Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
BASIKAL

    Sebut sahaja tentang basikal maka akan terbayanglah dalam benakku akan pengalamanku bergelumang dengan objek yang disebut basikal. Pertama sekali aku menaiki basikal ialah ketika umurku lima tahun apabila ayahku membeli sebuah basikal BMX untukku. Walaupun pada mulanya sering terjatuh tetapi akhirnya aku berjaya menunggangnya dengan baik.
    Apa yang paling kuingat tentang basikal itu ialah aku sering bertengkar dengan adikku yang hanya aku panggil Ki. Maklumlah dia juga nak rasa naik basikal. Bila aku naik dia pun nak naik tapi yang hairan tu ialah bila aku tak naik dia pun tak nak naik.
    Kami selalu bertengkar untuk menaiki basikal tersebut hinggalah suatu hari kami didenda berjalan kaki bersama-sama ke sungai yang berdekatan dengan rumahku dan berpatah balik. Bukan itu sahaja bentuk hukuman yang sering aku dan adikku kena antaranya ialah dirotan, dipukul dan didenda.
    Bersama basikal itu yang kini (tahun 2000) masih lagi digunakan oleh adik bongsuku, aku banyak menyimpan kenangan. Aku masih ingat lagi bersama kawan-kawanku seperti Lan, Wan Syukor. Men, Azni, Azhar, Din, Ki, Leh dan ramai lagi. Ketika itu aku duduk di sebuah rumah kecil yang hanya ada dua bilik di Kampung Kubang Buaya Alor Setar.
    Kemudian aku tinggal pula di sebuah rumah yang lebih besar dan selesa iaitu di Lorong Masjid. Pada usiaku lapan tahun ayahku telah memberikanku hadiah sebuah basikal kerana mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Basikal itu berjenama "Rally". Basikal itu bagiku cukup istimewa. Pada penghujung darjah dua aku sudah mula ke sekolah yang jaraknya kira-kira 3.5 Kilometer dari rumahku dengan menaiki basikal.
    Dengan basikal itulah aku mula bermain dengan kawan-kawan yang jauh dari rumahku dan sebagai kenderaan untuk pergi ke kampung lain untuk menyertai pertandingan Bolasepak dan Badminton. Walaupun aku duduk di Lorong Masjid tetapi aku masih lagi mewakili Kampung Kubang Buaya. Dengan basikal itulah aku pergi ke stadium yang jaraknya kira-kira 7 Kilometer dari rumahku.
    Aku juga pernah pergi ke Istana yang jaraknya kira-kira 15 Kilometer dari rumahku untuk menyertai Pertandingan Melukis. Aku juga pernah ke RTM alor setar yang jaraknya kira-kira 15 Kilometer dari rumahku. memang ia satu pengalaman yang memeritkan. Tapi aku gembira kerana tidak mengharapkan bantuan yang banyak daripada ibu dan ayahku.
    Melangkah Ke MRSM PDRM membuatkan aku lupa sejenak kepada basikal. Di sana aku hanya melihat anak-anak di kem PGA itu bermain basikal dengan penuh minat. Aku hanya berbasikal ketika pulang bercuti.
    Setelah keluuar daripada MRSM PDRM dan ke Sekolah Menengah Teknik Alor Setar @ SMKTLSAH aku kembali menunggang basikal. Ini gara-gara keenggananku untuk tinggal di asraama sekolah kerana kekurangan sumber berita seperti Akhbar dan waktu hendak menonton berita.
    Kali ini bukan basikal lama itu lagi tetapi ia adalah basikal mountain Bike yang dihadiahkan oleh Datukku dan ia berharga RM 200.00. Basikal itu aku dan datukku beli di Pendang Kedah kira-kira 30 Kilometer dari rumahku. Dan yang paling aku bangga ialah aku mengayuh basikal itu dari kampungku hingga ke rumahku dalam masa kurang daripada sejam.
    Tetapi yang cukup memeritkan ialah aku terpaksa berulang alik ke sekolah teknik yang jaraknya antara 10-11 Kilometer. Aku memang tahan mengayuh sejauh itu tetapi yang paling memeritkan ialah untuk mengatuh menaiki jejambat yang cukup menyiksakan.
    Seperkara yang memeritkan ialah apabila hujan. Aku terpaksa memperlahankan basikal takut nanti air kotor jalanan terpercik ke baju sekolahku yang putih. Sememangnya cukup menyiksakan. Paling geram sekali bila kereta yang lalu disebelahku melanggar tompokan air di jalan hingga terpercik ke arahku dan akibatnya aku basah kuyup.
    Bayangkan dalam sehari aku mengayuh basikal sejauh lebih kurang 20 Km dan jika ada aktiviti pada petang hari aku terpaksa mengayuh sejauh 40 Km sehari. Paling menyiksakan ialah pada bulan Puasa. Banyak pengalaman yang aku lalui dengan basikal untuk ke sekolah. Yang pasti walaupun sekolahku jauh aku tidak pernah terlewat sampai ke sekolah.
    Bila pintu pagar ditutup pada 7.30 pagi aku sudah pasti berada di dalam kawasan sekolah walaupun pernah beberapa kali aku bertolak dari rumah pada pukul 7.15 pagi!. Ketika itu aku terpaksa memecut sepantas mungkin dan apabila aku tiba di kelas bajuku habis dibasahi peluh hinggakan aku ditanya oleh kawanku di mana aku terkena hujan.
    Namun kini aku sudah mempunyai sebuah motor yang aku beli dengan harga RM 3000.00 (Honda EX 5 [KAN 6681] ). Namun pengalaman bersama basikal tetap akan kukenang.
    Kesengsaraan, kepayahan dengan basikalku memang suatu pengajaran kepadaku tentang hidup ini yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Bukan ayahku tak mampu membeli sebuah motosikal tetapi ayahku mahu aku menghayati akan kesusahan. Ayahku tidak mahu aku terlalu leka dibuai kesenangan kerana ia akan melatihku menjadi insan yang tidak akan berputus asa bila menghadapi kesusahan.
    Jika diukur pengalamanku ke sekolah dengan basikal aku tidak akan terlawan dengan pengalaman ayahku mengayuh basikal sejauh lebih daripada 20 Km untuk ke sekolahnya. Apatah lagi keadaan jalan dahulu yang terlalu daif dan risiko tayar pecah amat tinggi hinggakan ayahku terpaksa meminta sedikit getah daripada tuan punya ladang getah untuk membaikinya kerana tidak mampu.
    Pengalaman ayahku kalau aku dengar dan ingat kembali mampu membuatkanku menangis mengalir air mata. semua ini adalah pengalamannya dan dia tidak mahu aku merasainya dan matlamatnya ialah dia mahu melihat kami(anaknya) berjaya. Yang penting baginya ialah berjaya dalam bidang keagamaan dan kerohanian kerana itulah penjamin masa depan yang hakiki.Insya-Allah akan kupastikan ayahku akan sentiasa gembira dengan aku dan adik-adikku.
    Banayak lagi yang ingin aku ceritakan namun ini hanyalah secebis kenangan yang dapat aku luahkan. Mungkin jika anda ingin mengetahui lagi lebih mudah aku meluahkannya secara lisan.WASSALAM