HARI ini, 9
Zulhijjah, berlaku satu peristiwa besar dan menjadi catatan yang
tidak boleh dilupakan oleh umat Islam.
Peristiwa yang
dikaitkan dengan sejarah perjuangan Rasulullah saw itu adalah
saat berharga dan menyimpan pelbagai teladan bagi umat zaman
ini.
Ia adalah pesanan
terakhir daripada seorang nabi dan rasul yang diutuskan Allah
untuk menyebarkan dakwah tauhid serta mengajak manusia mengesakan
khalik (pencipta) sebenar yang Maha Agung dan Maha Bijaksana.
Pesanan ini
disampaikan dalam khutbah terakhir Baginda di Lembah Uranah,
Gunung Arafah, berhampiran kota Makkah pada 9 Zulhijah tahun
ke-10 Hijrah.
Isi khutbah
itu adalah:
"Wahai
manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan.
"Aku tidak
mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas
ini.
"Oleh itu,
dengarlah dengan teliti kataku dan sampaikan ia kepada orang
yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
"Wahai
manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai
suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai
amanah suci.
"Kembalikan
harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
"Janganlah
kamu menyakiti sesiapa pun supaya orang lain tidak menyakiti
kamu lagi.
"Ingatlah
bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti
membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
"Allah
mengharamkan riba, justeru, segala urusan membabitkan riba dibatalkan
mulai sekarang.
"Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.
"Dia (syaitan)
sudah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara besar,
maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara
kecil.
"Wahai
manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, maka
mereka juga mempunyai hak di atas kamu.
"Jika mereka
menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak
untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
"Layani
wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah dengan mereka kerana
sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.
"Dan hak
kamu atas mereka adalah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan
orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang
melakukan zina.
"Wahai
manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kataku ini, sembahlah Allah,
dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasa pada Ramadan
dan tunaikan zakat daripada harta kekayaan kamu.
"Kerjakanlah
'ibadat haji' jika kamu mampu.
"Ketahuilah
bahawa setiap Muslim ialah saudara kepada Muslim lain.
"Kamu semua
adalah sama, tidak seorang pun lebih mulia daripada yang lain
kecuali dalam takwa dan beramal soleh.
"Ingatlah,
bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan
di atas segala apa yang kamu kerjakan.
"Oleh itu,
awasilah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan
kebenaran selepas kewafatanku.
"Wahai
manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepas
aku dan tidak akan lahir agama baru.
"Oleh itu,
wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kataku yang
sudah aku sampaikan kepada kamu.
"Sesungguhnya
aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang
teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya.
"Itulah
al-Quran dan sunnahku, hendaklah orang yang mendengar ucapanku,
menyampaikan pula kepada orang lain.
"Semoga
orang yang terakhir lebih memahami kataku daripada mereka yang
terus mendengar dariku.
"Saksikanlah
Ya Allah, bahawasanya sudah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-Mu."
Semoga pesanan
dan kata-kata terakhir ini dapat dihayati oleh seluruh umat Baginda
sebagai panduan serta pedoman dalam menempuh liku kehidupan ini.
Sumber:
BH - 20 Jan 05 / 9 Zulhijjah 1425 |