Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

 

















[ Index ]
 


 

Kita memerlukan suruhanhjaya diraja untuk menyiasat keadaan perpaduan nasional di Malaysia, agar penyelesaian dapat dicari untuk memupuk perpaduan di antara kaum

Ucapan Dr Tan Seng Giaw, Naib Pengerusi Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kepong ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja pada 20 Mac, 2001.
 
.
Tuan Yang di-Pertua,

Rakyat Malaysia sedang menghadapi pancaroba politik dan ekonomi di negara ini. Walaupun Kerajaan sedang berusaha memperkecilkan pancaroba ini melalui pelbagai cara termasuk media, rakyat bimbang apa akan terjadi dalam negara yang penuh dengan pancaroba ini. Apa yang berlaku di Kampung Medan, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya Selatan, pada 8 March, 2001, merupakan satu detik hitam yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang mati dan beberapa cedera. Mengapa pergaduhan ini boleh wujud?

Kita tidak mahu peristiwa seumpama Kampung Medan berlaku dan berulang. Kepada keluarga mangsa-mangsa tersebut kita mengucapkan takziah untuk menyatakan rasa dukacita. Kita mengambil sikap yang sederhana. Kita berasa dukacita dengan sikap sesetengah pemimpin Barisan Nasional yang menyalahkan Barisan Alternatif. Sebenarnya, jika Kerajaan mengambil tindakan awal dan polis benar-benar bertindak secara profesional dengan lebih cepat, peristiwa tersebut boleh dielakkan. Kerajaan wajib menyiasat dengan teliti peristiwa tersebut dan membentangkan satu kertas putih di Dewan ini dengan secepat mungkin. Di sini, saya hendak menekankan bahawa walaupun Kerajaan telah berjanji untuk membentangkan kertas putih mengenai peristiwa Sauk, setakat ini belum lagi ada kertas putih itu. Masih ada kes-kes mahkamah. Bilakah Kerajaan akan mengotakan janji ini?

Burung kedidi terbang ke pantai,
Dari pantai terbang berkawan;
Kerana sebiji rosak setangkai,
Sebab setangkai rosak sedahan.

Pantun Dondang Sayang

Kita mestilah mencari asal-usul peristiwa Kampung Medan dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kononnya, pergaduhan di Kampung Medan, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya Selatan, pada 4 hingga 8 March, 2001, menyebabkan enam orang terbunuh, sekurang-kurangnya 40 yang lain cedera serta setakat ini 75 orang telah didakwa di mahkamah.

Beberapa kejadian telah dikhabarkan berlaku di kawasan tersebut, termasuk pada mulanya serangan-serangan parang di majlis perkahwinan dan pengebumian serta ke atas seorang pemandu lori. Kita telah diberitahu bahawa apabila polis dipanggil, ia tidak mengambil tindakan dengan segera. Perofesionalisme polis telah dikhuatiri oleh sesetengah orang. Kemudian, dilaporkan bahawa kira-kira 800 polis mengawal kawasan itu.

SURUHANJAYA DIRAJA PERPADUAN

Selain daripada kertas putih Kampung Medan, kita haruslah meninjau keadaan di seluruh negara termasuk semua kawasan setinggan, rumah panjang, rumah-rumah pangsa dan kampung-kampung yang miskin, institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Misalnya, rumah panjang di Jinjang Utara yang mempunyai lebih 1,000 unit (hampir 2,000 unit). Rumah panjang ini telah dibina hampir10 tahun. Terdapat penagih dan pengedar dadah dan penjenayah di kawasan itu. Mereka mengancam keselamatan para penduduk di sekitarnya. Walaupun terdapat ura-ura projek pembangunan di kawasan itu, masalah sosial dan penjenayahan masih berlaku. Pihak polis belum mempunyai kawalan yang berkesan.

Terdapat beberapa sebab termasuk kekurangan anggota dan sikap kurang tegas yang mengakibatkan polis tidak boleh mengawal keadaan dengan lebih awal. Oleh itu, pengambilan lebih banyak anggota polis dan latihan yang baik mestilah diadalah untuk memastikan polis benar-benar profesional dan berdisiplin.

