Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam 12.00 PM  pada Hari Khamis ( 09.12.1999 / 01 Ramadhan 1420 )
BUAH & FAEDAH WARID 

Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari r.a (muka surat 120) dengan terjemahan yang lebih kurang sebagaimana berikut;

"Jangan terlalu gembira terhadap Warid yang belum engkau ketahui buahnya,  sebab bukan yang diharapkan dari awan itu sekadar hujan,  tetapi tujuan utamanya adanya buah dari pohon-pohonan".

Terjemahan oleh Tok Pulau Manis;

Maka janganlah kiranya engkau "sucikan"(terlalu suka atau gembira) Warid yang tiada engkau ketahui akan buahnya daripada I'timad atas Allah Taala,  dan berpaling daripada barang yang lain daripadaNya dan menjauh segala maksiat dan mengikat(tetap) bagi taatNya.  Maka tiada dikehendaki daripada Awan yang menghujani kerana terkadang ada wujudnya(awan) memberi mudhorat;  dan hanyasanya yang dikehendaki daripadanya(awan) diperoleh buah kayu.

Keterangan Suluk

Kalam hikmah dan keterangan oleh Tok Pulau Manis di atas adalah tersangat menarik untuk dipelajari dan dihayati kerana ianya mengandungi beberapa peringatan,   nasihat dan petunjuk-petunjuk yang khususnya ditujukan kepada para Salik yang bercita-cita untuk Washil ilaLlah(sampai kepada Allah).

Terlebih dahulu,  perlu diperjelaskan yang dimaksudkan dengan Warid dalam keterangan di atas ialah sesuatu yang berupa bentuk limpah kurnia Allah Taala yang dicampakkan ke dalam hati seorang hamba dengan berbagai-bagai perasaan seperti suka dan seronok dalam berbuat ibadat,  atau merasai manis dan lazat untuk sentiasa beribadat atau perasaan kejut atau takut dengan Kekuasaan Allah atau diberikan kemudahan untuk memahami sesuatu Ilmu yang tinggi-tinggi dan yang susah bagi kebanyakan orang,  atau didatangi perasaan Kasih dan Cinta kepada Allah yang amat sangat.  Inilah antara contoh-contoh rupa Warid yang jatuh ke atas hati seorang hamba yang dikehendaki Allah.  Banyak lagi contoh-contoh lain mengenai Warid ini yang boleh anda dapati di bawahtajuk ini dalam Kitab Al-Risalatul lil Duniyyah

Di samping kedatangan Warid dengan limpah kurnia Allah seperti contoh-contoh di atas,  ada juga Warid yang datang mengikut jalan kebiasaan iaitu sesuatu yang terhasil kerana Mengamalkan Ilmu tentang cara-cara beribadat sebagaimana Isyarat yang terdapat dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

"Barangsiapa mengamalkan/mengerjakan apa-apa ilmu yang diketahuinya nescaya akan dipesakakan akan dia oleh Allah akan Ilmu yang tidak diketahuinya".

Jadi isyarat "Jangan terlalu gembira terhadap Warid yang belum engkau ketahui buahnya",  adalah menunjukkan bahawa Warid itu ada bermacam-macam jenisnya dan berbagai-bagai cara kedatangannya .  Untuk itu seorang Salik perlu mengetahui dan mengenali akan buah-buahnya atau faedahnya.  Jika tidak tahu buah-buahnya atau tidak terdapat padanya faedah,  maka sia-sialah kehadiran Warid tersebut dan tidaklah bermakna kegembiraan sambutan terhadapnya.  Sungguhpun begitu,  Tok Pulau Manis telah menyenaraikan empat(4) tanda-tanda yang boleh dijadikan petunjuk bagi mengesahkan bahawa Warid yang datang itu adalah berfaedah dan berbuah sebagaimana berikut;

1.  I'timad atas Allah Taala,  iaitu sentiasa berpegang dan bersandar dan berserah diri hanya kepada Allah semata-mata;  bukan kepada wujud dirinya,  amal kebajikannya,  ketinggian ilmunya,  kedudukan martabatnya,  kekuasaan manusia yang berpangkat serta apa sahaja sesuatu selain daripada Allah.
2.  dan berpaling daripada barang yang lain daripadaNya;  iaitu tidak tuju hatinya atau cenderung kepada makhluk seperti pahala,  syurga ,  maqamat atau sesuatu yang berupa  kepentingan untuk dirinya sendiri.
3.  dan menjauh segala maksiat;   iaitu berubah hal-ahwalnya daripada lalai kepada peka dan sensitif terhadap sebarang maksiat;  mengenali dan menjauhi dosa-dosa yang zhohir dan yang batin serta menghindarkan diri dari syirik khofi dan syirik Jali.
4.  dan mengikat(tetap) bagi taatNya iaitu sentiasa tetap dan Istiqamah dalam memperhambakan diri dengan berkhidmat dan beramal sholeh kepada Allah dalam apa jua masa dan keadaan.

Maka tiada dikehendaki daripada Awan yang menghujani kerana terkadang ada wujudnya(awan) memberi mudhorat;  dan hanyasanya yang dikehendaki daripadanya(awan) diperoleh buah kayu.

Kiasan atau bandingan di atas adalah sebagai menyatakan bahawa bukanlah sekadar kehadiran Warid itu yang dimaksudkan dalam pencarian seorang Salik,  tetapi lebih jauh dari itu iaitu faedah-faedah Warid itu yang boleh merubahkan hal-ahwal hati,  pandangan Ketuhanan yang juga dan melahirkan amal sholeh pada anggota zhohir yang disebut sebagai buah atau hasil dari kedatangan Warid itu.  Bandingannya adalah seperti awam mendung yang datang,  bukanlah sekadar air hujan yang dihajati oleh bumi yang gersang itu,  tetapi agar air itu dapat membenihkan dan menumbuhkan pohon-pohon kayu seterusnya berbunga dan mengeluarkan hasil yang lebat buahnya;  yang boleh dirasai kelazatannya.  Tetapi jika terlalu banyak dan lama hujan yang turun,  kadang-kadang ia akan mendatangkan musibah-musibah lain seperti banjir dan rosaknya tumbuh-tumbuhan serta harta benda yang lain.

Demikian juga jika kedatangan Warid itu telalu kuat dan lama dan tidak pula sesuai dengan keupayaan diri hamba(kapasiti rendah) akan memudhoratkan hamba itu seperti dirosakkan amalan kemanisan ibadatnya yang banyak itu dengan Riya' atau Ujub atau lain-lain sifat-sifat keji(mazmumah) yang lain  Dengan kerana bahayanya musibah ini dan kerana pentingnya diketahui manfaat atau faedah Warid ini,  maka Tok Pulau Manis meneruskan lagi keterangannya yang berupa pesanan-pesanan sebagaimana berikut;.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Jangan engkau besarkan Warid itu dan jangan engkau I'tiqadkan bahawasanya ia(Warid) Karamat daripada Allah hingga ketahui akan buahnya dalam dirimu daripada memberi bekas hati dengan dia(Warid) dan berganti segala sifat yang Mazmumah dengan segala sifat yang Mahmudah dan berdiri atas tinggi Hemah membaiki khidmat dan Memelihara Hormat dan Syukur Nikmat;  kerana tiap-tiap Makrifat yang tiada memberi faedah ia akan amal,  maka tiada dibilangkan dan tiap-tiap amal yang tiada ikhlas,  maka tiada sempurna padanya.

Keterangan Suluk

Pesanan Tok Pulau Manis di atas ialah agar seorang Salik tidaklah terlalu gembira dengan membesarkan akan ketibaan Warid yang datang kepadanya dengan membuat anggapan bahawa ia adalah sesuatu Karamat (yakni Keistimewaan yang luar biasa) Kurniaan dari Allah Taala sehinggalah terlebih dahulu diketahui dan nyatanya buah-buah atau faedah-faedah warid itu yang boleh dinikmati oleh jiwa para Salik.   Antara faedah atau buah-buahan dari Warid ini ialah;

1.  memberi bekas hati dengan dia(Warid); yakni mengubahkan ha-ahwal Qalbu atau hati dengan Rahsia-rahsia Alam Tinggi dan Rahsia-rahsia Ketuhanan.

2.  dan berganti segala sifat yang Mazmumah dengan segala sifat yang Mahmudah;  iaitu daripada kesedaran dan pengetahuan yang berlaku pada hati yang mendapat Warid itu,  seterusnya akan memberi kesan kepada perubahan sifat-sifat hati yang terpuji seperti

3.  dan berdiri atas tinggi Hemah membaiki khidmat;  dengan maksud perubahan hal-ahwal hati seperti di atas akan menerbitkan atau menghasilkan pula "tindakan" anggota zhohir dengan khidmat amal-ibadat  yang sesuai mengikut perubahan-perubahan hal-ahwal hati. 4.  dan Memelihara Hormat dan Syukur Nikmat;  yakni amal perbuatan zhohir yang dikerjakan itu adalah dengan memuliakan Hukum Syarak Allah dan Rasul(Memelihara Hormat) dan memandang bahawa sesuatu yang diperolehi dan yang dikerjakannya adalah semata-mata dari Allah Taala Yang Maha Meliputi di atas tiap-tiap sesuatu(Syukur Nikmat).

kerana tiap-tiap Makrifat yang tiada memberi faedah ia akan amal,  maka tiada dibilangkan dan tiap-tiap amal yang tiada ikhlas,  maka tiada sempurna padanya.

Kata-kata di atas adalah sebagai rumusan kepada penerangan mengenai tanda-tanda dan kesan-kesan Warid seperti yang telah dibincangkan di atas.  Istilah "Makrifat" yang digunakan adalah merujuk kepada Warid kerana dengan kedatangan Warid itu,  maka seseorang hamba akan memahami dan mengenali apa-apa yang haq dan apa-apa yang batil.  Boleh memahami dan membezakan antara Yang Haq dengan yang batil inilah sebahagian daripada pengertian "Makrifat".  Namun tiap-tiap Makrifat(atau Warid) yang tidak dapat menambahkan amal,  meningkatkan darjat amalan,  membersihkan amalan dari najis-najis,  menyempurnakan amalan,  dan lain-lain faedahnya adalah tidak dikira sebagai seorang itu telah mendapat Makrifat atau Warid.  Demikian pula dengan tiap-tiap amal yang tidak dimusyahadahkan kepada Fi'li atau Sifat Allah atau Zat Allah adalah amalan yang tidak sempurna ikhlasnya.  Bila tidak sempurna ikhlasnya,  maka tidaklah amalan itu menjadi sempurna walaupun banyak menggunung sekalipun.

Sebagai kelanjutannya daripada keterangan di atas,  kita perhatikan pula kata-kata yang dipetik dari kalangan Ahli Sufiah sebagaimana berikut;

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata mereka itu(kaum sufiah);  barangsiapa mendapat suatu Hal dalam mendengar dan tiada dapat berkat dalam amalnya,  maka  adalah pendengaran itu tiada hakikat(faedah atau tujuan) baginya.

Keterangan Suluk

Ini membawa maksud,  seorang yang mendengar butir-butir pengajaran agama dari mana-mana tempat atau dengan sesiapa sahaja  atau dalam mana-mana majlis,  jika tidak menimbulkan rasa keinsafan,  rasa kesedaran,  rasa takut,  rasa bimbang,  rasa terbimbing atau terpimpin,  atau tidak sedikitpun berganjak untuk mengubahkan sifat-sifat lamanya,  maka sia-sialah pekerjaan(pendengaran) mereka itu kerana ianya tidak menjejaki hakikat pendengaran itu(iaitu berkat dalam amalnya).

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan inilah Ista'aaroh(pinjaman atau perbandingan) dijadikan Warid itu seperti Awan dan memberi bekasnya dengan dia(awan) seperti Hujan yang turun daripada Awan;  dan amal yang dikehendakinya itu Buahnya.

Keterangan Suluk

Diperjelaskan akan kiasan dan bandingan Kalam Hikmah di atas yang menggunakan perkataan dan istilah-istilah seperti berikut;


Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Maka Warid dengan tiada memberi bekas seperti Awan dengan tiada Hujan dan memberi bekas dengan tiada amal  seperti hujan dengan tiada berbuah;  kerana bahawasanya Hujan itu apabila sentiasa ia,  terkadang membawa ia bagi binasa daripada tiada memberi manfaat.

Keterangan Suluk

Amat menarik sekali perbandingan yang dibuat yang dicetuskan dari Ilham Ahli Sufi ini kerana kedatangan Awan mendung yang sekadar berarak dan berlalu pergi  adalah seperti kedatangan Warid yang tidak mengubahkan hal-ahwal hati si penerima.  Semata-mata sebagai satu fenomena yang tidak membekaskan apa-apa makna pada bumi yang gersang atau pada hati yang lara/lalai.

Demikian pula halnya Warid yang telah berupaya memberi bekas kepada hati dengan mengubahkan sifat-sifat hati tetapi tidak terzhohir atau tidak diamalkan dengan anggota yang zhohir adalah seumpama air hujan yang menyirami dan membasahi bumi yang gersang,  tetapi tidak dapat menumbuhkan pohon-pohon kayu yang mengeluarkan buahnya.kerana hujan itu apabila turunnya dengan lama dan berkekalan akan menyebabkan bumi akan banjir dan merosakkan pohon-pohonan yang sedia ada.  Maka tiadalah dapat diperolehi akan manfaat hujan tersebut malah sebaliknya mudhorat pula yang dihadapi.  Dengan  kata lain bolehlah kita ibaratkan pula dengan kata-kata seperti berikut;

Anda boleh menambah sedikit lagi kefahaman mengenai buah-buahan atau faedah Warid ini dari Pengajaran Sultanul Aulia' Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jailani di bawah tajuk MANA BUAH ILMUMU???  MANA TANDA UBUDIYYAHMU???

Bersambung lagi dalam Pengajian berikutnya di sepanjang bulan Ramadhan yang barakah ini dengan Kalam Hikmah yang seterusnya...dalam bicara mengenai Kecederaan Dalam Ikhlas Al-Tauhid.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH