Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!


1225 PENGETAHUAN MORAL

BENTUK KERTAS PEPERIKSAAN 

Kertas soalan ini mengandungi tiga bahagian iaitu Bahagian A(I), Bahagian A(II) dan Bahagian B. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab kertas soalan ini ialah dua jam tiga puluh minit. 

Bahagian A (I) 

Bahagian ini menguji pengetahuan pelajar tentang nilai moral masyarakat Malaysia. Bahagian ini mengandungi 20 soalan objektif dan markah penuh untuk bahagian ini ialah 30 markah. Markah akan diberi berdasarkan pilihan jawapan yang menggambarkan perkembangan pemikiran moral seseorang pelajar. 

Bahagian A (II) 

Bahagian ini menguji pertimbangan tentang pemahaman moral. Bahagian ini mengandungi 10 soalan dan markah penuh untuk bahagian ini ialah 100 markah. Pelajar dikehendaki menjawab soalan dalam ruangan yang disediakan berdasarkan rangsangan yang diberi. Rangsangan yang diberikan berbentuk cerita yang mengandungi delima masalah moral dan isu semasa. Pelajar dikehendaki memberi pandangan dan pendapat mereka tentang perkara yang ditimbulkan. Pelajar juga dikehendaki memberi sebab mereka mengemukakan pandangan dan pendapat sedemikian. Markah diberi berdasarkan pengetahuan tentang nilai moral dan perkembangan serta kematangan fikiran seseorang pelajar. 

Bahagian B 

Bahagian ini menguji pemahaman pelajar dan bagaimana mereka mengaplikasi, menganalisis dan membuat keputusan tentang sesuatu masalah atau isu moral yang dikemukakan menggunakan pengetahuan moral yang telah mereka pelajari di sekolah. Bahagian ini mengandungi tiga soalan esei dan pelajar dikehendaki menjawab kesemua soalan. Tiap-tiap soalan diperuntukkan 15 markah. Pelajar dinilai berdasarkan kematangan fikiran dan persepsi dari sudut nilai moral sejagat yang terdapat dalam sukatan pelajaran. Seperti dalam Bahagian A(II), pelajar dikehendaki menyatakan pendapat dan pandangan mereka berlandaskan nilai moral yang dipelajari.

SARANAN 

Pelajar dikehendaki memahami dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan setiap nilai moral yang dinyatakan dalam sukatan pelajaran. Perbezaan antara maksud nilai utama dan pecahan nilai di bawahnya juga mesti diteliti oleh pelajar. Ini untuk membolehkan mereka mengaplikasi nilai moral yang paling tepat dalam situasi yang dikemukakan. 

Apabila menjawab soalan, pelajar tidak perlu menjawab soalan seolah-olah menjawab pemahaman karangan. Mereka mestilah menyesuaikan tindakan yang rasional dengan situasi yang dikemukakan dan penerangan yang diberi disokong dengan nilai moral yang telah mereka pelajari. 

Pelajar disarankan membaca dengan lebih meluas supaya pemikiran mereka lebih terbuka dan mereka lebih peka kepada keadaan masyarakat sekeliling dan isu semasa, tidak hanya tertumpu kepada diri sendiri sahaja.