3 SAJAK SULONG SAYA YANG DILAHIRKAN DI MEDIA CETAK
|
SUNYI YANG FANA(1) sunyi yang fana menyanyikan lagu kehidupan memecah dulang waktu meniti retak tepinya
dingin yang sayu menjahit duka terluka dengan jarum kemesraan bersama bebenang putih
tenang yang abadi mengusir debu derita mengundang rempah bahagia berselerak dalam kawah kedamaian
MEI 1995-MAJALAH KELUARGA |
TAJUK SEPI argh!!! menghirup udara yang tiada bayarannya kerana tabii itulah sering kali jadikan manusia kurang ajar sukma menikam bilah hari berterbangan acap kali menghamilkan rimba kehilangan mukaddas buminya merintih derita merekah kulit semantung bergema awan bergentayang pilu semendarasa tiada wangi semerbak lagi serayu rimba hilang maruah tunduk lesu ya!semuanya gara-gara udara yang tiada bayaran untuk menghirupnya
MEI 1995-MAJALAH JELITA |
|
SEORANG ANAK KECIL seorang anak kecil berdiri di cermin usia melihat bayang khayalan sedang menyanyikan sebuah lagu kehidupan
seorang anak kecil berlari di padang harapan mengejar wawasn impian dibuai angin fitrah sayu di bawah mendung berarak lalu
seorang anak kecil acuannya masih lembut rela diukir oleh arkitek masa diperhatikan jurutera harian tertera dalam pelan duniawi "melentur buluh biar dari rebungnya" tema buat seorang anak kecil.
MEI 1995-JELITA |
ANTARA SEBAHAGIAN DARIPADA SAJAK-SAJAK 1995
SEGUGUS INSAF
pada saat tenang sebegini
dalam kembara rawan
kita kikiskan karat
dan himpunan dosa
dari melekat di dulang hati
saat-saat tenang sebegini
kita bina sebuah hasrat
dalam sisa-sisa kudrat
meredah hutan ketaqwaan
mengenal daun-daun kesyukuran
melihat embun duniawi tergantung
dalam juntaian pohon fana
berfikir dan mendalami
pada setiap pandangan
di akhir waktu tenang sebegini
dalam sebu angin keinsafan
kita menghantar pulang
mimpi-minpi cerita duka pilu
ke dalam ranjang diam sepi
dan di puncak sendu
kita insaf betapa kerdilnya
diri ini di sisi-Nya.
NOVEMBER 1995-MAJALAH KELUARGA
------------------------------------------------------------------------------------------
KITA HARUS BELAJAR
(MENGERTI DAN MEMAHAMI)
kita belajar daripada
kekecewaan
kita bangkit daripada
kegagalan
dan kita harus memahami
kejatuhan kita hari ini
bukan bererti matinya semangat
berkubur keyakinan begitu sahaja
tapi daripada rebahnya sekeping hati
akan bangkit seorang insan
mengangkat martabat maruahnya
menjulang kembali kekuatannya
menggegar kembali jeritan dan laungan
kejayaan serta kemegahan diri
sebagai tanda bahawa setiap
yang rebah itu
bukan tersungkur mati
malah kehidupan berselimut kelesuan
akan bertukar menjadi jaring-jaring
perkasa menerkup kembali dunia baru
dan pada masa itu
kita adaalh merupakan seorang insan
paling bertuah di bumi tempat kaki
berpijak dan bertunjang
kita harus belajar dan ambil iktibar
bahawa hakikatnya
kekecewaan serta kegagalan bila dipintal
mulia akan menjadi satu
corak simbol kejayaan diri sendiri.
NOVEMBER 1995-MAJALAH AL-ISLAM
-------------------------------------------------------------------------------------------