
PENYANYI Amy Mastura Suhaimi berpendapat, kekusutan dalam persatuan artis atau perbalahan sesama sendiri dapat dihentikan dalam merangka kerjasama bagi memastikan industri muzik tempatan mencapai martabatnya. Katanya, pemimpin persatuan perlu melakukan sesuatu bagi mengelak sesebuah persatuan yang ditubuhkan itu 'terkubur' kerana tidak mendapat sokongan penggiat muzik terutama dalam menangani golongan berkenaan yang semakin bijak berfikir. "Pasti mereka (penggiat muzik) tidak menyertai mana-mana persatuan jika difikirkan tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap kerjaya mereka," katanya kepada Pusparia, baru-baru ini. "Kami juga berharap badan induk (jika diwujudkan) mampu bergerak secara berkesan dan tidak menjadi 'gajah putih'. Apa yang penting, semua pihak perlu bekerjasama," katanya.
Mengenai mesyuarat Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) Ahad lalu, Amy berkata, dia tidak dapat hadir kerana terlalu sibuk dengan urusan promosi album terbarunya, Puteri. "Bukan itu saja, saya turut terbabit dalam urusan promosi filem Puteri Impian terbitan Grand Brilliance di negeri utara Semenanjung. "Saya juga terkejut dengan sambutan yang menggalakkan terhadap album dan filem saya," katanya. "Meskipun begitu, saya menyokong peningkatan taraf Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) yang bukan sekadar penganjur festival kepada PAIMM. Biarpun objektifnya tidak jelas, saya pasti ia mampu mendatangkan kesan positif terhadap industri," katanya.
Maju! [BHarian, 20-11-97]
Undur! [BHarian, 28-11-97]