Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

INTELEKTUAL MELAYU ALAF BARU SUDAH CUKUP ?

H.M.Jajuli

Pada zaman pra kemerdekaan, para nasionalis Melayu membangkitkan isu
bahawa orang Melayu telah dilayan buruk oleh British dan anak-anak
Melayu telah didiskriminasikan dalam mencari ilmu pengetahuan. Orang
Melayu sengaja ditinggalkan di belakang kaum yang lain oleh Inggeris.
Orang Melayu dihasut supaya tidak tertarik pada pendidikan keduniaan ala
British tersebut. Hanya segelintir anak Melayu yang berpeluang masuk
ke Universiti Oxford atau Cambridge untuk menjaga kepentingan Inggeris.

Hasilnya hanya sedikit orang Melayu yang berijazah pertama, dan
langsung tidak ada orang Melayu yang bergelar doktor falsafah. Dalam
sejarah pendidikan negara kita disogokkan dengan cerita yang negatif
tentang prestasi pelajar Melayu, antaranya kononnya bahawa Lee Kuan
Yu,daripada kaum Cina pernah menjadi Perdana Menteri Singapura, adalah
pelajar terbijak di Cambrigde University sementara Tunku Abd Rahman,
dari kaum Melayu menjadi lambang pelajar Melayu yang joli bertaraf
pelajar gred 3 di Oxford University.

Orang Melayu bukan sahaja tertinggal dalam mengejar kecemerlangan di
Universiti, mereka juga ketinggalan dalam bilangan. Orang Melayu yang
memiliki ijazah pertama amat sedikit berbanding dengan kaum lain.
Lebih-lebih lagi dalam bidang seperti Kejuruteraan, Kedoktoran, dan
bidang profesional yang lain. Statistik sering ditunjukkan kepada umat
Melayu berhubung dengan kemerosotan ini.

Zaman Tunku tidak banyak membawa perubahan dalam mengimbangkan
kedudukan pendidikan Melayu dengan bukan Melayu. Zaman Tun Razak, usaha
lebih ditumpukan kepada pembinaan dasar pendidikan kebangsaan dan dasar
bahasa pengantar di sekolah dan Universiti. Kesan dasar tersebut
beberapa Universiti baru lahir anatara tahun 1970 hingga 1980.Anataranya
USM, UKM, UPM, UTM di samping ITM.

Pembinaan universiti memakan masa yang lama dan juga wang yang
banyak. Kakitangan akademik terpaksa dilatih dengan segera untuk
memenuhi jawatan-jawatan pensyarah dan profesor yang akan menjadi
tunjang kepada Universiti. Dan ternyata, unibversiti yang dinangunkan
itu tidak dapat menyambut kehendak negara. Insititusi tersebut tidak
dapat diisi oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada ilmuan yang ulung
dan terbilang dalam sesuatu bidang. Jumlah pensyarah yang terhad juga
menjadi penghalang untuk melahirkan graduan yang ramai. Semua
universiti yang dibangunkan tersebut terdiri daripada unibversiti
"pendidikan " iaitu universiti yang berfungsi untuk menurunkan ilmu
daripada buku teks yang ditulis oleh orang lain kepada pelajar. Tidak
ada satupun daripada universiti tersebut yang merupakan universiti
"penyelidikan". Hal ini agak maklum kerana selain daripada baru berusia
setahun jagung, tugas utama universiti ialah untuk mendidik bangsa
Malaysia, bukan untuk memburu kecemerlangan dalam intelektual.

Di negara asing, seperti Amerika Syarikat terdapat universiti
pendidikan dan universiti penyelidikan. Universiti pendidikan hanya
berfungsi mengeluarkan tenaga manusia yang terlatih dalam ilmu-ilmu
yang biasa. Berbeza dengan universiti penyelidikan, mereka diajar oleh
tenaga pengajar yang mempunyai keistimewaan seperti telah membuat
penemuan-penemuan tertentu dalam bidang-bidang tertentu, dan mereka
mengajarkan "ilmu baru" tersebut kepada pelajar-pelajar. Graduan dari
universiti penyelidikan ini dipandang lebih tinggi dan prestig
dibandingkan dengan universiti pendidikan.

