Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

                                 Selamat Datang Ke Laman  

                    

 

                               

                                           Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? 

                          Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;

                                                                                        itulah punca amal  dan  bual tidak menjadi bekal.       

              

         

Keranamu

Malaysia

 

 

 

Hamzah Mohamed

 

Mengenai Saya

Sila ke Laman

Latar Belakang

 Saya

 

 

Klik Di Sini

 

 

Tidak akan

 kamu berperasaan  gundah walau sekali, jika

kau tahu apa

yang dicari."

 

 ~ Umar

al-Khattab

 

 

 

 

         Kota Gelanggi Penuh Misteri

 

Tidak jauh dari kampung Pulau Tawar di mana bersemadinya Allahyarham Pahlawan Mat Kilau terdapat sebuah tempat yang penuh dengan rahsia dan bersejarah. Tempat tersebut ialah Kota Gelanggi terletak kita-kira 16 batu daari bandar Jerantut. Pelawat-pelawat dan peminat-peminat alam semulajadi sering datang ke Kota Gelanggi menikmati dan mengkagumi keindahan sekitarnya serta menjelajah gua-guanya yang banyak itu.

Untuk sampai ke sana tidaklah menyulitkan kerana kita boleh menaiki kereta, motorsikal atau bas. Kenderaan boleh sampai terus ke kaki Kota Gelanggi melalui sebatang jalan tanah merah yang dibina khas. Di Kampung Pulau Tawar atau di Kampung Bukit Rang kita boleh mendapat pertolongan dari beberapa orang pandu yang berpengalaman dan tahu jalan-jalan dan gua-gua di kota itu supaya lawatan kita itu lebih bererti.

Salah seorang pandu yang terkenal ialah Encik Khatib Mahmud bin Haji Mohd Ali 72 tahun. Beliau yang juga sebagai pawang kampung itu telah menjadi pandu ke Kota Gelanggi lebih daripada 20 tahun. "Semuanya ada tujuh buah kota tetapi yang dapat kita masuk ke dalamnya empat buah sahaja," katanya.

Kota yang tujuh buah itu bernama Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota Kepayang. Mengikut ceritanya  Kota Gelanggi tersebut adalah berasal daripada istana seorang raja di zaman dahulu yang telah bertukar menjadi batu kerana ditegur  oleh Sang Kelembai. Kota Tongkat adalah kota yang mula-mula sekali kita lalui yang merupakan pintu gerbang tersergam dengan hebatnya.

Kota yang kedua ialah Kota Gelap kira-kira batu jaraknya dari Kota Tongkat tadi. Sebagaimana namanya kota ini sangat gelap keadaannya. Lampu picit, lilin atau obor adalah perlu bagi melihat keadaan di dalamnya. Di dalam kota ini terdapat suatu jurang yang dalam dan gelap di mana di dasarnya ada sebuah sungai.

"Beberapa waktu dulu kita boleh menangkap udang-udang yang naik ke atas tebing jurang ini kerana hendak memakan tahi kelawar," ujar Encik Mahmud. Beberapa lembaga manusia yang sedang bersanding daripada batu terdapat di dalam Kota Angin. Sayangnya kini lubang yang menuju ke tempat lembaga tersebut telah tertutup oleh proses alam dan lembaga itu tidak lagi dapat dilihat.

Di kota ini dipercayai sebagai tempat puteri-puteri Bunian bermain-main. Menerusi Kota Angin ini kita boleh mendaki ke puncaknya. Di situ terdapat sepohon mempelam yang bercabang dua. Jika pohon mempelam itu berbuah, buahnya dari tiap-tiap cabang itu dikatakan mempunyai rasa yang berlainan.

Raja yang empunya Kerajaan Gelanggi itu kononnya ada  mempunyai seorang puteri yang amat cantik bernama Puteri Mayang Mengurai. Tuan Puteri tersebut telah berkasih-kasihan dengan seorang saudara sepupunya yang bernama Puter Usul. Seorang raja dari negeri lain telah datang meminang Puteri Mayang Mengurai.

Banginda Raja Gelanggi yang tidak mengetahui akan perhubungan sulit puterinya lantas menerima pinangan anak raja yang bernama Raja Mambang itu. Putera Usul telah sakit hati dan menaruh dendam. Ketika upacara persandingan dijalankan Putera Usul telah datang mencabar Putera Mmambang dan berlakulah satu pertarungan yang sengit dan huru-hara. Waktu itulah munculnya Sang Kelembai sambil mulutnya menegur huru-hara yang dilihatnya itu. Dengan serta merta bertukarlah manusia-manusia berserta istana raja menjadi batu.

Beberapa orang pelancong luar negeri pernah datang  hendak membuat penyelidikan dan ujian yang luar biasa. Antaranya lima orang berbangsa Norway telah datang ke Kota Angin meminta Encik Mahmud membuat perhubungan dan berbual-bual dengan orang-orang halus (Bunian). Perbualan itu mereka hendak rakamkan ke dalam pita rakaman tetapi beliau enggan memenuhi permintaan tersebut.

"Saya tak sanggup nak buat begitu. Mereka panggil pula pawang lain tapi tak sanggup juga," ujarnya. "Di sini kita tak boleh buat tak tentu maklumlah tempat 'orang'. Mereka yang melanggar pantang-larang seperti itu pernah menjadi tidak betul fikirannya," tambahnya lagi.

Kota Balai mengikut ceritanya  adalah sebagai tempat orang Bunian mengadakan upacara-upacara, jamuan dan sebagainya. Satu lembaga  dari batu yang menyerupai seekor penyu yang besar terdapat di dalamnya. Di dalam salah satu lorong di Kota Balai itu Encik Mahmud pernah bertemu dengan satu kesan tapak kaki yang panjangnya lebih dari satu hasta. Beberapa buah batu besar yang bergemerlapan dan besinar-sinar seperti ditaburi dengan intan tumpah lakunya boleh dijumpai di dalam beberapa buah gua di Kota Gelanggi.

Perjalanan mendaki Kota Tinggi mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja. Kota Tinggi mempunyai sebuah gua besar yang seumpama sebuah dewan di mana terdapat sangat banyak kelawar bergayutan. Di sini terdapat seekor ular putih kira-kira 5 kaki panjangnya. Ganjilnya ular putih itu mempunyai kulit yang berwarna hitam dari tengah badannya sampai ke bahagian ekornya.

Menurut Encik Mahmud ada sebuah lagi kota yang tidak diketahui oleh orang. Kota tersebut digelar Kota Rehok telah ditemui oleh beliau bersama beberapa orang lain ketika mencari tapak paya beberapa lama dahulu. Mengenai Kota Gelanggi beliau menerangkan: "Sebenarnya Kota Gelanggi itu sangat susah hendak ditemui. Orang-orang tertentu atau orang yang tersesat sahaja yang boleh bertemu dengannya."

"Di Kota Gelanbggi itu khabarnya terdapat tempat-tempat yang bernama Pasir Nilam dan Padang Berembun iaitu itu tempat tinggal orang Bunia," katanya lagi.

Kota Gelanggi boleh menjadi satu tempat pelacongan yang lebih baik dan menarik lagi jika pihak-pihak yang berkenaan seperti Perbadanan Kemajuan Pelacongan Negeri Pahang misalnya berusaha memelihara alam semulajadi yang terdapat di situ. Papantanda yang sesuai patutlah didirikan di simpang masuk ke Kota Gelanggi. Begitu juga papantanda-papantanda yang menerangkan nama-nama kota yang berkenaan dan sejarahnya secara ringkas sangatlah baiknya diadakan pada tiap-tiap pintu gua tersebut.ٱ

              (Artikel ini telah terbit dalam akhbar Mingguan Malaysia 28 Mac 1976)

 

                                             Home Page            Back          Artikel seterusnya

 

 

                                      Copyright 2002-2003 Hamzah Mohamed