Pengajian
Kitab Hikam Kuliah Magrib Hari Khamis ( 24. 02. 2000 / 18 Zulka'edah 1420)
PERANG
ANTARA NUR DAN ZULUMAH
|
Sambungan
Dari Pengajian Terdahulu
Keterangan
Tok Pulau Manis. selanjutnya
Maka
apabila cenderung hatinya kepada amal yang dipuji dan nafsunya kepada amal
yang dicela, maka berperanglah keduanya itu. Maka segeralah
Nur iaitu daripada Rahmat kepada menolong hati dan zulumah
iaitu iaitu daripada waswas syaitan kepada menolong nafsu. Dan berdirilah
shaf berperang antara keduanya itu.
Keterangan
Suluk
Mengikut keterangan guru Suluk, maksud cenderung
hatinya kepada
amal yang dipuji ialah amalan hati yang terpuji
yang sanggup untuk menanggung segala kesusahan, kepayahan,
kepenatan dan kesulitan di dunia ini tetapi yang akan mendapat lazat
dan kesenangan di hari kemudian.
Hati yang cenderung kepada amalan yang terpuji ini sentiasa Istiqamah
dalam mujahadahnya melintangi nafsunya yang jahat seperti inginkan
kesenangan sehingga sanggup ia zuhud dengan dunianya.
-
Kekayaan dan kesenangan dunia
yang dikejari oleh kebanyakan manusia lain, tidaklah dipandang sesuatu
yang boleh menjamin kesenangannya di akhirat nanti.
-
Demikian jugalah pangkat,
kedudukan dan kemulian yang dijulang-julang oleh kebanyakan manusia lain
bukanlah menjadi maksudnya lagi kerana yang demikian itu, kerana
diketahuinya ianya akan membawanya kepada bersyirik dengan Allah iaitu
kapada penyembahan dan ketundukkan kepada manusia dan dunia.
-
Hidup dengan miskin
pun tidak mengapa.
-
Dihina manusia pun tidak
mengapa baginya, susah dan menderita tubuh badan tidak dikisahkannya
malah kecenderungannya semata-mata kepada amal yang
dipuji oleh Allah Taala.
Inilah kedudukan dan pendirian hati yang sentiasa cenderung
hatinya kepada
amal yang dipuji .
Sebaliknya nafsu syahwat memupunyai pendirian dan kecenderungan yang
berbeza. Mengikut guru Suluk,
cenderung nafsunya kepada amal yang dicela ialah
keadaan sifatnya yang sentiasa ingin bersedap-sedap, berlazat-lazat
dan bermulia-mulia tanpa memikirkan azabnya di hari kemudian.
-
Nafsu sangat sukakan kepada
makanan yang lazat-lazat dan yang mahal-mahal.
-
Nafsu memang gemarkan kepada
berhibur-hibur dan keselesaan hidup.
-
Tidur mahu selesa,
-
pakaian mahu selesa,
-
rumah mahu selesa,
-
kenderaan mahu selesa,
-
wang datang dengan mudah
tanpa mengira halal atau haram,
-
malah tempat untuk membuang
najis(tandas)pun mahu selesa.
-
Nafsu punya kecenderungan
untuk bermegah-megah dengan kejayaan dan kedudukannya,
-
sombong dengan pangkat dan
kuasanya
-
serta takabbur dengan keistimewaannya.
Demikianlah antara gambaran kasar kecenderungan nafsu yang ada pada seorang
hamba.
Perlu diingat, ianya bukanlah terhenti kepada orang awam yang
banyak lalainya tetapi masih tetap subur pada mereka yang khas; yang terdiri
daripada mereka yang beramal dan yang berjalan kepada Allah Taala.
Cuma wajahnya dan pendekatannya sahaja yang lebih licik dan tersembunyi.
Antaranya ialah seperti riya dan ujub dengan amalan dan kebolehannya dalam
melaksanakan perintah Allah. Pendek kata bayangan kecederungan ada
sahaja di mana-mana dimensi dan sentiasalah ia akan cuba menyempurnakan
maksudnya kepada yang tercela.
Maka berperanglah antara hati yang terpuji dan nafsu yang tercela ini.
Di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja.
