Fobia komputer jejas masyarakat IT (13/03/2001)

Oleh: MUHD. KAMIL IBRAHIM
PERDANA Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad masih kecewa dengan tahap penggunaan komputer di kalangan rakyat Malaysia. Begitulah ringkasan berita yang disiarkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini.

Kekecewaan PM tentunya bersebab. Kita mahu menonjol sebagai sebuah negara yang ke hadapan dalam teknologi maklumat. Malah kita mahu menjadi pencetus dan peneroka yang galak bersaing dengan mereka yang sudah lama maju dalam bidang ini. Harapan PM ini bukanlah satu gagasan kosong malah disertai dengan pelan pembangunan IT yang mampu merealisasikan mimpi tersebut.

Penggunaan komputer dan kaitannya dengan sumber maklumat bersifat kesalingan. Menjadi masyarakat berilmu pada era ini memerlukan kemahiran komputer. Bayangkan senario Georges Andela (1973) yang membuat kajian tentang ledakan maklumat. Secara relatif, jika kita bermula dengan tahun 1 Masihi dengan jumlah 1 (satu) unit maklumat, maka ia memerlukan selama 1,500 tahun untuk menggandakan jumlah maklumat tersebut.

Apabila teknologi percetakan bermula pada tahun tersebut, ia mengambil masa selama 250 tahun untuk menjadi empat unit dan 150 tahun lagi untuk mencapai lapan unit. Secara mudah, pada tahun 1900 hanya terdapat lapan unit maklumat secara relatif jika dibandingkan pada tahun 1.

Bagaimanapun apabila era komputer bermula pada 1950, jumlah ini berganda hanya dalam tempoh 10 tahun, tujuh tahun dan enam tahun. Jumlah unit maklumat secara relatif pada 1973 (apabila kajian ini ditamatkan) berjumlah 128 unit. Bayangkan bagaimana dalam enam tahun terakhir kajian Georges Andela, jumlah maklumat seolah-olah meledak tanpa henti. Tentu sekali dalam era multimedia, Internet dan lebuh raya maklumat perbandingan yang dibuat oleh George Andela akan berubah sepantas perubahan teknologi komputer.

Bagaimana dengan masyarakat kita? Kenapa kita masih enggan menggunakan komputer? Marilah kita melihat pelbagai keadaan bercorak mikro untuk memahami kenapa masyarakat masih melihat `mesin bernyawa' tersebut dengan sebelah mata. Enggan didekati atau tidak menggunakannya dengan semaksimum mungkin.

Penulis melihat seorang pentadbir berada di meja tulis. Beliau menulis draf minit mesyuarat di atas helaian kertas. Barangkali kerana melakukan kesilapan, beliau mengumpul-gumpulkan kertas tersebut dan mencampakkannya ke dalam bakul sampah.

Di penjuru pejabatnya tersergam seunit komputer terkini. Pentium III 500 MHz, 64 RAM, 10 GB, 64 MB, 56K/V.90 Modem, WINDOM 2000, Integrated CD-Rom dan disambung pula dengan pencetak laser. Sambil tersenyum penulis bertanya kenapa tidak menulis terus ke dalam komputer - bukankah dapat menjimatkan masa?

Jawapan beliau ringkas: ``Nanti jurutaip tak ada kerja.''

Sama ada kenyataan itu satu bentuk gurauan atau jawapan sebenar ia bukanlah satu perkara pen-ting. Pastinya, komputer tidak digunakan dengan sebaik mungkin. Bayangkanlah jika seorang pentadbir menulis draf minit mesyuarat dan menyimpannya ke dalam cakera untuk disusun formatnya dengan gaya profesional (mungkin oleh jurutaip beliau).

Apakah kegiatan ini akan mengambil lebih masa produktiviti pentadbir tersebut? Jika ia menjadi rutin bekerja, banyak masa boleh dikurangkan daripada proses menaip, semak semula dan mengedar minit mesyuarat. Selangkah lagi, penulis dapat bayangkan bagaimana minit mesyuarat boleh diedarkan secara intranet kepada mereka yang terbabit.

Atau jika bilik mesyuarat dilengkapi dengan kemudahan komputer, ahli mesyuarat menghadap komputer sambil meneliti minit mesyuarat tanpa fail dan helaian kertas yang perlu disiapkan oleh urus setia mesyuarat. Barangkali inilah sebahagian kecil daripada keluhan PM tentang tahap penggunaan komputer yang masih jauh daripada tahap sebenar!

Seorang pensyarah sedang menyiapkan tesis sarjana beliau. Juga menulis draf pertama menggunakan pen dan kertas. Kenapa tidak terus menulis di komputer? Bukankah komputer dapat memberi penglihatan yang lebih baik, tulisan yang cantik, dapat memadamkan kesilapan atau dapat menyimpannya ketika ketandusan idea.

Penulis sampaikan pandangan ini. Beliau tersenyum dan memberi alasan, ``saya tidak dapat berfikir apabila berhadapan dengan komputer. Tambahan lagi saya tidak biasa.''

Kebiasaan atau lumrah dikaitkan dengan hadangan psikologi. Kita biasanya selesa dengan keadaan yang sudah kita lalui. Perubahan walau sekecil mana sekalipun akan berhadapan dengan rintangan. Tentu sekali anjakan minda, kemahuan dan keperluan menjadi ciri penting dalam menerapkan penggunaan komputer di kalangan masyarakat kita.

Anak-anak kecil perlu didedahkan dengan komputer, biarkan mereka bermain-main dengan komputer. Jangan takut komputer meletup atau kehilangan isi penting kerana ia sebenarnya tidak akan berlaku dengan sedikit pengawasan.

Kepercayaan bahawa komputer merupakan barang mewah sepatutnya tidak wujud jika kita ingin membudayakan penggunaan komputer. Penulis terpanggil kepada kenangan semasa di peringkat awal pengajian sarjana (PhD.). Dua minggu selepas mendaftar, penulis bertanya kepada seorang rakan yang sudah dua tahun berada di universiti tersebut tentang bagaimana hendak memindahkan data dalam talian kepada komputer peribadi.

Kenyataan beliau mengecewakan - ``Mu baru dua minggu dekat sini, aku satu tahun baru tahu nak buat.''

Sering kali, begitulah kenyataan mereka yang menganggap teknologi maklumat begitu sukar untuk diterokai. Beliau memilih jalan susah atau lambat untuk mendapatkan maklumat. Kesukaran tersebut menyebabkan wujud perasaan dalaman agar orang lain juga perlu bersusah-payah sebagaimana kesukaran yang beliau telah hadapi.

Sebenarnya komputer dengan bantuan talian, Internet atau e-mel sepatutnya dapat menjimatkan masa. Pengetahuan atau akses kepada maklumat tidak perlu disimpan secara individu (kedekut ilmu) kerana jika kita enggan memberitahu orang lain, mereka yang pakar atau tahu tentang teknologi maklumat berupaya untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki dalam sekejap masa sahaja walaupun tanpa pertolongan kita.

Kenyataan itu ada benarnya. Penulis bertanya pegawai bertugas, dan penerangan selama lima minit sudah cukup untuk penulis mengetahui segala-galanya. Penulis percaya, salah satu penyebab dapat menamatkan pengajian PhD kurang dari dua setengah tahun adalah kerana bantuan komputer.

Tentu sekali ilmu komputer atau teknologi maklumat yang dipelajari dan disimpan akan berubah dalam sekelip mata. Maksudnya, sesuatu yang kita fikir sebagai harta akan menjadi liabiliti dalam waktu yang terdekat. Kita terdampar kerana yakin mempunyai maklumat terkini, sedangkan ia sebenarnya sudah usang.

Dengan perkataan lain, dalam proses menggalakkan penggunaan komputer atau IT setiap orang perlu saling membantu. Seorang ketua perlu memberi galakan kepada kakitangannya untuk menggunakan kemudahan komputer. Seorang ayah perlu berdamping dengan anaknya bagi memberi rangsangan cinta komputer. Apatah lagi bagi seorang guru (mereka tiada pilihan) mesti menanam minat anak didik supaya tergerak untuk ``bermain'' komputer.

Persoalannya, bagaimana jika ketua, ayah atau guru itu fobia komputer? Setiap orang perlu sentiasa meneroka penggunaan komputer kerana ia bukanlah satu mesin yang membahayakan nyawa anda!

Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

E-borak bersama beribu-ribu e-kawan (13/12/2000)

Oleh: DR. MUHD. KAMIL IBRAHIM
SAYA menyangka e-borak dipenuhi dengan sekumpulan remaja yang penuh dengan kegilaan. Mempunyai budaya sendiri. Tanpa segan silu bercakap tentang seks, muzik, dan segala topik yang tidak berfaedah, atas alasan menghabiskan masa terluang. Berkawan atau berkenalan. Sekurang-kurangnya itulah tanggapan awal bila disebut chatting atau berborak melalui Internet.

Saya tergerak untuk menjalankan sedikit kajian. Melihat bagaimana budaya e-borak dalam masyarakat kita. Metodologi mudah ialah dengan memilih untuk ikut serta, berkomunikasi secara terus, melihat pergerakan pengunjung, mencatat pelbagai fakta menarik di samping berusaha sedaya upaya membina kepercayaan mereka.

Dua laman borak yang saya kunjungi di mana tapak asasnya disediakan oleh MSN (http:/communities. msn.com.my/people) dan Yahoo (http://chat.yahoo.com.). MSN Malaysia mempunyai empat bilik borak, iaitu Opis, Dating Zone, Ladies Night dan Fun Chat.

Yahoo pula terdapat dua bilik borak yang secara khusus menyebut Malaysia. Bilik tersebut adalah Kuala Lumpur Global Chat dan Malaysia Chat. Saya percaya kesemua bilik web ini disediakan oleh pengunjung Malaysia sendiri.

Bagaimanapun terdapat banyak lagi bilik borak yang boleh diterokai. Enjin carian yang berpusat di Malaysia seperti CARI (htt;//www.cari.com.my) juga mempunyai kemudahan untuk berborak. Bilik borak lain yang popular adalah seperti yang dikendalikan oleh MIRC (http://www.mirc.com). Bayangan yang boleh dibuat ialah ia umpama kedai kopi, ada di setiap bandar dan kampung. Barangkali, melalui Internet ia lebih bersifat global.

'Kamilmy:Hi', 'prettygirl:Hi,asl please'

Biasanya itulah pembuka bicara. Bahasa tersendiri. Otak pantas menterjemah apakah yang dimaksudkan dengan ASL. Mula-mula ingatkan salam perkenalan. Tapi saya cepat belajar.

'kamilmy:36 M MY u?'

Rupa-rupanya pertanyaan ringkas kepada usia (age), jantina (sex) dan lokasi. Perbualan pantas berlaku dengan penggunaan bahasa Inggeris dan Melayu mudah. Mungkin boleh dinamakan sebagai bahasa chat. Semuanya menggunakan perkataan ringkas seperti:

UR=you are.ttg=time to go. ic=I see; tq=thank you, bz=busy dan pelbagai simbol yang menarik bagi menggambarkan suasana atau juga khas untuk memberi makna.

Simbol muka tersenyum, masam, tertutup dan terbuka antara yang boleh dipaparkan melalui papan borak.

Bagi yang lebih kreatif, simbol-simbol percintaan seperti bunga, tanda cinta dan cinta berkecai boleh dihantar dengan warna-warni.

Untuk tujuan kajian, saya menggadaikan masa utama untuk e-borak ialah pada sebelah malam. Bermula pada pukul 7.30 hingga 8.30 malam, 9.30 hingga 11 malam dan 11.30 hingga 1 pagi.

Namun, bilik borak ini biasanya sentiasa berpenghuni. Dua puluh empat jam tanpa henti. Manusia silih berganti. Datang dan pergi.

Selama lima berhari memerhati skrin komputer _ melihat bilik-bilik borak Yahoo dan MSN, mencatat nama pengunjung, berbual-bual pelbagai topik, mendampingi kanak-kanak, remaja, ibu tunggal, eksekutif, doktor, pelajar, siswa dan siswi, lokasi yang berbeza seperti Singapura, Malaysia, UK, Australia, India dan Brunei _ satu kesimpulan yang mudah untuk dinyatakan, keseronokan, kelekaan dan kemeriahan e-borak terutama dalam menjalin e-kawan.

Masa yang paling popular untuk berborak ialah di sekitar 11 malam ke atas. Hampir setiap lima atau enam saat akan muncul pengunjung baru dan dalam masa yang sama akan ada yang meninggalkan bilik borak.

MSN (Malaysia Chat _ Bilik Dating Zone) pernah mencatat jumlah pengunjung seramai 147 orang pada pukul 1 pagi pada salah satu hari yang saya kunjungi.

Cara berborak terbahagi kepada tiga, pertama melalui paparan utama di mana kita akan menghantar mesej yang akan dapat dilihat oleh semua penghuni bilik, kedua melalui perhubungan terus (satu sama satu) atau istilah MSN berbisik di mana hanya pemanggil dan penerima sahaja yang dapat melihat butiran percakapan yang dihantar, dan ketiga adalah melalui mel-suara bagi mereka yang mempunyai kelengkapan yang cukup.

Apakah pemerhatian khusus yang dapat saya terokai?

Bilik-bilik borak ini sebenarnya berperasaan. Pengunjungnya menjadi manusia berani berkomunikasi, mengeluar pendapat dan melahirkan emosi secara terang-terangan. Hakikat ini tidak sukar untuk difahami.

Internet tidak memilih status, rupa paras, latar belakang dan lokasi bagi semua pengunjung. Paparan utama mengizinkan setiap orang untuk bercakap. Paling tidak pun anda boleh bercakap sendirian tanpa sebarang masalah. Tiada cap gila!

Mereka yang bercakap melalui paparan utama biasanya berborak kedai kopi. Pengunjung seolah-olah bertenggek di bawah pokok, bercakap apa yang terlintas, ketawa, mengutuk balik dan muncul kembali.

Bagaimanapun saya percaya lebih ramai yang berinteraksi menggunakan kaedah kedua iaitu secara bisikan (satu sama satu). Hasil pemerhatian dan pengamatan menun-jukkan perbualan peribadi ini akan berlangsung pada tiga peringkat.

Peringkat pertama ialah proses pengenalan. Masing-masing bermula dengan berhati-hati. Pengenalan diri tidak jelas. Hanya ASL (age, sex dan location). Barangkali peratus yang berbohong mungkin tinggi. Banyak mengelak daripada memberi. Ia lebih kepada hai dan hello.

Tahap kedua ialah tahap membina keyakinan dan kepercayaan. Sebagai contoh, ketika berborak dengan Idayu-86 (pelajar berusia 14 tahun), tahap kepercayaan berlaku serta-merta apabila saya membahaskan diri sebagai pak cik yang berusia 36 tahun.

Pertanyaan demi pertanyaan yang dikemukakan kepada saya ternyata matang berbanding dengan usia. Barangkali inilah keistimewaan perbualan secara Internet. Mereka berpengalaman, beradab dan berbudi bahasa.

Saya sempat berborak selama hampir 45 minit dengan Alex-boy (pelajar berusia 11 tahun). Perbualan lancar tanpa batasan usia. Relax dan bersahaja.

Alex boy bersendirian di rumah dan komputerlah tempat beliau bersantai. Saya melihat beliau berada di bilik borak hampir 3 jam. Entah _ saya berpendapat ia mungkin perlu dikawal.

Berbeza dengan ida-cruz (siswi di salah sebuah IPTA tempatan) dan sebilangan besar mereka yang berusia 22 tahun ke atas, perasaan curiga kepada saya jelas terbayang. Pertanyaan dijawab penuh hati-hati agar identiti sebenar tidak terbongkar.

Bagaimanapun saya sebenarnya sudah bersedia dengan pelbagai teknik psikologi bagi menarik kepercayaan mereka. Ini penting bagi memastikan jawapan yang diberikan jujur dan tepat. R _ the beauty misalnya mengaku, inilah kali pertama bercakap jujur apabila berada di dalam e-borak. Keyakinan!

Pada tahap-tahap tertentu saya perlu memperkenal diri. Rata-rata terkejut apabila dimaklumkan saya adalah Timbalan Provos dan berkelulusan PhD. Pastinya keraguan bertambah kencang. Saya syorkan supaya melawati halaman web saya (http://www.muhdkamil.asiansquare.com.) bagi mendapat kepastian. Hasilnya kepercayaan yang dicari menjadi lebih mudah. Hakikatnya _ mungkin terdapat di kalangan pengunjung yang melindungi identiti sebenar untuk selama-salamanya.

Tahap ketiga ialah kepercayaan. Ia sukar diterjemahkan. Untuk merasai bagaimana perhubungan e-borak mencapai tahap ini para pembaca perlu belayar sendiri. Internet akan menjadi saksi kepada pelbagai kegiatan. Mereka bercerita tanpa henti.

Masa berlalu pantas. Tiada apa yang akan disorokkan. Kinkinone (siswi di IPTS) misalnya, menghubungi saya untuk mendapatkan bantuan mencari bahan rujukan. Banyak berbincang tentang kejayaan pendidikan, kesukaran membuat tugasan dan cabaran belajar di IPTS.

Selain daripada itu, daripada 53 orang yang saya hubungi, 26 orang memberi nombor telefon untuk dihubungi.

Siapakah pengunjung e-borak? Pelbagai golongan. Pelajar, eksekutif, jurutera, guru doktor, akauntan dan operator kilang merupakan antara yang sempat berinteraksi.

Bagaimanapun saya mengalami sedikit kesukaran untuk bercakap dengan pengunjung lelaki. Kebanyakan enggan berbicara. Terus bye!

Cuma ada yang begitu sukar untuk memberitahu kerjaya masing-masing. Ini boleh difahami kerana ada di antara mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi di jabatan kerajaan dan swasta. Bagaimanapun ia tidak menghalang bagi mereka yang kesunyian untuk terus berkawan tanpa ikatan status sosial.

Catatan ini adalah gambaran ringkas dunia e-borak. Siapa pun tidak menyangka apabila Rand Corporation mencadangkan kepada Angkatan Tentera Amerika untuk membuat rangkaian komputer pertahanan mereka, ia meroboh sepadan dunia.

Hari ini manusia berhubung antara satu sama lain, berbicara daripada e-kedai kopi kepada e-dagang menggunakan komputer. Saya fikir, anak-anak kita akan berku-rung di bilik, ketawa berseorangan tetapi mempunyai ratusan e-kawan. Bersediakah kita!

*DR. MUHD. Kamil Ibrahim ialah Timbalan Provos Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor.


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my

Tidak seronok baca akhbar online (19/4/2000)

MASYARAKAT kita sebenarnya dalam ''kejutan'' atau ''terkejut'' dengan pelbagai istilah yang berunsurkan teknologi maklumat.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, setiap orang perseorangan, syarikat swasta dan kerajaan atau sesiapa saja yang berkemampuan berlumba-lumba dengan laman web mereka, petah dengan perkataan 'multimedia', 'universiti maya,' 'virtual' atau setidak pun mahu mempunyai 'Internet' di rumah.

Kepesatan sektor teknologi maklumat bukan kepalang laju. Saya melihat bapa mertua (pesara guru besar serta ketua cawangan UMNO) merenung dengan ekor mata pelbagai gagasan atau istilah teknologi maklumat yang terpapar dalam akhbar harian.

Soalnya, adakah beliau faham atau lemas, atau menganggap isu-isu yang ditulis tidak perlu diberi perhatian.

Saya pernah mengajak beliau membaca akhbar secara online. Yang pasti, ia sesuatu yang janggal. Tiada keseronokan seperti membaca akhbar secara tradisional. Tidak sama antara menggerakkan tetikus dengan membelek setiap helaian akhbar sambil bersantai di ruang tamu. Atau kalau boleh diibaratkan seperti ibu dan ayah yang sudah biasa berkampung halaman dengan kehijauan, flora dan fauna, ayam dan itik, lalu diajak tinggal di kondo oleh anak dan menantu!

Barangkali perasaan ''ketakutan'' pada komputer, Internet atau teknologi boleh dikaitkan dengan hadangan psikologi manusia yang lebih besar seperti cabaran menangani perubahan. Itulah hakikat yang perlu ditampung oleh rakyat Malaysia bagi menghadapi era ''e'' dalam kehidupan mereka.

Sanggup untuk berubah dan bersedia pula menerima ilmu baru. Anak-anak yang masih kecil jangan dihalang daripada meneroka komputer. Biarkan mereka mencuba melayari alam maya Internet dengan sedikit pengawasan. Mencuba pelbagai perisian yang bakal mengasuh mereka sebagai generasi celik komputer.

Sebenarnya, dunia keseluruhan meledak dengan penggunaan komputer dan Internet. Mengikut Dr. S. Dublish (2000) di Kongres Pertama Pengurusan e-dagang, suasana ledakan ini bukanlah sesuatu yang tidak luar biasa jika dibandingkan dengan lain-lain kejutan. Dibandingkan dengan perkembangan media yang lain, penggunaan Internet telah berjaya menarik minat hampir 100 juta pengguna hanya dalam masa empat tahun. Televisyen dan radio masing-masing mengambil masa 14 dan 40 tahun hanya untuk menarik minat 50 juta pengguna.

Bersediakah kita untuk menghadapi era ''e'' ini? Atau menggunakan pertanyaan lain, fahamkah kita dengan perkataan yang bermula dengan huruf ''e'' ini?

Barangkali kita tidak benar-benar terasing dengan perkataan e-bisnes (e-business), e-dagang (e-commerce), net-shopping, online ratailing, e-kebudayaan (e-culture), e-usia (e-age), online news dan pelbagai istilah lain yang menggambarkan betapa luasnya minat terhadap penggunaan komputer dan Internet dalam dunia perniagaan.

Dalam bahasa mudah, perniagaan yang menggunakan Internet boleh dikaitkan dengan terma ''E-Dagang'' atau Net-Shopping. Bagaimanapun, kegiatan perniagaan Internet bukanlah semata-mata berorientasikan pembelian.

Menurut D. Andrus (2000, E-Commerce Strategies and Innovative Companies, University of Calgary), terdapat banyak perniagaan Internet yang hanya berfungsi sebagai pengurusan inventori, pengurusan pangkalan data pelanggan dan pembangunan produks baru.

Dalam konteks yang sama, Archer dan Gebauer (1999, Managing in the Contex of the New Electronic Marketplace, McMaster University) menamakan perniagaan menggunakan Internet sebagai ''pasar elektronik'' di mana pembeli dan pembekal berjumpa dan bertukar maklumat berkaitan harga, barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dalam masa yang sama akan wujud faktor tawar-menawar bagi melengkapkan urus niaga perniagaan.

Dengan lain perkataan, e-dagang merangkumi dua aspek besar, iaitu perhubungan antara bisnes dengan bisnes dan antara bisnes dengan pelanggan. Soalnya, apakah keistimewaan atau perbezaan antara pasar elektronik berbanding dengan perniagaan bercorak konvensional?

Secara umumnya, pasar elektronik boleh mengurangkan kos mendapat dan menyampaikan maklumat berkaitan harga, barangan dan perkhidmatan.

Pelbagai kajian yang telah dijalankan menunjukkan harga barangan dan perkhidmatan dapat dikurangkan antara 5 hingga 10 peratus akibat perlupusan orang tengah, pengurangan tempoh tempahan sehingga 50 hingga 70 peratus, di samping pengurangan kos tempahan sehingga 70 peratus bagi setiap tempahan dan penambahbaikan terhadap sistem inventori syarikat.

Tidak hairanlah kalau pasar elektronik mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan mampu pula mengambil alih kaedah konvesional dalam beberapa tahun yang akan datang. Sekadar menunjuk beberapa contoh, di Kanada, pembelian melalui Internet dianggarkan bernilai CAN$700 juta menjelang penghujung tahun 1998. Jumlah ini dipercayai akan meningkat sehingga tiga kali ganda menjelang penghujung tahun ini.

Sebenarnya perhubungan antara bisnes dengan bisnes menjana pendapatan yang lebih besar berbanding perniagaan antara bisnes dengan pelanggan (online retailing).

Di Kanada, perhubungan ini menghasil pendapatan yang dianggarkan bernilai CAN$4.6 bilion mewakili 86 peratus daripada pendapatan perniagaan yang menggunakan pasar elektronik. Tentu sekali pendapatan ini akan berkembang pesat sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dunia pada masa ini.

Perkembangan e-dagang di Amerika Syarikat lebih mengghairahkan. Ia mencapai tahap ''boom'' seawal tahun 1997 di mana 19 peratus daripada rakyat Amerika yang melayari Internet telah melakukan pembelian. Statistik ini meningkat hampir dua kali ganda dalam tahun 1999.

Menurut Dr. S. Dublish (2000), pendapatan untuk musim percutian 1999 sahaja dianggarkan bernilai antara AS$3.3 bilion hingga AS$36 bilion meningkat 145 peratus daripada tahun 1998. E-retailing atau perniagaan secara elektronik ini dijangka menguasai 6 peratus daripada pembelanjaan pengguna rakyat Amerika menjelang tahun 2003.

Sebenarnya perniagaan secara elektronik ini dirasakan akan menjadi budaya hidup masyarakat dunia menjelang tahun-tahun mendatang. Pengguna akan menjadi lebih selesa untuk belayar, membuat pemilihan, tempahan dan bayaran melalui alam siber. Tanpa perlu berbaris dan bersesak-sesak di jalan raya.

Sebelum ia menjadi satu budaya, syarikat perniagaan perlu bersiap dan bermula daripada sekarang. Perhati dan amati perkembangan tren perniagaan e-dagang yang mampu mencetus kejayaan yang lebih baik.

Melalui pelbagai kajian, antara ramuan yang sudah dikenal pasti boleh menjamin ''Kedai Web'' atau Supermarket Web mencapai kejayaan adalah seperti berikut:

* Binalah laman web dengan menggunakan pendekatan yang mudah, iaitu mudah dilayari, teratur, kemas dan menarik.

* Pastikan laman web kita dapat dilayari dengan cepat dan pantas. Kajian menunjukkan halaman yang mempunyai berat 100K mengambil masa lebih 20 saat untuk download. Kajian juga menunjukkan lebih daripada satu pertiga pelayar akan meninggalkan laman web jika ia melebihi 8 saat untuk di download.

* Membina kepercayaan pelanggan. Kajian menunjukkan hampir 58 peratus pelayar laman web tidak mempercayai keselamatan untuk melakukan urus niaga melalui Internet. Kepercayaan ini akan dapat di pertingkat jika dapat melahirkan laman web yang dapat membina jenama produks secara jangka panjang, e-kemesraan dan e-kualiti.

* Laman web juga perlu mempunyai arah aliran yang tidak akan menyebabkan pelanggan hilang dalam kekeliruan produks dan perkhidmatan. Laman web harus mesra pengguna. Jika tidak ia boleh diibaratkan seperti mengunjungi kedai yang mempunyai jurujual yang sombong dan tidak membantu.

* Laman web yang dibina juga mampu memanggil pelanggan yang sudah berulang kali mengunjungi kedai web kita. Perasaan dihargai, dihormati dan diingati akan menjadi lebih terkesan melalui dunia siber yang biasanya dikaitkan dengan nombor semata-mata.

* Perkhidmatan Pelanggan yang berkesan juga memainkan peranan besar dalam dunia pasar elektronik. Ini dapat dilakukan dengan membuka talian langsung (e-perkidmatan pelanggan) yang berilmu dan mesra pengguna sepanjang perniagaan. Ertinya e-perkhidmatan pelanggan perlu beroperasi setiap saat, 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Apakah haluan perniagaan alaf baru ini sedia disambut oleh rakyat Malaysia? Sekurang-kurangnya suasana di Malaysia ''mendedahkan'' rakyatnya dengan perkembangan ''e''. Kita bernasib baik kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mempunyai pelbagai pendekatan bagi menyahut fenomena ini.

* Serambi Multimedia, umpamanya telah membuka mata rakyat betapa kita sebenarnya sedang bersiap sedia untuk melangkah dengan bergaya. Persoalannya - mahukah kita atau bolehkah kita?

* DR. MUHD KAMIL IBRAHIM, Timbalan Provos, Universiti Teknologi Mara, Cawangan Segamat, Johor.

Laman Utama HEA UiTM Kampus Segamat

© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my

Dedah akaun pelanggan perlakuan tak bermoral (24/3/2000)

KERAJAAN negeri Melaka atau sesiapa sahaja berhak berasa tersinggung dan marah jika transaksi kewangan mereka dibocorkan kepada umum oleh kakitangan bank.

Pihak bank atau mana-mana syarikat perniagaan sebenarnya bertanggungjawab penuh terhadap tindakan mana-mana kakitangan mereka yang didapati memusnahkan nilai dan etika syarikat terutamanya yang melibatkan pihak pelanggan.

