Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 04. 05. 2000 / 29 Muharram 1421)
HAKIKAT  TAMAK
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Sahl bin Abdullah r.a.;

Tiada serta Iman itu asbab.  Hanya sanya asbab itu dalam Islam(orang awam).

Dan adalah kata Sheikh Abu Tholib r.a.;

Adalah maknanya itu[ialah] tiada dalam hakikat  Iman itu melihat asbab dan sukun(tetap) kepadanya.  Dan hanya sanya melihat asbab itu dan tamak kepada makhluk itu dalam maqam Islam(orang Awam.

Keterangan Suluk

Seorang yang beriman dengan sebenar-benar Hakikat Imam adalah seorang yang tahqiq keyakinanNya pada Allah Taala.  Mereka yakin pada hukum Ketuhanan yang sentiasa membayangi setiap degup jantung dan nafas mereka.  Pada mereka tidak ada pandangan tertuju pada melihat asbab,  kerana asbab itu hanyalah sebagai bekas-bekas atau bayangan yang menunjukkan Kesempurnaan Sifat Allah Taala Yang Maha Tinggi.

Nikmat,  bala,  sihat,  sakit,  susah senang sama sahaja di sisi mereka.  Ini adalah kerana mereka yakin dan beriman dengan Kekuasaan dan Kehendak Allah Yang Sedia Qadim.  Dengan Ketentuan(Iradat) Yang Qadim,  dengan Pengetahuan(Ilmu) Yang Qadim dan dengan Kekuasaan(Qudrat) Yang Qadim.  Inilah kefayaman dan penghayatan Iman di sisi kaum Sufiah;  yakn Tiada serta Iman itu asbab.

Hanya sanya orang yang bersandar pada asbab atau menilik-nilik pada asbab itu terdiri daripada kebanyakan manusia yang awam sebagaimana yang diisyaratkan dengan Hanya sanya asbab itu dalam Islam (orang awam).  Dan ini,  bukan semata-mata dirujuk kepada orang awam yang jahil dengan hukum agama,  malah termasuk juga ke dalam golongan awam ini,   ahli-ahli ilmu dan ahli-ahli ibadat yang Jahil dengan Hakikat TuhanNya.  Sijil,  Ijazah,  PHD,  pengaruh,  kemuliaan,  dan pangkat dalam bidang keagamaan seorang hamba bukanlah kayu pengukur yang boleh meletakkan mereka sebagai seorang yang sempurna beriman kepada Allah.

Dengan demikian,  selagi ada pandangan dan tolehan kepada asbab-asbab oleh seorang hamba,  selagi itulah mereka tergolong dalam golongan orang awam.  Inilah hal-ahwal orang-orang kebanyakan orang dewasa ini.  Sekadar beriman dengan Iman Yang Tidak Berhakikat;  tidak sebagaimana yang dihayati oleh golongan Ahli Tasauf..

Mengikut golongan Sufi,  hanya sanya Adalah maknanya;   tiada dalam hakikat  Iman itu melihat asbab dan sukun(tetap) kepadanya. ialah membawa maksud dan pengertian bahawa Hakikat Iman itu ialah Melihat kepada Yang Haq di samping teguh bersandar dan berpegang kepada Allah semata-mata.  Jauh daripada bersandar dan berharap yakni Tamak kepada makhluk.  Inilah adalah kerana melihat kepada bekas atau kesan (yang adalah makhluk)  tidak terdapat dalam hakikat Iman.  Ianya cuma ada di sisi orang-orang awam yang kebanyakan.

Demikianlah perbezaan penghayatan Iman antara golongan ArifbiLlah dengan orang-orang awam yang jahil dengan TuhanNya yang cuba disampaikan melalui petikan seorang tokoh besar kaum Sufiah seperti di atas.  Melanjutkan perihal atau wajah tamak kepada makhluk(sesuatu selain Allah) ini,  kita jelujuri pula......

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

.Dan kata Sheikh Ibnu Al-Abbas r.a;

Datang aku kepada setengah orang yang mengenai ia akan daku.  Maka membeli aku daripadanya akan suatu hajat dengan setengah dirham.  Kemudian,  maka kataku dalam diri(hati)ku;  "Mudah-mudahan tiada diambilnya daripadaku".  Maka berbunyi suara padaku [dengan] katanya;  "Selamat dalam agama itu dengan meninggalkan Tamak pada sekelian makhluk.

Keterangan Suluk

Suara yang datang dari alam ghaib(Hatif) merupakan sebahagian dari hal-ahwal mereka yang ArifbiLlah.  Kedatangan Hatif ini biasanya kepada hati seorang hambaNya yang hampir suci bersih dengan maksud untuk menyempurnakan kesucian hati mereka.  Demikianlah apa yang pernah berlaku kepada  salah seorang guru kaum sufiah ini.  Hanya kerana berdetik sahaja satu lintasan di hatinya mengharapkan sesuatu daripada manusia lain dengan bersandarkan kepada kemuliaan dirinya sebagai seorang guru atau sebagai seorang yang mulia,  Sheikh Ibnu Abbas r.a terus ditegur kerana yang demikian itu menunjukkan tercetusnya tamak yang boleh membinasakan makrifatnya yakni agamanya.

Apatah lagi kita yang;

Tentu sekali bertimbun-timbun banyaknya sifat tamak ini memenuhi diri dan akhlak ini.  Dan inilah yang membinasakan kita kerana mengharapkan sesuatu kepada manusia adalah jelmaan dari kasihkan sesuatu daripada habuan dunia.  Apabila kita kasihkan bahagian daripada dunia ini,  bererti kita telah membunuh mata hati dengan pedang Tamak.  Kenyataan ini boleh diperolehi melalui .......

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Abu Al-Husain Al-Waraq Al-Saaburi r.a;

Barangsiapa mengetahui akan dirinya kasih akan sesuatu daripada dunia,  maka sanya membunuh ia akan dia dengan pedang Tamak;  dan barangsiapa Tamak dalam sesuatu,  maka hinalah baginya;  dan dengan hinanya itu [maka] binasa[lah] ia.

Keterangan Suluk

Tamakkan sesuatu daripada pada bahagian dunia;  sama ada cemburukan sesuatu yang ada pada tangan manusia lain,  atau suka dan cenderung kepada keselesaan dan keenakkan hidup yang menjadi pakaian manusia ramai  adalah merupakan pedang yang boleh membunuh hati seorang hamba.  Pedang tamak ini akan membunuh dan mematikan hati untuk bermakrifat dengan TuhanNya.  Bila sudah mati hati,  maka lumpuhlah sifat-sifat Ruh yang mulia.  Tinggalah sifat-sifat keiblisan dan kebinatangan yang tamak dan rakus kepada  dunia serta bersandar(tetap) kepada makhluk.  Dengan demikian hinalah mereka sehina-hinanya di mana binasalah diri mereka dalam kehinaan dan dengan penuh kehinaan.

Ya Rabbi....selamatkan aku daripada kejahatan diriku.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan ketahui olehmu bahawasanya Tamak itu atas dua bahagi;

Dan Fakir kepada Allah itu asal Fana' pada Allah.  Dan inilah Maqam yang tiada diperolehkan dia melainkan khowas daripada orang yang Ahli Al-Takhshis pada Allah.

Keterangan Suluk

Tamak kategori pertama ialah sebagaimana yang telah bincangkan sebelum ini yang boleh dirimuskan sebagai kasih dan senderung kepada sesuatu selain Allah yang menjadikan sesorang hamba itu terkurung dengan sifat-sifat Mazmumah yang buruk dan hina. (Lihat tajuk; Cabang-cabang Kehinaan).

Adapun Tamak jenis yang kedua pula ialah Tamak seorang yang Fakir kepada Allah yang sanggup berbuat(amal) apa sahaja dan menghadapi(mujahadah) apa sahaja asalkan dapat sampai kepada Allah di samping dalam hal yang sentiasa Fakir(mengharapkan limpah Kurnia Allah) dan berhajat serta bersandar diri kepada Allah semata-mata.  Tamak kepada Allah dengan melepaskan ikatan dan sandaran kepada makhluk ini adalah merupakan asal atau permulaan yang membawa seorang hamba itu untuk Fana dengan Allah Taala.

Adapun Fana'  itu adalah satu  Maqam yang tiada diperolehkan dia melainkan khowas daripada orang yang Ahli Al-Takhshis pada Allah.  yakni hanya mereka yang bersih dan suci jiwanya pada Allah sahaja yang dapat menjejaki Maqam Ahli Khowas atau Ahli Khas yang tenggelam dalam Musyahadah akan TuhanNya..

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan hakikat Tamak itu bahawa takluk hatimu dan hemahmu dan angan-anganmu pada menghasilkan barang yang tiada kepadamu.  Maka apabila titik segala air angan-angan atas bumi wujud dan jatuhlah dalamnya benih Tamak  daripada angan-angan ghaflah.  Maka panjanglah segala cawangnya dengan kehinaan.  Dan ini sekeliannya itu dengan Wasitoh Nazhormu kepada wujudmu dan berdiri mu serta dirimu;  kerana bahawasanya engkau itu apabila ada engkau dengan diri engkau,  maka  adalah mahjub di bawa Tawquf Waham.

Keterangan Suluk

Dengan penerangan di atas,  maka fahamilah kita akan natijah akhir hasil daripada perbincangan di atas yang berkaitan dengan Tamak,  asal-usulnya dan hal-keadaannya.  Semuanya terhimpun pada maksud Hakikat Tamak di sisi ArifbiLlah.

Hakikat Tamak di sisi mereka ialah apa sahaja takluk,  tuju dan cenderung hati serta cita-cita di samping angan-angan dan khayalan untuk menghasilkan sesuatu yang tidak memiliki Wujud yang hakiki.  Termasuk dalam wujud yang tidak hakiki ini ialah manusia,  alam ini,  serta  makhluk lain seperti keramat,  maqam dan syurga.

Apabila tercetus sata pandangan dan tilikan kepada alam atau dirinya,  maka jatuhlah benih pada hati seseorang hamba yang menjelma dalam kuat berangan-angan dan lalai dengan sesuatu selain daripada Allah.

Bila bertunas benih tamak dengan angan-angan dan lalai hati ini,  maka bercabang-biaklah sikap dan tindak yang menjadikan mereka hina sehina-hinanya.  Hinanya kerana bergantung dan menilik atau menyembah sesuatu yang tidak punya wujud.  Dan ini sekeliannya itu dengan Wasitoh Nazhormu kepada wujudmu dan berdiri mu serta dirimu; yakni  semuanya ini adalah berpunca dari tiliknya hatimu kepada wujud dirimu serta melihat dan bergantung kepada usaha,  ikhtiar,  tadbir yang terzhohir pada dirimu.

Maka,  betapa kiranya seorang hamba yang mampu untuk menjauhkan sifat Tamak ini  adalah merupakan seorang hamba yang benar-benar suci daripada persyirikan atau persekutuan.

Jadi...kenapakah ada "sesetengah" ulama zhohir yang berani mengeluarkan fatwa,  bahawa orang-orang yang mengi'tiqadkan "Tiada Maujud Yang Lain Melainkan Allah" dalam kalimah La-ilahailla-Llah akan menjadi menjadi kufur.

Jika masih memiliki Hakikat Tamak ini;  yakni masih melihat kepada wujud diri sendiri dan membilang-bilang feel manusia lain,  maka tidak usahlah berkata apa-apa kepada mereka yang sedang tenggelam dalam lautan Musyahadah dengan Allah   Jauh sekali perbezaan diri kita yang banyak khayal dan waham ini berbanding dengan mereka yang telah suci bersih daripadanya..

Sebenarnya kita adalah golongan yang mahjub atau yang terhijab dengan diri sendiri kerana bahawasanya engkau itu apabila ada engkau dengan diri engkau,  maka  adalah mahjub di bawa Tawquf Waham. yakni menilik kepada diri sendiri adalah orang-orang yang terhijab di bawah tutupan waham dan angan-angannya.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan waham itu surah yang berdiri ia dalam Alam Khayal,  tiada hakikat baginya.  Dan hanya sanya didirikan akan ia Hijab al-Nafsu yang tiada hijab atas orang yang Salik yang terlebih besar daripadanya.  Maka apabila telah dihilangkan Hijab Al-Nafsu,  maka dihilangkan daripada mata hatimu Tawquf Waham dan khayal;  dan engkau pandang Haq dengan nyatanya.

Keterangan Suluk

Dan waham itu surah yang berdiri ia dalam Alam Khayal,  iaitu Bermula waham itu adalah merupakan sesuatu yang adanya ia semata-mata di alam khayalan.  Dan adalah alam sesuatu yang dikhayalkan itu bukanlah yang mempunyai hakikat baginya.  Semata-mata kosong dan gelap.

Inilah sebesar-besar tutupan atau hijab kepada orang-orang Salik yang dalam perjalanan menuju Allah.   Melihat wujud dirinya dan keinginan-keinginannya merupakan Hijab al-Nafsu yang tiada hijab atas orang yang Salik yang terlebih besar daripadanya.

Bila telah hilang dan hapus pandangannya kepada wujud yang lain,  maka dihilangkan daripada mata hatimu Tawquf Waham dan khayal;   di mana hilanglah  awam mendung waham dan khayal dari menutupi cahaya yang nyata itu.  Maka di kala ini engkau pandang Haq dengan nyatanya.  Tanpa mendatangkan dalil-dalil lagi,  dan  tanpa omong-omong lagi.

ALLAH JUA YANG SEBENAR-BENAR WUJUD;
DAN WUJUD ALLAH ITULAH YANG MENJADI DALIL BAGI WUJUDNYA ALAM INI.

Bersambung lagi.....Insya Allah dalam Pengajian yang berikutnya.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar