Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Janji Malam Kepada Siang

Oleh

Syamsul Amri Nasir

 

AKU masih termenung di pinggir sungai itu.  Sampan kolek permainan ketika

 

kecilku masih tertambat di situ,  tetapi kesuraman sungai itu hampir menyebabkan

 

aku menitiskan air mata.  Dingin malam tidak mampu memujuk mataku yang

 

cekang untuk tidur.  Tiba – tiba meranti di seberang sana bergoyang.

 

        “Oh , sungai…!”kata satu suara di pohon meranti itu.

 

        “Oh , sungai!  Mana kejernihanmu?  Mana ikan - ikan yang berenang laju di

 

dalammu?  Oh…oh…sungai yang suram…”

 

        Telingaku mengamati suara itu sambil mataku meliar dalam pekatnya malam.

    

         “Oh , pohon ! Mana kehijauanmu ? Mana keteguhan perdumu yang

 

menegakkan tulang belakangmu ?” Suara itu seakan – akan  menangis.

 

         “Hei tempua ! Tak tidur lagi  ?” Sapaku pada suara itu.

 

         “Siapa kau ?” Tanya suara itu.

 

         “Aku sahabatmu !!” Jeritku kepada suara tempua yang hinggap di dahan

 

meranti tua itu.                                                                                                      

 

“Datanglah ke sini !”

 

         Pohon tua itu bergoyang lagi.Lalu kelibat tempua terbang meniti di mataku.

 

Tempua itu terbang ke seberangnya.

 

         “Kaukah  yang dulu  penjaga sungai ini ?”Tempua itu terus hinggap di bahu

 

kiriku sambil bertanya.

 

         “Ya , sungai ini tempat ikan berenang di mana aku memancingnya. Tempat

 

raja udang mencari rezeki dan kolek kecilku belayar…,”jawabku . “Apa gunanya

 

kau bercakap dengan sungai ini.Dia sudah tua.hanya menunggu tibanya saat

 

kehancuran, dan tak mungkin dapat bercakap lagi untuk menjawab pertanyaanmu.

 

Berjalannya pun bongkok dan perlahan–lahan.Tiada siapa pun mengisahkannya !”

 

        “Jadi,nak dibiarkannya begini?”Soal tempua.

 

        “Lha, bukan begitu maksudku ! Kau sepatutnya tidak hanya menangisinya

 

tetapi cuba mengubatinya,”jelasku.

 

         “Bukankah itu tugasmu,hai pengawal sungai ?”Pandai pula tempua itu

 

menyoal.

 

         “Aku sudah bersara dari tugas itu….,”jawabku mengelak.

 

         “Rosaknya bumi ini kerana tangan – tangan makhluk seperti kau,sedangkan

 

makhluk spesiesmulah yang ditugaskan memakmurkan bumi ini!”Wah , tempua

 

itu seakan - akan marah !

 

         “Bumi ini memang  akan hancur bila menjelangnya kiamat…”.

 

         “Oh , jadi kamu terus menambah-nambah kehancurannya untuk kesedihan

 

kami ?”

 

         “Ya , benar soal tempua.Adakah begitu?”Tiba-tiba daun – daun jati tempat

 

aku bersandar  di perdunya menyampuk.Dan tetapi…

 

         “Ooi , huujan nak turuuuun……. Huujan gerimiiiis …!”Angin timur tiba-

 

tiba mengusap pipiku sambil membawa pesan.Sejurus selepas itu hujan turun

 

seakan - akan langit telah menangis.Aku terkejut apabila mendapati titis-titis hujan

 

itu berwarna merah.

 

         “Kau lihatlah , langit pun sudah menangis air mata darah,”tempua bersuara.

 

          “Tempua…,”aku bersuara perlahan. “Tempua….,”suaraku lagi dan hairan

 

kerana tempua tidak  menjawabnya.Aku memalingkan wajahku ke kiri dan

 

mendapati tempua tiada di bahuku.

 

              “Eh ,…tempua ?!” Jeritku.

 

              “Syyh…!Manusia sedang tidur..!”Suara tempua di pohon jati. “Apa yang

 

kau fikirkan  sehingga tak sedar aku sudah tiada di sisimu?”

 

              “Tiada apa-apa…,”balasku. “Cuma….,”aku terhenti di situ.

 

              “Cuma apa ?”Tempua ingin tahu.

   

              “Ingat dahulu ?”Tanyaku kepada tempua.

 

              “Waktu bila?”

 

              “Waktu malam bercakap dengan siang….,”aku membuka cerita baru.

 

              “Oo , ketika itu bulan gerhana…!” Daun-daun jati menyampuk lagi.

 

“Kami ingat lagi.Ya , ingat lagi,”sambung daun-daun itu.

  

              Tanpa ku sedari,langit berhenti menangis.Awan mendedahkan bulan sabit

 

yang dilindunginya. Angin pun berhembus perlahan , sepoi-sepoi bahasa.Katak –

 

katak pula bersahut- sahutan menambahkan syahdunya malam itu dengan

 

nyanyian mereka.

         

       “Aku fikir dunia akan aman setelah itu.Tiada pula aku tersangka akan jadi

 

begini.Ketika itu aku masih kecil,menangis  dalam dukungan ibuku.Aku berhenti

 

menangis bila tiba- tiba malam datang melawat siang,”aku mengukit kisah lama.

 

        “Malam memang selalu melawat siang,tetapi siang tetap dengan

 

kesombongannya,”batu-batu besar di sungai pun menunjukkan minat terhadap

 

perbualan ini.

      

        “Siang seolah – olah tidak mahu memberi malam peluang.Dia cuma hendak

 

menyinari bumi ini buat selama-lamanya,”satu demi-satu kisah lalu terungkit

 

olehku.

 

        “Tetapi malam sangat bertolak ansur.Dia membenarkan cahaya siang sedikit-

 

sedikit hadir pada waktu malam,”.Rimbunan daun menyampuk sahaja.

      

         “Sehingga termeterainya perjanjian antara mereka.”Aku menyambung.

 

         “Isi kandungannya berat sebelah.Malam hanya boleh datang sekali-sekala ke

 

negeri siang tetapi siang boleh menerangkan cahayanya setiap malam,”.Tempua

 

yang sejak tadi diam mencelah.

 

        “Siang ingin jadi kuasa besar !”Batu-batu besar itu menambahkan

 

keseronokan cerita.

 

        “Bahawasanya kami tidak akan datang ke negeri siang kecuali dengan izin     

 

dan siang diizinkan datang bila-bila masa pada waktu malam,”.Aku pun bersuara

 

pula.

 

        “Apa yang kau cakapkan  itu ?”serentak batu dan rerimbun pohon bertanya.    

 

        “Itulah janji malam kepada siang…,”.Tempua yang menjawab.Kami masing

 

-masing terdiam.

 

         “Dah pagi oooii…!”

 

         “Bangunlah oooii…!”Si Jalak memecahkan keheningan menandakan siang

 

telah tiba.

 

         “Siang dah tiba.Lihat di ufuk timur.Indah juga,”kata rerimbun daun.

 

         “Seindah-indah siang,malam tetap tersimpan seribu rahsia,”kataku. “Baiklah,

 

aku minta diri dahulu teman-teman,”.Aku mengundur diri.

 

         “Datanglah lagi malam esok , kita boleh berbicara lagi,”.Rerimbun pohon

 

mempelawa.

 

         “Jika diizin,”balasku. “Pergi dahulu sahabat.Pandai-pandailah membawa diri

 

di hari siang ini,”.Aku bangun dan melangkah menuju ke rumahku setapak demi

 

setapak.

 

         Agak jauh dari tempat itu aku terdengar, “Datang lagi,jangan lupa…!!”

 

Suara-suara alam menusuk dari telinga sampai ke hatiku.

 

         “Akan datang lagi,”bisikku dalam hati.

 

         Sesampai di pintu rumah , aku menanggalkan capal lalu masuk.Hari semakin

 

cerah. Subuh.Kewajipan terus aku tunaikan.Namun air paip yang keluar di tempat

 

wuduk terus membisu.

 

         Selesai solat aku keluar melihat siang.Seekor kelicap hinggap di beranda

 

lalu  aku terus menyapanya.

 

         “Apa khabar pagi ini ?”Sapaku.Dia tidak bersuara. “Hai…!”Aku cuba

 

menarik perhatiannya.Dia tidak menjawab melainkan berdecit.

 

         “Chip….chip…chiip,”lalu terbang pergi dari mataku.

 

         Hairan burung ini tidak menjawab.Bahasanya tidak kufahami.Aku

 

mengerutkan dahi.

 

            “Hai ,  rumput!Warna hijaumu sungguh ceria hari ini!”Diam.

 

            Aku mengerutkan dahi sekali lagi.Satu perasaan hinggap di benakku.

 

            “Malam yang kulalui seolah-olah bermimpi,”getusku.

           

            Tiada lagi suara alam.Yang tinggal hanya kesuraman.Siang semakin terik.

 

Di depan rumahku,merangkak sungai yang tua , menuju entah ke mana.

 

                Mimpiku semalam

 

               aku bercakap dengan alam

 

               bicaraku tenggelam

 

               dek dengkur manusia

 

               yang tidur lena

 

 

               Andai kufaham bahasa alam

 

               pasti kutahu sembang antara beburung

 

               dan pesan yang dibawa angin

 

               lalu aku menjadi manusia yang bijaksana

 

              

               Mimpiku hanya semalam

 

               bicaraku timbul tenggelam

 

               akhirnya hilang ditelan pekat malam.

 

 

TAMAT

 

menu utama               menu seni