|
|
MUKADDIMAH
AKIBAT tidak mengenal Allah, manusia telah begitu jauh terlanjur sesat di dalam kancah kehidupan dunia yang porak peranda sehingga tercetus berbagai bentuk kerosakan demi kerosakan yang tidak pernah terduga oleh kita. Kita terpaksa akur, bahawa kehidupan manusia moden hari ini telah berantakan dan jika tidak diatasi segera pasti akan menemui kehancuran total. Krisis nilai kemanusiaan ini tidak akan dapat diubati oleh pakar-pakar teknologi mahupun ahli psikologi yang paling cerdik.
Ia perlu kepada suatu disiplin ilmu yang tumbuh bersih sesuai dengan
pertumbuhan fitrah seorang manusia. Dan perkara ini telah pernah dilakukan
oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW kepada cara hidup jahiliah yang
mencengkam umat Arab suatu ketika dahulu.
Rasulullah SAW berjaya dalam waktu yang sangat singkat dengan hasil
yang begitu luarbiasa. Seluruh dunia terpegun dengan kebangkitan satu bangsa
baru dari daerah padang pasir yang kontang dengan suara yang nyaring tetapi
begitu lunak, tenang dan penuh kasih sayang. Demikianlah peninggalan hasil
tangan Rasulullah SAW terhadap manusia yang dapat kita saksikan melalui
catatan sejarah. Baginda membawa kunci kepada suatu dimensi (dimension)
baru kehidupan iaitu membawa manusia mengenal Allah (ma'rifatullah) dengan
sebenar-benarnya pengenalan.
DUNIA semakin huru-hara (bedevil), kacau-bilau sehingga menjerumuskan manusia hidup dalam krisis (crisis) yang tidak berkesudahan, peperangan, pembunuhan, pencabulan hak asasi, perogolan, perzinahan dan berbagai-bagai kerosakan yang lain. Hal-hal seumpama ini berlaku di waktu dunia sedang menikmati puncak kemajuan serta kecanggihan sains dan telnologi. Di waktu manusia mampu menguasai dan memperkosa semahu-mahunya segala khazanah yang tersimpan di perut bumi. Tetapi malang sekali, di atas kemajuan kebendaan itu, insaniah manusia hancur sehancur-hancurnya. Manusia seolah-olah sudah bertukar menjadi haiwan dan kehidupan masyarakat manusia bagaikan kehidupan haiwan di dalam hutan belantara, yang hidup gagah hidup, yang lemah menyerah. Unsur timbang rasa, tolak ansur, bantu-membantu, sayang-menyayangi, hormat-menghormati sesama manusia sudah luput.
SUASANA dunia yang sungguh menyiksakan ini, membuat kita begitu terkesan,
hairan, terkejut dan tertanya-tanya dan kuat mendorong diri ini untuk meniliti
dan mengkaji di manakah punca atau akar umbi kepada seluruh permasalahan
ini. Cerdik pandai atau intelek sekular ternyata telah gagal
untuk menangani persoalan ini. Teori-teori sosial yang mereka utarakan
telah menjerat leher mereka sendiri, masalah tidak selesai bahkan semakin
bertambah dan menjadi-jadi. Mereka hanya mampu mengatur benda-benda mati
tetapi tidak tahu memimpin dan mengatur manusia.
Oleh kerana itu, kita perlu melihat ke arah atau perspektif lain dalam usaha menangani persoalan ini. Kaedah serta program baru perlu diwujudkan segera kerana dua faktor :
1. Supaya punca masalah sebenar dikenal-pasti dan diubati atau diselesaikan
dengan tepat. Akibat tersalah menilai punca maka sasaran penyelesaian selama
ini kerap tersasar. Kekronikan masalah sedikit pun tidak menunjukkan petanda
berkurang tetapi semakin bertambah dengan kadar yang cukup laju. Apabila
punca telah dikenal-pasti, maka orang atau pemimpin yang mampu atau layak
untuk menanganinya juga akan dikenal-pasti.
2. Memberi nilai atau erti kehidupan baru yang lebih bermakna untuk
manusia. Salah meletakkan nilai terhadap sesuatu perkara menyebabkan
manusia kerapkali bersungguh-sungguh mendapatkan perkara yang kurang bernilai
dan sambil lewa saja terhadap perkara yang berharga. Dengan membawa tafsiran
baru tentang kehidupan, seperti matlamat hidup, kebahagiaan, ketenangan,
kasih-sayang, maka hidup seluruhnya akan berubah.
Berdasarkan dua faktor tersebut, maka diri rasa bertanggungjawab untuk berkongsi harapan serta cita-cita dengan para pembaca sekalian demi untuk melihat kehidupan manusia kembali tenang, tenteram dan bahagia.
Tasauf/Tariqat Dan Ilmu Mengenal Allah
WALAUPUN tajuknya memperlihatkan skop yang terjurus kepada matlamat yang tertentu namun garapan ilmunya adalah luas (tersangat luas), kerana aplikasinya adalah untuk manusia sejagat. Manusia adalah aset paling penting, yang mesti "direvolusikan" supaya huru-hara ini segera surut. Untuk mengenal Allah (ma'rifatullah) ertinya kita perlu mengenal hakikat diri kita sebenarnya dan di situ akan terbongkar rahsia-rahsia hakikat seorang insan.
Dalam kehidupan seharian ini kita banyak melakukan kesilapan pentafsiran
dan pemahaman berhubung dengan soal-soal kehidupan terutamanya berkaitan
dengan aqidah. Keadaan ini sungguh merbahaya kerana ia boleh meneruskan
aqidah dan keyakinan terhadap Allah. Tetapi kerana sikap kita yang suka
memandang enteng pada masalah itu serta malas pula untuk menyemak dan mencari
asas-asas kukuh, maka kita biarkan kesilapan itu berterusan berlaku
dalam kehidupan kita ataupun menyebabkan sesetengah pemahaman kita itu
terus menyimpang jauh.
Kenapakah berlakunya fenomena demikian? Apakah puncanya? Ia tidak lain
dan tidak bukan kerana kurangnya pembacaan, pengkajian dan juga pembelajaran
terhadap bidang-bidang keagamaan khususnya dalam bidang Kerohanian. Kita
lebih mudah terpesona dengan sesuatu kepercayaan dan ajaran yang berbentuk
khayal (fantasi). Kita seronok menerima sesuatu yang bersifat kesaktian
(karomah hidup), meskipun ia jauh dari kebenaran dan membawa kepada
kesyirikan. Kita juga malas untuk mengkaji ilmu-ilmu Allah yang bertebaran
di muka bumi ini.
Sikap kita yang suka ambil mudah dan suka berpuas hati dengan sesuatu ilmu juga menjadi punca kenapa kita tidak dapat memahami sesuatu ilmu itu dengan mendalam ataupun sampai ke dasar hakikatnya.
Maka untuk mengelakkan keadaan itu terus menimpa diri kita, adalah wajar
kita perbetulkan sistem pembelajaran kita. Memperbetulkan sistem pemahaman
kita berhubung dengan ilmu-ilmu agama yang sememangnya banyak bersifat
simbolik yang memerlukan pengamatan serta pentafsiran yang mendalam. Sikap
menerima ilmu sekadar untuk dikatakan sebagai orang yang alim serta hanya
setakat untuk melepaskan tanggungjawab kepada Allah tidak perlu diamalkan
lagi dan hendaklah dikikis dari diri kita.
Sikap dan perangai demikian tidak menguntungkan. Ia malahan merugikan dan juga menyebabkan hidup kita ini sia-sia sahaja, ke bumi tidak berpijak ke langit tak kesampaian.
Sesuatu ilmu itu hendaklah dipelajari dan mendalami sampai ke akar umbinya. Kita kena kenal dengan sesungguh-sungguhnya, Jangan ilmu itu kita kenal pada ilmu sahaja, tetapi tidak pada hakikatnya. Kita kena ingat sesuatu ilmu itu kalau kita hanya kenal pada nama (istilah) sahaja, tetapi tidak pada hakikat ianya tidak memberi apa-apa menafaat.
"Setiap orang yang beramal tanpa dilengkapi dengan ilmu pengetahuan (tentangnya), maka amalan-amalan itu tertolak dan tidak diterima." [Kitab Zubad]
Demikian juga dalam soal kita hendak mengenal diri dan juga Ma'rifat
dengan Allah. Kita kena kenal dengan terperinci dan dari satu peringkat
ke satu peringkat. Kita kena kenal diri kita dari peringkat pertama sebelum
terwujudnya mani (nauthfah) sampailah kepada masalah roh (diri batin) yang
ghaib.
Begitu juga dengan Tuhan. Kita perlu kenal dengan sebenar-benar pengenalan. Daripada sebelum kewujudan kita, baik selepas disyariat (diwujudkan) hingga kepada dibangkitkan kembali (hidup). Kita kena kenal Allah bukan hanya pada sifat nama-Nya (99 nama dan 20 sifat diri-Nya), tetapi kita kena kenal pada (sifat-sifat), Zat-Nya, Asma'-Nya dan Af'al-Nya.
Kalau kita mengenali diri kita atau Allah hanya setakat istilah sahaja, ataupun setakat luar sahaja maka akan sia-sialah hidup kita. Hidup kita tidak akan bererti langsung kalau kita hanya boleh sebut, tetapi tidak memahaminya.
Taraf hidup yang demikian samalah dengan taraf makhluk lain termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Apakah kita merelakan taraf hidup kita disama-darjatkan dengan makhluk-makhluk itu??? Tentu sekali tidak kerana kita ini telah diakui sendiri oleh Allah SWT merupakan makhluk yang paling mulia sekali pada sisi-Nya.
Juteru demikian penting bagi kita mengenali diri dan mema'rifatkan diri dengan Allah, maka sama-samalah kita mengorak langkah dengan penuh bersemangat dan insaf lagi untuk mempelajari dan memiliki segala ilmu ma'rifat ini.
Kecerdasan dan kesanggupan akal manusia di dunia ini tidaklah sama,
kerana ada yang dikatakan umum dan ada pula yang dikata khas tetapi yang
khas itu berfikir lebih cerdas daripada pemikiran umum. Dengan perkataan
yang luas "umum" itu adalah manusia biasa , dan "khas" pula adalah dikhususkan
kepada manusia yang sempurna dari sudut alam pemikirannya. Oleh itu, orang
umum
yang belum sanggup berfikir-fikir cerdas, teratur dan meluaskan pengetahuannya,
tidak perlu bersoal-jawab dengan perkara yang tidak diketahuinya berdalam-dalam,
yang mana banyak menimbulkan keraguan di dalam hatinya sendiri
Ilmu yang sukar difahami akan mendatangkan mudarat kepada diri seseorang
seandainya ia tidak mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh dan dikhuatiri
merosak daripada memperbaiki, andaikata ia tidak dapat mencungkil atau
menembusi erti maksudnya yang sebenar. Oleh itu bagi orang umum, memadailah
jika ia berpegang dengan Nas Al-Quran dan Sunnah itu adalah lebih baik
daripada bertanya, bahkan tidak payah campur untuk menta'wilkan ayat
dan Hadis yang dalam pengertian, fahaman dan kehendaknya, kerana ia boleh
merosakkan pendiriannya sendiri. Ta'wil orang umum, adalah laksana orang
yang tidak pandai berenang mencuba-cuba hendak merenangi lautan yang luas
dan dalam; itu adalah suatu kerja atau perbuatan yang sia-sia (bodoh
sombong) saja.
Firman Allah Ta'ala, bermaksud :
"Mengapa tidak pula berangkat satu rombongan dari tiap-tiap golongan itu untuk mempelajari perkara agama."[At-Taubah : 122]
Dan firman-Nya lagi, bermaksud :
"Maka bertanyalah anda kepada ahli ilmu jika anda tidak tahu."[An-Nahl : 43]
Sabda Rasulullah SAW, bermaksud :
"Tidak wajarlah bagi orang yang bodoh, berdiam diri atas kebodohannya. Dan tidak wajarlah bagi orang yang berilmu, berdiam diri atas ilmunya."[HR. Thabrani & Abu Na'im]
Ilmu Tasauf yang benar tidak sekali-kali bertentangan dan memang tidak
boleh bertentangan dengan ajaran Al-Quran, Hadis dan Sunnah Rasulullah
SAW. Sebab sebagai suatu cabang cabang ilmu ke Islaman, Tasauf tidak boleh
bertentangan dengan sumber asalnya. Andaikata terdapat seorang yang mengaku
dirinya Sufi atau mengaku dirinya sudah kenal hakikat, tetapi ia menyalahi
dan melanggar
hukum-hukum syariat, ternyata benar bahawa mereka itu adalah manusia
jahil dan sesat Imannya.
