|
Laman Web PAS Kawasan Ampang Jaya
Surat Anda :
Tindakan Polis Ampang Tidak Demokratik
Tindakan Polis mengepung ceramah PAS Ampang Jaya di Taman Maju Jaya, Cheras pada 5 April lepas adalah satu tindakan tidak demokratik dan memalukan.
Ceramah malam itu diadakan di dalam dewan dengan penceramah dan penonton berada di dalam dewan. Hanya terdapat beberapa orang sahaja yang berada di luar dewan dan itupun di dalam kawasan pagar dewan tersebut. Pembesar suarapun terletak di dalam dewan. Tidak ada kesesakan lalulintas yang berlaku. Dengan itu kenapa perlu permit ?
Pada 1 Mei lepas UMNO ada membuat ceramah di Dewan Ahmad Razali, Pekan Ampang tetapi kenapa UMNO tidak perlu permit untuk program itu ? UMNO juga telah mengadakan persidangan perwakilannya pada 8 April di dewan yang sama tetapi tidak ada permit ? Tetapi apa yang Polis Ampang buat ?
Saya harap OCPD Hulu Langat dapat menjawab soalan-soalan ini. Kenapa beliau mengarahkan ceramah PAS itu diberhentikan tetapi tidak bertindak ke atas majlis-majlis UMNO ? Kenapa beliau mengarahkan ratusan Polis untuk turun ke Taman Maju Jaya tetapi membiarkan majlis-majlis UMNO tanpa gangguan ?
Sebagai seorang pembayar cukai yang menyumbang kepada gaji-gaji anggota Polis termasuk OCPD Hulu Langat saya mempunyai hak untuk mengetahui kenapa Polis Ampang mengamalkan sikap "pilih-kasih" di dalam melaksanakan undang-undang. Lupakah mereka bahawa mereka bertugas untuk rakyat dan bukan untuk UMNO atau BN.
Selagi perkara seperti ini terus berlaku tidak ada harapan pihak Polis akan dihormati oleh rakyat. Berapa banyak slogan seperti "Mesra Rakyat" dilaungkan sekalipun tidak berguna sekiranya masyarakat masih memandang Polis sebagai alat kepada UMNO dan bukannya sebagai sebuah badan bebas.
Mereka mungkin berjaya menakut-nakutkan orang-ramai dengan mengepung Taman Maju Jaya dan memberhentikan ceramah sebelum masanya tetapi tindakan mereka ini akan dicemuh oleh dunia. Selepas Sabak Bernam, Malau dan Taman Maju Jaya, Malaysia akan terus dianggap sebagai sebuah negara yang tidak menghormati hak-hak rakyatnya dan sekali-gus akan menghakiskan keyakinan pelabur-pelabur asing. Lihat sahaja bagaimana Intel dan Seagate telah menutup kilang-kilangnya di negara kita. Lima syarikat penerbangan antarabangsa ( British Airways, Lufthansa, All Nippon Airways, Qantas dan Aeroflot ) pula telah enggan mendarat di KLIA. Dengan itu kalau ekonomi negara semakin menjunam jangan salahkan BA tetapi kebiadapan kerajaan BN yang menyebabkan pelabur-pelabur tidak yakin.
Suara Rakyat Ampang 17 haribulan Mei 2001
Pendapat penulis bukan rasmi PAS Kawasan Ampang Jaya
"Sila click untuk kembali ke menu"
|
|