Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
SEJALUR KASIH SERAUT IMPIAN
: KETIGA :

Keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Arisya yang ditemani abangnya, Azlan merasa begitu gembira dan bersyukur di atas kejayaan yang diperolehinya. Rakan karibnya, Siti juga mendapat pangkat dan aggregat yang sama dengannya. Harapan Arisya untuk berkongsi kegembiraan dengan Iskandar tidak kesampaian. Bayang Iskandar langsung tidak nampak. Hati Arisya sering tertanya-tanya.. Dimanakah Iskandar? Bagaimana dengan keputusan SPMnya?

Selang beberapa selepas itu, Arisya mendapat panggilan daripada Iskandar. Iskandar menyatakan alasannya kenapa dia tidak menghubungi Arisya . Rupa-rupanya, Iskandar cuba menenangkan perasaannya. Iskandar tewas dalam SPM dan dia merasa malu untuk menghubungi Arisya . Betapa besar jurang perbezaan antara dia dan Arisya . Arisya berusaha meyakinkan Iskandar bahawa dirinya tidak pernah membezakan taraf pendidikan di antara mereka.

Selama tiga tahun Arisya menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam, pertemuannya dengan Iskandar hanyalah melalui coretan di warkah. Begitu ceria wajahnya tatkala melihat sampul surat yang amat dikenalinya terselit di antara puluhan surat yang tiba di pejabat asrama institusi tersebut. Arisya begitu setia dan jujur terhadap Iskandar walaupun ada pelajar-pelajar lelaki di institusi tersebut cuba memikat hatinya. Iskandar menjadi sumber inspirasinya dalam mengharungi arus kehidupan seorang pelajar. Iskandarlah yang memberinya semangat untuk berjaya dalam pelajaran.

Setelah Arisya menamatkan pengajiannya, hubungannya dengan Iskandar dapat diterima oleh keluarganya, walaupun Arisya masih merasakan ketidakikhlasan penerimaan tersebut!

Setelah penat bekerja, Arisya menghempaskan dirinya di penjuru katil sambil merenung ke dasar langit. Fikirannya cuba mencari sesuatu. Tangannya sudah sedia dengan sebatang pen. Sedang Arisya melayani bingkisan syahdu dalam puisi yang dinukilkan, kedengaran lagu "Kau Kekasihku" nyanyian Siti Nurhaliza berkumandang di corong radio. Sejenak fikirannya melayang mengimbau kenangan silam.

"Selamat Hari Jadi, Sayang" kata-kata itu amat bermakna buat Arisya. Sekuntum bunga ros beserta sebuah kotak kecil diberikan oleh Iskandar sempena hari ulang tahun Atiqah yang ke-21 tahun. Genap tiga tahun hubungan mereka pada tahun itu. Arisya benar-benar terharu dengan pemberian Iskandar tersebut. "Jam?!" suara Arisya memecah keheningan suasana di taman. Banyak mata-mata yang memandang mereka seolah-olah sedang menyaksikan sebuah drama romantis. "Kenapa beli jam yang mahal ni?!" tanya Arisya yang tidak bersetuju dengan pemberian tersebut. "Bunga ni pun dah cukup berharga buat Arisya " sambungnya lagi. "Arisya …" pantas Iskandar mematahkan rungutan Arisya sambil merenung mata Arisya sedalam-dalamnya supaya Arisya mengerti akan keikhlasan hatinya. Arisya tertunduk malu. Iskandar menggenggam erat jemari Arisya lalu menciumnya. Arisya tersentak. Berderau darahnya seperti terkena imbasan elektrik. Arisya cuba meleraikan genggaman tersebut namun dia tidak berdaya. "Arisya .. percayalah.. Is buat semua ni kerana Arisya . Is benar-benar menyayangimu sayang.. Hadiah ni tak seberapa. Bila-bila saja boleh musnah dan ditukarganti. Tapi..jika.." "Jika Arisya tiada..sudah tentu ada penggantinya" Arisya menyampuk. "Hish..ke situ pulak dia" balas Iskandar sambil menarik hidung Arisya. Arisya menjerit kesakitan lantas mencubit lengan Iskandar. Iskandar mengadu kesakitan. Kedua-dua pasangan ini saling berpandangan sesama sendiri lalu memecahkan suasana dengan deraian ketawa mereka. Hari itu cukup bahagia buat Arisya .

"Sayang!!! Pergi jahanamlah." Arisya mengeluh keras. Arisya seakan membenci perkataan itu… 

Puisi yang bertajuk "Penjara Cinta" dibacanya dengan penuh perasaan.

Sayang..
Bisakah hati mentafsir mimpi
Berlari-lari mengejar memori
Menyimpul kasih jalinan suci
Membakar jiwa yang penuh erti

Sayang..
Mimpi hanya mainan malam
Berlalu pergi ..
Tatkala fajar menghulur realiti
Menghurai makna di kamar hati
Menemani diri menangisi sepi

Sayang..
Ikatan cinta yang sekian lama
Kian pudar di mamah usia
Dingin kasihmu jelas nyata
Diriku sandaran di kala duka

Lantaran dirimu bermain kata
Menjemput diriku
Merangkak ke dunia nyata
Mengenal istilah sebuah cinta
Yang terpenjara

Sayang..
Suara hati memaksa diriku
Yang selama ini
Merantai jiwa yang penuh sangsi
Membina rindu mengalun puisi
Mengungkap setia di jendela janji
Sebuah kepastian harus diukiri
Makna cinta yang terpatri.

Setelah puisi itu dibaca, Atiqah cuba melelapkan matanya. Namun.. kenangan silam menggamit dirinya semula.

Selanjutnya...