Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

ANTARA KOLEKSI PUISI PUISI TAHUN 1997

 

INSAN TAQWA

seorang insan taqwa

airmata nasuhanya

membasuh

dosa-dosa selangit

 

getar jemarinya

membilang butiran iman

sebu kesyukuran atas nikmat

yang dihujani

 

mimpi tidurnya

menunggu siang tiba

untuk memimpin manusia sejagat

meneruskan kembara ke jalan yang benar.

 

JUN 1997.MAJALAH TAMADUN

 

PERJUANGAN KITA BARU BERMULA

(BUAT ANAK-ANAK DIDIKU YANG TERSAYANG)

 

dalam belitan masa

yang terkeliru

antara kecewa dan jaya

bersama tekad yang amat nekad

kupintal tali-tali kesungguhan

dengan simpulan keyakinan

hingga terbentuknya

seutas kejayaan.

 

dengan hayunan berani

yang maha perkasa

ku menyelami jauh

di dasar lautan peperiksaan

merenangi ombak kekecewaan

menepis arus putus asa

bersama nafas sebu sabar

ku gapai sebutir mutiara kecemerlangan

sebagai tanda kemenangan

diri sendiri yang ikhlas.

 

ingin sekali

ku buktikan kepada semua

penghuni alam sekolah

bahawa kejayaan

bukannya perkara mustahil

dan kegagalan

bukannya bererti

kecewa selama-lamanya.

 

bangkit dari kejatuhan

adalah permulaan

ke arah mendaki

puncak kejayaan

percayalah

perjuangan kita baru bermula.

 

25.4.1997(Rakan Muda Utusan Malaysia)

 

Cerita Seri Mithali

di saat diam bersalut sunyi

seorang seri mithali mula merenung

gambaran penghidupan fana

melihat putera-puteri bangsa

berteduh di gapura teknologi

di laman alaf baru.

 

Seorang seri mithali mula berpesan

kepada putera-puteri bangsa

agar membasuh segala duka iman

di sungai taqwa yang jernih

moga mampu menghanyutkan

segala lumpur sia-sia

katanya"kau adalah sekuntum masa yang masih perawan,biarlah

ranummu mewanggikan perkebunan bukanya layu mendebu laman tanah air"

waktu itu doa seri mithali

laksana sebutir mutiara terpilih

di kalangan ribuan tiram kepalsuan.

 

"Antologi Bisikan V"1997

 

 

SANG YANG MEANGIS DI BAWAH TANAH.

 

x.

isyarat daripada sang

mula bergelojak

berkongkalikung dengan sang angin

yang kesejukan

mula menggelupar di juntaian

pohon duniawai

xx.

sang manusia

kian hangus

dalam puntung-puntung figura

yang membara sia-sia

xxx.

sang air yang menongkah

meresapi aspal-aspal

retak dan berlubang

cuba memadamkan hayat berjelaga

xxxx.

sang tanah

menerima fani

melihat sang manusia

reput dalam

puin-puin hitam

dalam tangisan sang

yang ngeri meraung.

21.7.1997.