Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

GELODAK.

Oleh:  Abdul Halim Yaacob.

BERMULA dengan desas-desus.  Kemudian ia menjadi isi teks.  Langsung disampaikan kepada sesiapa yang sudi mendengar.  Di rumah kenduri. Di rumah orang mati. Di warung tepi jalan. Dan merebak di mana-mana jua. Semakin lama semakin enak diperbualkan. Bukan apa kerana itulah salah satu di antara yang paling sedap didunia: berbual.  Kalau perbualan ditambah dengan perencah mengata orang tentu sekali amat melekakan.  Kadang-kadang boleh lupa makan.  Ada kalanya sakitpun hilang begitu sahaja.

“Memanglah dia ni layak dipanggil musuh.  Dasar kita sejak dulu tak berubah. Tidak sepatutnya ditolak mentah-mentah.  Kalau begitulah sikap dan pendirian yang diambil darahnya halal.  Selayaknya dia diperangi.  Bukankah begitu!?”

“ Ya… ya…  Itulah yang kami mahu.”

“Mengapa tidak diteruskan?”

“Kami tak tahu caranya.”

“Orang muda macam awaklah sepatutnya menjadi teraju!  Mengetuai tindakan!”

“Siapa yang mahu percayakan kami?  Darah baru setampuk pinang.”

Segala butir percakapan itu dikutip satu persatu.  Orang semakin ramai memenuhi warung itu.  Pemakai serban berjubah menjadi tumpuan. Kepada tetamu-tetamunya dipelawa memesan minuman.  Janggutnya yang kelihatan memutih itu menampakkan kematangannya.  Dimaniskan lagi dengan celak yang mengelilingi matanya.  Senyuman yang sentiasa bermain di wajahnya juga tidak kurang peranannya.

“Ini rezeki halal.  Rezeki pemberian Allah.  Jangan ditolak.  Dan tak usahlah kita bimbang.  Mintalah apa yang kamu nak minum. Tapi yang halal saja tau.”

Hari semakin meninggi.  Orang kian ramai berkerumun.  Si pemakai serban berjubah tambah rancak berhujah.  Panas sama ada kerana cuaca atau haba manusia membuatkan dia terpaksa menyinsing lengan jubah.  Mungkin juga kerana isu yang bertambah hangat.  Tapi itu bukan persoalannya.  Apa yang penting ialah musuh yang hendak diperangi. Musuh perlu diganti segera.   Itu yang pasti.

“Bukan musuh saya seorang.  Bukan hanya musuh kita yang ada di sini.  Musuh semua isi alam.  Musuh jagat raya yang bermaksud hendak menegakkan amar makruf dan nahi mungkar!”

Padanya pengganti tetap ada.  Malah ramai yang berwibawa.  Ramai tokohnya.  Bukan protagonis itu.  Dia sudah tidak berguna.  Sudah tua.  Layak berehat saja.  Bertaubat dari segala kesilapan.  Minta ampun banyak-banyak kepada Illahi.  Dosanya masa silam bukan sedikit.

Mahukah kita mundur ke belakang?  Kembali kepada zaman gelap lebih seribu tahun lalu.  Tinggal di atas pokok.  Bertelanjang bulat.  Memakai kulit-kulit pokok atau kulit-kulit haiwan.

Kalau diajukan soalan-soalan sedemikian pasti tiada yang setuju.  Itu adalah soalan-soalan bodoh lagi memperbodohkan.  Soalan-soalan yang sama sekali tidak diterima akal.  Sedangkan lebih seribu tahun lalu demikianlah keadaannya.  Mungkin lebih buruk lagi dari itu.  Kalau tiada yang menggerakkan seperti yang ada sekarang barangkali pokoklah menjadi tempat kediaman.  Barangkali kulit-kulit pokok atau kulit-kulit haiwanlah yang menjadi pakaian setiap warga.

Demikianlah malangnya kalau setiap orang tuna sejarah.  Lebih malang kalau kuman di seberang lautan nampak jelas sedang gajah di depan mata langsung tidak kelihatan.  Penipuan boleh menyusup masuk dengan bermacam cara.  Pada era globasi seperti kini, kuasa luar boleh bertindak menjadikan anak tempatan selaku boneka mereka.  Menjadikan yang dikejar tidak diperolehi sementara yang sedang dikendung tercicir lalu jatuh ke tangan orang.  Penjajahan bentuk baru akan bermaharajalela andai tidak berwaspada bertindak.  Akhirnya sendiri yang putih mata!  Sendiri yang menerima musibah!  Contohnya sudah ada.

“Sudah jelas.  Sudah terang dia itu musuh kita.  Musuh setiap penegak kebenaran.”

“Buktinya?”

“Cuba buka mata luas-luas.  Buka pandangan tentang tindakan hendak menggugurkan visi suci itu apa?  Bukankah visi suci itu pegangan kita sejak lama dahulu?  Nah…!  Sudah jelas buktinya.  Apa lagi yang nak dicari?”

“Tapi dia manusia.  Kesilapan tetap ada.  Kita juga manusia yang tidak sunyi dari berbuat silap.”

Suara yang begitu berani menjadikan setiap orang beralih ke arahnya.  Agak lama juga perhatian tertumpu kepadanya.  Dia senyum tanpa merasa silu dengan ucapan sedemikian. Apakah ini musang berbulu ayam?  Mungkinkah musuh dalam selimut?  Atau gergaji bermata dua?  Ah pedulikan.  Kalau seorang pasti tidak menjadi kudis. 

“Betul kita juga akan berbuat silap.  Tidak mustahil kita tak sunyi dari kesalahan.  Tapi kita ada kelas.  Ada tarbiah. Kita bermuzakarah dan bermuhasabah.  Gunanya tidak lain membetulkan kesilapan.  Muzakarah yang kita adakan itu juga bagi menghitung kesalahan. Memperbaiki diri sendiri supaya tiada cacat celanya.  Dengan itu akan memperelok strategi perjuangan.”

Memaki hamun, menyeranah, mencarut atau mengata-ngata.  Hampir sahaja perkataan sedemikian terluah.  Mujur ia tidak menjadi kenyataan. Sepi dan tiada sesiapa yang mengambil tahu. 

“Jangan ragu-ragu.  Perjuangan ini suci.  Sama seperti perjuangan Rasulullah menegakkan panji-panji suci di zaman silam.”

“Mati kita?”

“Mati syahid.  Kelak akan masuk syurga. Bukan senang mendapatnya selepas zaman Rasulullah.”

“Betulkah impian akan jadi kenyataan?”

“Selagi musuh berkawan dengan kafir.  Peraturan-peraturan kafir kekal menjadi pegangan mereka.  Kitalah yang akan mengubahnya. Masih ragu-ragu lagi?”

Dengan luahan sedemikian lelaki berserban dan berjubah itu kelihatan berseri wajahnya.  Berseri kerana merasa cakapannya telah berjaya menarik perhatian.  Pengikutnya akan bertambah. Duri dalam daging boleh dihilangkan dengan mudah.  Perjuangannya kelak akan mendapat keredaan Illahi.  Bukannya kerendahan akal budi seumpama musuhnya.  Kezaliman akan dihapuskan biar dengan apa cara sekalipun.  Hasil perjuangan suci mengikut sunah itu akan menjelma.  Begitu harapannya selama ini. 

Perjuangan suci mengikut sunah Rasulullah?  Demikiankah kehendak baginda?  Bukankah sekembali dari berperang dengan orang-orang kafir baginda pernah bersabda:  “Kita kembali dari peperangan yang kecil untuk menghadapi peperangan yang lebih besar iaitu melawan nafsu”?  Apakah tidak diketahui maksud peperangan yang besar itu adalah nafsu yang bersarang dalam diri? Nafsu adalah sejahat-jahat musuh yang mesti ditumpaskan.  Nafsu sentiasa mengintai peluang untuk memusnahkan manusia.  Nafsu memusuhi manusia dan Allah sekali gus.  Untuk memeranginya bukan mudah!  Pengorbanan besar amat perlu! 

Sesungguhnya untuk merampas kuasalah menjadi persoalan. Rampasan kuasa menjadi perjuangan yang kononnya suci.  Kononnya mengikut sunah.  Masakan matinya syahid kiranya tindakan sedemikian didalangi pihak luar yang tidak berpaksikan akidah? 

Kalau dibandingkan dengan pencapaian kelompok yang dimusuhinya jelas sekali perbezaannya seperti langit dengan bumi.  Produknya bukan produk jumud.  Didaktik serta mendapat perhatian universal.  Ke mana jua dia berpergian akan menjadi tumpuan media.

“Gembar-gembur mudah dilaksanakan. Apa lagi jika di negara kafir yang menjadi sahabatnya. Dengan cara begitu maka kafirlah orang yang menggauli kafir itu. Inilah yang mesti segera disekat. Di cegah sebelum menjadi bertambah parah! Kalau bukan kita yang bertindak siapa lagi? Siapa!?”

Memang benar musuhnya tidak menzahirkan fizikal seperti kelompoknya. Menyederhanakan pendekatan menjadi amalannya sejak sekian lama.  Namun tegaknya jauh lebih maju di hadapan. Dikagumi dunia baik di barat mahupun di timur.  Baik musuh atau kawan.  Pendidikan rohani tidak terabai.  Malah bertambah kukuh dari semasa ke semasa.  Menjadi idola pula di mana-mana.  Bahkan kerana kesederhanaannya ia amat dihormati. Bakal dilantik selaku pendamai dunia.  Persoalannya mengapa kelompok pejuang yang konon bertujuan menegak amar makruf dan nahi mungkar tidak sedemikian? Segala gerak geri seperti berundur kebelakang?  Seakan-akan menolak kemajuan.  Tidak boleh diteladani sama sekali. Malah kiranya tidak tergolong dalam kumpulan merka perjuangan menjadi amat sia-sia.  Sampai begitu sekali anggapan mereka?

Ada suara lantang yang menyinggung kononnya pembangunan itu menambah pembaziran.  Namun penyinggung turut menggunakannya.  Konon menggalakkan korupsi.  Tetapi mereka yang lebih mendapat nikmatnya.  Keadilan terabai kerana tiada kesamarataan dan macam-macam lagilah tohmahan dan cemuhan. Kalau semua itu bersifat material dan boleh dikutip tentu tidak muat gudang simpanan.  Bagaimanapun jika tiada  kegigihan keselesaan tidak ada sama sekali.  Ditumpangi warga asing yang berebut-rebut datang saban hari.  Terpaksa diangkut pulang kerana kedatangan itu tidak sah.  Tiada dokumen perjalanan.

Kalau tidak diusahakan bersungguh-sungguh hendak pakai pakaian yang elok dan baik tentu tidak terlaksana.  Peluang-peluang pekerjaan tidak terbuka.  Jauh sekali hendak menunai rukun ibadat.  Bukan tidak pernah terjadi demikian.  Sejarah tidak pernah berbohong. Huru hara adalah penghalang yang terbesar.  Pemodal asing tidak berani datang melabur modal.  Mana yang ada sudah nampak bencana kerugian. Lantas bungkus tikar bantal berangkat pulang.  Akibatnya ramai warga hilang pekerjaan. Geraf pengangguran akan meningkat.  Begitukah yang dikehendaki?

Kemuncak perbualan si pemakai serban berjubah terhenti bila azan zohor berkumandang.  Datangnya dari masjid yang terletak tidak jauh dari warung. Sakunya diseluk dan sehelai wang kertas lima puluh ringgit dikeluarkan.

“Kira semua!!” laungnya.  “Kalau dah sampai seru, apa lagi ditunggu?  Nanti syahid beralih ke lain tempat pula.  Rugi kalau terlepas,” katanya kemudian.

Setelah mengambil wang bakinya dia hendak beredar.  Anehnya bukan masjid yang baru seketika tadi mengkumandangkan azan menjadi destinasinya. 

Ke arah lain pula dituju? Mengapa tidak ke masjid?  Bukankah seruan kemenangan mengajak kita ke sana?  Itulah ajakan berjihad!  Jihad akbar!

Gelodak itu tiada sesiapa mendengar.  Baik si pemakai serban berjubah mahupun pengikut-pengikutnya. 

as_riz@tm.net.my

Sunday, March 10, 2002 5:51 AM

 

 

PERTARUHAN KEDUA.

Oleh:  Abdul Halim Yaacob.

 SEMENJAK kecil lagi tidak pernah terlintas di hatinya untuk menjadi ketua.  Namun dia bukan sahaja dilihat sedemikian, malah amat diperlukan.  Dia sentiasa dilihat sebagai tokoh berwibawa.  Punya kebolehan luar biasa.  Biarpun kelulusannya tidak seberapa, bakat yang mendorongnya berada di hadapan.  Bakat itulah yang menjulang tinggi dirinya.  Biarpun sudah berkali-kali dicubanya mengelak tetapi tidak berjaya.

“Siapa lagi yang berwibawa selain kamu?” ingatannya kembali kepada peristiwa yang dilaluinya dahulu.

Memang peristiwa itu sudah lama berlalu.  Tetapi ia seperti masih baru.  Kehadirannya ketika itu memang amat dinanti.  Kegawatan yang terpaksa dilalui terlalu banyak.  Berceracak bagai ranjau yang bukan kepalang tenaga membanterasnya diperlukan.  Bukan itu sahaja.  Musuh juga bukan sedikit berhasrat menjatuhkannya. Sungguhlah ada pendapat mengatakan bahawa bila seseorang berada di atas, kawan sedikit tetapi musuh ramai.

“Sewaktu kita nobody dalam persatuan atau pertubuhan ramai yang datang bermain dengan kita.  Tapi bila kita sudah menjadi somebody, kita keseorangan.  Bahkan ramai pula yang bermusuhan dengan kita,” kata seorang teman dalam satu perbualan.

Setiap yang dilalui seolah-olah menjadi guru atau pengajarnya.  Sekurang-kurangnya ia menjadi pedoman.  Menjadi panduan dalam mengukuhkan kedudukan.  Apa lagi bila kekeruhan sudah bermula.  Memurnikan musuh yang menggunting dalam lipatan bukannya mudah.  Golongan ini selalunya pepat di luar, tetapi rencong di dalam. 

“Berhati-hatilah menangani puak-puak yang cuba menahan lukah di pergentingan,” nasihat salah seorang kenalan yang sama-sama bersekolah dengannya. Agak lama juga baharu dia mendapat khabar bahawa kenalannya ini ada pertalian darah dengannya.

“Seseorang itu dilahirkan dengan membawa bersama bakat,” seorang kawan memberikan pendapat.  Dan dia menunjukkan minat mendalam terhadap pendapat itu. Mungkin pendapat itu berguna dalam menghadapi cabaran.

“Bukan suatu perkara mudah menempuh hidup ini.  Sekurang-kurangnya ada lima fasa yang mesti dilalui sebelum beroleh sukses.”

Lima? Terbetik pertanyaan dalam hatinya. Rukun Islamkah? Atau Rukunegara yang tercipta selepas tercetus peristiwa hitam 13 Mei 1969. Ah… masa seperti terlalu perlahan berlalu. 

Ketika jawapan sangat-sangat dikehendaki, kawan itu pula kelihatan seperti sengaja mahu melambat-lambatkannya.  Bukankah sabar itu sebahagian iman?  Lagipun Allah beserta orang-orang yang sabar, pujuk hatinya. 

“Fasa pertama minat.  Kedua rajin mengasah bakat dalam bidang yang diceburi dengan mempelajari kesilapan. Ingat!  We learn through our last mistake,” kawan itu berhenti lalu merenungnya. 

Memang benar seperti telahannya. Tetapi kelambatan kawan itu meneruskan dengan fasa ketiga, keempat dan kelima menggelisahkannya.  Bukan senang untuk mendapat maklumat sedemikian.  Sebelum itu tiada siapa menyampaikannya.

“Sifat tahan uji amat perlu dalam kepimpinan.  Ia menjadi perkara pokok dan fasa ketiganya,” lanjutnya lagi.  “Mudah menyerah dan cepat mengalah atau bosan akan menyukarkan seseorang menempa kejayaan.”

Penjelasan yang terluah itu agak melegakan.  Pun masih ada dua lagi rahsia belum dinyatakan.  Kesabarannya membuatkan dia cukup setia menanti.  Semua akan dicatitkan dalam notanya nanti.

“Perkara keempat ialah peluang.  Kalau tiada usaha merebutnya ketika ia datang, tidak akan ada kejayaan dalam apa juga usaha,” begitu penjelasan yang diberikan setelah sekian lama ditunggu.

Fasa kelima? Nafsunya tidak sabar mendesak.  Desakan itu bersilih ganti dengan kehendak akal.  Seketika nafsu berkuasa.  Manakala di ketika yang lain akal pula mengambil tempat itu.  Lalu dia beristighfar.  Hanya itulah ikhtiar mengendurkan sambil memujuk kedua-duanya bertenang.

“Akhir sekali iaitu fasa kelima yang juga tidak kurang penting dalam hidup ialah takdir.   Tapi ia jangan dibiarkan berkuasa.  Andainya tiada usaha bersungguh-sungguh di samping banyak berdoa kegagalan pasti menanti. Berdoalah selalu.  Mohonlah supaya Allah makbulkan segala kehendak.  Sementara peluang kalau nak dihurai satu persatu, tidak berkesudahan.  Ada hadis mengenainya,” kawan itu menutup bicara.

Kelima-limanya menjadi renungannya.  Semuanya kait-mengait antara satu sama lain.  Minat sebagai pembuka jalan memerlukan banyak latihan.  Kalau malas mengasah bakat dengan sendirinya minat akan hilang.  Ujian yang terpaksa ditempuh juga bukan sedikit.  Alang-alang ia boleh menggoncangkan minat yang mula hendak bertunas dan kemudian tumbuh subur. Namun musuh-musuh yang cuba memusnahkannya terlalu banyak.  Kiranya tidak tahan uji alamat akan patah dan terbantut.  Lebih buruk lagi akan padam terus.

Umumnya hanya dua peluang sahaja disebut iaitu peluang baik dan peluang tidak baik. Tanpa disedari ada lima peluang mengikut hadis sahih.

Lima? 

Ya…. ada lima.  Bukan Rukun Islam atau Rukunegara!  Demikian suara hatinya berkata.  Tentulah ia terbit dari akal sihatnya.  Bukan hasutan nafsu melulu. 

Peluang pertama yang mesti direbut ialah masa muda sebelum tua. Banyak perkara boleh dibuat pun masa muda kerana tenaga masih kuat.  Inilah masanya untuk belajar.  Masa untuk menimba ilmu supaya ia dapat dimanfaatkan oleh semua orang.

“Apabila putus nyawa seseorang itu, putuslah amalannya melainkan tiga perkara,” kata-kata khatib ketika membaca khutbah Jumaat itu kembali diingatnya.  “Sedekah jariah, anak yang salih dan ilmu yang bermanfaat yang boleh digunakan ke jalan kebaikan.”

Sedekah jariah?  Pertanyaan itu mercup tertancap dalam fikirannya.  Berapa banyakkah dia bersedekah?  Anak yang soleh juga dia tiada rasanya kerana dia juga tidak tergolong sedemikian.  Ilmu yang bermanfaat juga belum tentu.  Namun segalanya boleh diusahakan.  Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Keduanya sihat sebelum sakit.  Tiada guna kalau seseorang itu terlantar di pembaringan.  Hanya ubat dan doa sahaja sebagai teman.

Ketiganya kaya sebelum miskin atau papa.  Jika sudah terpaksa mengemis tentu sekali tiada guna.  Akan adakah sesiapa mengendahkan kecuali mereka yang benar-benar pemurah.  Berapa ramaikah yang begitu?

Keempatnya masa lapang sebelum suntuk kerana kesempatan selalunya datang cuma sekali.  Jarang benar ia datang untuk kali keduanya seperti kata pepatah Inggeris; Chances are not come twice.

Akhir sekali ialah masa hidup sebelum mati.  Sungguh! Orang yang dah mati tak boleh buat apa-apa.  Semua pintu tertutup.  Baik pintu rundingan, mahupun pintu untuk mendapatkan sebarang peluang tertutup rapat.  Tiada sebarang kesulitan menantinya di atas muka bumi.

Setiap satu yang dipetik kemudiannya menjadi pedoman ketika mentadbir.  Lalu ketokohannya kian menyerlah.  Khabar mengenai  dirinya lekas tersebar.  Malah ada juga yang mahu mencontohinya.  Keadaan sedemikian amat ditakuti.  Takut ia membawa kepada terjadinya ujub.  Apa lagilah itu kelak riak atau takbur mula bertakhta dalam dirinya.  Lantas segera dia beristighfar.

Moga-moga dijauhi bala atau bencana!  Begitu harapannya.

Kemasyhuran yang menjulangnya mula dicemburui.  Pelbagai nista mula terdengar di mana-mana.  Tetapi kalau hendak didengar cakap orang suatu apapun tidak boleh diperbuat. Hakikat ini tidak dapat dielak.  Menyedari ada bahaya sedang mengintai, pengintip setia amat diperlukan.  Tetapi memperolehinya tidak semudah yang disangka.  Tidak kurang juga yang menawarkan diri untuk jadi pelindung.

“Masalah akan dapat dirongkai jika ia dianggap sebagai cabaran,”  jelas seorang teman sedikit masa lalu.  “Ada cara dan gayanya.”

“Bagaimana?”  tukasnya pendek.

“Cari puncanya.  Pegang pembawanya.”

“Lama?”

“Kadang-kadang begitu.  Terpulang kepada saiznya.  Mungkin yang terlibat itu terpaksa dikorbankan melalui proses penyingkiran.” 

“Sampai begitu sekali?”

“Yah… kalau tidak mahu perkara yang sama berulang.”

Lama dia memikirkan tindakan yang pernah disuarakan temannya itu.  Apakah sampai sejauh itu dia akan mengambil tindakan?  Tidakkah dengan tindakan sedemikian menganiaya namanya?

“Tiga perkara hendaklah dijauhi selagi kamu hidup di dunia,” pesan bapanya kira-kira sebulan sebelum orang tua itu meninggal dunia.  “Satu dari sebelas azab akan diterima sebelum kamu mati.  Sepuluh lagi akan diterima selepas masuk kubur dan berterusan sampai hari kiamat!”

Merasakan masih ada yang belum habis dia masih setia mahu mendengar penjelasan itu.  Kesabarannya tercabar bila bapanya agak lama terdiam.  Bagaimanapun disebabkan yang berada di hadapannya itu adalah bapanya, dia tetap tidak berganjak.  Selain kasih sayang pengajaran juga banyak tercurah untuknya.  Tambahan pula dia adalah anak tunggal.  Bapanya adalah gurunya jua.

“Pertama jangan derhaka kepada ibu bapa, kedua makan atau ambil harta anak yatim dan ketiga membuat aniaya sesama makhluk Allah,” akhirnya jawapan itu diperolehi juga.  Berdiri bulu romanya mendengar pesanan yang tidak ubah seperti amaran itu.  Akan diingatnya segala pesanan itu sampai bila-bila.  Azab Allah bukan kepalang sakitnya. 

Kadang-kadang mahu saja dia berundur.  Biarlah tempatnya itu diambil oleh orang lain.  Tetapi wajarkah dia berbuat demikian?  Dia nanti dicap pengecut kiranya tindakan berundur dilaksanakan. Kelak akan terjaminkah nanti para pengikutnya?   Sedangkan mereka amat memerlukannya.  Kiranya terjadi begitu mereka tercari-cari dirinya lalu memperoleh pemimpin seperti Samiri ketika ditinggalkan seketika oleh Nabi Musa untuk bermunajat dan menerima perintah Allah.

“Musuh sentiasa mengintai peluang untuk menusukkan jarum muslihatnya.  Jika kita lalai atau alpa padahnya bukan kita saja menerima.  Anak cucu kita akan menderita.  Mereka akan mewarisi segala kesengsaraannya,” pernah dia berkata begitu.

Kesengsaraan sedemikian seumpama barah yang amat digeruni.  Tempat bersarangnya adalah pewaris bukan orang lain. Pula ia bukan dirasai pada satu generasi semata.  Sebaliknya akan berterusan secara turun temurun.  Malah kemungkinan akan berkembang dan sukar diperolehi penyembuhnya.  Apa lagi kiranya ia dikembangkan di dalam masyarakat oleh anggota masyarakat itu sendiri dengan penuh unsur-unsur retorik.

Kejutan demi kejutan melanda.  Namun kegigihan serta kecekalan terus menunjang.   Keinginan berundur daripada kedudukannya lantas terpadam bila mengenang dia amat dikehendaki terus menerajui kepimpinan.  Sementelah setelah mengikuti pelbagai rupa disiplin motivasi di samping kutipan menerusi pembacaan.  Hasil seminar juga bukan sedikit.

Menurut Rogers E., semenjak zaman silam manusia terbahagi kepada lima golongan.

Golongan pertama yang kecil bilangannya mempuyai risiko paling tinggi di samping pulangan berlipat ganda.  Mereka bersifat agak ganjil dan banyak berfikir tetapi agresif.

“Julukan yang diberi kepada golongan ini ialah pencipta atau pembaharu,” pernah diluahkan kutipannya kepada khalayak.  “Di antara individu dalam golongan ini termasuk Edison yang menghasilkan wayang gambar dan lampu elekterik, Stevenson pencipta lokomotif, Wright Brothers yang menghasilkan kapal terbang, J.L. Baird pencipta televisyen, Henry Ford pencipta motokar dan ramai lagi”.

Golongan kedua yang juga berisiko tinggi dan mendapat pulangan amat tinggi dikenali sebagai penerima awal atau early adaptors.  Jumlahnya juga sedikit. Banyak sedikit daripada golongan pertama.  Mereka sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan cepat bertindak.

“Siapakah individu golongan ini?”  sengaja dia mengemukakan soalan sedemikian.  Jawapannya tidak diharap sangat.  Tetapi harapannya menggunung tinggi jika lontaran suara hatinya itu bersambut. 

Mudah-mudahan ada yang mahu berusaha mencapainya, kata hatinya.  Kiranya tidak semua, lima atau tiga puluh peratus pun memadailah.  Atau sekurang-kurangnya mereka memasuki golongan ketiga sahaja. 

“Golongan ketiga dinamakan majoriti awal yang sering ditemui.  Bilangannya memang ramai.  Mereka mempunyai perasaan was-was, kurang yakin serta takut-takut.  Risiko yang dihadapi kurang.  Manakala pulangan juga kurang. Inilah tiga golongan teratas yang sepatutnya menjadi pilihan kita.  Kita boleh capai kedudukan teratas kalau ada minat di samping berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal jemu!”  serunya agar ramai yang patuh.

Bagaimanapun duri-duri tetap terpaksa ditempuh kerana masih ada dua golongan lagi sebagai penghalang.  Duri-duri ini tidak lagi berbisa jika kesanggupan dan kesungguhan menebal dalam dirinya untuk membanteras kemungkaran.

“Majoriti akhir memang ramai bilangannya.  Mereka sering ditemui.  Perasaannya sudah menjadi tepu.   Apa yang dibuatnya ialah secara ikut-ikutan, sedang orang lain ramai yang sudah mengaut untung.  Golongan ini tidak berisiko langsung,”   demikian luahannya dengan menekan suara pada perkataan terakhir membuatkan khalayak termanggu sendiri. 

Namun dia mesti waspada menghadapinya.  Mereka ini agak bahaya kerana kadang-kadang memiliki sifat menghasut.  Tabiatnya suka memperkecil-kecilkan apa yang orang lain buat. 

Kadang-kadang terfikir juga bahawa berdepan dengan golongan kelima lebih baik lagi.  Mereka ini yang wujud di mana-mana termasuk di negara-negara maju.  Golongan ini  sukar menerima pembaharuan.  Sukarnya ialah mereka lebih senang dengan cara kuno serta sentiasa ada alasan untuk berdolak-dalik.  Pada mereka biarlah orang lain nak buat apapun aku peduli apa.  Mereka ini mungkin akan sedar bila ditimpa musibah.  Tetapi ia tetap menjadi duri-duri di perjalanan menuju ke destinasinya.

Duri kiranya terbiar lama akan menjadi keras berteras.  Bisanya akan bertambah kerana dipuja.

Tidak!  Keadaan begitu tidak boleh dibiarkan berterusan.  Hanya ada dua jalan terbuka untuk membaiki situasi: berusaha menyembuhkan atau memotongnya agar bisa tidak merebak.

Kaedah pertama memerlukan kerja keras.  Akan tetapi jika bisa telah menular dan tiada ubat untuk menyembuhkan jalan lain tidak ada kecuali memotongnya.  Menyekat daripada merebak adalah cara sebaik-baiknya.  Sepertimana pegangan yang seharusnya disedari: mencegah adalah lebih baik daripada menyembuhkan.  Tetapi berapa ramai yang menyedarinya?  Berpegang dengan falsafah sedemikian tentu tidak ramai! 

Justeru sebaik-baiknya ialah kaedah kedua.  Dan mengikut istilah falsafah pentadbiran ialah teori Y.  Tentu ia lebih baik dari teori X.  Tambahan pula banyak yang memihak kepada teori Y itu.  Kedua-duanya adalah diperhalusi daripada pendapat Dauglas Mc Gregor. 

Keraguan untuk melaksanakannya mulai lenyap bila ada suara yang tidak membantah.  Kesulitan akan diatasi.  Sudah terlihat sukses semakin menyerlah.  Perjuangan mesti diteruskan.

Perjuangan?  Untuk apa?  Dia bukannya akan terus menunjang tongkat langit!  Godaan demi godaan menerjah fakulti benaknya.  Tapi perjuangan untuk masa depan generasi akan datang.  Masa?  Ya masa!

Demi masa.  Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.  Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Dia amat bersyukur.  Bersyukur  kerana sesungguhnya dikurniakan tubuh badan yang sihat.  Kesihatan di samping kesabaran adalah prasyarat untuk berkhidmat.  Selain itu pemaaf juga menjadi di antara syarat untuk berkhidmat.  Pelbagai perkhidmatan yang diberikan kalau berterusan akan menyebabkan dia disanjung.  Diangkat jadi pemimpin.  Mulanya dia menolak. 

“Jangan fikir tentang diri kita.  Fikirkan generasi akan datang.  Generasi hari muka,” ujar salah seorang kenalannya.

“Tiadakah orang lain menyanggupinya?” dia bertanya.

Kenalannya menggeleng. 

“Siapa lagi yang ada selain engkau?” Begitu jawapan yang diterima.  Lalu jawapan sedemikian digaul bersama masalah.  Kedua-duanya menjadi cabaran.  Cabaran buat menangkis segala tohmahan dan cacian.  Segala sumpah seranah dan maki hamun yang bukan sedikit.

“Biarkan tohmahan, cacian, sumpah seranah dan maki hamun itu terjeruk.  Lama kelamaan ia kembali kepada yang empunyanya.  Atau sekurang-kurangnya menjadi penawar.  Menjadi penyembuh segala penyakit yang sedang menular dalam masyarakat kini,” nasihat seorang teman.

“Kesungguhan bekerja kelak membuktikan segalanya.  Dunia sejagat akan celik atau dikejutkan jika paksi kita masih teguh dengan akidah! Jangan dibiarkan kita mati sebelum meninggal dunia!”  Masih diingat saranan seorang rakan pada suatu perjalanan.

“Mati sebelum meninggal dunia?”

“Agak pelik bunyinya bukan?”

Dia mengerutkan kening.  Dalam pada itu mahu juga dia ketawa bila memikirkannya.  Baru kini dia mendengarnya.

“Manusia laki-laki berdepan dengan tiga kematian sebelum meninggal dunia.  Sementara wanita pula ada dua kematian.  Jika tiada usaha menghidupkannya ia akan menggelapkan dunia.”  Teka-teki yang dibawakan teman itu berlegar.  Tetapi ia seperti membawa sesuatu pengertian berguna.

“Cuba fikirkan tentang mati akal, mati pucuk dan mati hati,” teman itu menoktahkan teka-teki untuk renugannya.

Memang benar telahan temannya mengenai tohmahan, cacian dan makian mereka yang berpihak kepada musuh.  Segalanya berpulang kepada yang empunya cacian dan tohmahan.  Hidung sendiri terkena jika meludah ke langit.  Sedihnya ia dinafikan kewujudannya.  Mujur teman-teman tidak mati akal dengan memadamkan rakaman.  Yang menjual rakaman itu pula bukan orang lain.  Siri maki hamun dalam rakaman cacian dan tohmahan itu dijual oleh kuncu-kuncu mereka juga.  Tindakan yang akan dilaksanakan di seksi gerak sarafnya ialah mengemaskinikan dalam bentuk CD.  Kemudian disebarkan seluas-luasnya.  Ke mana terpercik air dari dulang yang ditepuk?  Bukankah ia akan ke muka sendiri?  Senyumannya melebar.  Tetapi hanya seketika.  Cepat benar ia bertukar corak.  Kebelakangan ini senarionya berbeza. Perbezaan itu amat ketara.  Mungkin kerana dia teramat telus.  Mudah meletakkan kepercayaan kepada seseorang atau puak tertentu. Nasihat teman-teman itu didengarnya.  Dia pula bersifat terbuka tetapi tegas dalam setiap tindakan di samping bertakwa. Hatinya akan hidup.  Bukan sekadar dengan amalan berzikir semata.  Malah dengan usaha dan ikhtiar jua.

“Bangsa kita memang hebat.  Sayang terlalu cepat lemah.  Kadang-kadang mudah mengalah.  Mudah pasrah bila dipengaruh oleh anasir-anasir tertentu.”  Dia teringat kembali ucapan yang pernah disampaikan dalam suatu perjumpaan.

“Contohnya?”  terpacul sebuah soalan di tengah-tengah khalayak.

Wajahnya tiba-tiba ceria. Memang pertanyaan sedemikian dinantikan.

“Lihat saja sekian banyak peribahasa yang menjadi khazanah bangsa.  Sayangnya nilai negatif juga yang diambil.  Selaku bangsa yang hebat kita sepatutnya mencegah tindakan seumpamanya melalui teguran.  Bukan membiarkan ia berterusan,” begitu jawapan yang diberikan.

Lama juga reaksi khalayak dinanti.  Sebaik sahaja dia menutup bicara itu mereka sekadar berpandangan sesama sendiri.  Bercakap sesuatu yang tiada menentu isinya.  Mungkin sesuatu yang hendak diperkatakan. Kesempatan berdialog secara dekat dengan mereka sudah lama dihajati.  Bukan senang hendak turun ke padang untuk bersua tiap lapisan yang menantinya. 

“Salah satu nilai negatif itu?” akhirnya ada juga suara khalayak seperti yang diharap.

“Melepak.”

“Tetapi itu bukan suatu kesalahan.”

“Memang tidak salah.   Tetapi cara itu membazirkan masa.”

“Bagaimana hendak dicegah?”  Sekilas pandang soalan sedemikian kedengaran bodoh.  Itulah sebabnya ada di antara khalayak kelihatan memperkecilkan rakan mereka yang bertanya itu.  Yang mentertawakannya juga bukan sedikit.

“Pertanyaan begitu memang sinis kepada kita.  Penyelesaiannya bukan mudah.  Perlu ada kesungguhan. Kadang-kadang menuntut pengorbanan,” katanya setelah suasana mulai reda.  Selepas itu senyap sepi bagai tikus takutkan kucing.

”Pengorbanan?”

“Yah.  Bermula dengan kajian yang tentunya terperinci.  Cari sebabnya mengapa kegiatan itu terjadi.  Orang yang hendak membetulkan kepincangan nilai itu juga mesti menaikkan kualiti dirinnya.  Sekurang-kurangnya berakhlak mulia.”  Sengaja jawapan digantungkan.  Tidak habis.  

Dengan begitu khalayak akan terpancing untuk bersuara.  Berinteraksi memang dikehendaki dalam majlis sedemikian.  Supaya majlis yang diwujudkan itu tidak menjemukan.  Perkongsian pengalaman juga akan menjadi di antara maksud yang tersirat.

“Pernah dikatakan bahawa masyarakat mudah terjerumus dalam kemelut nilai negatif.  Bolehkah dinyatakan di antara nilai-nilai itu dan bagaimana pula cara hendak memperbetulkannya?”

Inilah di antara soalan yang dinantikan.  Jelas ia menandakan pemikiran khalayak tidak jumud.  Tidak hanyut dibawa arus yang entah apa-apa.

“Mudah saja,” jawabnya.  “Lihat saja perumpamaan tentang rezeki.  Kononnya rezeki secupak tak akan jadi segantang.  Memang ia tak akan jadi segantang jika tiada usaha.  Tidak setitik peluhpun dikeluarkan.  Sebaliknya kita hanya berpeluk tubuh.  Tak mahu membuang tabiat malas.  Tak mahu mengubah sikap.”

Selepas berkata demikian, dia melihat reaksi setiap khalayak.  Ada yang mengangguk.  Sementara ramai di antaranya cuma melongo.  Harapannya cuma satu.  Mudah-mudahan ada yang mengkaji apa yang disampaikan.  Tidak semuapun memadailah sebahagian daripadanya.  Alangkah baiknya jika perubahan sikap itu terjelma!

“Cara membetulkan?”  pertanyaan sedemikian juga amat diharap agar majlis tidak menjadi hambar.

“Di zaman ini ilmu pengetahuan amat perlu,” begitulah bermulanya jawapan.  “Kita dituntut agar mencari ilmu sebanyak-banyaknya.  Barulah memenuhi matlamat hidup.  Hidup kita adalah untuk berbakti.  Untuk memakmurkan bumi ciptaan Allah.  Kalau kita gersang dengan ilmu, dengan apa nak kita manfaatkan untuk kebaikan generasi mendatang?”

Ramai di antara khalayak tampak seperti berfikir sesuatu.  Mereka bukan calang-calang orang.  Bukan sekadar pendengar.  Sebaliknya adalah pemikir.  Golongan terpelajar dan terpilih.  Seharusnya segala yang dikutip dalam dewan itu disebarluaskan.  Bukan semata di kalangan mereka.  Tentulah kelak kepada masyarakat bila mereka masuk ke pasaran kerja nanti.

“Mestikah kita menegur?”  ada lagi soalan tercetus.

“Mengapa pula tidak?” tanyanya kembali.  “Tetapi biarlah berasaskan ilmu.  Ilmu itu sangat penting dalam mengharungi kehidupan masa kini.  Tanpanya kita akan diperlekehkan.  Dipandang rendah.”

Apa yang disampaikan pada majlis itu kemudian tersebar.  Direndangkan dengan input yang pelbagai hasil penelitian daripada buku-buku.  Malah daripada komik juga.  Kemudian disebarkan melalui internet.  Kesannya banyak pertanyaan yang dikemukakan. 

Sesungguhnya dia amat berbangga dengan perkembangan terbaru itu.  Buah fikirannya berkembang ke seluruh dunia.  Secara tidak langsung ia mencelikkan mata hati dunia Islam sejagat bahawa sains dan teknologi asalnya bertunjang dalam Islam.  Sejarah tidak pernah berbohong.  Tetapi mengapa dipertidakkan?  Mengapa pejuang yang kononnya bertujuan menegakkan ugama suci itu tidak memanfaatkannya?

Sumbangannya menerusi perjumpaan itu masih terlalu kecil.  Kesinambungannnya mesti dilanjutkan.  Orang yang terkemudianlah yang mesti meneruskan.

Kemuncak kepada perjumpaan-perjumpaan yang dianjurkan ialah persaingan merebut tempat.  Populariti menjadi di antara senjata dalam mendapatkan tempat.  Ada ketikanya pula nasib menjadi penentu.  Lebih malang lagi ialah permainan kotor musuh yang sentiasa mencari helah menyingkirkan sesiapa yang menyainginya.  Akibat ditolak ke tepi.  Tiada guna diperhitungkan,

Keputusan yang diperolehi amat memeranjatkan.  Dia menerima kekalahan dengan hati yang terbuka.  Tiada guna dipersoalkan keputusan itu.  Memang sudah lama dia berhasrat berundur.  Kini peluang yang sekian lama ditunggu itu tiba jua.  Dia akan meninggalkan jawatan yang sekian lama berada di tangannya.  Tiada guna memikirkan semuanya.  Perahu mereka sudah di air, pendayung juga sudah dalam genggaman.  Apa lagi ditunggu? 

Harapan yang ditinggalkan hanya agar segala ketetapan yang telah dibuatnya dahulu tidak dipersiakan.  Generasi yang terkemudian janganlah mengulangi sejarah keperitan masa silam. 

Namun beberapa waktu berselang selepas itu kediamannya dikunjungi beberapa orang wakil komuniti yang pernah rapat dengannya.

“Kamu diperlukan untuk memimpin semula,” begitulah di antara perkataan salah seorang mereka setelah berbual ala kadar.

“Bukankah sudah ada pilihan?”

“Memang benar.  Tetapi pilihan itu sebenarnya suatu kesilapan.”

“Kesilapan?”

“Begitulah.”

“Mengapa?”

“Pilihan itu tidak dapat melaksanakan polisinya.”

“Lalu dimintanya bantuan dari luar.  Bantuan orang luar.  Lebih membimbangkan, orang-orang yang menawarkan bantuan itu adalah golongan kuffar.”

Berderau darahnya mendengar penjelasan sedemikian.  Apakah sejarah akan berulang?  Penjajahan pada era siber kini bukan seperti dulu.  Bahaya yang menanti dalam zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan bukan kecil padahnya.  Tanpa ilmu kecundang padahnya.

“Beginilah,” akhirnya dia memberikan jawapan.  “Berikan saya sedikit waktu.”

“Segerakan.  Jangan terlalu lama.”

“Insya Allah.”

Fikirannya ligat berputar selepas mereka beredar. Tenaganya pasti masih diperlukan. Jika tidak masakan mereka datang mencarinya. Apakah perjuangan mesti dimulakan dari awal?   Dan apakah kejayaan akan dicapainya?  Usianya kian lanjut. Mudah-mudahan kejayaan akan menjadi kenyataan.  Kelak itulah yang akan jadi sedekah jariah.  Sekurang-kurangnya tujuan hidup akan tertunai sebelum menghadap Ilahi.  Semoga pertaruhannya kali kedua ini akan sukses.

as_riz@tm.net.my

Sunday, March 10, 2002 5:51 AM