Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam 12.00 PM  pada Hari Khamis ( 16.12.1999 / 07 Ramadhan 1420 )
 
KECEDERAAN 
DALAM IKHLAS AL-TAUHID

Petikan dari Pengajian Sebelum Ini;

Maka Warid dengan tiada memberi bekas seperti Awan dengan tiada Hujan dan memberi bekas dengan tiada amal(adalah)  seperti hujan dengan tiada berbuah;  kerana bahawasanya Hujan itu apabila sentiasa ia,  terkadang membawa ia bagi binasa daripada tiada memberi manfaat.

Sambungan Keterangan Tok Pulau Manis yang seterusnya;

Maka jika telah engkau ketahui demikian itu;
(Terjemahan Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah r.a yang seterusnya)


"Jangan minta tetapnya itu Warid setelah kau merasakan(mendapatkan) buah terangnya Nurnya dan tertangkap semua rahsia-rahsianya;   maka cukup bagimu mengabdi kepada Allah sehingga tidak membutuhkan sesuatu yang lainnya,  sebab tidak ada sesuatu yang dapat mencukupi sehingga tidak berhajat kepada Allah".

Terjemahan oleh Tok Pulau Manis;

Dan jangan engkau tuntut akan kekal segala  Warid itu kemudian daripada hampar(terbuka) segala Nurnya dan ditaruhnya segala rahsianya;  Maka jika telah engkau dapat akan dia(Warid)  ada pada hatimu,  maka minta tolong engkau dengan dia dalam Huduurul Jami' atas Tuhanmu.

Keterangan Suluk

Kalam Hikmah di atas merupakan lanjutan daripada Kalam Hikmah sebelum ini.  Eloklah dikaitkan sedikit bicara terdahulu untuk memudahkan idea dan pengertian di sebalik Kalam Hikmah yang agak sulit untuk difahami ini.

Maksud  "Maka jika telah engkau ketahui demikian itu"; seperti yang diutarakan di atas adalah merujuk kepada,
jika telah kita ketahui dan fahami bahawa tidak semestinya(belum tentu lagi) kedatangan sesuatu Warid itu boleh memberi kesan dan membawa perubahan pada hal-ahwal hati dan;
jika telah pula tahu dan faham bahawa perubahan yang berlaku pada hati itu belum tentu lagi(tidak semestinya) membuahkan faedah-faedah pada anggota zhohir dan kadang-kadang memberikan bala dan mudhorat sebagaimana turunnya hujan yang berlebihan sehingga banjir,  maka;"Janganlah diminta untuk tetapnya Warid itu setelah kau merasakan(mendapatkan) buah terangnya Nurnya dan tertangkap semua rahsia-rahsianya;   maka cukup bagimu mengabdi kepada Allah sehingga tidak membutuhkan sesuatu yang lainnya,  sebab tidak ada sesuatu yang dapat mencukupi sehingga tidak berhajat kepada Allah".

Dengan demikian,  mudahlah bagi kita untuk mengupas dan mengambil pengertian dari keterangan Tok Pulau Manis Dan jangan engkau tuntut akan kekal segala  Warid itu kemudian daripada hampar(terbuka) segala Nurnya(terima sifat Kehambaan Zhohir dan batin) dan ditaruhnya segala rahsianya;  Maka jika telah engkau dapat akan dia(Warid)  ada pada hatimu,  maka minta tolong engkau dengan dia dalam Huduurul Jami' atas Tuhanmu.

Ini adalah satu pesanan dan satu peringatan yang besar buat seorang Salik atau seorang hamba yang sering tertarik dengan kelazatan buah dan faedah dari Warid agar tidak terlalu bergantung dan bersandar kepada cahaya-cahaya(Nur) atau pemaparan Rahsia-rahsia Warid kerana tidak semestinya Warid yang datang itu akan memberi manfaat atau faedah atau kesan yang baik kepadanya, malah mungkin boleh memberi mudhorat.(Lihat perbincangan bicara pengajian sebelum ini untuk keterangan lanjut).

Sekali pandang... sungguh Hairan ya!.

Kenapa seorang hamba ditegah daripada terus mengharap dan berjinak-jinak dengan Warid tersebut sedangkan Warid itulah yang akan meningkatkan amalan seseorang itu menjadikan bertambah-tambah ketaatan dan Ubudiyahnya dan boleh membawa kehampiran dengan Allah   (Ini merupakan sebahagian makna pada frasa "daripada hampar(merasakan kesan dari) segala Nurnya").

Kenapakah seorang hamba yang banyak mengerjakan dan mendirikan sholat di waktu tengah malam kerana mendapat rasa manis dan lazat ibadat dan tidak puas-puas dengan kemanisan dalam mendirikan sholat malam itu ditegah daripada bergembira, ditegah daripada terlalu asyik dengannya dan ditegah daripada mengharap-harapkan agar rasa manis dan tidak puas itu kekal sentiasa dalam setiap ibadat malamnya?.(Sebahagian lagi  makna pada frasa "daripada hampar(merasakan kesan dari) segala Nurnya").

Kenapakah seorang yang diberikan rasa atau "hal" (sebagai contohnya)"syukur" yang kesannya akan sentiasa memperelokkan sifat-sifat hatinya untuk bersyukur dengan apa sahaja yang dimiliki olehnya atau bagi pihak orang lain ditegah daripada sentiasa bergantung dan bersandar kepada kebaikan hal "syukur" itu?.(Contoh-contoh "hal" yang lain daripada Syukur ialah seperti Zahid, Redho,  Tawakkal,  Khusuk,  Tawadu', Taslim,  Thoma'ninah, Yakin,  Makrifat akan Tadbir Allah,  Syuhud Kebesaran Allah  dan lain-lain lagi yang terdiri daripada Hal atau Maqam)

Kenapa pula seorang hamba yang dibukakan rahsia-rahsiaWarid (ditaruhnya segala rahsianya) itu dengan dapat memahami sesuatu dan menyatakan sesuatu berdasarkan Ilmu Laduni yang akan memancarkan cahaya Makrifat seterusnya boleh menghakikatkan sesuatu ditegah daripada terus-terusan mengharapkan hujan laduni atau buah yang hasil darinya.

Malah mereka diminta supaya "maka minta tolong engkau dengan dia dalam Huduurul Jami' atas Tuhanmu"  dengan maksud untuk sentiasa kehadiran hati dan pandangan dengan/bersama Allah dalam setiap hal dengan melepaskan diri dari sesuatu selain dari Allah.

Jawapan kepada persoalan-persoalan dan kehairanan di atas boleh kita perolehi dari keterangan Tok Pulau Manis yang berikutnya.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Maka adalah bagimu pada Allah Taala Kaya daripada tiap-tiap sesuatu daripadaNur dan Ilmu danAmaldan Hal dan Maqam dan Warid dan Dunia dan Akhirat dan Nikmat dan lain daripada demikian itu.  Maka jangan engkau menilik sesuatu daripada demikian itu.  Maka ia memberi cedera dalam Ikhlas-Al-Tauhid

Keterangan Suluk

Inilah keterangan jawapannya!!!  Sebabnya ialah kerana terlalu bergantung dan bersandar harapan kepada faedah-faedah Warid ini boleh akan menyebabkan seseorang itu mungkin  melupakan Allah.  Bukanlah bermaksud tidak ingat langsung kepada Allah,  tetapi dikuatiri hamba itu cenderung dan suka serta asyik kepada kecantikan anugerah sehingga melupakan kepada Yang Memberi Anugerah itu.  Yang Ampunya Anugerah yakni Allah Taala itu adalah Terkaya(tidak berhajat) daripada sesuatu.  KekayaanNya ini tidaklah menuntut supaya seorang hamba yang ingin mencapai "kehampiran denganNya" perlu mempersembahkan amal-ibadat yang banyak atau sesuatu sandaran keistimewaan sebagai perantaraan.  Sesungguhnya jika seorang hamba masih menilik kepada Nur dan Ilmu dan Amaldan Hal dan Maqam dan Warid dan Dunia dan Akhirat dan Nikmat dan lain daripada demikian itu.(semua ini dipanggil makhluk dalam istilah Tasauf)  dalam amal-ibadat dan kehambaannya,  itu menunjukkan mereka telah mencederakan keikhlasan mereka dalam beramal;   malah  memberi cedera dalam Ikhlas-Al-Tauhid  yakni ketidakyakinan dan keraguan-raguan dalam Mengesakan Allah kerana terpengaruh dengan makhluk..

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan tiada mengkayakan akan dikau daripada Allah Taala oleh sesuatu kerana tetap KayaNya(Allah) daripada tiap-tiap sesuatu;  dan tiada berkehendakNya(Allah) kepada sesuatu;   bahkan berkehendak oleh tiap-tiap sesuatu kepadaNya(Allah).

Keterangan Suluk

Sebagai lanjutan daripada keterangan sebelum ini,  ditegaskan lagi maksud-maksud yang terselit di sebalik Makna Ketuhanan(seperti yang dipelajari dalam Ilmu Usuluddin atan Ilmu Kalam atau Ilmu Sifat 20) bahawa Allah Taala itu adalah Zat Yang Terkaya(tidak berkehendak) daripada segala sesuatu  dan berkendak tiap-tiap sesuatu kepadanya.  Inilah Makna Apa itu Ketuhanan.  Jika begitu,  sudah  semestinyalah tidak ada sesuatu;  baik ilmu yang tinggi atau amal yang banyak atau Warid yang kuat dsb. yang boleh menyampaikan seseorang itu kepada Allah bahkan Allah itulah Yang Meliputi di atas tiap-tiap sesuatu.

Sebagai mempeteguhkan kefahaman kepada perbincangan di atas,  Tok Pulau Manis memetik pula kata-kata daripada seorang Penghulu Ahli Sufi seperti berikut;
Dan kata Abu Al-Abbas Ibnu Athoillah;  bahawasanya takut olehmu daripada menilik makhluk pada hal engkau dapat jalan(ilmu) kepada menilik kepada Haq Taala;  dan jangan cenderung kepadanya(makhluk) dan jangan I'timad atasnya(bergantung kepada makhluk).

Keterangan Suluk

Ini membawa maksud supaya seorang hamba itu hendaklah sentiasa cukup dan memadai dengan bergantung,  bersandar dan menyerahkan dirinya kepada Allah semata-mata kerana adalah sia-sia atau mungkin mendatangkan mudhorat jika mengharapkan sesuatu daripada makhluk(iaitu Nur dan Ilmu dan Amal dan Hal dan Maqam dan Warid dan Dunia dan Akhirat dan Nikmat dan lain daripada demikian itu)

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan alamat memadai pada Allah itu(ialah) Redho padaNya(Allah) dan I'timad
pada segala SuruhNya dan ketiadaan berpaling bagi lainnya.  Maka jadikan olehmu bagi hamba Allah,  tiada hamba 'Ilat.

Keterangan Suluk

Maksud tiada hamba bagi 'Ilat ialah melakukan sesuatu dengan ada "kerana-kerana" atau tujuan-tujuan yang dimaksudkan kepada sesuatu yang lain.  Umpamanya seorang yang beramal atau bersuluk dengan tujuan mendapat karamah dan boleh menjadi seorang dukun yang terkenal;  inilah contoh hamba 'Ilat. dan contoh kedua ialah seperti seorang yang abid yang rajin dan banyak berbuat amal,  tetapi bermaksudkan untuk memasuki Syurga Allah dan takut kepada neraka.  Apa yang perlu bagi seorang hamba ialah menjadi hamba kepada TuanNya bukan menjadi hamba makhluk-makhluknya.  Ambillah pengajaran yang berguna ini wahai diriku,  wahai kelalaianku!!! wahai kekeliruanku!!!.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan alamat terhampar segala nurnya(warid) itu iaitu diperoleh manis dan zhuhur(nyata) hakikatnya.  Dan alamat ditaruhkan segala rahsianya(Warid) itu iaitu didapat hakikat daripada dirinya dan berlaku segala makna dalam sekelian dan Kayalah dengan Allah

Keterangan Suluk

Keterangan di atas memberi panduan kepada seorang hamba bagaimana untuk mengetahui dan mengesahkan bahawa seseorang itu;

Tanda bagi yang dibukakan segala Nur Warid ialah dengan kehadiran dan kedapatan rasa manis dan lazat dalam sesuatu "hal" serta zhohir atau nyata pada perasaan hati akan perubahan sifat-sifat hati yang terpuji. Contohnya Maqam Ahli Mahabbah yang sentiasa asyik dan ma'ksyuk dalam merindui dan mencintai Allah

Manakala tanda-tanda diberikan atau dikurniakan Rahsia-rahsia Warid ialah seorang hamba itu dilimpahkan dengan Ilham atau Ilmu-ilmu Laduni yang akan memancarkan cahaya Makrifat dan dengan cahaya Makrifat inilah didapat hakikat daripada dirinya  yakni Mengenal Hakikat  Sebenar-benar Dirinya atau sesuatu yang lain.   Dengan ini ia akan dapat membezakan  antara Hakikat Kehambaan dan Ketuhanan.  Di samping itu lagi;  dapatlah Cahaya Makrifat itu menghakikatkan segala sesuatu "berlaku segala makna dalam sekelian"  mengikut kadar percampakkan Laduni.

Satu lagi alamat atau tanda-tandanya yang istimewa;  ialah seorang yang mendapat Rahsia Warid itu akan menjadi seorang yang mencapai "kehampiran dengan Allah" di mana mereka tidak lagi menilik,  memandang dan bersandar kepada makhluk Allah,  malah mereka adalah golongan hamba yang "Kayalah dengan Allah"  dengan maksud semata-mata berpegang (I'timad) kepada Allah semata-mata sebagaimana yang diisyaratkan oleh hadis Qudsi sebagaimana berikut;

Bersambung lagi dalam Pengajian berikutnya di sepanjang bulan Ramadhan yang barakah ini dengan Kalam Hikmah yang seterusnya....Insya Allah

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

 
Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH