Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

PUISI-PUISI SAUDARI RUZAINI YAHYA

 

LUKA

Ada luka di hujung jari
tertusuk bisa duri
darah menitis
kalbu menangis.

Ada luka membelah sukma
hati calar
dada pedih
guratan luka bersilang tindih

Luka..
mengapa ada luka dalam luka
luka dalam fikir
dalam akalminda
luka merekah

Bagaimana harus luka ini kuubati?

Zai99Jan
PPPBM,Muar


PEREMPUAN YANG TERLUKA

Ada perempuan yang terluka
merenung wajah menerusi kaca pecah

Akulah perempuan
yang sering terluka ketika
menerobosi ruang waktu
perjalanan makin sempit
untuk aku memilin rindu
padasebuah kenangan lalu.

Akulah perempuan yang
mengetuk duka dari pintu nurani
menyimbah perit tangisan rasa
menyentuh dinding iman dan takwa.

Akulah perempuan yang
bangun dari resahrebah
menyuntik maruah dari dada merdeka
mandiri dengan visi dan cita.

Zai 99
PPPBM, Muar


MAAFKAN...KITA HANYALAH MANUSIA

Maafkan...
kerana kita adalah suami
yang terkadang egois
kepada isteri
yang terkadang romantis kepada gadis
yang terkadang terpaksa
meraih cinta sementara
buat pengisi sepijiwa
diseketika perjalanan.

Maafkan...
kerana kita adalah isteri
yang terkadang lupa
milik suami
yang terkdang pentingkan
harga diri
namun setia isteri
teruji di sini.

Maafkan...
kerana kita adalah bapa
adalah ibu
yang terkadang gagal menyemai
benih kasih
yang terkadang membiarkan mereka
terkapa-kapa
dalam perjalanan panjang
merentasi lautan waktu
yang luas tanpa sempadan.

Maafkan...
kerana kita adalah anak
yang terkadang lupa pada
orang tua
yang terkadang menitip khabar
tanpa warta
dan mereka terkadang rindu
kasih kita.

Maafkan...
tidak kita salahkan sesiapa
kerana kita adalah insan
bernama manusia dan lemah
yang dicipta dengan akal
yang dicipta dengan nafsu.

Maafkan...
kerana terkadang akal menjadi nafsu
kerana terkadang nafsu menguasai akal
kerana kita adalah manusia lemah
yang sering terlupa kepadaNya.

Maafkan...kerana kita bukan malaikat yang khalis
yang bebas dari kiraan dosa
yang suci jiwa dan nurani
yang tunduk dan taat padaNya
setiap detik dan
setiap saat berketik.

Maafkan...
Ya! Khalikalalam Khalikalbahri
kerana kami hambaMu yang lemah
tunjuki kebenaran
dan tautkan iman yang merekah
lewat usia yang rapuh
pada kembarawaktu
mencari diriMu
dalam cahaya taqwa
seorang insan.

Maafkan..
Maafkan..
Maafkan..!!

Zai97
Muar.



BIODATA SAUDARI RUZAINI YAHYA