Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 18. 05. 2000 / 14 Safar 1421)
MARTABAT MERDEKA
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan dikata orang;  bermula binasa agama itu dengan Tamak dan baiknya itu dengan Wara’.

Keterangan Suluk

Keterangan di atas merupakan kesimpulan atau rumusan yang boleh dibuat daripada dua pengajian sebelum ini yang membicarakan perihal Tamak dan Wara'.  Sebagai memperteguhkan keterangan ini eloklah diperturunkan satu kisah ketika Sayyidina Ali bin Abi Tholib semasa masuk ke masuk Masjid Jami' di Basrah.

Beliau mendapati ramai orang yang memberi ceramah/mengajar di dalamnya.  Maka beliau menguji mereka dengan beberapa pertanyaan dan ternyata mereka tidak dapat menjawab dengan tepat.  Mereka terus diusir dan tidak diizinkan memberi ceramah di masjid itu;  dan ketika sampai kepada Majlis Al-Hassan A-Basri,  ia bertanya;

Hai pemuda,  saya akan bertanya kepadamu sesuatu.  Jika engkau dapat menjawab,  aku izinkan engkau terus mengajar di sini,  tetapi jika engkau tidak dapat menjawab,  aku akan usir engkau sebagaimana lain-lain temanmu yang telah aku usir.

Jawab Al-Hassan A-Basri;  tanyakan sekehendakmu.

Sayyidina Ali bertanya;  Apakah yang dapat mengukuhkan agama?
Jawab Al-Hassan;  Wara'
Lalu ditanya lagi;  Apakah yang dapat merosakkan agama?
Jawabnya;  Tamak.
Lantas Sayyidina Ali berkata kepadanya;  "Engkau boleh tetap mengajar di sini.  Orang seperti engkau inilah yang dapat memberi ceramah kepada orang-orang".

Difaham daripada kisah ini,  maka sewajarnyalah kita sebagai seorang penuntut yang ingin belajar dan mendapat bimbingan yang betul lagi benar;  perlu mencari seorang guru yang memiliki sifat-sifat seperti di atas iaitu tidak tamak kepada apa jua habuan diri atau dunia dan Wara' halnya dalam tiap-tiap sesuatu.  Dengan memiliki guru seperti ini,  maka insyaAllah akan datanglah keberkatan dari Allah Taala untuk menerima sentuhan pengajarannya dan seterusnya dapat mengamalkannya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan sesungguhnya telah lalu setengah tentera Sultan atas seorang hakim yang memungut barang yang gugur  daripada daun lobak,  dimakannya.
Maka katanya(tentera) baginya(hakim);

"Jikalau engkau khidmat kepada Sultan,  nescaya tiadalah engkau berkehendak kepada memakan ini"

Maka kata hakim itu kepadanya(tentera);

"Dan jikalau engkau sabar,  nescaya tiadalah berkehendak engkau kepada Sultan".

Keterangan Suluk

Hakim di atas adalah bermaksud seorang ahli hikmah atau seorang Sufi.  Mengikut keterangan guru suluk,  maksud Dan jikalau engkau sabar, ialah sabar di atas apa yang telah Allah kurniakan daripada kadar rezeki dan kedudukan yang diqadakan dan diqadarkan ke atas seorang hamba.  Dengan sabar ini,  maka bebaslah seseorang itu daripada berhajat dan berkehendak kepada manusia lain dalam mengatur dan menentukan kadar rezekinya.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan sanya telah menghantarkan(meletakkan) Allah Subhanahuwa Taala lima perkara dalam lima tempat iaitu;

Keterangan Suluk

Keterangan di atas bolehlah diambil faham sebagaimana berikut;

Allah Taala meletakkan "lima perkara" dalam lima tempat.  Dan tidak akan terdapat "lima perkara" itu melainkan di dalam "hal" yang lima tempat ini sebagaimana berikut;