Tindakan kakitangan tersebut tampak lebih berat jika ia menyebabkan tercetusnya pelbagai kesan sampingan. Dalam keadaan biasa, pengurusan bank sepatutnya telah mengambil tindakan awal seperti audit operasi atau audit pengurusan sejurus mereka tercium tindakan yang telah dilakukan oleh kakitangan mereka. Keadaan ini bukanlah satu isu keterlaluan kalau dipandu dengan beberapa kes lain di mana pembocoran maklumat ini berlaku atau tersebar melalui Internet.

Setiap pekerja seharusnya memastikan tindakan atau perbuatan mereka mempunyai sempadan jelas antara kepentingan dan keperluan peribadi berbanding dengan pelbagai peraturan, nilai dan etika tempat mereka bekerja. Kegagalan menerapkan nilai profesionalisme dalam pekerjaanlah yang menyebabkan kakitangan terpesong atau melatah dengan tindakan yang tidak rasional.

Sebenarnya, tindakan kakitangan bank yang mendedahkan transaksi kewangan pelanggan merupakan satu tindakan tidak beretika dan bermoral walaupun disertai dengan pelbagai alasan. Kelakuan manusia yang negatif seperti ini wujud dalam setiap kegiatan masyarakat. Penyataan ini boleh diwajarkan jika kita melihat bagaimana masyarakat menilai sesuatu tindakan mereka. Sama ada benar atau salah tindakan seseorang itu biasanya disertakan dengan pelbagai alasan.

Pertama, benar atau salah tindakan seseorang itu bergantung pada kesan tindakan tersebut. Manusia biasanya akan mengemukakan pertanyaan berikut bagi membenarkan tindakan mereka. Adakah kesan tindakan itu baik ataupun buruk?

Kedua, benar atau salah tindakan seseorang itu bergantung pada motif orang yang membuat tindakan tersebut. Tindakan yang berniat baik walaupun memberi kesan yang buruk dianggap tindakan yang bermoral dan beretika. Motif juga dikaitkan dengan tugas - saya melakukan sesuatu kerana tugas memerlukan saya bertindak sedemikian - soal baik, buruk, benar atau salah tidak timbul.

Ketiga, benar atau salah tindakan seseorang itu bergantung pada tanggapan dalaman individu. Seseorang yang sudah mempunyai suatu tanggapan terhadap tindakan yang akan dilakukan tetap akan mempercayai bahawa tindakannya itu benar tanpa mengambil kira kesan atau motif yang ada daripada tindakan tersebut.

Bagaimanapun, ketiga-tiga keadaan di atas memberi ruang kepada manusia untuk bertindak berdasarkan kepentingan diri sendiri. Sebagai contoh, tindakan membocorkan rahsia pelanggan dengan andaian memberikan keuntungan kepada pihak lain yang disokong dianggap munasabah dan boleh diterima.

Hakikat sebenar, kakitangan mana-mana syarikat atau sesiapa sahaja perlu memegang teguh aspek kerahsiaan yang menjadi tunjang tahap keprofesionalisme seseorang pekerja.

Setiap kakitangan diharapkan mampu bertanggungjawab untuk menahan diri daripada mendedahkan sebarang maklumat sulit di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kecuali dibenarkan oleh pihak yang mempunyai kuasa dan yang terikat dengan peruntukan undang-undang, memaklumkan kepada kakitangan bawahan aspek kerahsiaan di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab serta membuat kawalan yang berpatutan dari semasa ke semasa dan menahan diri daripada menggunakan segala maklumat sulit yang telah diperolehi semasa menjalankan tugas untuk kepentingan peribadi.

Bagi meningkatkan tahap keprofesionalisme di kalangan pekerja, kakitangan perlu mengamalkan sifat ketulusan, seperti mengelak daripada terbabit dengan sebarang konflik kepentingan dan perlu pula menasihat semua pihak yang terlibat tentang dan kemungkinan kepentingan tersebut.

Dalam dunia pekerjaan, biasanya kita cepat lupa apabila berhadapan dengan proses membuat pilihan. Sebagai contoh, kita sering gagal untuk meletakkan keutamaan yang sebenar ketika membuat keputusan terutamanya apabila dikaitkan antara tempat mencari rezeki dengan kepentingan lain. Tindakan yang mementingkan organisasi luar tempat kerja sehingga sanggup menggadai pelbagai nilai dan etika tempat kerja merupakan gambaran bagaimana kita keliru dengan tindakan kita sendiri.

Dari sudut yang berbeza, tindakan luar batasan kakitangan yang boleh menghilangkan keyakinan pelanggan akan memberi kesan buruk terutamanya untuk jangka panjang. Pelanggan yang hilang keyakinan akan berundur serta- merta dan sukar untuk dipujuk kembali apatah lagi jika ia mempunyai pelbagai pilihan lain. Sebab itulah setiap kakitangan perlu memikirkan secara matang sebelum mengambil sebarang tindakan yang negatif. Cerita-cerita negatif ini akan berpanjangan dan mampu pula menghilangkan nilai muhibah yang telah terbina sekian lama.

Seorang kakitangan yang bersikap profesional mampu menahan diri daripada terlibat dengan sebarang kegiatan yang boleh secara prejudis menjejaskan keupayaan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Biasanya mereka akan enggan menerima sebarang pemberian yang boleh atau nampak seolah-olah mempengaruhi sebarang keputusan yang bakal dibuat apatah lagi untuk turut serta sama ada secara aktif atau diam-diam dalam menggagalkan objektif syarikat yang telah ditetapkan secara perundangan atau etika.

Tentu sekali pandangan yang dikaitkan dengan nilai dan etika murni sukar untuk diterjemah dalam kehidupan manusia selagi manusia itu sendiri bertindak berdasarkan kepentingan peribadi atau pun perhitungan berasaskan kepercayaan sempit.

Bagaimanapun, peraturan Hobbes yang berbunyi quod tibi fieri non vis, alteri ne feceris boleh diambil iktibar. Ungkapan popular dalam pengajian ekonomi politik dan etika perniagaan ini bermaksud - jangan lakukan sesuatu yang anda tidak mahu orang lakukan kepada anda - tentu sekali kita tidak akan membocorkan rahsia pelanggan atau memberi kesusahan kepada majikan kita. - DR. MUHD. KAMIL IBRAHIM, Timbalan Provos, Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi Mara, Kampus Segamat.

Laman Utama HEA UiTM Kampus Segamat

© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my

Keuntungan bukan segalanya (4/3/2000)

BAGI syarikat perniagaan besar, pengasingan kuasa di antara pemegang saham dan pihak pengurus berpaksi kepada prinsip untuk memaksimumkan kekayaan pemodal yang akan diikuti dengan ganjaran kewangan seperti kenaikan pangkat, bonus dan kuasa yang lebih besar.

Natijahnya, keseluruhan kegiatan dijuruskan bagi memastikan syarikat mendapat pulangan yang tertinggi walaupun kadangkala terdapat pelbagai unsur yang bertentangan dengan etika dan moral.

Pandangan klasik ini tentulah sama ada dengan tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa hanya terdapat satu tanggungjawab sosial dunia perniagaan iaitu menggunakan segala sumber yang ada bagi melakukan pelbagai kegiatan yang bertujuan untuk mempertingkatkan keuntungan selagi ia mematuhi peraturan perniagaan dalam pertandingan bebas dan terbuka serta tanpa penipuan dan penyelewengan.

Aliran pemikiran ini merupakan pandangan kapitalis yang melihat kewujudan dunia secara berasingan tanpa memikirkan kesan kegiatan perniagaan yang mungkin melibatkan pelbagai kombinasi sampingan.

Suasana ini sebenarnya lahir daripada andaian dan kemahuan yang keterlaluan terutamanya berteraskan kebebasan mutlak. Konsep berhujah, bebas untuk berpolitik dan bebas segalanya sehingga mencantas soal emosi dan kemanusiaan seperti moral dan etika.

Satu pandangan yang menjadi tunjang pemikiran kapitalis ialah dengan memaksimumkan keuntungan perniagaan, secara tidak langsung akan membantu mempertingkat perkembangan ekonomi. Peningkatan ekonomi yang akan diikuti dengan peningkatan kekayaan kewangan dijangka akan membawa kesejahteraan kepada masyarakat.

Bagaimanapun, pandangan ini menimbulkan pertentangan yang meragukan terutamanya kaitan antara peningkatan ekonomi dengan kesejahteraan masyarakat.

Aliran kapitalis telah melahirkan manusia yang bersifat tamak haloba dan berpaksi kepada kepentingan diri akibat bebas melakukan apa saja. Kombinasi pelbagai sifat ini amat sukar diarahkan kepada kebajikan sosial masyarakat di mana akan mengakibatkan jurang pemisah antara yang kaya dan miskin dalam sesebuah masyarakat.

Peningkatan pendapatan yang biasanya diukur sama ada dengan pendapatan peribadi, keuntungan syarikat atau keluaran Negara kasar (KNK) biasanya tidak mengambil kira kualiti kehidupan, kesihatan, kegembiraan masyarakat ataupun penggunaan kegiatan kerohanian ataupun kualiti perhubungan antara masyarakat.

Ukuran kekayaan dalam masyarakat mempunyai pelbagai kekurangan seperti seperti pencemaran alam sekitar dan peningkatan kemalangan jalan raya tidak dilihat sebagai pengurangan kepada kekayaan tersebut dan

Kenaikan kekayaan kewangan tidak dikaitkan secara langsung dengan pembahagian kekayaan. Walaupun secara keseluruhan ukuran kekayaan didapati, ia tidak mengurangkan jurang perbezaan antara negara membangun dengan tidak membangun. Lebih teruk lagi jika kekayaan ini diambil hasil penindasan kepada negara yang belum membangun sama ada secara nyata ataupun tidak.

Pandangan memaksimumkan keuntungan kepada pemodal menyebabkan dunia perniagaan tidak akan mengambil kira kesan yang akan timbul terhadap dunia luar, asalkan tindakan itu menghasilkan keuntungan kepada mereka. Dalam kebanyakan amalan ini hanya mengambil kira nilai dan faktor ringgit semata-mata.

Dalam kehidupan harian, setiap tindakan dunia perniagaan tentunya akan memberi kesan kepada anggota masyarakat yang lain. Sebagai contoh, dengan membuka sebuah pusat cakera laser tentunya akan menghasilkan pulangan lumayan kepada pengusaha. Pada masa yang sama akan wujud peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan seterusnya dapat membantu mengurangkan masalah pengangguran.

Namun begitu, pusat seperti ini akan mendedahkan remaja kepada dunia hiburan yang tidak terkawal. Pengusaha biasanya berusaha menarik minat pengunjung dengan menayangkan filem ganas dan berunsurkan seks tanpa tapisan.

Di sebalik keuntungan kewangan yang diperolehi, perniagaan ini juga menimbulkan pelbagai gejala sosial yang kurang sihat, seperti keganasan dan pendedahan seks yang tidak bermoral. Mungkin juga tidak keterlaluan untuk mengandaikan beberapa kemungkinan gejala sosial lain akan timbul bermula daripada pusat hiburan ini jika faktor moral dan etika tidak dititikberatkan.

Dalam kes yang lain, dunia perniagaan biasanya berlumba-lumba mengejar keuntungan yang berlipat ganda tanpa mengambil kira kesannya terhadap masyarakat dan alam sekitar. Pembalakan di bukit bukau mengaut keuntungan yang berlipat ganda melalui penipuan terhadap pengguna, pemasaran yang menggunakan kanak-kanak dan wanita dan bermacam-macam lagi adalah manifestasi nilai dan pandangan manusia terhadap faktor keuntungan tersebut.

Dalam konteks inilah kita berharap dunia perniagaan akan lebih beretika dan bermoral agar dunia perniagaan itu sendiri lebih harmoni dan mengutamakan masyarakat pengguna secara lebih luas. Kita berharap syarikat perniagaan mengeluarkan barangan yang selamat, boleh dipercayai dan berguna.

Kempen pengiklanan seharusnya dilakukan sebagai pemberi maklumat dan bukannya sebagai medan untuk mengeksploitasikan wanita dan kanak-kanak. Sebenarnya pengiklanan yang berasaskan keperluan untuk meningkatkan jualan dan keuntungan akan memberi isyarat kepada pemesongan moral dan etika.- DR. MUHD KAMIL IBRAHIM, Timbalan Provos Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi Mara, Kampus Segamat.


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my

Laman Utama HEA UiTM Kampus Segamat

Bergabung untuk hadapi bank asing (19/2/2000)

Oleh: MUHD. KAMIL IBRAHIM
PENGISYTIHARAN 10 bank peneraju akan memantapkan lagi sistem kewangan negara bagi menghadapi cabaran alaf baru. Perkembangan ini bukanlah satu perkara terasing. Pemerhatian di Eropah dan Amerika Syarikat menunjukkan bilangan bank dan institusi kewangan yang lain mengalami penyusutan besar sejak 10 tahun kebelakangan ini melalui penggabungan dan pengambilalihan.

Bilangan bank di AS susut 30 peratus sepanjang dekad ini. Penggabungan mungkin dilihat sebagai trend besar dalam industri perbankan. Fenomena ini mungkin tampak berbeza dan ganjil berbanding masa lampau. Pandangan ini nampak benar jika kita melihat industri ini tidak banyak mengalami perubahan drastik pada peringkat awal abad ini.

Cuma, sejak 20 tahun kebelakangan ini perubahan secara berkala mula berlaku tanpa begitu dihebahkan.Pada peringkat awal, industri perbankan beroperasi berdasarkan beberapa prinsip asas yang membentuk kelakuan dan budaya industri. Pertama, pihak penguatkuasa (kerajaan) lebih berminat melihat kepada sistem kewangan yang stabil daripada kecekapan dan kelakuan persaingan natijahnya, pihak kerajaan biasanya menggerakkan pelbagai peraturan yang ketat terhadap bank.

Kedua, peruntukan dalam perkhidmatan kewangan biasanya mengikut segmen tertentu di mana setiap institusi perbankan mempunyai keistimewaan tersendiri.

Ketiga, pihak bank beroperasi dalam persekitaran kadar faedah yang telah diperundangkan, sama ada ia aset liabiliti. Terdapat juga negara yang memberi batasan bilangan operasi yang boleh dijalankan oleh pihak bank.

Keempat, operasi bank biasanya dijalankan berdasarkan geografi yang jelas di samping kegiatan intra-bank masih belum dibangunkan.

Bagaimanapun, pertengahan tahun 70-an menyaksikan industri perbankan menghadapi ketegangan. Kadar inflasi dan faedah yang tinggi telah mengurangkan perimbangan persaingan di antara bank dan mengundang persaingan daripada organisasi luar industri.

Di sebalik itu, pelbagai perubahan lain seperti peningkatan kekayaan dan perkembangan rancak teknologi maklumat menyumbang kepada perubahan besar industri perbankan. Teknologi maklumat menyebabkan kos rutin urus niaga dapat dikurangkan dengan banyak dan mampu pula memperkembangkan kepelbagaian produk serta memberi nilai tambah yang tinggi kepada pengguna. Peranan bank juga sudah mula berubah. Kalau dulu bank dilihat sebagai orang tengah antara peminjam dan pemberi pinjaman.

Kini, ia juga bertindak sebagai fasilitator kepada pemindahan risiko.Bagaimanapun, perubahan paling besar ialah kegiatan yang bersifat global seperti pembiayaan kewangan luar sempadan, sistem kewangan pesisiran pantai dan pengoperasian di luar negara.

Kesan nyata, perkembangan ini menyaksikan usaha sama antara negara yang mencakupi masalah pengawalan dan pemantauan. Perkembangan yang dijelaskan di atas menjurus kepada keperluan industri perbankan yang mampu bersaing, mempunyai asas kukuh dan berdaya maju. Dalam konteks inilah kegawatan ekonomi harus dilihat daripada sudut positif. Penilaian semula sistem kewangan negara, kelakuan industri dan keperluan yang bersifat futuristik diambil segera.

Mempunyai 71 institusi perbankan dengan 2,712 cawangan dalam sebuah negara kecil mengarah kepada banyak pembaziran tenaga. Banyak kos dapat dijimatkan melalui pengecilan bilangan institusi kewangan yang beroperasi kerana penumpuan sebenar dapat dijuruskan secara total.

Dalam konteks inilah penggabungan dan pengambilalihan menjadi alat yang mampu memanfaatkan institusi perbankan secara keseluruhan. Bank Negara telah menggariskan sebab utama penggabungan bank perlu dilakukan di Malaysia.Melalui penggabungan, institusi perbankan tempatan diharap mampu menghadapi cabaran dan tekanan akibat persaingan global.

Hal ini tentunya menjadi lebih kritikal apabila pasaran kewangan negara sedang menghadap tekanan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk dibuka kepada luar. Keperluan untuk mampu bersaing maju, bersifat global dan berdaya juang yang tinggi merupakan satu keperluan alaf baru.

Pakar-pakar sudah menggariskan beberapa perkara mengapa sesebuah negara perlu mempunyai bank teras yang besar. Antaranya:

Pertama, sebagai pembiayaan kewangan utama kepada sektor industri dan mampu pula merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan

Kedua, sebagai pemain utama ketika berhadapan dengan kemelut kewangan.

Ketiga, sebagai penyumbang untuk mempertingkat tahap kecairan pada masa kritikal.

Keempat, digunakan sebagai mekanisma pembiayaan kewangan kerajaan kepada sesetengah kegiatan seperti subsidi dan kredit perniagaan.

DR. MUHD KAMIL IBRAHIM ialah Timbalan Provos HEA Universiti Teknologi Mara Kampus Segamat.


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my

Laman Utama HEA UiTM Kampus Segamat