Prestasi universiti tempatan yang tidak menyenangkan terhadap bilangan
graduan yang dilahirkan oleh universiti tempatan yang pada masa itu
rata-rata mempunyai pelajar sekitar 3000 pelajar, dirasakan amat
merugikan negara yang memerlukan tenaga intelek yang banyak. Universiti
tempatan juga kurang berkesan melaksanakan penyusunan semula
keseimbangan intelektual antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Ahli politik mahukan supaya keterbelakangan jumlah orang Melayu diatasi
dengan segera. Maka itu kita melihat tahun 1980-an,era Mahadir,
merupakan titik tolak kerajaan menghantar anak-anak Melayu ke luar
negara. Kerajaan telah megumpulkan segala sumber kewangan yang ada
untuk menghantar pelajar-pelajar yang terbaik dikalangan orang Melayu
ke luar negara,terutama ke England, Amerika Syarikat, Kanada dan
Australia.

Daripada sekina ribu pelajar Melayu yang dihantar ke luar negara,
terdapat beberapa pelajar yang terpilih untuk memasuki universiti elit
atau yang ternama , yang sukar dimasuki oleh pelajar-pelajar mana pun.
Kemampuan pelajar Melayu memasuki univeriti terkemuka tersebut sering
menjadi petanda bahawa otak Melayu juga boleh sekiranya diberi
peluang. Namun daripada rekod menunjukan tidak semua pelajar Melayu
yang belajar di universiti ternama itu dapat meraih kecermelangan,
terutama dalam bidang berasaskan sains.

Seorang sahabat menceritakan pengalaman anaknya belajar Kejuruteraan
Komputer di Carnegie Mellon University bersaing dengan seorang pelajar
Cina di University yang sama. Pelajar Cina tersebut telah dapat meraih
markah yang lebih baik. Sahabat itu mengeluh, apa benar otak Melayu ini
kurang dibandingkan dengan otak bangsa lain.

Dalam Satu konvokasyen yang berlaku di Universiti Cornell, contohnya
pelajar daripada kaum Cina (sebahagiannya datang dari Malysia) hampir
menguasai jumlah pelajar terbaik di universiti itu. Tidak dinafikan,
terdapat juga pelajar Melayu yang meraih kecemerlangan dalam bidang
kejuruteraan di MIT, Cornell, Brown dan sebagainya. Namun bilangannya
tidak ramai.


Sebahagian besar pelajar Melayu yang pergi ke University tersebut
ditaja oleh Kerajaan, atau Badan-badan Kerajaan. Sebahagiannya pula
oleh Swasta seperti Petronas, Telekom, Ten, Esso, dan sebagainya.
Bagi orang Cina sebahagiannya kecil juga ditaja oleh kerajaan, dan
selebihnya oleh swasta ataupun dibiayai sendiri oleh ibu bapa mereka.

Latar belakang pelajar Melayu sebahagian besarnya adalah keluaran
sekolah berasrama penuh yang mendapat perhatian khusus oleh kerajaan.
Hanya segelintir sahaja yang datang daripada sekolah harian atau tidak
berasrama. Manakala pelajar Cina, rata-rata datang daripada sekolah
harian yang tidak ada asarama. Namun, kesemua pelajar yang berjaya
memasuki Univeristy tersebut adalah pelajar cemerlang yang mendapat 9
atau 10 A.

Dari segi lahiriah, kualiti kecerdasan otak atau IQ, tidak terdapat
perbezaan antara pelajar Melayu dengan pelajar Cina. Memang hal ini
telah dibuktikan oleh kajian sains, bahawa kecerdasan otak manusia tidak
mempunyai kaitan dengan suku atau bangsa. Bahkan, agama juga
menjelaskan bahawa suku atau bangsa tidak mempengaruhi kecerdasan otak
Manusia.

Perbezaan hanya terdapat pada budaya. Orang Melayu masih lagi mewarisi
budaya kurang bersungguh-sungguh dalam kehidupannya sehari-hari. Usaha
untuk memperbaiki sesuatu yang sudah baik tidak dilakukan dengan serius.
Seorang pelajar Melayu yang telah mendapat 10 A, sudah senang hati
dengan pencapaian itu. Ada kalanya pencapaian peringkat SPM itu menjadi
tiket kepada dirinya untuk tidak belajar bersunguh-sungguh.

