
Yang berikut ialah fakta-fakta tentang mesej yang terdapat dalam drama SBPM, berikan huraian dan contoh untuk menyokong fakta-fakta tersebut.
1. Seorang pemimpin rakyat seharusnya berjiwa rakyat dan sanggup berjuang
bersama dengan rakyat.
2. Seseorang rakyat biasa yang bukan berketurunan raja atau orang ternama
tidak boleh diketepikan. Mereka mungkin mempunyai kebijaksanaan yang tersendiri.
3. Seorang pemimpin yang baik hendaklah mengikis sikap mementingkan
diri sendiri dan tidak menyalahgunakan harta kerajaan.
4. Sesuatu perubahan yang baru tidak semestinya membawa kebaikan. Terdapat
juga pembaharuan yang hanya membazirkan wang tanpa medatangkan manfaat.
5. Pengalaman merupakan satu cara untuk mengajar manusia tentang
sesuatu seperti nilai maruah dan kemanusiaan.
Antara ciri-ciri kepimpinan yang baik yang telah ditunjukkan oleh Sultan Idris Bistari ialah tidak menyalahgunakan harta atau hak milik kerajaan untuk tujuan peribadi. Hal ini ditunjukkan melalui cerita kiasannya yang ditujukan kepada anaknya Zahiruddin Shah. Baginda telah menceritakan bagaimana seorang Khalifah yang telah memadamkan pelita kerajaan dan menggunakan pelita sendiri ketika berbincang dengan anaknya tentang hal keluarga mereka iaitu urusan peribadi.
Sultan Idris Bistari juga dalam pemerintahannya, tidak pernah mengabaikan rakyat jelata yang dianggap sebagai semut. Baginda memegang prinsip bahawa ‘semut’ itu memang kecil dan melata tetapi penuh dengan racun berbisa juga dan mereka boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan yang dibina. Oleh itu pemerintah perlu mengambil berat tentang hal-ehwal rakyat sama seperti mengambil berat tentang hal-ehwal pembesar-pembesar negeri. Hal ini didapati ada kebenarannya kerana kerajaan Langkapura pada dasarnya diselamatkan oleh rakyat biasa iaitu Ihsan, seorang anak nelayan sedangkan kerajaan Indera Mahkota hampir binasa kerana angkara Datuk Wazir yang meracuni fikiran Zahiruddin Shah.
Sultan Idris Bistari juga mempunyai kebijaksanaan. Ini juga salah satu daripada ciri-ciri penting seorang pemerintah yang baik. Baginda memperolehi kebijaksanaan ini melalui pengalamannya merantau dan belajar serta menerima nasihat daripada orang yang lebih tua daripadanya iaitu datuk wazir. Zahiruddin Shah yang tidak memiliki ciri-ciriciri seperti itu akhirnya diperintahkan oleh baginda supaya keluar merantau untuk mencari ilmu dan tinggal bersama kaum nelayan. Baginda percaya seorang pemimpin yang kurang ilmu dan pengalaman tidak akan dapat mentadbir negerinya dengan baik. Dengan itu dapatlah dikatakan bahawa pemimpin yang baik seharusnya terdiri daripada golongan yang berumur juga kerana pada kebiasaannya orang yang berumur itu memiliki sifat-sifat kebijaksanaan dan bersabar menempuh cabaran.
Sultan Idris Bistari juga berjiwa rakyat. Baginda sedar bahawa banyak perkara yang dapat dipelajari daripada rakyat jelata. Selain itu baginda juga berpendirian bahawa pemimpin yang bergaul dengan rakyat akan memiliki sifat-sifat kemanusiaan dan dapat membuat pertimbangan yang baik. Oleh itu kita dapati dia telah menghalau anaknya sendiri supaya bergaul dengan para nelayan. Baginda juga yakin dengan pergaulan seperti itu seseorang pemimpin akan dapat menghayati dengan sepenuhnya keadaan rakyat terutama penderitaan mereka. Zahiruddin Shah yang tidak bergaul dengan rakyat didapati tidak memahami rakyat lalu membuat keputusan membeli barang-barang emas daripada rakyat dengan harga yang murah dan ini bolehlah dianggap sebagai satu penindasan, penipuan, dan kekejaman. Ketika baginda menyamar dalam perantauannya, baginda bergaul seperti biasa dengan rakyat jelata dan baginda memperolehi banyak maklumat hasil perbualan baginda dengan rakyat biasa seperti penari dabus, Ihsan, dan Yatim.
