Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
BH Edisi Internet

Tasawuf sebahagian daripada fardu ain

UMAT yang menolak tasawuf sebagai sebahagian daripada fardu ain harus mengkaji pendapat ulama dan imam besar seperti Ghazali, Shafie, Hanafi, Maliki, Hambali, Tamimiyyah dan Qayyim. Bagi mereka yang mendalami Islam di negara Barat dan mengatakan tasawuf timbul daripada neoplotuisme, fahamam Hindu dan Buddha, perlu membaca pendapat Annemarie Schimmel dalam bukunya The Mystic Dimension of Islam seperti yang dikatakan seorang profesor fakulti Islam sebuah universiti tempatan. Pensyarah itu kesal kerana pendapat ulama muktabar yang tidak pergi ke unversiti tersohor seolah-olah tidak diakui.

 Di Nusantara Melayu aspek fardu ain sudah banyak dibukukan termasuk kitab Hidayatusus Salikin oleh Sheikh Abdus Shamad al Falimbani. Sebilangan ulama mengatakan tasawuf adalah bahagian daripada fardu ain dan hukumnya adalah wajib kepada semua orang Islam.

 Ulama terbabit termasuk Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Daud Patani, Tuanku Paloh (yang melindungi Mat Kilau, Tok Bahaman daripada ancaman British), Sheikh Yusuf Makasar (abad ke-17), Sheikh Ismail Minangkabau (abad ke-18), Sheikh Ali Rahmatullah (wakil daerah Ampel) dan dalam generasi sekarang Prof Jahid Sidek, Prof Mohamad Sulaiman Yassin, Prof Harun Din dan Pehin Datuk Ismail Omar Abdul Aziz (bekas mufti Brunei).

 Malangnya ada ilmuan mendakwa tasawuf terjelma dari Yunan, Ploto atau Hindu. Ada pula yang lebih berani mengatakan bahawa tasawuf, tarikat dan sufiah menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam. Tuduhan ini semuanya berpunca daripada kesilapan pegangan pelajar yang kononnya mendalami agama Islam, khususnya mereka yang mengkaji tanpa guru.

 Umumnya kebanyakan golongan ini berpegang kepada ajaran yang dimulakan sekumpulan bijak pandai dari Benua Arab dan berkembang pada kurun ke-19. Kaum ini telah memusnahkan Jabal Qubais, pusat pengajaran dan amalan tasawuf dan tarikat yang juga menjadi tanda sejarah permulaan perkembangan Islam. Di sinilah perkembangan ilmu Allah itu berlaku dan bijak pandai Islam datang dari seluruh pelosok dunia untuk merangsangkan kebangkitan Islam, sama ada untuk bertukar pendapat dan belajar ataupun mengajar.

 Dengan musnahnya Jabal Qubais tempat letaknya zawiyah yang didirikan Sheikh Abdallah AI Arzinjani pada pertengahan kurun ke-19, musnahlah juga satu daripada mercu tanda kebangkitan Islam. Pada 1924, Sheikh Ali Ridha, guru terakhir yang mengajar tasawuf di benua Arab berhijrah dari bumi Hijaz.

 Sebelum pertengahan abad ke-19 pengajian Islam berpusat di bandar masyhur seperti Baghdad, Makkah, Madinah, Bukhara dan Samarkand. Jabal Qubais adalah tempat terakhir ulama yang arif dari seluruh dunia berkumpul dan mengamalkan ilmunya.

 Ulama Nusantara Melayu seperti Yusuf Makasar, Ismail Minangkabau, Daud Patani dan Hamzah Fansuri pernah belajar di benua Arab. Umat Islam Nusantara Melayu yang menunaikan fardu haji belajar ilmu Islam daripada guru yang benar-benar arif lagi warak. Antara ulama pernah belajar di Jabal Qubais ini ialah Datuk Laksamana Sungai Ujong Ahmad Mohamad Baqir, Sayyid Abdul Rahman Muhammad al Idrus dan Sheikh Daud Patani. Mereka mengikuti sunah Rasulullah, iaitu belajar melalui seorang Sheikh yang benar-benar mengamalkan ilmunya serta berakhlak dengan ilmunya.

 Masalah besar yang timbul sekarang ialah begitu ramai pandai kita yang belajar mengenai ilmu Islam di institusi pengajian tinggi di negara Barat.

 Bagi ahli sunah, menyempurnakan Rukun Iman dan Rukun Islam adalah matlamat. Tidak ada apa lagi yang diharapkan di sebalik penyempurnaan dua rukun ini selain daripada untuk mendapat keredaan Allah. Dengan penyempurnaan dua rukun ini maka terlaksanalah firman Allah yang bermaksud; "Tiada Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku."

 Islam mempunyai tiga Rukun Agama. Ketiga-tiga rukun ini perlu untuk menyempurnakan pegangan Islam seseorang. Asas rukun ini termaktub dalam hadis Rasulullah apabila baginda didatangi Jibril untuk mengajar mengenai Rukun Iman, Rukun lslam dan Rukun lhsan.

 Seperti kata Pehin Ismail dalam fatwanya: "Barang siapa mencuaikan kedudukan ihsan iaitu tarikat, tidak syak lagi agamanya kurang dan tempang kerana ia mencuaikan satu rukun daripada Rukun Agama Islam". Oleh itu, jika seseorang tidak betul asas agamanya bagaimana mungkin seseorang itu boleh dikatakan sebagai bijak pandai Islam? Inilah masalah yang sering menjadi dilema masyarakat Islam sendiri.

 Menolak tasawuf, tarikat dan sufi adalah bermakna menolak Rukun Ihsan. Rukun Ihsan adalah fardu ain dan penolakannya adalah satu perkara yang dianggap berat. Profesor Mohammad Sulaiman Yassin pernah menulis; "Al-Quran itu jalan menuju Allah maka hidup Rasulallah adalah perjalanan yang tepat dan sempurna di atas jalan itu...; Hakikat ini benar-benar difahami kalangan sahabat. Bagi mereka Nabi Muhammad ialah jalan menuju Allah..."

 Tarikat ialah jalan menuju Allah. Jalan ini mesti mengikuti syariat Rasulullah. Jika ada orang yang mengajar ilmu bercanggah dengan syariat lslam ia tidak boleh disamakan dengan jalan menuju Allah (tarikat), kerana jalan munuju Allah mesti terikat kepada hukum Allah keseluruhannya.

 Ini tidak pula bererti kita harus melupakan dunia kerana kita tidak pula disuruh menjadi ahli akhirat semata-mata. Kita disuruh menjadi khalifah Allah di atas mula bumi, di samping menjadi hamba Allah dan berbuat sesuatu hanya kerana Allah. Dunia mesti ditadbir mengikut kemahuan Allah. Kekayaan mesti dicari tetapi bukan untuk memperluas hawa nafsu, sebaliknya untuk menyediakan jalan menuju kepada Allah.

 Saidina Abu Bakar, seorang pejuang Islam pada zaman permulaan Islam yang juga sahabat terdekat baginda Rasulullah, pernah menunjukkan adab terbaik apabila beliau berdoa kepada Allah memohon kekayaan. Apabila doanya dikabulkan seluruh kekayaannya diinfakkan untuk berjuang menegakkan Islam.

 Inilah yang menjadi intisari ajaran Islam sekali gus yang menjadi kekuatan Islam. Apabila hal ini menjadi kabur dan manusia Islam lebih mementingkan semata-mata perkara dunia, runtuhlah kekuatan yang menegakkan agama itu.

 Kekuatan Islam bukan bergantung kepada besar kecilnya masjid, besarnya jumlah orang yang menunaikan fardu haji, ramainya bilangan al-Hafiz, besarnya jumlah ilmuan Islam dan kekayaan yang dimiliki. Sebaliknya, ia bergantung kepada keikhlasan perhambaan diri kepada al-Khaliq, iaitu dengan niat menyerahkan diri hanya kepada Allah kerana kepada-Nya kita akan kembali.
 
 

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]