Sembilan Atau Sepuluh
Pada suatu masa , di sebuah padang pasir, seorang lelaki sedang membawa sepuluh ekor unta ke kolam air. Setelah berjalan beberapa batu, dia menunggangi salah seekor unta itu dan mengira yang lainnya. Dia mengira hanya sembilan sahaja. Dia turun dan berjalan balik mencari unta yang dikatakan hilang itu. Apabila tidak kelihatan unta yang dicari itu, dia beranggapan telah kehilangan unta itu. Dia berhenti mencarinya lalu berjalan kembali ke tempat unta-untanya dengan perasaan sedih dan bimbang. Dia amat gembira apabila didapati kesemua sepuluh ekor unta itu ada di situ.
Dengan riang dia menunggangi salah seekor dan setelah beberapa ketika dia terfikir untuk mengira sekali lagi. Ada sembilan sahaja ! Dia turun, kehairanan dan mula mencarinya lagi. Unta yang hilang itu tidak ditemui. Dia bergegas ke arah kumpulan unta itu dan apabila dikiranya, dia hairan mendapati kesemua sepuluh ekor unta itu sedang berjalan dengan malasnya. Dia menyalahkan keadaan panas padang pasir itu lalu menunggangi unta yang di belakang sekali, sambil mengira yang lainnya bagi kali ketiga. Dia masih tidak faham, bagaimana seekor masih hilang. Dia melompat turun sambil menyumpah-nyumpah syaitan dan dengan letihnya mengulang kerja mengira unta itu. Ada sepuluh ekor unta !
"Baiklah, wahai syaitan laknat," rungutnya, "lebih baik aku berjalan kerana aku masih mempunyai sepuluh ekor unta daripada menunggangnya seekor dan kehilangan seekor.
(Cerita dari Iran)

@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@
Ciptaan Tuhan
Seorang petani yang sedang menunggang keldainya tiba di ladang tembikai. Dia berasa letih dan dahaga, lalu duduk dan berehat di tempat redup di bawah rimbunan pokok walnut. Sedang dia menikmati pemandangan pokok-pokok tembikai yang menjalar, dia melihat ke atas dan ternampak beberapa biji walnut tergantung-gantung di celah-celah dahan tinggi sebatang pokok yang amat tinggi. Kagum dengan kuasa tuhan, dia hairan walnut yang kecil itu tumbuh pada pokok yang besar, manakala buah tembikai yang besar bergantung pada pokok yang menjalar dan kelihatan rapuh. Sedang petani yang kehairanan itu berfikir-fikir, sebiji walnut jatuh di atas kepalanya. Dia menadah tangannya ke langit dan berkata penuh kesyukuran, "Oh Tuhan Yang Maha Berkuasa Dan Maha Bijaksana, baiklah tembikai tidak tumbuh pokok besar, kalau mati aku sekarang."
(Cerita dari Iran)

@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@
Surat
Seorang lelaki telah meninggalkan rumahnya. Pada suatu hari dia menulis surat kepada keluarganya tetapi tidak ada sesiapa yang dapat membawa surat tersebut ke tempat asalnya.
Kerana kecewa, dia mengambil keputusan untuk membawa sendiri surat itu ke rumahnya. Apabila dia sampai ke pekan, dia pergi ke rumahnya lalu mengetuk pintu. Seseorang membuka pintu tetapi si pengirim surat itu tidak masuk ke rumah, sebaliknya berkata, "Saya datang ini hanya untuk menyampaikan surat ini kepada kamu."
(Cerita dari Iran)

@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@*@
Baju di ukur mengikut pangkat
Sewaktu pemerintahan Dinasti Qing, seorang majestret di sebuah daerah meminta seorang tukang jahit membuatkannya jubah rasmi yang baru.
"Tuan, terlebih dahulu beritahu saya jawatan yang tuan sandang. Adakah tuan baru menjadi pegawai atau baru dilantik ke jawatan baru atau sudah lama menjadi pegawai ?" Tanya tukang jahit itu. "Apa kena-mengenanya dengan hasratku membuat jubah baru ?" Soal majestret itu dengan penuh kehairanan.
"Oh, banyak ! Jika tuan pegawai baru, tuan akan berdiri lurus setiap masa di istana. Kalau begitu, tuan memerlukan jubah yang labuhnya sama panjang belakang dan depan. Bagi pegawai yang baru dilantik kejawatan yang baru pula, jubahnya mesti labuh di depan dan singkat di belakang, kerana mereka ini megah dan sombong, suka mendongak dan berjalan mendada. Bagi pegawai lama, jubah mereka mestilah berbeza. Disebabkan mereka sering kali dicela dan dimarah oleh pegawai atasan dan selalu duduk melutut, mereka berduka cita dan badan mereka bongkok. Jadi mereka perlukan jubah yang singkat di depan dan labuh di belakang. Jikalau saya tak tahu tuan ini termasuk dalam ketegori pegawai yang mana, bagaimana saya nak buat jubah yang padan dengan tuan ?"
(Cerita dari China)

