Assalamualaikum wr wb dan Salam Sejahtera,
Saya menjangkakan dalam masa yang singkat, kemungkinan saya ditahan,
dalam apa juga cara, samada Akta Keselamatan
Dalam Negeri atau dituduh ke mahkamah tanpa memungkinkan saya diberi
ikat jamin.
Dan saya tidak menolak sebarang kemungkinan memandangkan cara gelisah
kezaliman di bawah pimpinan Datok Seri Dr
Mahathir Mohamad sekarang. Oleh yang demikian, izinkan saya untuk membuat
sedikit pesanan kepada anak-anak saya dan
pada rakyat Malaysia umumnya.
Kepada anak-anak, papa seorang pejuang, menegak yang hak, membela nasib
rakyat miskin, mempertahankan maruah
bangsa, meningkatkan syiar agama Islam. Papa masuk dalam pelbagai gelanggang
sehingga dalam parti dan kerajaan, sehingga
menduduki tempat yang cukup tinggi tetapi papa tidak pernah luntur
semangat papa untuk pertahankan keadilan dan membela
nasib rakyat. Dan tentunya menegakkan kebenaran menimbulkan banyak
rasa cemas dan kegelisahan dari banyak kalangan
yang telah menyediakan satu komplot konspirasi peringkat tertinggi
yang melibatkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad
sendiri. Jadi anak-anak harus tahu semua tuduhan yang dilemparkan kepada
papa adalah fitnah jahat, khianat, dan kasih papa
pada anak-anak, mendidik supaya menjadi orang-orang yang berilmu, beramal,
bertaqwa. Papa harap dengan bimbingan
mama, anak-anak tidak sedikit pun luntur, biar semangat kukuh, biar
ilmu bertambah, biar daya juang ada, biar kita tahu
anak-anak berasal dari kampung papa, di Sungai Bakap dan di Ceruk Tok
Kun, dan asas kita jangan sedikitpun kita lupakan.
Jadi, ingatlah pesanan papa kerana kemungkinan yang perkara buruk berlaku
tidak boleh papa ketepikan. Aaa, papa mungkin
ditahan, dan kalau lihat kepada apa yang berlaku pada Uncle Sukma dan
Uncle Munawar, ada kemungkinan dipaksa, diugut,
dipukul. Papa tidak gementar dengan itu semua. Papa telah lalui dan
Insyaallah papa boleh bertahan. Tetapi papa harus
ingatkan anak-anak kemungkinan papa dikenakan atau disuntik dengan
aaa…mungkin… dadah, atau jenis-jenis dadah yang
boleh melupakan papa, ataupun menyebabkan papa jadi nanar, atau tidak
menentu dalam percakapan. Sebab itu papa
mengambil pilihan untuk menyatakan kebenaran papa bahkan bila ada tuduhan
yang pertama, yang nampak khusus, yang
melibatkan Uncle Munawar dengan Uncle Sukma, semalam, papa melafazkan
sumpah, Wallahi, di Batu Pahat, untuk
menyatakan tuduhan
yang dilemparkan bersabit dengan perlakuan buruk dan keji itu adalah
fitnah jahat yang malangnya dibuat oleh orang yang
terlalu takut kepada kekuatan dan pengaruh papa. Dan Insyaallah perjuangan
reformasi menegakkan ma’ruf, kebenaran, dan
undang-undang tidak akan luntur.
Saudara saudari yang saya muliakan, dari awal saya tegaskan sebenarnya
ada konspirasi politik peringkat tertinggi. Memang
saya enggan untuk melibatkan nama Datok Seri Dr Mahathir Mohamad kerana
mengharapkan beliau ada pertimbangan yang
munasabah, rasional dan ada belas kasihan. Tetapi nyata, ini semua
hilang kerana beliau tamakkan kuasa dan harta dan mahu
saki-baki umur dan pemerintahan yang akhir digunakan sepenuhnya untuk
memperkukuh kepentingan keluarga dan
kepentingan kelompoknya. Memang benar Datok Seri Dr Mahathir Mohamad
pernah menyokong saya dan saya juga
menyokong beliau dengan kuat. Kerana pada masa itu saya masih yakin
akan prinsip perjuangannya walaupun saya akui
manusia tidak sempurna. Tetapi lambat laun, dengan nasihat kepala-kepala
komplot lain, termasuk Tun Daim Zainuddin, nyata
mereka tidak yakin bahawa saya boleh diharapkan untuk mempertahankan
kepentingan mereka. Saya tidak boleh diharapkan
untuk mengiyakan cara mereka membolot kekayaan dan menipu dengan ganas
memunggah kekayaan untuk kepentingan
beberapa komplot. Mereka tidak yakin saya dapat mempertahankan kepentingan
mereka dan suku-sakat dan keluarga
mereka. Itulah sebabnya mereka melancarkan satu komplot yang cukup
jahat terhadap saya.
Dan konspirasi ini dirancang tentunya pada peringkat awal untuk menggunakan
kes jenayah seks. Baik seks zina ataupun liwat,
homoseksual. Kerana mereka tahu untuk kaitkan dengan rasuah, walaupun
dikaitkan kemudian, sukar. Mereka boleh semak
tetapi mereka tahu kekayaan dan pendapatan saya terlalu kecil sebagai
seorang bekas menteri kewangan 6 tahun,
dibandingkan dengan orang-orang seperti Dr Mahathir dan orang-orang
di sekeliling beliau yang bukan sahaja kaya raya,
mempunyai billion ringgit, dan mempunyai akaun dalam negara dan luar
negara, dan ini menjadi pengetahuan umum. Untuk
dikaitkan dengan pengkhianatan kepada negara, walaupun mereka usahakan
tetapi susah melekat kerana rakyat tahu
pengorbanan dan sikap saya. Begitu juga dengan beberapa kes lain yang
masih juga dirangka dan direka setelah saya dipecat.
Tetapi untuk
dikaitkan dengan kes jenayah seks, ini akan menimbulkan kecurigaan kepada
rakyat. Saya telah bertanya kepada Datok Seri
Dr Mahathir, apakah benar saudara ini memang sungguh-sungguh berat
menjaga kepentingan moral pimpinan? Orang semua
tahu bahawa Dr Mahathir tidak pernah mengambil kira moral pimpinan,
baik arak, baik zina, baik judi. Orang juga tahu
perilaku mereka dalam dan luar negara. Kadang-kadang beliau menasihatkan
janganlah buat dalam negara, kalau-kalau
diketahui. Kalau perlu buat juga, buatlah di luar negara. Jadi nasihat
ini memang umum diketahui oleh semua. Jadi, adalah
munafik kalau beliau mengatakan di peringkat ini, pertimbangan moral
dan akhlak itu penting bagi beliau. Bahkan, dengan,
pendedahan Marina Yusuf terhadap perilaku seks dan juga teman-teman
wanita Perdana Menteri dan beberapa rakan dalam
kabinet, ini walaupun dipadamkan oleh media tempatan tetapi cukup menggemparkan
kalau ada alasan yang dibuat oleh Datok
Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa yang dilakukan terhadap saya itu ialah
kerana berita yang beliau perolehi. Saya ingin
menjelaskan bahawa berita yang di dedahkan oleh Marina sudah cukup
meminta beliau meletakkan jawatan dengan kadar
segera.
Dalang konspirasi ini tentulah ada di kalangan pimpinan politik dan
juga peniaga-peniaga kerana mereka takut bila saya
mengambil alih kuasa, kedudukan mereka, jenayah mereka, rasuah mereka,
tidak mungkin terjamin. Sebab itu dalam surat saya
kepada Perdana Menteri merayu pertimbangan beliau supaya jangan melakukan
kezaliman, saya menyebut badan pencegah
rasuah dikaitkan seolah-olah saya telah mengarah BPR untuk menyiasat
Unit Perancang Ekonomi yang melibatkan Ketua
Pengarah EPU dan memang ada siasatan dan memang ada bukti penangkapan
termasuk wang tunai yang diperolehi. Tetapi kes
itu ditutup dan saya pula dikaitkan, seolah-olah mengarahkan siasatan
terhadap Ketua Polis Negara, terhadap Peguam Negara
dan terhadap Ketua Hakim Negara.
Semua ini sekadar untuk mendapatkan dukungan dan sentimen mereka bersama
Dr Mahathir bila ada kerangka konspirasi
secara menyeluruh terhadap saya. Jadi, sebab itu saya telah bersetuju,
berbincang dengan teman-teman untuk melancarkan
agenda reformasi atau Islah. Kerana saya tidak dapat lihat kemungkinan
kita membuat penyesuaian bila keganasan seperti ini
berlaku. Dalam kes yang dihadapkan terhadap saya, pecah isu yang melibatkan
pernyataan bekas pemandu Azizah yang
bernama Azizan, dan juga adik kepada Azmin Mohamad Ali, Ummi Hafilda.
Mereka ada pengakuan bersumpah, Ummi
Hafilda ada kenyataan dalam tape yang menuduh orang-orang tertentu
membayar dengan harga yang cukup tinggi kepada
pengarang buku 50 Dalil dan kemudian buku itu diedar secara
meluas, hakim yang terlibat dipindahkan, yang tidak boleh tidak merupakan
satu konspirasi yang disahkan di peringkat tertinggi
dalam kerajaan.
Kemudian kes itu terhenti begitu sahaja. Bila saya dipecat, rupa-rupanya
kes tuduhan yang lama tidak boleh dipakai. Setelah
saya dipecat, barulah penangkapan-penangkapan baru dibuat. Penangkapan
dibuat terhadap Sukma, Dr Munawar, Azmin,
Mohamad dan beberapa orang lain sebelum ini yang ditangkap diugut dan
mereka keluar samada mendiamkan diri, atau pun
membuat kenyataan-kenyataan palsu menentang saya. Saya tahu keupayaan
polis, kalau polis itu stylenya, style Gestapo, kalau
beberapa pegawai polis
style nya itu style pegawai-pegawai polis Apartheid dan juga ala Mossad
Israel. Tapi saya ingin mengingatkan mereka tahun ini,
bulan ini rasa boleh selamat, bulan depan belum tentu kerana rakyat
akan menuntut Suruhanjaya. Mandela menunggu puluhan
tahun sebelum kebenaran muncul dan siasatan terhadap orang-orang yang
terlibat itu diteruskan. Keadilan tidak boleh ditolak
ansur. Keadilan mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Kezaliman
tidak boleh dibiarkan berlalu. Jadi saya harap, oleh
yang demikian, polis menjalankan tugas dengan professional. Dalam kes
Sukma, ditahan 13 hari, ibu bapa tidak boleh
berjumpa, keluarga dari Indonesia tidak boleh bertemu, peguam yang
kita lantik, tidak boleh ditemui. Akhirnya polis memaksa,
mengugut dan kemungkinan mengenakan dadah dan meminta beliau mengaku
dan melantik peguam sendiri. Seluruh masyarakat
guaman tahu betapa jijik cara yang sedemikian. Sudahlah orang itu dipaksa,
dan dipaksa mengaku, kemudian dilantik peguam
terdiri dari bekas pegawai polis, dilantik oleh polis untuk mempertahankan
Sukma. Dalam tempoh setengah jam kes itu
diselesaikan di mahkamah. Tidak ada bantahan, keluarga saya datang
lambat kerana kita tidak tahu, peguam datang lambat
kerana tidak diberitahu, kemudian dalam setengah jam, dikenakan denda
6 bulan penjara dan mahkamah bilik 4, dan
mahkamah bilik 1, kes Dr Munawar, nampaknya mengambil tindakan sama,
dengan cepat dan pantas, hukuman pun sama. Ini
suatu yang luar biasa, nak menunjukkan, membuktikan ada arahan di peringkat
tertinggi, ada konspirasi politik yang telah
berlaku. Sehingga selesai kes, bapak saya yang merayu nak menemui Sukma
sampai akhir tidak dibenarkan. Sukma tidak
sanggup sehingga memanggung kepala melihat anggota keluarga kerana
takut kepada ugutan polis. Kezaliman ini, kezaliman
terhadap rakyat. Ini satu contoh, tetapi contoh ini membuka mata rakyat.
Saudara-saudara harus bersyukur kerana walaupun
saya dizalimi, saya dianiayai, saya diaibkan, dan dimalukan, ini kesempatan
yang penting yang pertama dalam sejarah moden
kita. Di mana rakyat dengan sendirinya diberikan pendedahan dan pengajaran.
Dan oleh yang demikian saya katakan tidak ada
pilihan melainkan reformasi.
Undang-undang mesti dihormati. Prinsip keadilan mesti dimuliakan. Hak
asasi manusia jangan dipijak. Sistem diktator dan kuku
besi, merampas kekayaan rakyat, mesti diberhentikan. Ekonomi kita di
Malaysia yang tercinta ini cukup jenuh, cukup untuk
semua. Tetapi janganlah diminta supaya dibolot untuk kepentingan dua
tiga kerat manusia yang rakus dan tamak haloba.
Walaupun menyampaikan maklumat kepada orang ramai seolah-olah merekalah
pejuang yang tulin .
Kemudian soal undang-undang, soal agama jangan diremehkan. Kita hidup
dalam masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai
agama. Tetapi prinsip keadilan mesti dijaga. Jangan harap kita gunakan
media seperti yang dilakukan di Malaysia sekarang,
baik media cetak dan media elektronik untuk memperbodohkan rakyat.
Saya hadir bersama Azizah untuk melahirkan simpati
kepada Lim Guan Eng yang di penjarakan selama 18 bulan, semata-mata
kerana nak pertahankan maruah anak muda Melayu
dan neneknya. Dan untuk itu saya dikecam hebat seolah-olah saya bersekongkol
dengan parti Cina dan DAP. Saya katakan
soal Lim Guan Eng bukan soal Cina, bukan soal DAP, soal keadilan. Walaupun
media cuba mempermainkan supaya ahli-ahli
UMNO akan memusuhi saya. Saya harap ahli-ahli UMNO lebih matang. Sudahlah,
janganlah benar diri ditipu dan dikhianati
seperti ini. Janganlah pimpinan kita ditentukan oleh orang-orang yang
rakus dan tamak haloba. Cukuplah, bukalah mata, jangan
gentar dan takut. Dan biarlah ada pendirian dalam hidup kita. Sebab
itu saya katakan reformasi ini harus bermula dari
kesedaran kita. "Qu anfusakum wa ahlikum nara"…. "ibda’ bi nafsika",
mula dari diri kita dengan semangat kita, untuk
melancarkan Islah ini.
Soal orang nak kaitkan dengan pengalaman negara-negara lain tidak penting.
Yang cukup takut bila Presiden Suharto berundur
ialah Datok Seri Dr Mahathir Mohamad. Saya tahu gelisahnya. Saya tahu
bagaimana dia pertahankan Suharto habis-habisan.
Saya katakan Suharto juga banyak jasa. Tetapi Suharto juga buat kesilapan
besar, kerana mahu pertahankan sistem yang tidak
adil, dan rasuah. Begitu juga dengan Datok Seri Dr Mahathir Mohamad,
jasanya banyak. Tetapi dia sudah melewati tempoh
keupayaan khidmatnya. Dia telah cuba nak pertahankan diri dia, tanpa
mempedulikan undang-undang dan melakukan
kezaliman yang berterusan, yang cukup mengaibkan. Bahkan seperti dalam
kes yang melibatkan saya sekali lagi saya ulangi,
kes yang dibangkitkan sekarang tidak ada kena mengena dengan kes yang
menyebabkan saya dipecat. Semua ini ditangkap
baru, direka baru, akan dipanggil lagi kawan-kawan saya, dan nampaknya
kalau nak gunakan pelacur nampak tak jadi
sebabkan saya gunakan berulangkan kali, pre-empt, dan menjangka awal
tindakan dan taktik mereka. Sebab itu mereka agak
lebih ganas, bahkan Dr Munawar di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri. Tuduhan tidak ada kena mengena
dengan soal keselamatan. Tuduhan ialah kes seks.
Ini menunjukkan satu tindakan yang gopoh-gapah, kelam kabut, yang dikaitkan
kerana Perdana Menteri Dr Mahathir sudah
desperate . Dia sudah baca sekarang kemarahan rakyat. Dan saya ingin
menasihatkan dia supaya berundur secara terhormat
sekarang sebelum rakyat bangun menentang dan memaksa beliau turun secara
cukup hina sekali. Dan saya berdoa ke hadrat
Allah s.w.t. supaya rakyat dapat terus istiqamah dengan pendirian yang
teguh, bahawa masyarakat Melayu, Cina, India, Iban,
Kadazan, Murut, semuanya faham bahawa masa untuk perobahan adalah sekarang.
Kita mesti bertindak sekarang, sebelum
kita dijajah oleh anak-anak bangsa yang pura-pura menjadi pemimpin
kita.
Wassalamu alaikum wr wb
Yang menyebabkan mereka gusar dengan saya ialah kerana saya tahu terlalu
banyak rahsia mereka. Saya tahu beberapa billion
ringgit wang UMNO yang dicuri untuk kepentingan beberapa orang. Saya
tahu beberapa banyak wang – 1 billion – bulan
Oktober yang dikeluarkan dari dalam negara ke luar negara, ke satu
akaun bank di sekitar Zurich. Saya telah lapor kepada Dr
Mahathir mengharapkan dia pemimpin yang boleh dipercayai, rupa-rupanya
dia menyimpan maklumat itu dan saya tidak boleh
nafikan bahawa ada pakatan sulit di antara beliau dan beberapa orang
berkenaan. Saya tahu rahsia bagaimana beberapa
projek digunakan dan dimenafaatkan untuk beberapa kawan dan suku-sakatnya.
Mereka takut dengan maklumat ini. Tetapi
saya sudah beritahu bahawa saya pada peringkat awalnya tidak bercadang
untuk menentang Dr Mahathir dalam pimpinan parti
dan kerajaan. Mengharapkan bahawa beliau akan berhenti secara terhormat,
dan bila kita ambilalih kita akan betulkan cara
baik tanpa membawa imej yang jijik terhadap keburukan-keburukan beliau.
Tetapi beliau telah tidak beri pilihan, beliau
menghina saya, menghina ulama’, mempermainkan hukum agama, beliau anggap
beliau Maha Kuasa dan dikelilingi oleh
orang-orang yang tidak ada keberanian sama sekali untuk membuat teguran
terhadap beliau.
Beliau hidup dalam dunia impian. Beliau hidup tidak jejak kepada bumi
yang nyata. Beliau anggap beliau Perdana Menteri yang
paling popular di dunia dan beliau juga anggap bahawa beliau telah
dapat lakukan apa sahaja mengikut kehendak nafsu serakah
beliau dan beliau melakukan kesilapan besar kerana bertindak zalim
dan doa orang yang dizalimi atau mazlum insyaallah akan
dikabuli oleh Allah s.w.t.
Kita telah berusaha menasihat sebagai anak kepada bapa. Saya tidak boleh
nafikan yang saya memang ada kasih kepada Dr
Mahathir sebagai bapa. Sakitnya, demamnya, penatnya saya ambil tahu.
Saya tidak jangka sama sekali dia bertindak zalim dan
separuh gila dengan mengambil tindakan yang dilakukan kepada saya semata-mata
kerana takut bahawa saya tahu terlalu
banyak dan rahsia terlalu banyak mungkin didedahkan maka cara dan pilihannya
ialah untuk mematikan kareer politik saya
supaya saya tidak mampu bangun lagi. Umumnya diketahui oleh pimpinan
dan rakyat sikap saya terhadap Bakun. Kita tidak
sangat menentang projek itu kalau dikendalikan cara teratur dan bukan
untuk menjaga kepentingan suku-sakatnya. Bahkan
dalam pembangunan lapangan terbang Sepang sendiripun berapa banyak
kepentingan keluarganya dan anaknya itu diberikan
dan kita sedapat upaya cuba elakkan sehingga beliau mula marah-marah.
Dalam kes Petronas dengan MISC sekalipun yang
melibatkan anaknya Mirzan Mahathir, kita nasihatkan supaya ikut peraturan.
Saya dengan Petronas meminta supaya digunakan
penilai antarabangsa, kemudian kami terus dimarah kerana harganya difikir
harus lebih tinggi. Tetapi harganya melibatkan RM2
billion duit Petronas, wang rakyat, jadi kita terpaksa ikut cara dan
kaedah yang munasabah. Tetapi beliau tidak puas hati.
Begitu juga dengan kemudahan dan pembangunan Putrajaya, kerana dia hidup
dalam apa yang disebut "delusion of grandeur",
mesti yang tertinggi, yang terhebat, yang terbesar, termasuklah istana
rasmi beliau mahunya yang terindah dan yang terbesar di
dunia. Ada yang mengatakan saya luluskan. Saya ingin menyebut saya
tidak meluluskan pembangunan rumahnya. Itu dibuat
melalui satu syarikat Putrajaya Holding yang direncanakan sedemikian,
mereka dapat arahan cara langsung. Saya tidak
menandatangani apa surat sekalipun meluluskan satu istana yang begitu
besar bagi seorang Perdana Menteri yang mahu hidup
dalam satu dunia impian dan khayal.
Sebelum ini beliau mengecam raja-raja, membazir. Beliau meminta dipinda
undang-undang, kita sokong. Kita fikirkan
undang-undang dipinda supaya dikembalikan kuasa kepada rakyat. Rupa-rupanya
kuasa raja dikurangkan, diturunkan,
kadang-kadang dengan cara yang cukup hina dan mengaibkan, tak perlu
dibuat cara begitu, tetapi yang berlaku ialah diambil
kuasa raja, diletakkan kepada kepala dia. Jadi akhirnya dia menjadi
Perdana Menteri dan raja dan dewa dan semuanya. Dan
ini yang akhirnya memusuhi beliau sendiri dan merosakkan imejnya. Dan
sebab itu juga saya telah tidak meluluskan rumah rasmi
Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya. Kerana projek pertama di sekitar
RM70 juta, dikurangkan jadi RM40 (juta),
dikurangkan lagi tetapi saya kata kepada Azizah, susah kita nak luluskan
sekarang, dalam keadaan ekonomi begini. Tak
apalah, kita duduklah di rumah yang lebih simple, tidak dengan harga
mahal-mahal, tetapi Dato Seri Dr Mahathir Mohamad
tidak dengan cara begitu. Tetapi import semua ni, dari Perancis, peralatan
dalaman rumah yang terbaik di dunia. Semuanya first
class, yang paling baik dan indah. Patut kita istighfar, dan kita sedar
bahawa kita juga ada hadnya. Beliau bukan terlalu muda,
bagaimana mahu terus mengekalkan kuasa, menongkat langit dan dengan
cara yang kejam dan zalim buat orang seperti ini.
Gunakan instrumen polis seperti Gestapo, memukul, mendera, dengan cara
yang cukup memalukan, bahkan mahkamah
bersidang, cara satu sidang yang luar biasa cepat dan cekap, tidak
mendengar langsung rayuan dan permintaan daripada pihak
peguambela.
Yang kita dengar berulang kali ialah rakyat mesti berkorban. Tapi apa
pengorbanan kita yang memunggah kekayaan ratusan
juta dan billion ringgit. Yang kita dengar berulang kali ialah negara
kita, tanggung jawab kita, di mana rakyat mesti memikul
tanggung jawab. Tetapi, tanggung jawab mereka untuk melaksanakan keadilan,
pemerintahan mengikut hukum dan
undang-undang sendiri tidak dapat ditunaikan dengan sebaiknya. Saya
rasa juga sedikit bersalah kerana cuba membawa
perubahan sedapat mungkin sedaya upaya dari dalam, memujuk dan merayu,
dan menunggu sekian lama. Dan untuk itu saya
memohon maaf kerana walaupun saya basmikan kemiskinan, bangunkan rumah
kos rendah, pertahankan demokrasi dan
masyarakat madani dan membawa imej Islam yang baik, menghormati pandangan
ulama’, nampaknya saya diketepikan.
Oleh kerana saya berkeras dan berdegil mempertahankan prinsip ini, saya
mahu dimalukan, dan berulangkali akan dibangkitkan
melalui tuduhan-tuduhan dan digunakan media untuk mengaibkan saya.
Apa dosa saya? Dosa saya ialah kerana saya
mempertahankan kebenaran, keadilan dan kepentingan rakyat.
End