
SEBAGAI gadis, Amy Mastura dilihat memiliki hampir segala-galanya. Dia mengakui masyarakat sukar menerima hakikat dia masih belum berpunya. Apa lagi, bagi masyarakat Melayu, usianya yang mencecah 27 tahun menjelang Mei depan, dianggap umur paling wajar mendirikan rumah tangga bagi mengelak digelar andartu. Namun, dia hanya tersenyum setiap kali diajukan pertanyaan - bila nak kahwin? Sesekali timbul rasa bosan apabila kerap diasak dengan soalan berbau peribadi.
Seperti biasa, dengan nada berseloroh, dia menjawab: "Memang orang asyik bertanya tetapi susahlah saya nak jawab, sebab semua ini kuasa Tuhan. Kalau sampai masanya, kahwinlah saya." "Saya memang suka berkawan tetapi dengan kedudukan saya sekarang, bukan mudah untuk mencari lelaki yang ikhlas dengan kita dan yang dapat menerima kita seadanya," katanya yang sedang mempersiapkan diri untuk berlakon filem Puteri Impian II. Ditanya mengenai putera impiannya, dia yang ketawa berkata: "Leonardo de Caprio! Tak adalah, bergurau aje tu. Sekadar impian."
Memang begitulah sikapnya. Gemar berjenaka, sederhana serta berfikiran terbuka menyebabkan dia amat disenangi. Menyambung perbualan asal, dia berkata: "Macam mana kalau orang panggil saya andartu? "Saya ni jenis tak kisah, jadi suka hatilah orang nak panggil apa. Dalam bab kahwin ni, selagi jodoh tak sampai, saya tak boleh buat apa-apa sebab segalanya Tuhan yang menentukan."
Menyentuh soal lakonan, Juara Asia Bagus 1993 itu tidak begitu ambil hati walaupun ada pandangan yang mengatakan bahawa dia diambil berlakon kerana popularitinya sebagai penyanyi dan pengacara. "Kalau orang ambil saya berlakon kerana nama, saya anggap itu rezeki. Bagi saya, itu semua tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin. "Saya tak mahu ambil tahu mengapa pengarah atau produser ambil saya berlakon. Bagi saya, dia sudah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk membawa watak yang diberi dan saya pula perlu cuba sampai berjaya," katanya.
Dalam serius berbicara, Amy yang terkenal kuat melatah, kembali menghangatkan suasana dengan telatahnya. Dia memang pantang disapa apatah lagi dikejutkan. "Penat tau," katanya apabila keadaan kembali reda. "Habis, macam mana?" Kembali membicarakan kerjayanya, dahinya berkerut seketika apabila ditanya mengenai matlamatnya. Katanya: "Saya tidak mahu menghadkan rezeki saya dalam nyanyian atau filem semata-mata. "Kalau ada peluang lain, saya akan cuba. Cuma buat masa ini belum ada apa-apa rancangan. Puas hati? Setakat ni, saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Memang saya belum sempurna tetapi akan belajar dari hari ke hari." Amy turut mengakui bahawa adalah mustahil baginya untuk mengadili setakat mana kemampuannya di persada seni. "Saya tak mahu cakap kerana adalah mustahil untuk saya menghakimi diri. "Biarlah saya jalankan tanggungjawab dan serahkan kepada orang lain, terutama peminat menilainya," katanya.
Maju! [BHarian, 6-1-98]
Undur! [BHarian, 31-3]