SEMBAHYANG penting
dalam kesatuan umat Islam. Pentingnya solat itu, maka Nabi Muhammad
saw memberi amaran keras kepada mereka yang tidak hadir ke masjid
untuk menunaikan solat Jumaat.
Baginda bersabda
bermaksud: "Barang siapa secara mudah meninggalkan sembahyang
Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah akan menjadikan
hatinya keras untuk menerima kebenaran."
Sembahyang Jumaat
ini terlalu penting untuk memastikan umat Islam berada di atas
landasan yang membawa kecemerlangan dan kejayaan.
Baginda juga
meletakkan garis panduan yang wajib diikuti oleh mereka yang
menghadirinya. Hal ini bagi memastikan ibadat Jumaat itu benar-benar
dapat mendidik jiwa orang yang menghadirinya.
Antara garis
panduan itu adalah:
Mengemas diri
dengan sebaik-baiknya, mandi membersihkan dirinya agar jemaah
lain, terutama yang berhampiran dengannya tidak terganggu oleh
bau badan atau pakaiannya yang busuk.
Nabi bersabda
bermaksud: "Apabila seseorang kamu menghadiri sembahyang
Jumaat, maka hendaklah dia mandi." (Hadis riwayat Muslim)
Segera ke masjid
dengan penuh ketenangan.
Perkara ini
perlu bagi mendapatkan saf yang paling depan, berzikir, membaca
al-Quran serta berpeluang mendengar khutbah dengan jelas.
Baginda bersabda
bermaksud: "Barang siapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian
pergi ke masjid pada awal waktu, maka seolah-olah dia berkorban
seekor unta." (Hadis riwayat Bukhari)
Menumpukan perhatian
sepenuhnya kepada khutbah yang dibaca.
Mendengar khutbah
adalah suatu kemestian dan syarat sah bagi sesuatu Jumaat yang
didirikan. Ia adalah kemuncak kepada ibadat sembahyang Jumaat.
Sekiranya jemaah
yang membanjiri masjid tidak mendengar khutbah dengan baik, sibuk
bercakap-cakap sesama sendiri atau gurau senda, dia bukan saja
tidak dapat menerima faedah daripada khutbah disampaikan oleh
khatib, malah solat Jumaatnya penuh dengan kecacatan dan tidak
sempurna. Paling sedih, dia langsung tidak mendapat pahala.
Perkara itu
seperti sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud:
"Barang siapa yang bercakap-cakap ketika Imam sedang membaca
khutbah (Jumaat), maka dia bagaikan seekor keldai yang membawa
kitab-kitab dan sesiapa yang berkata diam (kepada rakannya yang
bercakap) tiadalah Jumaat baginya, Jumaatnya tidak sempurna."
Demi memastikan
setiap kalimah yang dibaca oleh khatib didengar serta difahami
dengan baik, Rasulullah melarang jemaah yang berada dalam masjid
daripada melakukan ibadat sunat seperti bertasbih atau membaca
al-Quran.
Sembahyang sunat
Tahyatul Masjid dibenarkan, tetapi hendaklah didirikan seringkas
mungkin agar jemaah tidak terlepas daripada mendengar khutbah.
Berbual dan
sikap tidak menumpukan perhatian ketika khatib membaca khutbah
adalah perbuatan yang sangat buruk. Ia menyerupai sikap yang
pernah ditunjukkan oleh orang kafir Quraisy pada zaman dulu.
Firman Allah
bermaksud: "Dan orang kafir berkata: "Janganlah kamu
mendengar akan al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian
dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak) supaya kamu berjaya
(mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya). Maka
demi sesungguhnya, kami akan merasakan kepada orang yang kafir
itu azab seksa yang seberat-beratnya, dan kami akan membalas
mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah
kerjakan." (Surah al-Fussilat, ayat 26 dan 27)
Amalan tidak
memberi tumpuan terhadap khutbah yang dibaca oleh khatib adalah
kesalahan yang menyerupai pengabaian terhadap bacaan al-Quran.
Perkara ini kerana salah satu dari rukun khutbah adalah membaca
al-Quran.
Justeru, Allah
menggesa agar apabila al-Quran atau khutbah dibaca, maka hendaklah
kita diam dan menumpukan perhatian terhadap bacaan itu.
Firman Allah
bemaksud: "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah
akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya),
supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-A'raaf, ayat 204)
Sumber:
BH Online - Sabtu, 29 Januari 2005/18 Zulhijjah 1425
|