Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
SEJALUR KASIH SERAUT IMPIAN
: KEEMPAT :

Selang beberapa bulan sebelum majlis Konvokesyen di Istitusi Teknologi Mara, Shah Alam, Arisya menghubungi Iskandar. Arisya benar-benar mengharapkan kehadiran Iskandar pada hari tersebut. Segala kejayaannya selama ini adalah berinspirasikan hubungan mereka. Arisya telah berjaya membuktikan kejayaannya kepada keluarga terutama sekali abangnya, Azlan. Arisya ingin membuktikan bahawa walaupun dia bermain cinta dengan Iskandar, tetapi pelajaran tidak dilupakan. Segala kata-kata abangnya dijadikan satu cabaran.

Majlis konvokesyen bagi pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian di peringkat Diploma diadakan dengan penuh gemilang. Arisya menanti dengan penuh debaran. "Farina Arisya bt Ismail!" kedengaran namanya dipanggil untuk naik ke atas pentas menerima Diploma dalam jurusan Sains Komputer. Dari jauh kelihatan ibu dan neneknya sedang memerhati kejayaannya. Tanpa mereka sedari, bergenang sejernih air di kelopak mata. Itulah air mata kegembiraan! 

Arisyalah satu-satunya anak dan cucu yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Kegembiraan juga terpacul di wajah Azlan tatkala melihat adiknya di kaca televisyen di luar dewan tersebut. Tertera nama adiknya beserta satu bintang yang menjadi kebanggaan. Walaupun hanya memperolehi satu bintang tetapi Arisya bersyukur kerana bidang pengajian yang diambil itu adalah jauh berbeza dengan kelayakannya dalam SPM. Mana mungkin seorang pelajar aliran sastera mampu menceburi bidang sains komputer sedangkan tidak mempunyai asas di dalam jurusan sains. 

Namun, atas daya usaha tanpa mengenal erti sebuah kekalahan, Arisya akhirnya berjaya jika dibandingkan dengan rakan-rakannya yang masih lagi tidak dapat menamatkan pengajian mereka. Dari seramai 70 orang pelajar yang mengambil jurusan tersebut, cuma 15 orang sahaja yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh 3 tahun.

Setelah upacara penyampaian Diploma tersebut, Arisya merasa tidak tenteram kerana orang yang diharapkan untuk hadir ke majlis tersebut tidak kunjung tiba. Tiba-tiba adiknya memberitahu bahawa Iskandar datang bersama rakan-rakannya yang lain. Arisya terkejut kegembiraan. "Tahniah!" ucap Iskandar lembut sambil menghulurkan sejambak bunga. "Terima kasih. Cantik bunga ni. Ingat tak datang tadi" suara Arisya seakan merajuk. "Cantik seperti orangnya." balas Iskandar. Arisya tersenyum bangga.

Arisya bergambar kenangan bersama keluarga dan Iskandar. Hari yang penuh bersejarah di mana buat pertama kalinya Arisya bergambar dengan Iskandar. Entah mengapa hari tersebut begitu istimewa buat Arisya . Iskandar pula tidak putus-putus memuji kecantikan Arisya kerana Arisya nampak begitu berseri. Penampilannya jauh berbeza dengan sebelum ini. Tidak hairanlah kawan-kawannya juga turut memuji. Ada juga suara-suara nakal cuba mengusiknya tatkala turun dari pentas sewaktu menerima diploma.

Arisya mendapat tawaran bekerja dari sebuah agensi kerajaan di Kuala Lumpur. Tanpa berfikir panjang, Arisya menerima tawaran tersebut. Pada hari melaporkan diri, Arisya diperkenalkan kepada semua kakitangan di Jabatan tersebut. Arisya begitu gembira sekali walaupun dia masih malu-malu. Memang sudah menjadi kebiasaan di jabatan itu, setiap kali ada pekerja baru masuk sudah pasti menjadi tumpuan dan bahan usikan. Ramai kakitangan di jabatan itu yang ingin berkenalan dan ada juga yang kurang senang dengan kehadiran Arisya di situ.

Arisya ditempatkan di Bahagian Pembangunan Remaja dan ditugaskan sebagai pengatur program komputer. Di dalam bahagian itu, cuma Arisya dan Nora sahaja pegawai perempuan. "Assalamualaikum. Saya Nora. Norafizah Yahya. Selamat bertugas di bahagian ini. Hati-hati kerja kat sini." sapa Nora sambil menghulurkan tangan tanda perkenalan. "Waalaikumsalam. Emm..saya Farina Arisya Ismail. Emm..panggil Arisya saja." Balas Arisya gugup. Kata-kata Nora membuatkan Arisya merasakan ada sesuatu yang ingin diperjelaskan. Arisya cuba membuat kesimpulan. Hampa!

Selesai memperkenalkan diri, Nora menunjukkan tempat duduk Arisya. Arisya merasa bimbang kerana dia ditempatkan di unit belia yang mana di dalam unit itu, dia seorang sahaja pegawai perempuan. Kebetulan, di dalam unit itu cuma ada seorang pegawai yang sedang memerhatikan Arisya. Dua pegawai lagi tidak kelihatan di tempat mereka. Arisya memperkenalkan diri sambil duduk di tempatnya. Nora meminta izin untuk menyambung semula kerja-kerjanya. Arisya bimbang jika ditinggalkan berdua-duaan dengan pegawai lelaki yang dikenalinya sebagai En. Norman. 

Walaupun Arisya cuma mendiamkan diri namun hatinya menjerit meminta pertolongan. "Apa hal lah pulak si mamat ni asyik pandang aku je.Tak de kerja agaknya. Pandang macam nak makan orang!" Arisya mengomel sendirian.

Melihat keadaan Arisya yang tidak senang duduk itu, En. Norman pun bersuara. "Arisya dok mano?" Bahasa yang digunakan oleh En. Norman amat dikenalinya. Sah! Orang Kelantan. "Saya tinggal menyewa dengan Nora" balas Arisya . Banyak persoalan yang dikemukakan oleh En. Norman mengenai Arisya. Dari asal-usul sehinggalah Arisya ditawarkan bekerja di jabatan tersebut. Berpeluh Arisya menjawabnya. 

"Tanya soalan macam Inspektor Polis!" rungut Arisya. Tanpa Arisya sedari, perbualannya dengan En. Norman semakin rancak dan menerbitkan kemesraan. Arisya tidak malu-malu lagi untuk bersuara. Arisya merasa gembira kerana En. Norman begitu baik terhadapnya. Tiba-tiba En. Norman mengajukan soalan berbentuk peribadi. "Arisya dah ado boyfriend?" Terkejut Arisya mendengar pertanyaan tersebut. "Boyfriend?" soal Arisya seakan inginkan kepastian. "Pakwelah" balas En. Norman seperti tidak sabar untuk mengetahui jawapan Arisya . "Hmm..sudah" jawab Arisya ringkas. En. Norman mengeluh setelah mendengar penjelasan Arisya. Arisya kebingungan.

Selanjutnya...