Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

 

















[ Index ]
 

 
Menyeru supaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menyiasat tahanan pimpinan Parti Keadilan dan 46 orang awam yang berhimpun secara aman pada 14 dan 15 April 2000 di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Ucapan Dr Tan Seng Giaw, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan usul di bawah Peraturan 18(1) di Dewan Rakyat pada 18 April 2000

 
Di dalam demokrasi berparlimen, semua kegiatan mestilah dilakukan secara aman dan tidak ada tempat untuk kekerasan. Kita mestilah mengelakkan rusuhan.

Hari ini kita membahaskan hak-hak berhimpun dan bersuara secara aman yang tercakup di dalam hak-hak asasi manusia.

Sekiranya orang-orang hendak berhimpun secara aman, adakah pihak polis sedia memberi permit untuk berbuat demikian? Peluang untuk berhimpun dan bersuara haruslah diberikan kepada orang ramai asalkan perhimpunan ini tidak akan menjejaskan masyarakat dan merosakkan negara.

Sebelum 14 April 2000, mungkin pihak polis dan Kerajaan sudah mendapat maklumat daripada perisikannya. Y.A.B. Perdana Menteri Dato' Seri Dr Mahathir dan timbalannya Dato' Seri Abdullah melalui polis telah mengharamkan perhimpunan dan memberi amaran. Empat pemimpin Keadilian ditangkap diikuti dengan tahanan 46 orang keesokan hari. Adakah Kerajaan benar-benar dapat tahu bahawa kekerasan atau rusuhan akan berlaku dengan perhimpunan itu?

Perdana Menteri mengatakan, "Siapa jua patut faham adalah salah mengadakan demonstrasi dan Kerajaan telah

mengingatkan mengenainya berulang kali.

"Kalau anda merasakan mempunyai hak untuk berdemonstrasi, Kerajaan juga patut melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya."

Timabalan Menteri Dalam Negara, Dato' Zainal Abidin Zain menekankan bahawa penahanan semata-mata untuk menjaga ketenteraman negara bukan bermotifkan politik.

Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana tidak menyertai perhimpunan tersebut.

Amaran, tahanan dan tindakan lain polis serta ucapan terima kasih boleh juga disifatkan sebagai bermotifkan politik.

Kalau Dataran Merdeka atau Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sekitarnya dianggap tidak sesuai, adakah pihak polis sedia membenarkan mereka berkumpul di tempat lain seperti Stadium Nasional, Bukit Jalil atau Stadium Merdeka, Kuala Lumpur?

Adakah telagah orang-orang tahanan itu benar-benar mengaibkan? Ataupun, adakah sikap dan tindakan polis mengikut etika dan prosedur yang boleh diterima oleh orang awam?

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia patut menyiasat peristiwa tersebut sebagai tugas yang pertama sejak tertubuhnya baru-baru ini.

Dr Tan Seng Giaw

 

 
[ Home | Political | Medical | Personal ] Article #148
[ Recent | Archives | Forum | Feedback ] [ Index ]