Pemerintah yang baik tidak seharusnya terlalu bercita-cita tinggi sehingga membebankan rakyat untuk mencapai cita-cita itu. Sultan Idris Bistari didapati dapat memerintah negerinya dengan aman kerana tidak melakukan perubahan yang mendadak dan berbelanja mengikut kemampuannya. Keadaan ini didapati berbeza dengan pemerintahan pada zaman Zahiruddin Zahiruddin Shah. Zahiruddin Shah ingin menunjukkan kekayaan negerinya sehingga sanggup berbelanja banyak untuk membina jambatan yang mahal, kapal yang besar dan cantik, angkatan peminangan yang besar, serta memperindah tamannya. Baginda juga telah memalukan pembesarnya sendiri di hadapan khalayak ramai apabila baginda memerintahkan Datuk Wira dan Datuk Arif menari. Keadaan ini juga telah menyebabkan rakyat menderita sedangkan baginda tinggal dalam keadaan yang mewah. Datuk Arif dan Datuk Wira pula merancang untuk menjatuhkan baginda dari tahta kerajaan.
Sultan Idris Bistari juga didapati bijak menangani masalah negeri jirannya yang tidak beraja itu. Melalui perkahwinan baginda dengan Ratu Salbiah, dua negeri itu telah bersatu dan menjadi lebih kuat. Sebaliknya, tindakan Zahiruddin Shah untuk mengisytiharkan perang jika pinangannya ditolak bolehlah dianggap sebagai satu tindakan yang terburu-buru dan kurang bijak kerana meletakkan seluruh rakyatnya berhadapan dengan risiko yang tinggi sekiranya peperangan meletus.
Pemerintah yang baik juga seharusnya dapat memerintah dengan adil tanpa mengira darjat dan keturunan dari segi undang-undang. Sifat ini jelas dimiliki oleh Sultan Idris Bistari. Baginda telah menghukum anaknya sendiri dengan hukuman dibuang negeri atas kesalahan menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan kepadanya. Baginda juga memberikan ganjaran yang sewajarnya kepada Ihsan, seorang rakyat biasa. Ihsan diberi jawatan yang penting dalam kerajaan baginda.
Selain itu, ciri-ciri pemerintah yang baik juga disampaikan melalui lakonan dalam lakonan oleh Puteri Kamaliah dan Yatim. Dalam lakonan mereka, Puteri Kamaliah menyatakan hasratnya untuk turut berjuang bersama rakyat demi mempertahankan negeri mereka dan sanggup meninggalkan istana. Di sebaliknya Yatim yang berlakon sebagai Sultan Idris Bistari ketika itu enggan berbuat demikian dan akhirnya dia ditinggalkan oleh Putri Kamaliah keseorangan di istananya.
Sultan Idris Bistari ingin belayar keluar negeri dan menyerahkan kuasanya kepada anakandanya Zahiruddin Shah sementara baginda tiada di dalam negeri Indera Mahkota. Sebelum berangkat baginda sempat berpesan supaya jangan diabaikan rakyat jelata. Melalui cerita kiasan, baginda juga berpesan supaya jangan menyalahgunakan harta kerajaan untuk kepentingan diri sendiri. Baginda juga berpesan kepada memanda wazir dan Orang-Orang Besar supaya turut menasihati Zahiruddin Shah dalam soal-soal pentadbiran negara.
Setelah baginda Sultan Idris Bistari berangkat, anakandanya Zahiruddin Shah terus memecat Memanda Wazir atas alasan wazir telah tua dan perlu berehat dan melantik wazir yang baru. Wazir baru mencadangkan supaya baginda mendapatkan emas daripada rakyat untuk mengindahkan istana supaya menjadi satu kemegahan apabila dilawati oleh raja dari negeri lain. Baginda akan membeli emas-emas itu daripada rakyat dengan harga yang murah. Sementara itu, Datuk Arif dan Datuk Wira kurang senang dengan tindakan Zahiruddin Shah dan berpendapat bahawa pemergian Sultan Idris Bistari ada muslihat.
Setelah beberapa lama belayar, Sultan Idris Bistari sampai ke negeri Langkapura yang diperintah oleh seorang raja perempuan, Ratu Salbiah kerana sultan negeri itu mangkat akibat dibunuh oleh lanun. Negeri itu diserang lanun kerana kaya dengan emas. Sultan Idris Bistari berjumpa dengan seorang penari dabus dan memberitahu bahawa baginda tidak bertujuan untuk mencari emas di negeri itu tetapi ingin berjumpa Ratu dan memberi amaran tentang terdapatnya seorang yang mengaku alim ulama tetapi menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan akidah Islam - namanya Syeikh Maulana Sadiqin. Sultan Idris Bistari juga mendapati kaum perempuan di negeri Langkapura kebanyakannya bijak.
Sementara itu, Zahiruddin Shah telah merancang untuk meminang Puteri Kamaliah di Langkapura. Baginda meminta Wazir menyediakan bahtera yang disaluti emas dan beberapa ekor gajah sebagai angkatan untuk meminang. Sekiranya Ratu Salbiah meminta tangguh, tempoh yang akan diberikan ialah selama sebulan sahaja. Sekiranya ditolak pula, kerajaan negeri Langkapura hendaklah menghadiahkan kepada baginda ‘sirih bertepuk pinang menari’ sekiranya tidak mampu juga, Langkapura hendaklah menghadiahi baginda dengan seratus tempayan emas. Kalau enggan juga, baginda akan menyerang negeri Langkapura.
Ratu Salbiah bercadang akan menolak peminangan itu tetapi tidak tahu dimana hendak mendapatkan sirih bertepuk pinang menari itu.
Zahiruddin Shah pula sibuk memperindah Taman Sarinya dan memerintahkan Wazir supaya menanam pokok-pokok bunga yang luar biasa, memelihara haiwan liar di sekitar taman, dan mengindahkan sungai. Baginda juga mengubah tarian lama yang perlahan kepada tarian baru yang lebih rancak bertenaga sera memaksa Datuk Wira dan Datuk Arif menari. Datuk Wira hampir meletakkan jawatannya kerana malu tetapi setelah dinasihatkan oleh Datuk Ariff, beliau membatalkan niatnya itu. Mereka berdua berpakat akan menggunakan suara rakyat untuk menjatuhkan Zahiruddin Shah.
Pada suatu malam, ketika beradu, Puteri Kamaliah telah bermimpi bertemu dengan jin yang menyumpahnya menjadi batu separuh badan. Puteri Kamaliah juga bertemu dengan Ihsan dalam mimpinya dan ihsan memberitahu Puteri Kamaliah supaya pergi ke Tanjung Jambu Mawar. Sementara itu, Insan juga mendapat pengalaman mimpi yang sama dengan tuan puteri. Dia juga bertekad akan pergi ke Tanjung Jambu Mawar.
Puteri Kamaliah, Inang, dan Yatim menyamar sebagai pemuzik jalanan untuk mencari Tanjung Jambu Mawar. Yatim menyamar sebagai al-Husaini seorang tauke bangsawan; dan Puteri Kamaliah menyamar sebagai Sajaratul Ikhlas seorang. Seorang pelakon bangsawan yang terkenal. Dalam lakonan mereka, al Husaini menolak permohonan Sajaratul Ikhlas (yang menyamar sebagai seorang perempuan tua)untuk berlakon kerana tidak mengenalinya. Setelah Sajaratul Ikhlas membuka topengnya, al Husaini melayan Sajaratul Ikhlas dengan baik. Sajaratul Ikhlas pula mempelawa al-Husaini berlakon dengannya. Mereka berlakon sebagai suami isteri. Sajaratul Ikhlas kononnya mengajak al-Husaini pergi berjuang bersama-sama rakyat tetapi al-Husaini enggan, dia lebih suka tinggal di istananya. Sajaratul membuat keputusan untuk meninggalkan suaminya. Selepas itu Sajaratul menyamar seperti orang tua seperti mula-mula tadi dan kononnya memohon semula untuk berlakon dengan al-Husaini. Al-Husaini tahu dia disindir oleh Sajaratul dan dia insaf lalu bertekad tidak akan sombong lagi dan akan melayan orang yang tidak dikenalinya selepas itu.
Selepas berlakon, Puteri Kamaliah sempat bercakap-cakap dengan Ihsan, mereka teringat akan mimpi masing-masing-masing. Insan telah berjanji akan menolong Puteri Kamaliah mendapatkan ‘sirih bertepuk pinang menari’. Pada pendapat Ihsan, biarkan Pak Yatim menjadi sirih dan Inang menjadi pinang. Apabila sirih (Pak Yatim) bertepuk, pinang(Mak inang) akan menari. Tafsirannya ialah keharmonian dalam kehidupan manusia. Puteri Kamaliah bersedih kerana dia diselamatkan oleh seorang anak nelayan(Ihsan) bukannya seorang anak raja.
Sementara itu, Sultan Idris Bistari dan Ratu Salbiah sampai ketempat Puteri Kamaliah berada. Tempat itu bernama Tanjung Cali yang pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai Tanjung Mawar. Ihsan pula telah mengumpulkan beberapa orang kampung untuk mambantu mengiringi Ratu Salbiah, Sultan Idris Bistari, dan Ratu Salbiah berangkat ke negeri Indera Mahkota. Ratu Salbiah juga mendapat tahu bahawa Ihsan ialah anak penghulu di situ dan Ratu Salbiah juga berasa aneh kerana Ihsan agak berlainan sifatnya, tidak seperti nelayan-nelayan yang lain.
Mereka berangkat ke negeri Indera Mahkota dan disambut meriah oleh Zahiruddin
Shah. Seterusnya Ratu Salbiah mempersembahkan apa yang dikatakan ‘sirih
bertepuk pinang menari’ itu
kepada Zahiruddin Shah tetapi baginda enggan menerimanya dan menganggap
itu satu helah atau penipuan. Ketika itu Sultan Idris Bistari membuka samarannya
lalu naik semula ke tahta sebagai sultan dan Zahiruddin Shah turun tahta.
Baginda memuji Ihsan dan berpendapat orang seperti Ihsan sepatutnya diberi
apa-apa jawatan walaupun dia tidak berketurunan raja kerana dia seorang
yang bijak, dan berani menentang raja demi kebenaran. Seterusnya baginda
memerintahkan Wazir dan Zahiruddin Shah meninggalkan istana dan pergi mendapatkan
ilmu serta pengalaman di kampung nelayan supaya dapat menjadi seorang manusia
yang lebih bermaruah dan berperikemanusiaan. Mereka tidak dibenarkan kembali
menjejak istana selagi belum insaf dan mendapat pelajaran yang bermanfaat
di kampung nelayan itu. Sultan Idris Bistari juga mengumumkan baginda akan
berkahwin dengan Ratu Salbiah dan dengan itu juga mermakna negeri Indera
Mahkota dan Langkapura akan bercantum dibawah pemerintahan mereka bersama-sama.
S.ZAHIRUDDIN SHAH
1. Zahiruddin Shah digambarkan sebagai seorang Raja Muda yang tidak berperikemanusiaan. Perwatakan ini jelas melalui tindak-tanduknya terhadap rakyat jelata ketika dia memegang tampok pemerintahan ketika Sultan Idris Bistari tidak ada di dalam negeri. Baginda sanggup merampas harta rakyat (emas) dengan cara membeli harta tersebut dengan harga yang sangat murah. Semua emas yang dibeli itu bertujuan untuk membina bahtera angkatan peminangan dan sebahagian daripadanya akan digunakan untuk memperelok istana dan taman dengan tujuan untuk bermegah-megah. Walaupun baginda tidak memaksa rakyat menyerahkan emas mereka tetapi baginda meminta Datuk Wira agar memujuk rakyat agar faham akan tujuan baginda. Baginda juga mengugut akan menyerang negara Langkapura sekiranya peminangannya ditolak. Terdapat juga perintah yang dikeluarkan oleh baginda dianggap satu bebanan kepada rakyat.Misalnya dengan memerintahkan membina tasik berwarna biru dan berbau wangi dan memerintahkan rakyat mencari pokok-pokok bunga yang ganjil-ganjil dan sukar didapati kecuali terpaksa mendaki bukit dan gunung.
2. Zahiruddin Shah juga merupakan seorang yang boros berbelanja serta tamak. Sikap ini dapat dilihat melalui tindakannya membesarkan istana, memperelok taman dengan memelihara pelbagai jenis binatang serta menanam pelbagai jenis pokok bunga yang luar biasa, membina bahtera yang besar-besar, dan sebagainya. Banyak wang negara yang digunakannya untuk tujuan rekreasi dan untuk menunjuk-nunjuk kepada negara lain. Baginda juga ingin memiliki kekayaan negeri Langkapura dan sanggup menyerang negeri tersebut sekiranya baginda tidak dapat berkahwin dengan puteri Kamaliah. Baginda bagaimanapun memberi pilihan kepada ratu Salbiah sama ada negerinya diserang atau terpaksa mengeluarkan hadiah kepada baginda sebanyak 100 tempayan emas.
3. Selain itu, baginda juga mempuyai sikap suka menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah. Dalam satu peristiwa, baginda akan dilawati oleh seorang raja yang kaya dan terkenal. Oleh hal yang demikian, Zahiruddin Shah memberitahu wazir bahawa baginda juga ingin menunjukkan kepada Raja yang kaya itu baginda juga memerintah sebuah negara yang kaya. Tindakannya menghantar utusan peminangan yang besar ke Langkapura juga membuktikan bahawa baginda memang suka menunjuk-nunjuk kekayaannya. Baginda juga sengaja memerintahkan agar bahtera peminangan belayar dalam satu jangka masa tertentu agar sampai di negeri Langkapura pada waktu tengah hari supaya bahtera yang bersalut emas itu kelihatan bersinar-sinar.
4. Zahiruddin Shah juga digambarkan sebagai seorang yang
tidak pandai menilai maruah orang lain. Sikap ini dapat kita lihat dalam
peristiwa di Taman Sari ketika baginda memerintahkan Datuk Wira dan Datuk
Arif menari dengan iringan lagu yang rancak dan riang yang tidak sesuai
dengan umur mereka. Datuk Wira dan Datuk Arif berasa kekok dan sangat malu
dengan tindakan itu sehingga hampir meletakkan jawatan mereka. Sikap ini
juga dinyatakan oleh Sultan Idris Bistari sendiri dan merupakan salah satu
sebab Zahiruddin Shah disingkirkan dari istana dalam babak akhir. Dalam
hal ini, Sultan Idris Bistari tidak mengizinkan Zahiruddin Shah kembali
keistana sekiranya baginda tidak mengenali erti kemanusiaan dan maruah
diri.
|
|
|
|
|