Tangisan Tiga Orang Manusia
Suatu hari, seorang perempuan tua menerima surat daripada anak lelakinya yang tingal jauh daripadanya. Oleh kerana dia tidak tahu membaca, perempuan tua itu duduk menunggu di pemukaan pintu kalau-kalau ada sesiapa yang lalu-lalang untuk membacakan surat tersebut.
Tidak lama kemudian, lalulah seorang perajurit. Apabila perajurit itu membaca surat tersebut, air matanya berlinangan dan perajurit menangis dengan kesalnya.
"Sesuatu yang tidak baik menimpa anakku ?" tanya perempuan tua itu terkejut.
Tetapi perajurit itu hanya menangis semakin kuat.
Kasihan, perempuan tua itu menyangka sesuatu yang buruk telah menimpa anaknya. Melihat kelakuan perajurit itu dia pun turut menangis.
Tidak lama kemudian lalu seorang penjaja. Apabila dilihatnya perempuan tua dan perajurit itu sedang menangis, dia pun duduk bersama-sama mereka dan turut menangis.
Seorang lelaki yang lalu kemudiannya, bertanya sebab mereka menangis.
Penjaja itu orang pertama yang menjawab soalan lelaki tersebut, "Setahun yang lalu saya berniaga periuk belanga. Oleh kerana nasib saya malang, semua peniagaan saya rugi, saya memecahkan semua barang itu. Ketika itu saya merasa hendak menangis tetapi saya batalkan kerana pada masa itu sibuk mencari jalan memperbaiki perniagaan saya yang rugi itu. Kebetulan hari ini, apabila saya melihat kedua orang ini sedang menangis saya teringatkan yang saya belum lagi menangis. Jadi saya pun memutuskan untuk turut sama menangis."
Perempuan tua itu pula berkata, "saya menerima surat daripada anak lelaki saya dan apabila saya meminta perajurit itu membacakannya kerana saya tidak tahu membaca, tiba-tiba dia menangis. Tentu berita yang tidak baik yang dibawa oleh surat itu. Sebab itu lah saya menangis."
Akhirnya perajurit itu membuka mulutnya untuk bercerita. Sebenarnya semasa saya muda-muda dulu, saya tidak berminat membaca. Sebab itu lah sekarang saya tidak dapat membaca surat ini. Saya merasa malu akan diri saya. Sebab itulah saya menangis."
(Cerita dari Jepun)

Mereka Berpindah, Tetapi ……
Di belakang kanan rumah seorang menteri, tinggal seorang tukang besi sementara di sebelah kiri pula tinggal seorang tukang kayu. Tukang besi dan tukang kayu bertukang siang dan malam. Ini menggangu menteri itu. Akhirnya apabila dia sudah tidak tahan lagi, menteri itu pun memanggil mereka dan memerintahkan mereka berpindah.
Pada suatu hari, tukang besi mengunjungi rumah menteri itu lalu berkata, "Yang berhormat, saya akan berpindah hari ini seperti tuan kehendaki."
Sejerus kemudian tukang kayu mengunjungi menteri itu lalu berkata, "Yang berhormat, saya juga hendak berpindah."
Menteri merasa amat lega mendengar berita itu, tetapi berpura-pura kesal atas kehilangan mereka sebagai jiran. Dia menjemput mereka makan, kemudian menghantar mereka ke muka pintu.
Tetapi anehnya bunyi orang menggergaji kayu dan mengetuk besi masih kedengaran. Menteri itu agak terkejut juga dan marah. Dia memanggil pembantu-pembantu rumahnya lalu menyuruh mereka melihat apa yang berlaku. Pembantu-pembantu rumah itu balik membawa berita bahawa si tukang kayu dan si tukang besi betul-betul berpindah seperti yang mereka janjikan. Si tukang kayu telah berpindah ke rumah tukang besi, dan si tukang besi telah berpindah ke rumah tukang kayu. Dengan riang mereka terus mengetuk besi dan mengergaji kayu siang dan malam.
(Cerita dari Republik Korea)
