
Drama Tamu Di Bukit Kenny telah memaparkan beberapa kritikan sosial yang ketara dalam tahun-tahun 60-an, antaranya adalah seperti berikut:
1. Golongan yang mengamalkan rasuah
Pengarang mengkritik pengamal rasuah dengan memaparkan watak Tauke
yang datang ke rumah Pegawai bersama dengan sekretarinya Suzie Wong. Tauke
tersebut memberitahu Pegawai bahawa sekretarinya itu ingin berkenalan dengan
Pegawai supaya segala urusan selepas itu menjadi mudah dalam soal perhubungan.
Apa yang dikatakan oleh Tauke itu adalah tidak masuk akal kerana Suzie
Wong tidak dapat bercakap dalam Bahasa Melayu kerana dia baru datang dari
Hong Kong. Penonton juga dapat meneka bahawa Tauke sebenarnya cuba mendapatkan
tender bagi satu projek. Hal ini lebih ketara apabila dia menyebut “..encik
tolong saya, saya tolong encik.” Tauke juga ada menyatakan bahawa Suzie
Wong suka tinggal di Kuala Lumpur dan ingin menjadi warganegara Malaysia
dan meminta Pegawai memberikan sokongan melalui pengaruh politiknya. Sehari
sebelum Tauke datang, terdapat juga orang lain yang cuba merasuah Pegawai
tersebut dengan mengajaknya keluar makan malam tetapi pelawaan itu ditolak.
Pegawai tidak suka dengan sikap Tauke dan tersinggung kerana menganggap
jawatannya boleh dibeli dengan wang atau perempuan. Masalah rasuah juga
dipaparkan melalui dialog Mamat dengan Pegawai setelah rumah Mamat dirobohkan
kerana tinggal di kawasan setinggan. Mamat ada menyatakan bahawa dia ingin
berpolitik kerana dengan itu dia akan dapat berkenalan dengan Menteri dan
mungkin dengan itu rumahnya tidak dirobohkan.
2. Golongan masyarakat yang malas berusaha.
Drama RBK antara lain mengkritik golongan yang malas berusaha walaupun
setelah menerima bantuan daripada pihak kerajaan. Kritikan ini dipaparkan
melalui watak 2 orang kampung yang tidak mengusahakan tanah pinggir yang
diberikan oleh kerajaan kepada mereka. Tanah tersebut ditumbuhi lalang
dan oleh sebab itu pihak kerajaan mengeluarkan notis untuk menarik balik
pemberian itu. Mereka berjumpa dengan Encik Kadir untuk meminta pertolongan
agar tanah pinggir itu tidak ditarik balik dan mereka meminta agar diberi
tempoh sedikit masa lagi . mereka memberikan pelbagai alasan. Antaranya
ialah mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengusahakan tanah itu
kerana sibuk dengan kerja-kerja yang lain. Encik Kadir menyindir dengan
membandingkan tanah kepunyaan mereka yang hijau kerana ditumbuhi lalang
sedangkan tanah yang diberikan kepada orang cina kelihatan hijau dengan
tanaman yang boleh menambah pendapatan.
3. Golongan remaja yang terbabit dengan masalah keruntuhan moral (Pengaruh
budaya barat di kalangan remaja)
Pengarang mengkritik golongan remaja yang terpengaruh dengan kebudayaan
kuning dari barat sehingga menjadi remaja yang tidak berakhlak. Masalah
ini dipaparkan melalui watak anak-anak Pegawai dan rakan sebaya mereka.
Golongan remaja sudah tidak menghormati waktu sembahyang Magrib kerana
asyik dengan muzik dan tarian. Secara tidak langsung para remaja juga mengamalkan
pergaulan secara bebas. Pengarang mengkritik golongan ini kerana mereka
merupakan penyambung generasi dan pemimpin yang akan datang dan akan membawa
padah sekiranya mereka tidak dibetulkan. Pegawai berasa keciwa dengan keadaan
itu apatah lagi yang terbabit itu termasuklah anak-anaknya sendiri. Di
samping itu orang gaji Pegawai juga pernah dilihat oleh Pegawai sendiri
sedang bercanda melalui telefon.
4. Sikap buruk pengguna di jalan raya
Kritik sosial ini disampaikan secara tidak langsung melalui dialog
Pegawai dengan Mamat. Pegawai menceritakan kepada Mamat pada hari itu dia
dimaki kerana memandu mengikut peraturan. Sikap pemandu yang gelojoh dan
sentiasa ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju telah menyebabkan
Pegawai dianggap sebagai penghalang lalu lintas. Menurut pengarang sikap
pemandu yang seperti itu tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat kita
hari ini.
5. Ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab
Kritik sosial ini disampaikan melalui watak Pegawai dan Cik Puan. Perwatakan Pegawai digambarkan sebagai seorang yang sangat komited dengan pekerjaannya sehingga tidak sempat mendidik anak-anaknya sendiri. Pegawai terlalu sibuk kerana menjalankan tugas-tugas luarnya melayan kehendak orang ramai dan menolong mereka menyelesaikan masalah. Antara beberapa contoh yang dipaparkan kepada penonton ialah masalah mendapatkan pekerjaan, mendapatkan kontrak dengan kerajaan, masalah setinggan, dan sebagainya malah Cik Puan pernah menyindir Pegawai kerana Pegawai dikatakan menjalankan kerja-kerja yang sepatutnya dibuat oleh Menteri sendiri. Cik Puan juga didapati sibuk dengan kerja-kerja sosial dan sentiasa sibuk kerana menghadiri jamuan makan dan pasang badan. Kesibukan Pegawai dan Cik Puan telah menyebabkan mereka tidak sempat mengambil tahu tentang perkembangan anak-anak mereka sendiri. Pewagai terkejut dengan kejadian yang berlaku di rumahnya ketika anak-anaknya sedang mengadakan pesta bersama-sama dengan rakan mereka sehingga dia jatuh pengsan. Secara tidak langsung peristiwa ini membayangkan bahawa pengarang mengkritik masyarakat yang terlalu sibuk dengan pekerjaan sehingga mengabaikan hal-hal yang berkaitan dengan kesihatan diri. Hal ini juga disampaikan melalui dialog Pegawai dengan Cik Puan apabila mereka bercakap tentang masalah poligami dan perubatan tradisional khususnya, majun.
6. Golongan pelajar/remaja yang tidak berwawasan
Tamu Di Bukit Kenny turut memaparkan satu lagi kritik sosial yang melibatkan
golongan pelajar iaitu golongan yang tidak mahu menyambung pengajian mereka
setelah gagal dalam peperiksaan. Hal ini dipaparkan melalui watak Sudin
yang dikatakan sedang menganggur dan malas melakukan sebarang pekerjaan
di kampung. Bapanya, Bang Man telah mengadukan hal itu kepada Pegawai dan
meminta Pegawai mencarikan pekerjaan untuk Sudin. Pegawai tahu Sudin menganggur
kerana tidak lulus peperiksaan dan enggan belajar lagi walaupun umurnya
ketika itu baru 18 tahun dan dia tidak dapat memberikan keputusan sama
ada mahu belajar lagi atau tidak walaupun Pegawai menawarkan untuk membiayai
kos untuk dia belajar kelas malam bagi mendapatkan kemahiran. Pegawai agak
keciwa dengan sikap golongan remaja seperti Sudin yang ghairah ingin bekerja
untuk mendapatkan gaji tetapi tidak mahu belajar dan tidak mempunyai cita-cita
dan wawasan. Melalui dialog Sudin juga didapati dia lebih mementingkan
keseronokan. Hal ini ketara kerana dia ingin berkenalan dengan anak perempuan
Pegawai dan ingin mengajaknya menonton wayang.
CONTOH SOALAN YANG BERKAITAN DENGAN NOTA:
1. Drama Tamu Di Bukit Kenny telah memaparkan beberapa kritik sosial yang hangat diperkatakan pada tahun-tahun 60-an. Bincangkan pernyataan tersebut.
2. Bincangkan persoalan-persoalan penting yang terdapat dalam drama Tetamu Di Bukit Kenny.
3. Drama TBK dikatakan sebagai drama beraliran realisme kerana memaparkan persoalan-persoalan semasa yang realistik. Bincangkan.
1. Persoalan mengenai masalah setinggan
Masalah ini dipaparkan melalui watak Mamat, supir Pegawai. Rumah Mamat
dirobohkan kerana dia mendirikan rumah secara haram di tanah kerajaan.
Mamat sedih kerana kerugian RM 400.00 dan terpaksa tinggal sementara di
rumah Pegawai. Mamat meminta Pegawai membantunya membina rumah setinggan
sekali lagi tetapi Pegawai tidak bersetuju dengan rancangan itu kerana
tindakan itu menyalahi undang-undang. Pengarang merangsang pemikiran penonton
untuk merenung masalah itu kerana mereka yang membina rumah secara haram
itu sebenarnya memang tidak mempunyai tempat tinggal. Mungkin kerajaan
perlu membina lebih banyak rumah kos rendah untuk menyelesaikan masalah
itu.
