Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Text Box: Kisah Sebatang Pohon


Benih-benih rindu
yang kukutip dari tangkai cinta
kusemai ia di tanah jiwaku
yang kusiram
dengan air mata kasih
yang kubaja
dengan janji – janji manis

Kugetus lalang – lalang cemburu
dan kucabut rumput – rumput nista

Kian lama kian kuat
akarnya mencengkam di dasar jiwa
pucuknya menjulang
memanggil cahaya sayang
daunnya melintuk
ditiup angin mesra

Lalu,
mekarlah bunga cinta
subur di dalam dada jiwa
hijaulah daun – daun kasih
yang bercambah
di batang – batang cinta
teguhlah perdu – perdu sayang
dan kukuhlah dahan – dahan asmara

Angin lalu,
sampaikan pesan sampaikan salam
kepada bunga yang sedang berkembang
di tangkai pohon yang tak mungkin tumbang
bisikan cinta kudus sang kumbang.
AMAM 83       
Text Box: Tidakkah

Tidakkah kau tahu dalam hatimu:-
ada gua nan kelam?
ada lubang nan dalam?
ada tempat nan hitam?

Tidakkah kau mahu dalam jiwamu:-
bersinar terang gilang-gemilang?
mengubat hati gundah walang?
memanggil kembali semangatmu yang hilang?

Mana cara hendak kau dapat 
sinar terang itu?
Mana cara hendak kau cari?
agar hidupmu dalam bahagia
agar hidupmu dalam redha

Ada sesuatu di balik kata indah
Ada jawapan yang pasti sudah.
                                                                      
Behor Lateh ’98.

m_reebl@yahoo.com
Text Box: Tidakkah   II

Mengapa
kau kirimkan pesanmu pada angin lalu?
tidakkah iakan dicuri dengar oleh kupu-kupu malam
ataukan hilang bersama bunyi sayap beburung yang sedang  terbang ?

Mengapa
kau ukirkan janjimu pada batu-batu pantai?
tidakkah janjimukan dihijaukan oleh lumut-lumut laut
ataukan ditenggelami air bila masa ia sedang pasang?

Mengapa 
kau rindukan purnama  pada malam hari?
tidakkah cahayanya datang dari mentari siang
serta ia bisa ditutup awan-gemawan yang tinggi
lalu iakan pergi bersama perginya bintang-bintang?

kau idamkan sekuntum bunga merah?
tidakkah jemarimukan dilukai oleh durinya yang tajam
lalu kaukan mati tercium bau harumnya yang beracun?

Tidakkah kaukan mati kerana hati luka parah?
Tidakkah kaukan mati kerana jiwa berdarah?
Tidakkah kaukan mati kerana sekuntum bunga merah?
Tidakkah…??

Behor Lateh 1999-2000. Text Box: Tahu Tak Tahu

Tahukah aku? 
Apa yang aku tahu?

Tahukah aku,
apa yang dia tahu?

Tahukah dia apa yang aku tahu?

Tahukah dia apa yang aku tak tahu?

Tak tahu aku
aku tahu atau tak tahu
dia tahu atau dia tak tahu
hanya yang aku tahu
aku memang serba tak tahu.

 Behor Lateh,
Januari 2001.

m_reebl@yahoo.com Text Box: Soal Kita

Kita meniti ranjau di perjuangan ini 
untuk apa ?
Adakah hanya menjadi syarat menangisi
keperitan yang kita lalui?
Atau untuk mereka memuji perjuangan kita
yang kononnya penuh sengsara?

Kita menitiskan keringat di kehujanan ini
untuk siapa?
Adakah untuk setitis air mata dari 
keluarga yang kejauhan?
Atau benar dari ehsan hati seorang 
musafir perjuangan ?

Kita meniduri malam dengan mata terjaga 
kerana apa ? 
Adakah kerana kita sudah sedar 
mimpi-mimpi indah akan tidak bermakna ?
Adakah kerana kita gusar
mutiara yang kita kutip akan tidak berguna?
Atau kita telah rindukan kesenangan hidup 
yang mereka ada?

Kita mempersoalkan semua ini kerana apa?
hanya untuk membingkis semangat di hati
pejuang-pejuang penuntut ilmu sejati.

Behor Lateh,
6 Februari   2001.
12 ZulQaedah 1421.

Text Box: Warkah Buat Shamirah II

Menemui Shamirah yang kini menjadi sahabat
salam buat kita dunia akhirat
semoga namamu sentiasa kuingat

Kukirimkan warkah ini bersama kesedihan
bersama hati yang kini kesepian
kugarapkan warkah ini bersama turunnya hujan
yang airnya turut membasahi gersang perasaan

Tiada lagi kuharap airmatamu
untuk menyirami gersang jiwaku
senyum dan tawamu kini hempedu
pahit membunuh semangat hidupku

Warkahku dulu kusesal sudah
cintaku sudah tiada faedah
kini hati menjadi gundah
jumpakah pengganti seiras wajah?(takkan jumpa)

Kumerayu padamu duhai sahabat
padaku hanya kaulah pengubat
terangku dengan pelita nasihat
 sebelum semuanya jadi terlambat

Sekian warkah pengganti diri
tempat meluah isinya hati
dari dahulu sehingga kini
namamu tetap di sanubari.

Disember 2000.
Text Box: Mimpiku Semalam

Mimpiku semalam
aku bercakap dengan dengan alam
bicaraku tenggelam
dek dengkur manusia 
yang tidur lena            

Andaiku faham bahasa alam
pastiku tahu sembang antara beburung
dan pesan yang dibawa angin
lalu aku menjadi manusia bijaksana

Mimpiku hanya semalam
bicaraku timbul tenggelam
akhirnya hilang ditelan pekat malam.

Behor Lateh,
1998 - 2000.
m_reebl@yahoo.com
 
Text Box: Matiku Kerana Sekuntum Bunga Merah

Telah kukirimkan pesanku pada angin lalu
lalu pesan ku  telah dicuri dengar kupu-kupu malam
serta hilang bersama bunyi sayap
beburung yang sedang terbang

Telah ku ukirkan janjiku pada batu-batu pantai
lalu janjiku di hijaukan oleh lumut-lumut laut
serta ditenggelami oleh air
pada kala ia sedang pasang

Telah juga aku rindukan purnama pada malam hari
yang cahayanya datang dari mentari siang
lalu ia ditutup oleh awan - gemawan yang tinggi
serta ia pergi bersama perginya bintang-bintang

Cintaku berputik pada sekuntum bunga merah
lalu jari-jemari ku dilukai oleh durinya yang tajam
sehingga akhirnya aku mati tercium bau harumnya yang beracun.

matiku juga kerana jiwa berdarah
matiku…
kerana sekuntum bunga MERAH.
                                                             
Behor Lateh, November 2000.
m_reebl@hotmail.com
MENU UTAMA MENU SENI