Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

KOLEKSI 1996

SEBAHAGIAN DARIPADA KOLEKSI 1996.

PUISI EMPATI

sebuah lorong kecil

di sebalik dirgahayu

sebuah bandaraya megah

adalah tangisan seorang bayi

suaranya bukan pengharapan

titisan air mata

bukan menagih simpati

cuma meminta sekilas pandangan

tanda harga

kasih sayang dari haknya

 

1996-AKHBAR MINGGUAN WAWASAN

----------------------------------------------------------------------------------------

SEKUNTUM LAILATUR QADAR

kembangnya hanya semalam

dalam dua belas purnama

mewangi semerbak menyelubungi

seribu bulan

dalam taman-taman syurga

yang mengalir sungai abadi

 

kelopaknya mula terbuka

waktu pepohon sujud ke tanah

udaranya segar dan damai

bumi dan langit asyik

berzikir dan memuji kebesaran-Nya

 

Jibrail turun membawa

khabar gembira kepada

insan-insan yang bertaqwa

 

ranting-ranting tahajud

dedaun zikir dan tasbih

mula luruh di dada

seorang penyala malam

 

alangkah beruntungnya beribadat

pada malam yang sebu

kemulian dan kebesaran ini.

 

FEBRUARI 1996-MAJALAH JELITA-RSB TV3

---------------------------------------------------------------------------------------

PUJI

apalah gunanya

kita menang dipuji

kita melambung dipuja

sia-sia sahaja

bila memuji sesama insan

bila memuja sesama insan

 

hidup ini adalah

serpihan mimpi yang fana

kacanya adalah luka duniawi

dan adalah parut yang kekal

di tubuh ukhrawi yang perkasa

 

pujilah diri-Nya

pujalah diri-Nya

nescaya kita termasuk

di dalam golongan yang amat

beruntung.

---------------------------------------------------------------------------------------

SALAM KEBENARAN

 

berfikir dengan akal hati

bukan sekadar suluhan perasaan

dan pada hakikatnya

kita amat bertuah

bila dianugerahkan

kebebasan dalam berfikir

 

antara keburukan

dan kebaikan

masih ada batas

ada sempadan

untuk kita peliharakan

 

bila tiba suara kebenaran

datang melewati tunas usia

sebarkan salam kemesraan

pada seluruh buana

biar mencambah generasi mulia.

 

APRIL 1996-MAJALAH KELUARGA

---------------------------------------------------------------------------------------

HUJAN MALAM

Semakin keras cucuran hujan

menerajang atap sebuah banglo

mewah di atas sebuah bukit elit

semakin dalam hiba hati

seorang datin muda

sambil diam membilang jari-jari hujan

yang terputus

antara rindu dan sendu

terkenang dia kepada

ibu dan ayah di kampung

suami dan datin tua

yang hilang entah ke mana?.

 

AKHBAR BULETIN UTAMA 1996

----------------------------------------------------------------------------------------

GUGURNYA SEHELAI DEDAUN HAYAT

 

sehelai demi sehelai

dedaun hayat

gugur ditiup angin takdir

dari sepohon

pokok tua

 

seorang penyapu zaman

saban hari

tidak jemu

mengutip dan membersih

halaman di bawah pokok tua itu

tanpa dia sedari

suatu hari

dirinya akan sebati

menjadi sebahagian daripada

tanah di situ.

 

UTUSAN MALAYSIA-1996

---------------------------------------------------------------------------------------

FRAGMEN HAYAT SEORANG IBU

seorang ibu

adalah sebuah jambatan

emas

di muara hayat

saban hari ribuan manusia

lalui di dalam rahimnya

namun tidak pernah dia mengaduh

seksa keperitan dan kesakitan

asalkan sampai destinasi

yang ditujui oleh mereka

ii.

adalah sebutir mutiara

putih

yang jatuh di perut laut

buaknnya sebentuk cincin berlian

yang disarung pada jari

manis

bukan juga sepohon bonzai

yang diletakkan di ruang

tamu

tapi adalah sepohon semalu

bersemadi di puncak

pergunungan rawan

iii.

seorang ibu

tetap setia membancuh

manis budi di segelas usia

walaupun jambatan emasnya

roboh dibakar

oleh anak-anaknya

yang nakal bermain

mancis sandiwara.

AKHBAR UTUSAN MALAYSIA-1996