Y.A.B. Perdana Menteri sedang asyik memain politik, politicking. Beliau melaung-laungkan bangsa Malaysia pada satu ketika, memberi harapan kepada rakyat semua kaum kerana mereka mempercayai Y.A.B. hendak mengikiskan perkauman. Akan tetapi, sebelum dan selepas pilihanraya 1999, Y.A.B. bermain politik perkauman. Misalnya, beliau membandingkan Suqiu dengan Alma'unah dan Komunis walhal sebelum pilihanraya Jemaah Kabinet Kerajaan beliau menyokong Suqiu. Kemudian, beliau hendak mengadakan perpaduan Melayu.Tambah pula, UMNO, MCA dan MIC masing-masing terus memainkan politik perkauman di dalam ertikata yang sebenarnya. Semua ini adalah bertentangan dengan cita-cita bangsa Malaysia, multiracialism. Walaupun Barisan Nasional mengatakan perpaduan Melayu adalah baik untuk negara dan tidak menjejaskan kaum-kaum lain, kebanyakan rakyat tidak bersetuju. Penjatian awak, kepantangan orang.

Saya mencadangkan supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasat keadaan perpaduan, relevannya atau tidak Kementerian Perpaduan Nasional dan Pembangunan Masyarakat, unsur-unsur yang menjejaskan atau memupukkan perpaduan negara termasuk parti-parti politik monoetnik. Sekali mengorak pura dua tiga hutang langsai.

Keadaan Ekonomi

Kerajaan telah berulang bahawa pertumbuhan ekonomi dijangka akan terus berkembang dengan pesat. Ada gejala-gejala bahawa ekonomi kita tidak begitu kukuh: sektor pembinaan dan perniagaan runcit, kelapa sawit dan getah adalah lembap. Walaupun pertumbuhan untuk tahun ini telah dijangka sebagai 7%, kita khuatir ia boleh menjadi 4 atau 5%. Kita berharap kekhuatiran ini tidak akan menjadi kenyataan.

Ekonomi Amerika Syarikat, ekonomi yang terbesar di dunia, adalah mulai lembap. Ekonomi Jepun yang merupakan ekonomi yang kedua besarnya di dunia juga lemah untuk satu dekaddah. Ini telah menjejaskan ekonomi dunia. Meskipun Kerajaan bercakap besar darihal kewibawaannya dalam pengurusan ekonomi Malaysia, tetapi kita dapati kelemahan-kelemahan seperti reformasi pengurusan korporat yang masih tidak memuaskan seumpama pengurusan MAS dan penawaran awam peringkat permulaan, initial public offering, IPO,Time dotCom. Dengan amalan Kerajaan sekarang, ada tanda yang menunjukkan bahawa menawarkan rasuah diterima sebagai amalan biasa (the offering of bribes is accepted as normal practice).

KEKURANGAN PAKAR DAN WANG DI JKR

Ada alamat yang menunjukkan bahawa Kerajaan memperuntukkan lebih wang untuk projek-projek awam termasuk menghidupkan semula projek hidroelektrik Bakun yang akan menelan belanja RM9 bilion. Projek-projek awam ini adalah menjadi pemangkin kepada ekonomi kerana ekonomi yang lemah. Kerajaan mengatakan ekonomi telah pulih, tetapi keadaan ekonomi masih murung, seolah-olah kata-kata pemulihan itu sebagai gurauan saja. Saya akan membincangkan projek-projek awam ini semasa membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-lapan kelak. Yang pentingnya, Jabatan Kerja Awam yang ditanggungjawabkan untuk melaksanakan atau memantaukan projek-projek awam, yang ditentukan oleh agensi seperti Unit Perancang Ekonomi, EPU, adalah kekurangan wang dan kakitangan termasuk pakar-pakarnya. Saya mengesyorkan bahawa Kerajaan mengkaji semula keadaan kewangan dan kakitangan JKR agar ia dapat berfungsi dengan cekap dan berdisiplin.


BAK GELOMBANG DAN BAK PENCONG

Dewi perkara yang hampir sama keadaannya ialah pembelian saham MAS oleh Kerajaan dan pembabitan agensi-agensi kewangan berkanun dengan IPO Time dotCom yang sebelum ini ialah Time Telecommunications Holdings Berhad, cabangan telekomunikasi Time Engineering Berhad. Sama naik bak gelombang, sama turun bak ke pencong, dua hal atau kejadian yang sama keadaannya. Sukarlah bagi Kerajaan untuk memberikan justifikasinya. Kadangkala alasan-alasannya pincang.

Semalam, jawapan Y.B. Menteri Kewangan mengenai MAS boleh diterima sebahagiannya, tetapi tidak boleh diterima keseluruhannya. Sebagai pengangkut negara, national carrier, kita berharap ia boleh berjaya. Kerana masa ucapan telah dihadkan, saya hanya menumpukan perhatian kepada kekurangan rasional atau ta'akulan bagi Kerajaan membeli 29.09% saham daripada Tan Sri Tajudin Ramli dengan harga RM 8 sesaham, sejumlah RM 1.792 bilion, walhal harga pasaran cuma RM 3.68 sesaham ketika itu. Meskipun pada tahun 1994, Tan Sri Tajudin membayar RM 8 sesaham, tetapi beliau masih dapat RM 8 sesaham tanpa mengira harga pasarannya.

Pelaburan atau perniagaan ada risikonya. Tan Sri Tajudin dapat hadiah, dapat sejenis insurans. Patutlah, kita diberitahu bahawa beliau mengatakan kepada sebuah agensi berita asing bahawa beliau adalah mujur memperolehi RM 8 sesaham. Ini membolehkan beliau melangsaikan hutang Naluri Berhad sebanyak RM 1 bilion.

Saya mengusulkan supaya satu laporan khas mestilah diadakan mengenai kedudukan MAS dan pembelian saham MAS oleh Kerajaan. Sebagai seorang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang, saya akan mencadangkan agar jawatankuasa itu membincangkan perkara ini.

TIME dOTCOMT

Renong, kemegahan, flagship UMNO dan Tan Sri Halim Saad mempunyai fakta-fakta dan angka-angka yang bercelaru yang susah untuk diuraikan ( the maze of facts and figures, which is difficult to untangle). Gabungan dan pilih atur anak-anak syarikat yang berkaitan dengan politik perniagaan dan kuasa naungan, patronage, ini adalah sangat rumit. Time dotCom merupakan salah satu anak syarikatnya.

Sdr Lim Kit Siang, Pengerusi Kebangsaan DAP dan bekas Y.B. Tanjung mengupas IPO ini dan pembabitan agensi-agensi dana berkanun dengan panjang lebar.

Kita telah diberitahu bahawa Tan Sri Halim Saad berhutang RM 25 bilion. Kita inginkan Kerajaan menyiasat hal ini untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya. Adakah benar daripada IPO Time dot.Com beliau telah mendapat RM 900 juta? Berapa IPO lagi akan diadakan?

Pada 12 Mac, 2001, Time dotCom disenaraikan dengan IPO 571 juta saham pada RM 3.30 sesaham. Hanya 25% saham telah dilanggan, subscribed, baki 75% telah dibeli oleh agensi-agensi kewangan yang berkaitan dengan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWSP, Kumpulan Wang Amanah Pencen, KWAP, dan Danaharta. Kerajaan haruslah mengumumkan beberapa agensi lagi yang terbabit. Saham Time dotCom telah jatuh dalam semingu ini kepada RM 2.09 sesaham pada 21.3.2001 dan RM2.20 pada 22.3.2001. Setakat ini, KWSP, KWAP dan Danaharta telah rugi lebih daripada RM 500 juta.

Pada 1996, KWSP telah memberi pinjaman jangka pendek RM 500 juta kepada Time Telecommunications Berhad iaitu Time dotCom dengan faedah sembilan peratus. KWSP telah bersetuju dibayar balik pinjaman itu secara tunai dan saham IPO pada harga RM 3.30 sesaham. Begitu juga dengan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad.

Menurut Y.B. Menteri Kewangan (Tun Daim Zainuddin), KWAP menjadi sebahagian penaja jamin Time dotCom kerana berpendapat bahawa saham-saham syarikat itu akan berlebih langganan. Penaja jamin ialah underwriter dan sebahagian penaja jamin ialah subunderwriter. Kit Siang menyifatkan ianya sebagai undertaker.

KWSP telah membeli 81.6 juta saham (3.22%), KWAP 273.86 juta (10.82%) dan Danaharta 80.05 juta (3.16%). KWSP membayar RM269.28 juta, KWAP RM903.74 juta dan Danaharta RM264.16 juta.

JAWATANKUASA KAWALSELIA

Walaupun mereka mempercayai bahawa saham-saham Time dotCom akan berlebih langganan, tetapi hakikatnya berlainan. Sebelum krisis ekonomi 1997, Renong dan Time dotCom telah dianggap sebagai gergasi yang kuat, yang titopang oleh parti pemerintah dominant.

KWSP mempunyai 9.7 juta ahli dengan asetnya RM181 bilion, KWAP menjaga beratus ribu kakitangan kerajaan (sebahgian besar 850,000 anggota) dan Danaharta menangani hutang tak berbayar. Oleh itu, rakyat Malaysia menyoal pembabitan mereka di dalam IPO tersebut, apa yang disebutkan sebagai penjamin, bailout, Time dotCom.

KWSP, KWAP dan Danaharta hendaklah memaparkan kepertanggungjawapan, accountability, dan ketelusan, tranparency.

Jawatankuasa kawalselia atau pemerhati, watchdog panel, dan Persatuan Ahli-Ahli KWSP , EPF Contributors' Association, mestilah diadakan untuk memelihara hak-hak dan kepentingan 9.7 juta ahlinya. Begitu juga dengan KWAP, jawatankuasa pemerhati patut ditubuhkan bagi pihak beratus ribu kakitangan kerajaan.

Saya berharap ahli-ahli Parlimen akan menyokong saya untuk mengawal KWSP, KWAP dan Danaharta di dalam pendedahan skandal Time dotCom.

Tan Sri Halim Ali, Pengerusi baru KWSP, telah mengatakan KWSP memperolehi 78.7 juta saham Time dotCom atau 3.11% jumlah sahamnya. Kemudian, 2.85 juta saham telah diterima daripada tawaran terhad, restricted offer. Ini menjadikan pegagangan jumlah sahamnya 81.6 juta atau 3.22%.

Beliau menganggap Time dotCom sebagai pemain utama, main player, di dalam industri telekomunikasi Malaysia dan pelaburan KWSP yang strategik serta pertimbangan kewangan yang baik (sound financial considerations).

KWSP patutlah mempertimbangkan semula apa yang disebutkan sebagai sound financial considerations dan pengambilan 2.85 juta saham tawaran terhad.

(Tugas panel pelaburan KWSP, KWAP dan Danaharta ialah pemeliharaan kepentingan rakyat, dan bukan menjadi penjamin kepada mana-mana syarikat.)

Belum beranak sudah ditimang, belum duduk sudah belunjur, sudah bersenang-senang sebelum mencapai maksud.

Di zaman globalisasi, rakyat Malaysia mestilah dilengkapkan dengan cara-cara moden dan tradisional untuk menghadapi dunia k-ekonomi dan e-dagang. Sementara itu, kita terpaksa menyahut cabaran ekonomi yang lembap. Kita berharap Kerajaan dapat meberi perlindungan kepada rakyat dengan menghapuskan kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam pentadbirannya.

Saya mengahkhiri dengan serangkap dari Pantun Melayu:

Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar tiang sebatang;
Kecil-kecil ditimang ibu,
Sudah besar ditimang gelombang.


Sekian, terima kasih.

Dr Tan Seng Giaw
 

 

 
[ Home | Political | Medical | Personal ] Article #303
[ Recent | Archives | Forum | Feedback ] [ Index ]