamba yang lain.  Tidak hairanlah baginda adalah seorang yang paling sempurna adabnya sebagaimana maksud hadis di atas.  Firman Allah di atas adalah dari Surah Al-Ahzab: 190.

Untuk itu,  sebagai seorang yang punya kecenderungan untuk meniti jalan-jalan keruhanian ini,  maka adalah sewajarnya kita melakukan apa jua kebaikan dan dan menjaga adab-adab dalam kebaikan tersebut sebagaimana yang dibincangkan sepanjang pengajian ini di samping menjauhkan kejahilan yakni jahat adab dalam tiap-tiap waktu,  hal,  maqam dan keadaan mana jua.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan adalah tiada hasil demikian itu melainkan dengan Riyadhoh dan Mujahadah serta dengan Taufiq Allah dan InayahNya.

Keterangan Suluk

Sebagai merumuskan perbincangan di atas,  maka kenyataan di atas menegaskan bahwa tidak akan berhasil pembaikan dan kesempurnaan akhlak dan adab-adab tersebut melainkan dengan;

Wallahu A'lam.  Allah jua Yang Mengetahui Hakikat Yang Sebenarnya.  Tidak diberikan kepada hamba-hambaNya melainkan sedikit cuma.

Bersambung lagi di bawah tajuk berikut.....Jalan Membaiki Adab

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar