Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

 

Ucapan YB Dato’ Seri Rafidah Aziz,
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Di Perasmian Silterra-KISMEC Microelectronic Training Centre
Pada Isnin 2 Julai 2001, 9.30 pagi di Kulim Hi-Tech Park, Kedah

Tahniah atas kejayaan menubuh kemudahan latihan ini, yang akan dapat bantu penuhi keperluan negara untuk tenaga pekerja dalam bidang microelectronics, yang didorongi oleh perkembangan industri fabrikasi wafer dan semi-conductor.  Lebih-lebih lagi dengan proses pengeluaran industri seperti di sektor elektronik menjadi semakin intensif-teknologi dan proses-prosesnya memerlukan pengetahuan dan ilmu serta kemahiran dan keupayaan-keupayaan baru.  Sangat penting bagi Pusat-pusat Latihan Kemahiran dan Pembangunan Tenaga Manusia di negara ini sentiasa mengemaskini, serta membuat kajian semula serta penilaian/assessment ke atas pendekatan-pendekatan latihan/kurikula, serta penggunaan peralatan dan mesin, supaya dapat dipastikan setiap bentuk latihan itu adalah tepat dan relevan untuk memenuhi keperluan industri dan pasaran, dan tidak ketinggalan dari segi kemajuan dan pembaharuan.

Ini ialah kerana dalam sektor industri sendiri, kilang-kilang dan enterprais-enterprais telah mengintegrasi proses, teknologi  dan pendekatan-pendekatan terkini dalam operasi masing-masing dan, dengan itu, para tenaga pekerja yang mereka perlukan ialah mereka yang sudah didedahkan kepada unsur-unsur terbaru itu.

Jika di Pusat-pusat Latihan dan Kemahiran, pelatih masih menggunakan kaedah lama, serta berinteraksi dengan proses dan teknologi serta peralatan yang generasi lama, maka kemahiran yang mereka perolehi tidak lagi sesuai dan relevan dengan keperluan dalam industri, dan akan terdapat jurang antara bekalan kemahiran dengan  keperluan kemahiran.

Kepesatan pembaharuan dan kemajuan teknologi dalam industri mesti mendorongkan semua Pusat-pusat Kemahiran dan Latihan di negara ini untuk bekerja sama rapat dengan enterprais dan syarikat-syarikat dalam industri,  supaya dapat sentiasa disesuaikan program dan kaedah latihan dengan apa yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat/enterprais-enterprais  tersebut.

Hakikat ini sangat benar bagi sektor pekilangan, yang berkembang dengan pesat, dan yang semakin pelbagai atau diversified asas atau “base”nya.  Sektor pekilangan dijangka memerlukan 3.8 juta tenaga pekerja dalam tahun 2010, iaitu pertambahan permintaan sebanyak purata 4.1% setahun, dan, dalam tahun 2010, gunatenaga dalam sektor pekilangan dianggarkan merupakan 30.4% dairpada keseluruhan pekerja di negara ini.

Dengan peralihan pengeluaran pekilangan kepada produk bernilai tambah lebih tinggi, serta proses yang intensif teknologi, maka perlu bagi industri sendiri mempergiatkan usaha melatih dan melatih semula, serta meningkatkan kemahiran-kemahiran tenaga pekerja mereka.

Kerajaan ada menyediakan insentif-insentif yang menarik, untuk menggalakkan usaha melatih tenaga pekerja, seperti:

-          Elaun Cukai Pelaburan  sebanyak 100% untuk 10 tahun bagi syarikat-syarikat yang menubuhkan institut latihan vokasional dan teknikal.

-           Potongan Cukai Dua Kali  ke atas perbelanjaan-perbelanjaan yang diluluskan, untuk latihan sama ada di premis sendiri, atau di institusi-institusi latihan yang perakui oleh Kerajaan.

-            Pengecualian / exemption ke atas cukai import, cukai jualan, dan duti eksais, ke atas bahan-bahan mesin dan peralatan yang digunakan untuk latihan.

-           Juga dibenarkan Elaun Bangunan Industri/Industrial Building Allowance untuk perbelanjaan yang dibuat untuk mendirikan bangunan bagi tujuan latihan.

Untuk syarikat-syarikat fabrikasi wafer, 2 syarikat iaitu Silterra Sdn Bhd dan First Silicon Sdn Bhd telah diluluskan geran tiap-tiap satu RM5 juta untuk usaha-usaha latihan, di bawah Tabung Khas Geran Latihan untuk projek-projek fabrikasi wafer.

Usaha melatih para pekerja tidak semestinya hanya terhad kepada mendedahkan kepada teknologi dan proses baru, atau membolehkan mereka mendapat kemahiran-kemahiran baru.  Latihan juga wajar meliputi peningkatan kecekapan dan produktiviti, supaya dapat meningkatkan prestasi syarikat-syarikat.

Di Malaysia, terdapat banyak firma-firma yang tidak memberikan latihan secara formal kepada pekerja masing-masing.  Menurut satu kajian oleh Bank Dunia ke atas Latihan, Teknologi dan Produktiviti di kalangan enterprais di Malaysia didapati bahawa 80% firma-firma tidak mempunyai program latihan pekerja atau semata-mata bergantung kepada latihan tidak formal untuk pekerja dan penyelia/supervisor.  Hanya 20% menyediakan latihan formal.

Kerajaan telah memberi fokus kepada latihan tenaga pekerja, dan kearah ini, sejumlah RM1.2 ribu juta telah diperuntukkan bagi membina 14 Pusat-pusat Latihan Industri, serta 4 (empat) Advanced Technology Training Centres, yang kesemuanya akan dapat menampung 17,000 orang pelatih tiap-tiap tahun. 

Di bawah Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) pula, kemudahan-kemudahan latihan boleh diberikan kepada tenaga pekerja syarikat-syarikat pencarum, dan dalam tahun 2000, seramai 301,732 pekerja telah dilatih, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM109,663,124.  Antara Januari-Mei 31, 2001 pula seramai 164,228 pekerja telah dapat dilatih dengan jumlah peruntukan daripada Tabung HRDF sebanyak RM64,067,493.

Dari jumlah 465,960 tersebut pekerja yang telah dilatih melalui penggunaan kewangan daripada Tabung tersebut, dari Januari 2000 hingga 31 Mei 2001, iaitu seramai 52,670 adalah untuk latihan teknikal, 128,153 dalam bidang kualiti, dan 45,872 dalam bidang komputer.

Memandangkan bahawa sektor pekilangan sahaja menggajikan seramai 2.6 juta pekerja dalam tahun 2000,  bilangan pekerja yang telah diberi latihan di bawah Tabung HRDF adalah masih kecil.  Sektor swasta adalah digesa supaya membuat perancangan yang tersusun untuk mempastikan setiap peringkat dan kumpulan tenaga pekerja mereka dapat diberikan latihan-latihan yang sewajarnya secara bergilir dan mengikut keutamaan.

Bagi Malaysia daya saing dalam pasaran akan banyak bergantung kepada keupayaan tenaga pekerja untuk mendorongkan prestasi yang terbaik bagi enterprais / syarikat yang terlibat dalam pelbagai sektor ekonomi negara.

Dalam bidang elektronik, khususnya proses meningkatkan kemahiran dan pengetahuan di kalangan para pekerja perlu disegerakan, oleh kerana “cycle” produk terlalu pendek, dan pembaharuan teknologi begitu cepat berlaku, dan unsur-unsur “obsolescence” atau keusangan lebih mudah dialami.

Dalam usaha Malaysia menarik pelabur-pelabur asing ke dalam sektor-sektor industri yang berteknologi tinggi, dan yang intensif kemahiran/skills intensive, satu faktor positif yang sentiasa dianggap sebagai pendorong ialah bekalan tenaga yang mudah dilatih serta yang mempunyai latihan.

Dengan Malaysia tidak lagi kompetitif untuk industri-industri yang intensif buruh atau tenaga manusia, maka kekurangan ini perlu di atasi dengan mempastikan tenaga manusia yang memasuki “labour force”/tenaga pekerja negara, adalah mereka yang lengkap dengan kebolehan memahami serta berinteraksi  dengan teknologi dan proses baru.

Setiap generasi baru tenaga pekerja negara perlu diorientasikan kepada perkembangan-perkembangan terkini, dalam proses pekilangan, sementara pekerja-pekerja sedia ada mesti diberi peluang dilatih semula, dan didedahkan kepada unsur-unsur baru teknologi tersebut.

Adalah diharapkan Pusat-pusat Latihan Kemahiran seperti KISMEC akan menjalankan program-program promosi yang meluas di kalangan syarikat-syarikat di Negeri Kedah, dan di kawasan-kawasan di mana Pusat-pusat tersebut beroperasi, untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya latihan kemahiran tenaga pekerja.

                 

[Main Menu] [Profile] [Organization] [Location] [Training Programme] [Facilities] [Latest News] [Committees] [Membership] [Article] [Links]

One©2002 Copyright Kedah Industrial Skills And Management  Development Centre.
All rights reserved. Maintained by the KISMEC IT.