1.  Kaya dalam Qana'ah
Kekayaan yang hakiki atau yang sebenar-sebenarnya hanya dimiliki oleh mereka yang bersifat dengan sifat Qana'ah yakni yang mencukupi dengan apa yang ada pada mereka.  Tidak tamak dan menuntut-nuntut sebarang tambahan lagi walaupun dengan ala kadar yang ada.  Jika diberikan sesuatu kepada mereka sedangkan mereka sudah memiliki keperluan yang cukup untuk hari itu,  maka mereka akan mengagih-agihkan lebihan yang ada padanya kepada mereka yang masih memerlukan. Ini lah "hal" orang yang Kaya mengikut maksud yang Hakiki.  Kaya daripada meminta-minta dan mengharapkan sesuatu yang lebih.  Bukan dengan kaya harta dan wang ringgit,  tetapi  Kaya dalam hal/maqam Qana'ah.

2.  Mulia dalam Taat
Seorang yang mulia di sisi Allah ialah mereka yang banyak melakukan amal kebajikan dan taat.  Semakin banyak amal taatnya,  semakin tinggi darjah kemuliaannya,  sebaliknya jika berkurangan taatnya,  maka bertambah rendahlah kemuliaannya. Mulianya berada dalam taat dan terzhohir pada anggota dan batinnya. Jika di setiap nafasnya diisi dengan taat,  maka inilah golongan manusia yang paling mulia di sisi Allah. Mulia dalam hal amal taatnya;  bukannya mulia dengan keturunan, atau mulia dengan pangkat atau kedudukan sedangkan diri jauh dan segan dari melakukan taat kebaktian kepada Allah Taala.

3.  Hina dalam Maksiat
Seorang yang berbuat maksiat adalah seorang yang berdosa.  Dosa pula adalah satu hal yang merujuk kepada sesuatu yang hina.  Hinanya.... kerana mereka banyak membuat kesalahan dan perderhakaan kepada Allah. Dan tidak wujud kehinaan ini melainkan dalam dosa.  Seorang yang berdosa adalah seorang yang hina . Mereka Hina dalam Maksiatnya; bukan hina pada kemiskinan dan kedhoifan hidup sebagaimana sangkaan kaum materislisme.

4.  Hikmah dalam Batin yang telah sunyi[daripada dunia]
Ilmu-ilmu hikmah atau limpahan laduni akan terjelma melalui kata-kata berhikmah seorang hamba yang telah sunyi dan sepi hatinya dari bayangan dunia dan masyiwaLlah.  Batinnya atau hatinya telah bersih dari cemar dan karat dunia.  Hati yang kosong dan bersih ini layak untuk menerima Ilmu Hikmah atau Ilham sebagaimana seorang Rasul menerima Wahyu mengikut bisikan dari sebalik tirai.  Cuma yang berbezanya Ilmu Laduni ini adalah lemah berbanding Wahyu,  tetapi dengan Ilham inilah sesuatu urusan qhaibiyah dapat dipaparkan sebagaimana kata Imam Ghazali;
Ilham adalah kesan Wahyu. Wahyu adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Ilmu yang didapati menerusi Ilham dinamakan Ilmu Laduni. (lihat tajuk Keterangan Perihal Proses Wahyu)
Dan sememangnyalah,  ilmu-ilmu hikmah serta sesuatu penerangan mengenai suatu urusan ghaibiyah hanya boleh berada dalam hati seorang hamba yang tiada lagi kecenderungan dan pandangannya terhadap dirinya dan seisi dunia.  Inilah maksud Hikmah dalam Batin yang telah sunyi. bukannya pada kebijaksanaan menyusun kata-kata yang puitis.

5.  Haibat dalam mendirikan malam.
Rasa ketakutan dan bergentarnya jiwa menyaksikan kehebatan dan JalalNya Allah bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat,  yang boleh diperihalkan dengan kata-kata,  kerana ianya adalah merupakan sesuatu yang dimaksudkan dengan kehadiran Warid.  Adapun Warid ini tidak akan wujud tanpa adanya Wirid.  Antara wirid-wirid yang paling berkesan dan mulia ialah Qiyamullail yakni menghidupkan atau mendirikan wirid-wirid tertentu seperti Sholat,  zikir, dan membaca Al-Qur'an pada waktu malam yang sunyi.  Dikatakan ianya Wirid yang paling berkesan kerana sememangnya pada mendirikan malam ini terdapat rasa haibat pada Keagungan dan Ketinggian Allah.  Jiwa orang berkesan dengan Qiyamullailnya adalah jiwa yang dapat merasai dan memandang kehaibatan Allah dalam wajah-wajahNya(penzhohiran)yang berbagai-bagai. Sekadar kata-kata saja tidak cukup untuk memahaminya,  tetapi masuklah ke dalam bidang "hal"  iaitu dengan mengamalkan dan menghidupkan QiyamuLlail ini.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan sanya telah menyatakan Mualif akan hikmah ini kepada Maqam Ubudiyah dalam Maqam Huriyyah(merdeka dengan dunia),  kerana Maqam Ubudiyah itu orang yang ada ia hamba bagi TuhanNya dan merdeka daripada segala syahwatnya.

Keterangan Suluk

Keterangan di atas menyatakan tujuan dan maksud kata-kata Kalam Hikmah yang telah dibincangkan sebelum ini iaitu Hanya sesungguhnya engkau merdeka daripada yang engkau putus daripadanya;  kerana tiada padanya takluk[hati];  dan engkau hamba yang engkau Tamak baginya.

Tok Pulau Manis mengaitkannya dengan merujuk kepada Maqam Ubudiyah atau Maqam Kehambaan yang terdapat dalam hal atau Maqam orang yang merdeka dengan dunia.  Merdeka daripada dunia yang mencakupi dirinya dan barang sesuatu yang lain daripada Allah.  Bila telah kosong dan lebur pandangannya terhadap dunia,  maka menjadilah ia hamba yang ikhlas bagi TuhanNya.  Dengan ini seorang yang benar-benar hamba bagi Tuhannya ialah seorang yang merdeka dari sebarang bentuk perhambaan yang lain samada syahwatnya,  dirinya,  manusia atau makhluk-makhluk lain.

Pun begitu,  orang-orang yang bebas merdeka ini  ada memiliki kelas dan martabat-martabatnya sebagaimana.....

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan adalah martabat merdeka itu atas beberapa martabat.

Keterangan Suluk

Sekali lagi kita temui,  pembahagian "hal-ahwal" antara tiga golongan manusia yakni awam,  khowas dan khowasul-khowas mengikut pandangan ahli tasauf.  Pembahagian kali ini adalah merujuk kepada martabat kemerdekaan mengikut penilaian mereka..

Di sisi orang-orang awam yang kebanyakan seperti kita,  maksud sebenarnya kemerdekaan diri ialah apabila mereka dapat memutuskan tambatan nafsu syahwatnya.  Mereka berjuang dan bermujahadah dalam mengekang nafsu serakahnya.  Dengan kata lain,  di sisi orang-orang Awam;   kemerdekaan diri itu ialah apabila;