Memang tidak dinafikan wujudnya individu tertentu yang begitu gigih
berusaha untuk terus memperbaiki perestasi dirinya. Terdapat orang
seperti Hamzah Dolmat yang terus berlatih menggesek biola hingga saat
akhir dia akan keluar ke pentas.

Apa yang berlaku kepada anak-anak Melayu di luar negara sebenarnya
cerminan daripada apa yang ada pada ibu bapa atau keluarganya di kampung
di Malaysia. Hanya orang yang terpaksa bekerja keras sahaja akan gigih
dan terus menerus bekerja keras membaiki diri yang telah baik. Yang
lain, berjalan seperti biasa, seperti dia berjalan pada masa kecilnya,
dan seperti ayah dan datuknya berjalan.


Budaya tidak bekerja keras ini telah lama dikritik oleh pemikir
Melayu. Abdullah Munsyi , barangkali orang pertama mengkritik diikuti
oleh Syed Sheikh al-Hadi, yang kemudian diikuti oleh Pendeta Za'ba.
Surat khabar sejak dahulu lagi sering menimbulkan hal ini. Namun,
masyarakt Melayu umumnya tidak peduli.

Apabila orang Melayu memasuki alaf baru nanti, kemumgkinan orang
Melayu akan membawa segala warisan yang tidak baik ini ke zamalan akan
datang. Sebabnya, kita masih lagi melihat orang Melayu membazir waktu
berbual-bual kosong di manan-mana sahaja berada, waimma di tempat kerja,
di depan kaunter bank dan sebagainya. Kita lihat bagaimana hebatnya
orang Melayu, termasuk intelektualnya, dilambung oleh sorak surai
nyanyian rok, atau dibuai oleh ilusi politik yang merugikan.
Lebih-lebih mencemaskan apabila wujud trend di kalangan penulis yang
tulisannya semakin bobrok.

Pada alaf yang akan datang Malaysia amat mengharapkan akan ada
segolongan orang Melayu yang "super brain" yang menjadi sarjana dalam
barisan kelas satu dunia. Kalau pada alaf akan datang, teknologi
maklumat menjadi keutamaan maka sepatutnya telah ada sarjana yang
bertaraf Caregie Millon, MIT, Cornell, Stanford, Caltec di negara kita.
Namun, harapan seperti yang sering diharapkan oleh kementerian Sains dan
Teknologi dan pihak Taman Teknologi bahawa orang yang lulus daripada
dari University ivey Leage harus banyak di Malaysia, akan menjadi
angan-angan. Tidak ramai pelajar Melayu lulusan University Ivy Leage
itu, dan yang ada pun tidak ramai yang mahu balik ke Malaysia. Mereka
lebih awal diperangkap oleh gergasi perniagaan di Amerika. Mereka
diberi gaji 10 kali ganda dari gaji yang diterima di Malaysia.

Jadi kita ragu-ragu tentang kejayaan rancangan besar kerajaan meramaikan
cerdik pandai di Malaysia. Kerana, setelah hampir 20 tahun dasar
meramaikan graduan Melayu kadar nisbah graduan Melayu dengan kaum
lain masih tidak seimbang, terutama dalam bidang sains dan teknologi.
Belum lagi perbandingan graduan yang cemerlang di Universiti yang
ternama. Apakah kita telah melakukan sesatu ? Bagaimana kita akan
melakukannya kerana kita pun bukan graduan kelas satu, dan bukan graduan
sains dan teknologi ? Lihat sahaja telatah orang Melayu yang telah
graduan yang banyak menghabiskan masa dengan perkara yang kurang
berfaedah ? Apakah mereka terus meraih kecemerlangan selepas lulus
menjadi graduan ? Apakah tidak mungkin seorang graduan Melayu dapat
mendidik sehingga berjaya tiga atau empat graduan Melayu yang baru,
supaya keseimbangan ini cepat berlaku. Agenda ini perlu diteruskan
sehingga matlamat penyusunan masyarakat dalam bidang intelektual cepat
tercapai.

------------------------------------------------------------------------