Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
 
Imam Dikehendaki Pendekkan Bacaan
 

SEORANG lelaki menemui Nabi Muhammad saw, lalu berkata: "Sesungguhnya aku melambat-lambatkan sembahyang Subuh disebabkan imam itu memanjangkan bacaannya ketika bersembahyang bersama kami."

Abu Mas'ud berkata: "Aku tidak pernah melihat Nabi marah ketika memberikan nasihatnya lebih daripada marahnya pada hari ini."

Sabda Baginda: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya antara kamu semua ada (melakukan sesuatu) menyebabkan orang lain lari, sesiapa antara kamu yang menjadi imam kepada orang ramai hendaklah dia memendekkan bacaannya kerana sesungguhnya makmum di belakangnya adalah daripada kalangan orang tua, kanak-kanak dan orang yang hendak menguruskan keperluannya dengan segera."

Jelasnya, Islam adalah agama yang mudah dan memudahkan. Islam memerintahkan umatnya supaya melaksanakan perintah Allah dan ajaran Rasulullah, tetapi pada masa sama tidak mahu membebankan umatnya.

Oleh itu, setiap orang yang hendak melakukan sesuatu perkara perlu memikirkan keperluan orang di sekelilingnya terlebih dulu.

Misalnya, mereka yang menjadi imam dalam sembahyang, perlu mengambil kira keperluan makmumnya. Mereka tidak digalakkan membaca surah yang panjang kerana dibimbangi akan menyusahkan makmum.

Kita hendaklah peka terhadap sesuatu perkara atau masalah yang berlaku, terutama berkaitan agama dan masyarakat Islam seluruhnya.

Oleh itu janganlah hendaknya seorang imam atau pemimpin itu bertindak melakukan sesuatu urusan yang boleh mendatangkan kerumitan kepada orang lain, yang akhirnya menyusahkan mereka.

Perkara itu kerana ia akan menjauhkan seseorang daripada kebaikan yang sepatutnya diperoleh oleh mereka.

Sumber: BH - Selasa, 25 Januari 2005 / 14 Zulhijjah 1425

sembahyang@yahoo.com