Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
17 Tuntutan 11 Persatuan Cina

Isu 17 Tuntutan Pilihanraya oleh 11 persatuan Cina telah menyebabkan keretakan dalam Barisan Nasional (BN). UMNO sudah mengambil pendirian. MCA dan Gerakan juga telah mengambil pendirian masing-masing. Cakap-cakap selama ini bahawa mereka bersatu adalah retorik politik sahaja.

Mahathir Marah Diberi Kata Dua

Presiden UMNO, Dr Mahathir Mohamad mahukan sokongan yang tidak bersyarat dari masyarakat Cina terhadap BN. Ini boleh ditafsirkan bahawa Mahathir berpendapat tuntutan persatuan-persatuan Cina itu sebagai satu syarat. Tuntutan-tuntutan itu semacam ugutan. Tidak sokong tuntutan itu, maka persatuan-persatuan Cina tidak akan menyokong BN. Semacam kata dua terhadap BN. Mungkin demikian yang Presiden UMNO itu faham.

Mahathir tidak berani tolak tuntutan itu secara total. 17 tuntutan itu telah mendapat dokongan banyak persatuan Cina. Pada 17
September sahaja, 1,848 persatuan Cina telah menyokong secara rasmi tuntutan itu.

Apa Pula Kata Ling Liong Sik, Presiden MCA?

Pada 13 Oktober, di Kuala Lumpur, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik bertegas bahawa 17 perkara yang dikemukakan oleh 11 persatuan Cina kepada kerajaan BN sama sekali bukan "tuntutan" tetapi lebih bersifat 'rayuan'. Ini bermakna Ling Liong Sik sanggah pendirian dan persepsi Mahathir.

Presiden MCA itu menjelaskan bahawa rayuan tanpa syarat yang diminta oleh 11 persatuan tersebut telah disalahertikan sebagai tuntutan. Sekali lagi, Presiden MCA itu menerangkan bahawa Presiden UMNO sudah salah faham. Bukan Mahathir sahaja yang salah faham. Demikian sindir Ling Liong Sik. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Pemangku Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Husin juga salah faham. Kedua-dua mereka juga telah membuat pernyataan umum kurang senang dengan 17 tuntutan tersebut. Nampaknya, sesama pemimpin BN sudah tidak sefahaman. Siapa sebenarnya yang menubuhkan barisan secara oportunis tanpa mengira prinsip?

17 Tuntutan Sudah Sampai Ke Kabinet

Presiden MCA itu telah memaklumkan kepada kabinet berhubung rayuan oleh 11 persatuan Cina yang mengemukakan 17 perkara kepada kerajaan BN. Maksudnya sekarang kabinet kerajaan, yang didokong oleh BN itu, suka atau tidak suka, mesti ambil pendirian terhadap 17 tuntutan itu. Ada tiga pilihan kepada BN. Pertama, tolak semua. Kedua, terima semua. Ketiga, pilih-pilih dari 17 tuntutan itu mana yang boleh dilaksanakan.

Apa Jadi Jika Tolak Secara Total?

Jika tolak semua 17 tuntutan itu, malapetaka bagi BN. Sebab tuntutan itu mendapat sokongan meluas masyarakat Cina.
Jika BN tolak secara total, MCA terutamanya akan hilang kewibawaan. BN sekarang sangat memerlukan sokongan undi
masyarakat Cina.

Undi Melayu berpecah. Lebih banyak pengundi Melayu kini yang menyokong Barisan Alternatif daripada BN. UMNO telah
hilang kewibawaan dan pengaruh dalam masyarakat Melayu pada masa sekarang.

Apa Jadi Jika Terima Sepenuhnya?

Jika BN terima semua tuntutan itu, BN pula akan menghadapi malapetaka di kalangan orang Melayu. Sebahagian orang Melayu yang masih mendokong UMNO akan membantah sekiranya BN menerima kesemua tuntutan 17 perkara itu. UMNO akan hilang kewibawaan. UMNO dianggap lemah ketika berdepan dengan tekanan dari masyarakat Cina.

Hakikatnya, BN masih lagi bergantung kepada dokongan pengundi Melayu, terutama di luar-luar bandar. Jika UMNO ditolak oleh orang Melayu di luar bandar, maka malapetaka kepada UMNO dan BN itu sendiri.

Apa Kata Lim Keng Yaik?

Presiden Parti Gerakan, Dr Lim Keng Yaik juga berpendirian sama seperti Ling Liong Sik. Pada 12 Oktober, di Kelang, Selangor, Lim Keng Yaik berkata 17 perkara yang disenaraikan oleh 11 persatuan Cina kepada kerajaan BN bukannya tuntutan pilihanraya. Menurut Presiden Gerakan: "Ia adalah aspirasi serta rayuan, dan tidak ada masa tertentu yang ditetapkan untuk aspirasi itu dipenuhi," (Utusan Malaysia, 13 Oktober, muka depan).

Akhbar UMNO Serang 17 Tuntutan Persatuan Cina

Akhbar-akhbar yang dikuasai UMNO, khususnya Utusan Melayu, segera memerangi 17 tuntutan oleh 11 persatuan Cina itu
dengan lantang. Suara Utusan Melayu adalah suara Mahathir. Semua editor Utusan Melayu yang tidak menyokong Mahathir dipecat. Editor terakhir yang dipecat ialah Datuk Johan Jaafar. Johan Jaafar dianggap memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mingguan Malaysia hari Ahad lalu, 10 Oktober, pada halaman 7, melaporkan satu wawancara Utusan dengan Datuk Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor. Laporan wawancara itu diberi tajuk besar: "Melayu pecah, Cina buat tuntutan". Akhbar itu merumuskan pandangan Datuk Harun Idris, iaitu 17 tuntutan pilihanraya itu sebagai permintaan yang boleh merosakkan
perpaduan kaum di negeri ini.

13 Mei Ditimbulkan Semula

Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi tahu bahawa pemimpin-pemimpin UMNO yang memimpin kerajaan sekarang tidak boleh kelihatan terlalu lantang menentang tuntutan 11 persatuan Cina itu. Risikonya tinggi dari segi undi Cina terhadap BN.

Jadi mereka menggunakan taktik "tendangan indirect". Utusan Melayu dan pemimpin-pemimpin UMNO di luar kerajaan seperti Datuk Harun Idris digunakan sebagai meriam untuk melepaskan tembakan. Tetapi taktik ini juga menimbulkan masalah sebenarnya kepada UMNO dan BN. Isu Peristiwa 13 Mei dikatakan ditimbulkan oleh Marina Yusof, yang pernah membela Datuk Harun dahulu.

Imej Datuk Harun di kalangan pengundi Cina sebenarnya tidak menguntungkan BN. Datuk Harun menjadi liabiliti sebenarnya
kepada UMNO dan BN dalam menghadapi pilihanraya sekarang, iaitu ketika BN terlalu bergantung sokongan masyarakat Cina untuk berkuasa semula.

Veteran Bakar Jambatan

Seorang lagi bekas pemimpin Parti Semangat 46 - yang duduk di luar kerajaan sekarang yang rajin membakar jambatan - juga
digunakan oleh Utusan Melayu dan UMNO untuk menyerang 17 tuntutan dari 11 persatuan Cina itu. Datuk Dr Rais Yatim
menyifatkan tuntutan 17 perkara yang disenaraikan oleh 11 persatuan Cina itu kepada BN sebagai satu taktik supaya kerajaan BN akhirnya mengalah dengan tuntutan itu. (Utusan Malaysia 14 Oktober). Datuk Rais Yatim menyifatkan tuntutan itu umpama mengempang di tempat genting.

Dasar Pecah Dan Perintah Menikam BN

Isu tuntutan 17 perkara ini jelaslah satu isu besar yang sedang menggugat kestabilan dan perpaduan di kalangan UMNO, MCA dan Gerakan dalam BN. Tiga parti komponen utama dalam BN ini tidak boleh sapu isu tersebut di bawar tikar. Masyarakat Cina sedang memerhatikan. Masyarakat Melayu juga memerhatikan.

Begitulah realitinya dalam negara Malaysia, yang politiknya selama lebih 40 tahun didominasi oleh politik perkauman, yang
sengaja diinstitusikan oleh BN untuk memecahbelahkan rakyat selama ini supaya BN dapat berkuasa. Dasar pecah dan
perintah yang selama ini digunapakai oleh BN sekarang sedang menikam dirinya sendiri.

Kata Dulang, Paku Serpih

UMNO dan MCA terutamanya selama ini cuba menunjukkan bahawa dalam Barisan Alternatif, terdapat perbalahan antara DAP dan PAS tentang isu negara Islam dan Malaysian Malaysia. Tetapi kata bidalan Melayu, "Kata dulang, paku serpih; Kata orang, aku yang lebih."

Sebenarnya, UMNO dan MCA yang lebih berbalah sekarang ini. PAS dan DAP tidak ada isu besar untuk berbalah. Mereka
boleh duduk semeja. Mereka telah capai persetujuan dalam banyak hal masyarakat, ekonomi dan politik, dan juga untuk tidak
bersetuju dalam beberapa perkara seperti fahaman. Tetapi agenda yang utama bagi mereka kini ialah menumbangkan BN dengan sokongan rakyat dari semua kaum.

Siapa Kukuh, Siapa Bercempera?

Untuk itu, perpaduan PAS, DAP, PRM dan Keadilan sekarang semakin kukuh. Satu manifesto pilihanraya yang lengkap
telah siap. Pembahagian kawasan pilihanraya untuk ditandingi oleh parti-parti alternatif itu juga telah selesai diagih-agihkan. Jadi mereka sudah bersedia.

Hanya BN yang masih kucar kacir. Manifesto BN masih belum siap. Demikian kata Datuk Mohamad Rahmat, Setiausaha BN, beberapa hari yang lalu. Sekarang, isu 17 Tuntutan Pilihanraya oleh 11 persatuan Cina itu akan menjadikan BN semakin haru-biru.

Oleh pembaca MAHAFIRAUN 2020
16 OKTOBER 1999

http://members.tripod.com/mahafiraun