| ![]() [
Index
] | ||||||
Kawalseliakan Penguatkuasaan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) Ucapan Dr Tan Seng Giaw, Naib Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Kepong ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 1999 pada 14 Julai 1999.   | |||||||
| Tuan Yang di-Pertua Saya tidak akan mengambil masa yang panjang. Kita berharap kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dengan adanya akta seumpama ini. Maka segala pindaan ini yang boleh mencapai persetujuan memang dialu-alukan. Ini tidak bermakna semua pindaan ini tidak menimbulkan keraguan. Semalam, Yang Berhormat Bagan telah membangkitkan perkara vicarious liability (liabiliti ke atas pemilik berdaftar kenderaan motor) yang terkandung dalam Seksyen109. Saya tidak akan bincangkan hal ini, masa ini. Kementerian mestilah mengkaji dari semasa ke semasa kesan seksyen ini. Walaupun pindaan ini telahpun dipinda , keadilan bukan sahaja (perlu) dilakukan, bahkan juga diperlihatkan. Sambil menyeru semua pihak bekerjasama untuk mengurangkan kemalangan, kita berpendapat bahawa kementerian haruslah sentiasa berhati-hati terhadap kelemahan-kelemahan yang akan wujud. Tahun lepas, berlakulah lebih 11,000 kes kemalangan dengan 339 orang mati dan pada lima bulan pertama tahun ini sahajalah terdapat lebih 12,000 kes dengan 176 orang maut. Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya hendak bangkitkan masalah status Putrajaya. Saya pernah bertanya mengenai status Putrajaya di dalam Dewan yang mulia ini tiga tahun lepas. Waktu itu saya telah diberitahu bahawa keadaan belum ditetapkan lagi. Sekarang pindaan diadakan untuk membolehkan Perbadanan Putrajaya menjalankan kuasa yang diberikan dan melaksanakan tugas-tugas yang dikenakan oleh Akta. Difahamkan bahawa Putrajaya adalah bandaraya berkembar pentadbiran Kuala Lumpur. Bukankah Putrajaya akan menjadi Wilayah Persekutuan juga? Kalau inilah akan dilaksanakan mengapa Perbadanan Putrajaya dimasukkan ke dalam rang undang-undang ini? Yang di-Pertua, seksyen-seksyen 41,42,43,44,45, 45A, 45B, 45C serta 109 adalah menambahkan penalti bagi kesalahan yang dilakukan di bawah seksyen-seksyen itu dengan hukuman penjara selama tempoh 2 tahun hingga 10 tahun dan denda RM2,000 hingga RM500,000. Kita tidak tahu apakah keberkesanan hukuman atau penalti ini. Seksyen-seksyen 45D, 45F dan 45G menyentuh pengambilan sampel darah atau air kencing termasuk daripada mana-mana orang tanpa persetujuan orang itu. Saya berpendapat bahawa seksyen-seksyen ini adalah tidak mencukupi. Satu pindaan yang lebih terperinci mestilah diadakan. Kita faham bahawa jika seseorang yang terbabit dengan kemalangan itu benkeng atau mabuk, dia mungkin melakukan kekerasan. Bagi orang-orang seumpama ini keengganan memberi spesimen darah atau air kencing patutlah dijadikan satu kesalahan. Misalnya saya diberitahu bahawa di United Kingdom mereka mempunyai pindaan yang spesifik bagi orang-orang yang ganas yang keengganannya merupakan satu kesalahan di dalam kes yang tertentu. Saya berharap Yang Berhormat dapat mengkaji semula masalah pengambilan spesimen darah dan air kencing ini. Saya hendak membangkitkan masalah kawalseliaan, penguatkuasaan akta dan kaedah untuk memproses saman bertulis. Ini adalah kena-mengena dengan pelbagai faktor termasuk kualiti anggota-anggota JPJ dan polis serta keberkesanan mahkamah. Saya sering menghadapi masalah kerana penguatkuasaan yang timbulkan kecurangan, timbulkan kelemahan. Misalnya, pada bulan Mac tahun lepas saya terima satu kes (kes ini pun |
saya kemukakan kepada Kementerian Pengangkutan dua kali). Saman bertulis A 139228, lori WGB 967 Lee Swee Swee, 2344 Jinjang utara. Encik Lee membeli sebuah lori baru pada bulan November 1997. Kemudian, pada suatu hari, 7 Januari tahun lepas, dengan lori yang kosong dia hendak memungut barang-barang, dia melepasi satu kawasan di Jinjang, dan di situ ada lima anggota JPJ yang sedang memeriksa. Dia pun dipaksa, disuruh berhenti dan saya pun tak tahu apa yang berlaku. Mungkin dia ada tidak bersopan ataupun tidak apa-apa, mungkin kerana dia anggap lori yang baru dua tiga bulan sahaja macam mana ada asap hitam dan sebagainya, tidak ada, dan dia dilayan dengan tidak baik. Dia diberi tiga saman bertulis mengenai keluaran asap hitam. Tuan Yang di-Pertua, saya pun tak tahu apa sebenarnya berlaku dengan kes ini. Pada 4 Februari tahun lepas, dia terpaksa menghantar keretanya untuk diperiksa di Jabatan Pengangkutan Jalan, Negeri Selangor. Larangan tersebut ditarik balik pada hari yang sama, nombor 881178 JPJ Selangor, kerana didapati tidak ada asap hitam. Tetapi, tiap-tiap tahun ada 200,000 saman bertulis dan hampir 80,000 telah disenaraihitamkan. Lori Encik Lee juga disenaraihitamkan. Encik Lee tidak boleh membayar cukai jalan. Saya telah hantar dokumen-dokumennya kepada kementerian dua kali dan tindakan yang diambil itu tidak berkesan. Saya terpaksa berhubung dengan JPJ di Wangsa Maju dan mereka pun telefon saya, "Oh! Baik-baik, panggil orang itu pergi". Saya pun panggil orang itu pergi. Bila dia pergi, dia diberi notis baru untuk menghadir ke mahkamah. Dia pergi ke Mahkamah Majistret Jalan Raja (Kuala Lumpur) pada 30 November dan juga 2 Disember tahun lepas, tetapi didapati tidak ada dokumen di Mahkamah 7A dan 7B. Saya pun hairan juga. Saya meminta seorang peguam pergi ke situ dan didapati tidak ada dokumen bagi orang yang bersabit dengan kes ini. Saya sendiri pergi ke mahkamah untuk tengok apakah masalahnya. Didapati bahawa pegawai di dalam perkhidmatan, legal officer, hampir 300 di seluruh negara, sangat kuranglah sekarang. Mungkin kordinasi di antara JPJ dengan mahkamah tidak begitu baik dan dokumen-dokumen tidak dihantar. Tuan Yang di-Pertua, saya terpaksa sekali lagi berhubung dengan JPJ Wangsa Maju untuk menyelesaikan masalah ini. Ini satu kes daripada banyak kes lagi. Cuba bayangkanlah macam mana orang biasa boleh menyelesaikan masalah seumpama ini. Bila saya bertemu dengan pemandu lori atau teksi dan sebagainya, mereka kata, "Kita bayar dahululah, tidak bayar kita susah". Kalau salah pun bayar, tidak salah pun bayar, bayar kepada siapa? Saya sengaja bangkitkan kes ini supaya pihak kementerian dapat mengadakan satu pasukan kawalselia untuk mengawalseliakan masalah-masalah yang timbul semasa penguatkuasaan pindaan-pindaan Akta Pengangkutan Jalan ini. Kementerian mestilah mengkaji kaedah yang ada sekarang untuk semua pihak termasuk penyelarasan di antara pihak mahkamah, JPJ, anggota polis trafik dan juga mungkin kerana asap kenderaan dengan pihak kementerian Alam Sekitar. Kaedah ini mestilah diperbaiki untuk memastikan semua penyelarasan itu boleh sampai kepada satu tahap yang lebih sempurna dan masalah-masalah yang dihadapi oleh orang ramai boleh dikurangkan. Dr Tan Seng Giaw | ||||||
![]() |     | |||||||
| [ Home | Political | Medical | Personal ] | Article #83 | |||||||
| [ Recent | Archives | Forum | Feedback ] | [
Index
]
|   |   |   |   |  
| | ||