Berbeza dengan golongan orang yang khas.  Mereka adalah Salik yang telah mantap perjalanan keruhaniannya,  di mana tidak wujud lagi sebarang kehendak dan maksud hatinya melainkan dengan sentiasa bertawakkal kepada Allah.  Mereka mematikan seluruh urusan dan kehendak hati mereka semata-mata untuk hidup dengan Kehendak Allah Taala.  Pada mereka tidak ada lagi  mujahadah,  kerana sebutannya sahaja telah cukup menggambarkan akan wujudnya kehendaknya dan tuju hatinya.  Seluruh tadbir dan usaha mereka telah fana atau lenyap dalam musyahadah TuhanNya Yang Maha Mengatur,  Lagi Maha Berkehendak di atas tiap-tiap sesuatu. Di lihat wujudnya dirinya di samping wujud yang lain-lainnya tidak lebih daripada sekadar kenyataan pada Allah Taala yang Maha Pekehendak.  Dengan kata lain orang yang khas ini akan merasai merdeka apabila mereka; Golongan orang yang khowasul-khowas adalah merupakan orang yang telah sampai kepada Allah atau orang yang Wasil ilaLlah.  Mereka telah merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.  Bukan sekadar merdeka dari runtunan syahwatnya,  bukan sekadar merdeka dari kehendaknya,  tetapi bahkan orang yang khowasul-khowas ini telah mencapai kemerdekaan yang total yakni merdeka daripada memandang akan wujudnya dirinya sendiri.   Bila sudah hilang atau hapus dirinya dalam pandangannya ((Jam'ul  Jami' dan Fana Ul Fana dan Baqa bilLah)),  maka hilanglah segala bekas-bekas dan segala isyarat dan segala bayangan kerana diri mereka telah lebur dalam Wujud Yang Hakiki.  Kemerdekaan di sisi mereka ialah lepas dan bebas merdeka daripada menilik wujud dirinya.   (Sila lihat bicara mengenai Pendakian Ke Haramil Qudsiyah)

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka adalah hasilnya itu ,  bahawasanya orang yang kasih akan sesuatu daripada segala sesuatu yang telah terdahulu sebutnya,  atau berdiri ia sertanya,  maka adalah ia dalam tawanannya dan hambanya.

Dan barangsiapa tamak kepada Allah dan putus daripada barang yang lain,  maka jadilah ia akan hamba Allah,  dan merdeka daripada barang yang lainnya kerana bahawasanya Hakikat Ubudiyah itu [berada] dalam kesudah-sudahan Fakir.

Keterangan Suluk

Keterangan dan penjelasan di atas adalah merupakan pengulangan kepada isi kandungan pengajian sebelum ini yang berkaitan dengan orang yang kasihkan sesuatu adalah merupakan hamba kepada apa yang dikasihkan itu.

Kita juruskan perbincangan kita kepada maksud ayat terakhir yang berkaitan dengan Hakikat Ubudiyah.  Mengikut keterangan di atas,  orang yang merdeka daripada sesuatu yang lain adalah seorang hamba yang menjejaki Hakikat Kehambaan(Ubudiyah).  Dan Hakikat Ubudiyah itu pula berada dalam "hal"  sut atau kesudahan/Hakikat Fakir.  Seorang yang benar-benar Fakir ialah seorang yang tidak punya apa-apa lagi,  sama ada kehendak atau keupayaannya.  Berkenaan ini,  penjelasan mengenainya dapat kita fahami dari.........

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kerana inilah,  kata Sheikh Abu Hasan Al-Syazili r.a. tatkala dikata orang baginya;  "Hai Sayyidi!  Mana sifat hamba?"
Maka katanya;

"Seperti yang telah disifatkan Allah akan dia kepada hamba yang dimiliki,  tiada sekali-kali kuasa ia atas sesuatu"

Keterangan Suluk

yakni tiada lagi  seorang hamba yang fakir itu merasai memiliki sesuatu.

Malah hamba yang fakir adalah seorang yang sentiasa berhajat kepada TuhanNya,  mengharapkan limpah kurnia dan keredhoan dariNya,  bukan amalnya,  bukan dirinya,  jauh sekali daripada makhluk. Sentiasa berkhidmat kepada Allah Taala sebagaimana kata Tok Pulau Manis (dari halaman 130);

Bahawasanya setengah daripada Haq Tuhan atas hamba itu ialah bahawa ada ia dalam hal khidmatnya bagi TuhanNya iaitu gugur ikhtiar dan iradat,  padahal Fana' dalam amalnya hingga tiada melihat ia baginya amalnya.

Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra. yang selanjutnya.
 

Barangsiapa yang tidak berhadap ia kepada Allah dengan Lathif Ihsan,  nescaya akan diseret kepadaNya dengan segala rantai ujian.

Bersambung lagi.....Insya Allah dalam Pengajian yang berikutnya di bawah tajuk Nikmat Dan Syukur

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar