Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
KECELAKAAN JALAN RAYA

 

    Tarikh 04 Mei 2000 mungkin akan menjadi satu tarik yang sukar untukku lupakan. Pada pagi hari itu aku seperti biasa meneruskan rutin biasaku untuk keluar menjalani latihan kecergasan di sebuah kawasan rekreasi di Alor Setar sempena persediaanku menghadapi perlawanan Badminton Tertutup Kedah 2000 di Dewan ASRC Alor Setar.
    Pagi itu aku berasa tidak sedap hati tetapi aku cuba elakkan perasaanku. Aku menghidupkan enjin motorsikalku dan terus ke tempat latihan dengan segera tanpa terlebih dahulu membaca Bismillah seperti kelaziman yang kulakukan. Sepanjamng perjalanan aku mula rasa tidak sedap hati dan aku sendiri tidak tahu apa yang sedang bermain dalam kotak pemikiranku. Ia menjadi seolah satu petanda yang tidak baik lalu aku mula memperlahankan motorsikalku kerana aku cuba berhati-hati. Kemudian sampai di suatu tempat yang mana proses pembesaran jalan sedang dilakukan aku mula meningkatkan sedikit kelajuan motorsikalku kerana terlalu banyak habuk yang memasuki mataku.
    Sewaktu itu aku sedang mengekori sebuah kereta Proton Wira yang juga dipandu dengan agak laju. Tiba-tiba kereta Proton Wira itu memberhentikan keretanya dengan mengejut. Apa lagi aku terus merempuh bahagian kiri kereta belakang kereta Proton Wira itu lalu aku terpelanting ke atas kereta itu dan kemudiannya terjatuh di atas jalan raya. Aduh sakitnya bukan kepalang. Alhamdulillah kerana waktu itu aku masih kuat dan mampu bangun semula sambil mematikan enjin motorsikalku. Aku membawa motorsikalku ke tepi dan pemandu Proton Wira itu turut  membawa keretanya ke tepi.
    Pemandu Proton Wira itu merupakan seorang Cina yang mengenalkan dirinya sebagai Yong seorang jurulatih Taekwando di Alor Setar. Dia tampak tenang walaupun keretanya dilanggar olehku. Dia cukup bijak berdiplomasi dan berurusan dengan cukup sopan. Aku memang berasa puas hati dan dia juga memberikan sedikit rawatan kecemasan menggunakan first aid yang ada dalam keretanya.
    Setelah berbincang dengan kehadiran ayahku, Dia bersetuju untuk menerima RM 100 dariku sebagai penyelesaian untuk membaiki keretanya yang mana harga lampu belakang itu berharga RM 500 bagi kedua-dua bahagian. Satu yang melucukan ketika itu ialah apabila isterinya dan anaknya keluar dari kereta bersamanya dan ketika penyelesaian sudah dipersetujui dia memegang kereta di bahagian yang pecah itu dan secara tiba-tiba keretanya Auto lock sedangkan kunci keretanya masih berada di dalam kereta.
    Aku pun terus membawanya pulang ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari rumahku dan akhirnya dapat semula dibuka kereta itu. Aku mulanya merasakan yang ayahku akan memarahiku tetapi sebaliknya ayahku cuma mengatakan ia adalah satu pengajaran. Abah memang best! Tapi kata ayahku itu memang membuatkan aku lebih berhati-hati ketika di jalan raya.
    Sebelum kecelakaan jalan raya hari itu aku ada mengikuti ceramah bulanan Ustaz Shamsuri Haji Ahmad yang mengatakan bahawa bila-bila masa sahaja Allah akan mengambil nikmat yang Allah berikan kepada kita... dan mungkin kita juga akan berada dalam statistik 500-600 kes kemalangan setiap hari. Memang betul cakap Ustaz Shamsuri tu sebab malam tu waktu aku balik dari cermah tu ada satu kemalangan jalanraya berlaku dan kemudian aku pula yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
    Selepas selesai kes itu aku pulang ke rumah. Ketika itu aku masih lagi kuat dan bertenaga. Kemudian aku menyuruh adikku yang kedua untuk menghantarku ke Hospital. Aku ke hospital tetapi tidak diterima di bahagian biasa dan dibawa ke bahagian kecemasan. Di sana pesakit dirawat mengikut keutamaan dan aku merupakan orang yang boleh dianggap tidak begitu serius. Di hospital pada waktu itu terlalu banyak yang aku lihat. Paling mengejutkan aku ialah satu kes di mana seorang remaja minum terlalu banyak ubat batuk hingga tidak dapat mengawal diri.
    Rasa segan pun ada sebab aku risau terkena doktor yang sama sebab seminggu sebelum itu aku diserang demam panas dan dimasukkan ke bahagian kecemasan. Apabila aku mendapat rawatan, aku diberikan dua suntikan kemudian lukaku dibersihkan. Aku sebolehnya mahu menceritakan dengan selanjutnya bagaimana sakitnya rawatan yang diterima tetapi aku rasa nantilah sebab aku sedikit kesuntukan masa.Aku berjanji akan menyambungnya. Moralnya ialah berhati-hati di jalan raya walau di mana kita berada.WASSALAM

Aku baru sahaja kehilangan seorang sahabat yang meninggal akibat kemalangan jalanraya di Kuala Krai Kelantan ketika artikel ini ditulis. Marilah sedekahkan AL-FATIHAHuntuknya semoga rohnya tenang sentiasa di alam Barzakh