Pagar Diri
Di bawah ini di nyatakan cara cara atau amalan yang boleh di lakukan untuk memagar diri anda dari perbuatan
jahat tukang sihir atau pengamal ilmu hitam. Sihir mungkin tidak mengenal siapa anda.
Ia boleh menyerang anda. Ketahuilah cara memagari diri anda dari sihir dan gangguan syaitan.
Pagar Pertama (1) - Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar Madinah. Sekiranya anda tidak boleh
mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah S.A.W.
yang berbunyi: "Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan mendapat sebarang
kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu".
(Riwayat al Bukhari.)
Pagar Kedua (2) - Berwuduk sebelum tidur.
Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim
yang mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh para Malaikat sebagaimana
diperintahkan oleh Allah S.W.T.kepada mereka.
Sabda Rasulullah S.A.W: Ertinya: "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan menyucikan kamu.
Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci terlebih dahulu sebelum tidur,
melainkan ada bersamanya seorang Malaikat. Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai
walaupun sedetik untuk mengucapkan doa: 'Ya Allah! Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan bersuci.'
(Riwayat at Tabraaniy dengan sanad yang baik.)
Pagar Ketiga (3) - Mengambil berat tentang solat berjemaah.
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari
gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil
peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir
atau melakukan kejahatan lain.
Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W.telah bersabda:
Ertinya: 'Mana-mana kampung mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah
meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah
dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya.
(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang baik).
Pagar Keempat (4) - Mendirikan Solat Tahajjud untuk memagarkan diri dari sihir.
Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah-mudahkannya.Sifat mempermudah-mudahkan
bangun bersolat malam boleh memberi
ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu. Apabila syaitan telah mampu menguasai diri
seseorang, maka dirinya adalah tak ubah seperti bumi yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil
perlakuan syaitan tersebut.
Ibnu Mas'ud r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang perihal seorang lelaki yang tidur
hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam, maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda:
Ertinya: "Sesungguhnya syaitan telah kencing di dalam telinganya" (Riwayat al Bukhari dan Muslim).
Pagar Kelima (5) - Membaca doa perlindungan apabila masuk di dalam tandas.
Tandas adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia akan mencuba sedaya upaya
menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ketandas.
Di dalam sebuah buku seorang mangsa sihir telah melapurkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan
tidak membaca doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan.
Apabila Rasulullah S.A.W mahu memasuki tandas, baginda akan membaca doa perlindungan dengan
berkata: Ertinya: "Dengan nama Allah. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang
kekotoran dan gangguan syaitan". Riwayat al Bukhari dan Muslim.
Maksudnya adalah berlindung dari gangguan syaitan-syaitan jantan atau betina.
Pagar Keenam (6) - Memagar isteri selepas selesai akad nikah.
Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain,
hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:
"Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya, dan aku berlindung
dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini
ke atasku dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan
tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu
daya."
(Riwayat Abu Daud dan menurut al Albaaniy sanadnya baik).
Pagar Ketujuh (7) - Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat-ayat al Kursi dan berzikir kepada Allah sehingga terlelap.
Dalam satu hadis sahih telah menceritakan bahawa syaitan telah berkata kepada Abu Hurairah: "Barangsiapa yang
membaca ayat-ayat al Kursi sebelum tidur,dirinya sentiasa di dalam peliharaan Allah manakala syaitan
sekali-kali tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi''.
Rasulullah S.A.W. telah bersetuju dengan cerita Abu Hurairah tersebut sambil berkata:
"Ia telah bercakap benar kepada engkau, walhal ia sendiri sememangnya penipu."
(Riwayat al Bukhari).
|
|
|
|