2. Persoalan tentang Pengangguran/keciciran
Tamu Di Bukit Kenny turut memaparkan satu lagi persoalan yang hangat diperkatakan ketika itu iaitu masalah pengangguran. Hal ini dipaparkan melalui watak Sudin yang dikatakan sedang menganggur dan malas melakukan sebarang pekerjaan di kampung. Bapanya, Bang Man telah mengadukan hal itu kepada Pegawai dan meminta Pegawai mencarikan pekerjaan untuk Sudin. Pegawai tahu Sudin menganggur kerana tidak lulus peperiksaan dan enggan belajar lagi walaupun umurnya ketika itu baru 18 tahun dan dia tidak dapat memberikan keputusan sama ada mahu belajar lagi atau tidak walaupun Pegawai menawarkan untuk membiayai kos untuk dia belajar kelas malam bagi mendapatkan kemahiran. Pegawai agak keciwa dengan sikap golongan remaja seperti Sudin yang ghairah ingin bekerja untuk mendapatkan gaji tetapi tidak mahu belajar dan tidak mempunyai cita-cita dan wawasan. Melalui dialog Sudin juga didapati dia lebih mementingkan keseronokan. Hal ini ketara kerana dia ingin berkenalan dengan anak perempuan Pegawai dan ingin mengajaknya menonton wayang.
3. Persoalan tentang amalan rasuah
4. Persoalan mengenai tanah terbiar
5.Persoalan tentang pengaruh budaya luar terhadap golongan remaja.
Drama aliran realisme berbeza daripada drama jenis romantisisme
kerana drama romantisisme biasanya mempersoalkan kemerdekaan manusia
dan semangat kebangsaan dan menggunakan ayat-ayat yang indah penuh dengan
bunga bahasa serta kaya dengan kiasan atau perbandingan. Biasanya peristiwa
yang dipaparkan mempunyai nilai sejarah. Drama aliran realisme pula mengemukakan
persoalan harian dan persoalan semasa pada zaman pengarang. Penulis berasa
komited dengan persoalan yang dialaminya. Antara persoalan yang selalu
menarik perhatian pengarang dalam aliran ini ialah persoalan dalam bidang
ekonomi, pendidikan, keagamaan, dan moral. Persoalan yang selalu dibincangkan
biasanya berkaitan dengan kepincangan masyarakat seperti masalah rasuah,
kehancuran rumah tangga, anak-anak tanpa moral, dan pertentangan kelas.
Jadi, aliran drama ini dikategorikan sebagai realisme kerana ia mementingkan
aspek realiti atau keadaan yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita
ketika drama itu dicipta. Pengarang pula tidak hanya bertindak sebagai
pencipta drama untuk dipertontonkan semata-mata malah sebagai orang yang
ingin membetulkan segala kelemahan dan kepincangan masyarakat. Mereka bertindak
sebagai pejuang bagi menghapuskan segala kepincangan yang dikemukakan itu.
Persoalan-persoalan itu juga dikemukakan bertujuan untuk membuka mata penonton
atau audien agar mereka turut perihatin serta bertindak menurut keupayaan
masing-masing untuk mengikis gejala negatif yang dipaparkan kepada mereka.
Oleh itu drama realisme banyak mengandungi protes sosial dan ada ketikanya
menghentam dengan keras dan lantang.
Drama Tetamu Di Bukit Kenny dikatakan sebagai drama aliran relisme kerana persolan-persoalan yang dikemukakan oleh saudara Usman Awang merupakan persoalan semasa ketika drama tersebut ditulis, malah sesetengah persoalan yang telah dikemukakan itu masih lagi menjadi isu utama pada masa ini. Misalnya masalah rasuah, masalah pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri, masalah tanah terbiar, dan masalah keruntuhan moral. Dan ketika drama tersebut ditulis terdapat persoalan lain yang menjadi isu utama iaitu masalah rumah setinggan dan keciciran dalam pendidikan.
Persoalan tentang gejala rasuah dikemukakan melalui dialog Pegawai dengan Tauke. Dalam dialog tersebut Tauke didapati cuba merasuah Pegawai dan cuba memikat hati Pegawai dengan seorang gadis yang diimport khas dari Hong Kong. Pegawai diminta untuk meluluskan satu kontrak melalui tender yang telah dikeluarkan sebelum itu. Pegawai menolak pelawaan Tauke dengan gaya protes dan menyindir bahawa jawatan yang dipegangnya bukan untuk diperdagangkan.
(Sila rujuk nota saya yang bertajuk “Kritik Sosial dan Kepincangan Masyarakat dalam drama Tamu Di Bukit Kenny” untuk huraian yang seterusnya)
Melalui perbincangan di atas, dapatlah dikatakan bahawa sdr. Usman Awang dengan jelas merupakan seorang dramatis beraliran realisme kerana beliau dengan lantang memprotes kepincangan masyarakat yang terdapat ketika beliau menulis drama tersebut. Persoalan-persoalan yang telah dikemukakan merupakan persoalan yang menjadi isu utama ketika itu.
PERWATAKAN PEGAWAI
1. Seorang yang berdisiplin dan prihatin tentang peraturan dan undang-undang. Perwatakan ini jelas apabila dia merungut dimaki oleh pemandu-pemandu yang lain kerana dia memandu mengikut peraturan. Dia juga tidak terus menyokong Mamat, supirnya apabila rumah Mamat hendak dirobohkan. Ini kerana bagi pegawai itu Mamat telah menyalahi undang-undang kerana mendirikan rumah secara haram. Pegawai juga menegur kaki tangan di jabatannya kerana datang lewat, terlalu lama duduk di kantin,terlalu lama mengambil masa untuk membaca akhbar, dan terlalu banyak berbincang tentang nombor ekor.
2. seorang pegawai yang suka membantu orang lain. Sikapnya yang begitu
menyebabkan ramai orang datang ke rumahnya untuk memohon pertolongan. Misalnya
terdapat 2 orang yang mewakili orang-orang kampung datang ke rumahnya meminta
agar tanah pinggir yang tidak diusahakan oleh mereka itu tidak dirampas
oleh kerajaan. Dia sanggup menyampaikan perkara itu kepada Pegawai
Daerah kerana perkara itu di luar bidang kuasanya. Dia juga memberikan
tempat tinggal sementara rumahnya yang baru siap dibina. Dia juga sanggup
mengambil Sudin tinggal di rumahnya sekiranya Sudin ingin menyambung pelajarannya.
3. Seorang pegawai yang jujur dalam menjalankan tugas-tugasnya. Hal ini jelas apabila dia menolak pelawaan Tauke untuk keluar makan bersama-sama. Dia juga menolak pelawaan Tauke yang membenarkan dia keluar bersama-sama Suzie Wong sekiranya dia mahu. Dia juga memberitahu tauke secara menyindir bahawa dia tidak mahu menerima sebarang wang sogokan dengan menggunakan jawatannya. Dia juga menolak pelawaan untuk makan malam dengan seorang ahli perniagaan, sehari sebelum tauke Wong datang. Dia juga memarahi kakitangan di pejabatnya yang “mencuri tulang” ketika bekerja dengan membaca akhbar dan berbual-bual di kantin.
4. Pegawai merupakan seorang yang tidak bertanggungjawab sebagai ketua keluarga. Dia gagal mendidik anak-anaknya sendiri. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan dia sendiri yang terlalu terikat dengan kerjanya di pejabat dan di dewan parlimen. Oleh hal yang demikian, anak-anaknya didapati bergaul secara bebas. Anak-anaknya mengadakan majlis tari menari dan memasang muzik yang kuat ketika waktu magrib, dan didapati memiliki buku yang mengandungi unsur lucah. Sementara itu, orang gajinya pula sudah pandai “berdating melalui telefon”. Dalam usahanya untuk membetulkan orang lain melalui syarahannya tentang peraturan, anak-anaknya sendiri didapatinya tidak akur dengan peraturan.
5. Sebagai seorang pegawai tinggi dalam satu kementerian, dia tidak sombong atau bongkak. Perwatakan ini dapat dilihat dengan jelas melalui cara dia melayan tetamu-tetamunya. Dia menggunakan bahasa yang halus, menghormati tetamunya, dan melayan mereka dengan baik dan dia cuba tidak menghampakan permintaan mereka.
6. Pegawai juga merupakan seorang yang komited dengan kerjanya. Dia
terlalu sibuk dengan kerjanya sehingga kesihatannya sendiri terganggu.
Dia menghidap penyakit lemah jantung yang mengakibatkan dia selalu pening-pening
dan pitam-pitam. Pada akhir cerita dia telah diserang penyakit jantung
kerana terlalu marah akan anak-anaknya yang cuba mengadakan majlis tari
menari di rumahnya pada waktu magrib.
|
|
|
|
|