BURUNG-BURUNG KAMI BERTENGGEK
Mengapa masih ada
burung-burung kami bertenggek
di talian cacian
di tunggul tahyul
di pagar payah
sedang si anak berdecit kelaparan
mulut terngaga
meminta manis pengetahuan
mengingini tawar pengalaman
Dinihari melafazkan janji
membawa pulang bekalan terkini
suria di pucuk kelapa
mata menutup dari bahana
Dilisan orang berita:
murai terdiam dibidas itik
pungguk berpaling rindu pada kejora
pipit bernikah dengan kerabat enggang
Nyayian tepuk amai-amai
tidak lagi kedengaran di kebun ini
yang disenandungkan
mari kita beramai-ramai
kerana Jentayu telah murka
mematuk medan sabungan
bertempiaran meninggal tenggekan.
RUFAIFA ABDULLAH
13.8.97
Kuala Nerus.K.Terengganu.