Saya ingin menyentuh sedikit tentang bab Solat (sembahyang) di dalam
perbahasan ini. Ada seorang netters yang mempertikaikan tentang ajaran
Keronahian ini yang katanya tidak perlu mengerjakan solat, cukup setakat
berniat sahaja. Begitu juga dengan puasa, cukup dengan berniat sahaja.
Dan
perkara ini pula berlaku ke atas kerabatnya (keluarga) sendiri. Lalu
dengan firasat yang rendah akhlaknya, menisbahkan perkara yang bertentangan
syara' ini disama tarafkan dengan ajaran "Tariqat/Tasauf"! Apakah
bendanya ini??? Apakah celupar dan dangkalnya (jumud) fikiran
mereka???
Ini adalah tidak benar! Sesuatu yang amat tidak benar!
Kemantapan jiwa dicapai dengan solat (sembahyang), zikir, doa, istighfar, mentauhidkan Allah, menginsafi kebesaran Allah, menautkan diri dengan pengucapan-pengucapan Rabbani, Puasa dan sebagainya. Perkara-perkara ini dilakukan secara terus-menerus tiap masa beraleh dan beredar. Amalan ini dikaitkan dengan masa tertentu agar manusia merasakan betapa nikmat Allah dalam penghayatan masa-masa itu dan betapa mahalnya nilai masa-masa itu.
Oleh itu, janganlah diletakkan perkara atau hal ini kepada Tasauf kerana
ilmu Tasauf tidak bersifat tercela malah tidak pernah menganjur atau menaburkan
bid'ah-bid'ah dhalalah (sesat), dan tidak pernah mendidik pada sesiapa
dengan perkara yang bertentangan dengan hukum-hukum syariat
Rasulullah SAW, bahkan menganjurkan perkara yang dituntut oleh syara'
iaitu mematuhi dan mentaati segala perintah Al-Quran, Hadis dan mengikut
Sunnah Rasulullah SAW. Dari itu bukanlah salah ilmu Tasauf malah tidak
ada kena-mengena langsung kepada apa yang dilakukan oleh manusia durjana
sama ada yang mengaku diri orang Sufi atau mengaku diri diri sudah kenal
hakikat, kesalahan yang mereka lakukan itu, merekalah yang bertanggungjawab,
bukannya ilmu Tasauf/Tariqat yang hendak disalahkan.
Firman Allah Ta'ala, bermaksud :
"Bahkan (Al-Quran) itu adalah bukti-bukti yang jelas di dalam dada mereka yang diberi pengetahuan."[Al-Ankabut : 49]
Dan firman-Nya lagi, bermaksud :
"Contoh-contoh itu Kami buat untuk manusia dan tidak ada yang mengerti kecuali orang-orang yang berilmu." [Al-Ankabut : 43]
Agama Islam adalah suatu agama yang suci murni, tidak ada taranya kesucian
dan melambangkan kebesaran Ilahi yang menciptakan alam semesta ini agar
manusia yang beragama tunduk dan sujud ke hadhrat-Nya. Dengan penuh kasih-sayang-Nya
Allah mengutus Nabi-nabi dan Rasul-rasul-Nya untuk memimpin dan mengasuh
manusia ke jalan yang diredhoi-Nya. Tetapi malangnya manusia
itu zalim, tidak tahu berterima kasih dan bersyukur kepada Allah.
Allah Ta'ala memberi manusia akal untuk berfikir, supaya dapat seseorang itu memperbezakan atau memilih yang mana satu intan dan yang mana satu kaca. Kalau tidak memahami atau mendalami ilmu-ilmu Tasauf/Tariqat bagaimana kita dapat membezakan sama ada kaca itu intan atau intan itu kaca. Jangan hentam buta saja tak kira adakah perkara itu benar atau salah.
Firman Allah Ta'ala, bermaksud :
"Barangsiapa buta (hati) di dunia ini, maka di akhirat juga ia buta dan lebih sesat lagi perjalanannya." [Al-Isra' : 72]
Dalam ilmu Tasauf ada menerangkan : Bahawa Sunnah Nabi itu, harus dilakukan
dengan Tariqat. Bererti tidak cukup hanya dari Hadis Nabi saja, jikalau
tidak ada yang melihat pekerjaan dan cara Nabi melaksanakannya, yang melihat
itu adalah Sahabat-sahabat Nabi yang menceritakannya kembali kepada murid-muridnya
iaitu Tabi'in dan al-Tabi'in menceritakannya pula kepada
pengikut-pengikutnya sampai ada yang membuat Hadis-hadis dan tersusunnya
kitab-kitab fiqeh oleh ahli-ahli Hadis seperti Ahmad, Bukhari, Muslim,
Abu Daud, Abu Na'im, Al-Baihaqi, Abu Bakar Lal dan Ibnu Abdil Barr
dan lain-lain lagi.
Begitu juga ahli-ahli fiqeh, seperti Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafi'e dan Imam Hambali dan lain-lain lagi. Sebenarnya Al-Quran menjadi sumber utama dan Sunnah Hadis merupakan penjelasan yang penting, tetapi adalah urat nadi daripada pelaksanaan ajaran-ajaran itu ialah Tasauf.
Ilmu Tasauf menerangkan : Bahawa "syariat" itu hanyalah peraturan-peraturan belaka, "Tariqatlah" yang merupakan perbuatan untuk melaksanakan syariat itu. Apabila "syariat" dan tariqat" itu sudah dapat dikuasai, maka lahirlah "hakikat" yang tidak lain daripada kebaikan keadaan dan ahwal, sedangkan tujuan yang penting dicari atau matlamatnya ialah "Ma'rifat" yakni mengenal Allah dan wajib mencintai-Nya dengan sebenar-benar sampai ke akar umbi qalbu kita. Ini penting difahami!
Ummul-Kitab, adalah papan-tulis kepada pengetahuan Allah, Ia menjadi ternyata di dalam "Kitabul mubin" atau Loh Mahfuz. Di sini Jibrail a.s. membaca perkataan Allah dan membawa turun untuk menyampaikan kepada Nabi. Tajalli pancaran Nur Allah pertama-tama mencapai "Ummul Kitab" yang mana dikatakan peringkat Jabarut, daripada sini ia menurun ke Loh Mahfuz yang mana peringkat paling bawah dari peringkat Malakut juga dinamakan "Alam Misal" atau "Nafsi Kul". Maka Jibrail a.s. adalah di antara Jabarut dan Malakut iaitu Misal dan dunia jiwa, apa juga yang menjadi ternyata di dalam dunia kebendaan pertama-tama menjadi simpanan di atas ini :
"Di sana adalah bukan benda-benda hijau juga bukan benda-benda yang kering, tetapi ia adalah tertulis di dalam Kitabul mubin."[Al-An'am : 59]
Terlalu banyak wahyu dari Rasulullah SAW di dalam dunia kecil ini, ilham Aulia'-aulia' di dalam dunia adalah anugerah daripada hak melalui peringkat sirr dan khafi yang mana kedua-duanya di dalam peringkat Jabarut. Zamir dan Fuad kedua-duanya di dalam Malakut iaitu Qalb. Qalb adalah Loh Mahfuz dari Alam Misal.
Berdiri di atas kebenaran yang hak dengan mengikut garis-garis dan aqidah-aqidah
Islam yang mutlak. Oleh sebab itu pengetahuan Tariqat dan Hakikat adalah
sifat-sifat yang penting dalam agama dan menjadi dasar Tariqat/Tasauf menuju
ke matlamat Allah SWT atau Tariqat/Tasauf itulah yang
menjadi pedoman yang sebenarnya.
Sesungguhnya Tariqat/Tasauf itu pada hakikatnya sangat patuh kepada
Allah SWT dan ibadah yang dikerjakan oleh anggota badan merupakan penjelmaan
belaka daripada apa yang menyinar dari qalbu kita dan merupakan sinaran
yang tersimpan. Apabila manusia tidak dapat mengenali isi kerohaniannya
sendiri, dia akan menjadi bodoh sombong terhadap dirinya dan mengakibatkan
jahil
wara' pula terhadap Khaliqnya.
Firman Allah Ta'ala, yang bermaksud :
"Telah sempurna Tuhanmu, dengan benar dan adil, tidak ada yang boleh mengubah kalimah-kalimah-Nya dan Ialah yang Mendengar lagi Mengetahui." [Al-An'am : 115]
Dan firman-Nya lagi, bermaksud :
"Sesungguhnya Tuhanmu, Ialah yang lebih mengetahui sesiapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Ialah yang lebih mengetahui orang-orang yang terpimpin." [Al-An'am : 117]
Wallahu ta'ala a'lam.......
Wassalamu.......
Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri
|
|
|
|