-
Semasa lalai dengan dunia,
-
semasa ingin mengerjakan
ibadat,
-
dalam masa beribadat dan
selepas dari ibadat.
-
Dari semasa hidup,
-
kepada hampir mati
-
malah ada yang sampai ke
dalam kubur.
-
Sentiasa ingin mencapai kemenangan
bagi menyempurnakan maksud dan kecenderungan masing-masing.
Maka jika ada rahmat dan pertolongan Allah, maka berdirilah Nur pada
hati hamba yang akan membantunya untuk berhadapan dan mematahkan serangan
nafsu yang terdiri dari tentera zulumah yang terdiri daripada bisikan
dan waswas syaitan. Contoh yang agak menarik oleh guru suluk bagi
menggambarkan wajah peperangan antara dua tentera ini ialah;
-
Pada
tahun ini, hati berhajat untuk menyempurnakan Qurban yang paling
sempurna dengan hasrat untuk mensedekahkan dan menghadiahkan kesemua
daging Qurban itu kepada mereka yang berhak tanpa sedikitnya pun untuk
dimakan olehnya.
-
Nafsu
datang menyerang hajat dan hasrat yang mulia itu dengan bisikan dan waswasnya
dengan berkata; "Tidak salah jika
ambil sedikit untuk bahagian kita atau di waktu inilah kita boleh
adakan jamuan di rumah kita agar ramai saudara-mara dan sahabat-handai
berkunjung ke rumah kita nanti."
Yang lebih teruk lagi ialah smpan sahaja daging itu dalam peti ais untuk
bekalan selepas raya nanti.
-
Di
tempat lain pula, nafsu ini mungkin menjelma dalam wajah yang elok
dan terpuji pada permulaannya tetapi punya maksud yang lebih jahat daripada
yang disangkakan. Nafsu mungkin bersiasah dengan menggemarkan seorang
hamba membanyakkan ibadat dan menyuntikkan "Ajib"(takjub dengan kehebatan)
dengan melihat dirinya banyak beribadat dan beramal kepada Allah.
-
Hati
kata ianya adalah limpahan Allah.
-
Nafsu
pula berkata jarang manusia yang boleh beribadat seperti engkau.
-
Hati
kata masih ramai lagi hamba-hamba pilihan Allah.
-
Nafsu
berkata lagi kamu patut berbangga dengan kelebihanmu daripada kebanyakan
manusia.
Pendek
kata, serntiasalah berhujah dan berperang antara dua tentera ini.
Keterangan
Tok Pulau Manis. selanjutnya
Maka
apabila terdahalu pada azali berbahagianya, maka beroleh petunjuk
hatinya dengan Nur dan mengerjakanlah ia pada yang dicenderunginya;
atau telah terdahulu pada azali celakanya, maka lalailah hatinya
dan membutakan Zulumah itu akan dia dan terdayalah ia dengan lazat dunia
dan mengerjakan ia dengan cenderung nafsunya.
Keterangan
Suluk
Seterusnya sebagai memperlanjutkan perihal tentang peperangan ini,
Tok Pulau Manis mendatangkan perkataan azali
dalam keterangannya sebagai maksud apabila telah ditentukan dalam ILMU
dan IRADATNYA YANG QADIM lagi bahawa hamba itu mendapat bahagia,
maka dipancarkanlah petunjuk hatinya dengan Nur Taufik dan HidayahNya untuk
hati itu berbuat dan mengamalkan kecenderungannya yang asal.
Sebaliknya jika celaka yang diQada'kan, maka akan lalai dan tewaslah
hati dengan asakan Zulumah yang akan membutakan pandangan dan kefahamannya
kepada yang terpuji. Berbungkuslah hati itu dengan kecenderungan
untuk mencapi kelazatan dunia yang sementara dengan berbagai-bagai sifat
nafsu yang rendah lagi tercela.
Sungguhpun demikian, tidaklah sama rupa , keadaan,
wajah dan medan peperangan ini antara seorang hamba dengan seorang hamba
yang lain. Ianya berbeza-beza mengikut hal-ahwal atau kedudukan seseorang
itu. Untuk menjelaskan perkara ini, kita ikuti;
Keterangan
Tok Pulau Manis. selanjutnya
Dan
kata Imam Ghazali r.a;
Adalah
bagi manusia dalam mujahadah hawa nafsunya itu dengan beberapa ahwal.
-
Pertama;
bahawa mengalahkan hawa itu akan dia. Maka tiada boleh disalahinya.
Inilah kebanyakan hal manusia.
-
Kedua;
bahawa adalah berperang itu sekali menang; sekali kalah. Maka
inilah hal orang daripada orang yang mujahadah.
-
Ketiga;
bahawa kalah hawanya, maka jadilah ia memerintah atasnya dan tiadalah
boleh mengerasi ia(hawa) akan dia pada barang halnya. Dan inilah
Raja yang amat besar yang khas dan merdeka yang sempurna.
Keterangan
Suluk
Kita halakan fokus perbincangan kepada ahwal golongan yang ketiga kerana
yang pertama dan yang kedua itu memang selalu kita jumpa dan mudah untuk
ditemui dalam kehidupan seharian kita. Golongan yang ketiga yang
ingin dimaksudkan oleh Imam Ghazali ialah golongan orang-orang Sholihin,
Aulia-Aulia Allah, Para Nabi dan Para Rasul. Mereka ini adalah
golongan yang telah berjaya melemahkan dan menundukkan kerakusan hawa nafsu
dan syaitan malah menjadikan nafsu syahwat ini sebagai kuda tunggangan
atau hamba abdi mereka. Mereka adalah tuan yang memerintah atas nafsunya
untuk mengerjakan dan mengamalkan sesesuatu yang terpuji.
-
Jika
diberi makan, maka makanan itu adalah sebagai alat untuk mereka kuat
beribadat kepada Allah. Bukan untuk bersedap-sedap dan berlazat-lazat.
-
Jika
diberi tidur, maka tidur itu hanyalah sekadar untuk menyegarkan saraf
dan tubuh badannya atau untuk membolehkan ia bangun berdiri malam.
Bukan untuk berehat-rehat dan bersedap mata.
-
Jika
diberi pakaian, maka dimiliki dan dipakaikan kain yang murah-murah
dan kasar sekadar untuk menutu aurat. Bukan untuk berselesa dan bergaya-gaya.
-
Jika
diberi tempat tinggal, maka disediakan sekadar tikar dan peralatan
sekadar yang diperlukan sahaja. Bukan untuk berempuk-empuk dan berhias-hias.
-
Jika
beribadat, maka dilakukan yang afdal-afdal dan yang sempurna.
Bukan hanya ala kadar sahaja.
Pendek kata tidak ada lagi ruang untuk nafsu yang nyata atau yang tersembunyi
menjengukkan kepalanya atau mengambil ruang dalam tindakannya, malah
semata-mata bebas dan merdeka dari kecenderungan dan perhambaan kepadanya.
Mereka adalah Raja Yang Berkuasa, Tuan yang memerintah ke atas nafsunya
dan merdeka yang sempurna dari tambatan nafsunya. Inilah antara
tempat tuju golongan tasauf yang mengamalkan ilmu ini; iaitu untuk
menjadi merdeka dn raja yang menguasai.
Keterangan
Tok Pulau Manis. selanjutnya
Dan
ketahui olehmu bahawasanya Daairatul Malakah
Al-Insaniayah itu berhimpun bagi segala bahagi
lawannya daripada Nur dan Zulumah dan Kufur. Maka lawan Akal itu
Nafsu; dan daripada tentera Akal itu Malaikat dan daripada tentera
Nafsu itu Syaitan dan tiap-tiap satu firqah itu seteru bagi yang satu dengan
berserta Wa Thobi'at.
Keterangan
Suluk
Yang dimaksudkan dengan Daairatul
Malakah Al-Insaniayah ialah pusingan daerah(hal-ahwal)
sifat-sifat kemanusian yang sentiasa membayanginya. Pusingan kehidupan
di dunia ini adalah terdiri dan yang terhimpun dari dua pihak lawan iaitu
antara Nur Yang Haq dan Zulumah beserta kufur.
Masing-masih sifat asa musuhnya yang tersendiri. Akal yang benar
lawannya ialah Nafsu yang jahat. Jika tentera Akal terdiri daripada
Malaikat, maka tentera nafsu pula ialah Syaitan. Demikian
juga jika hati ingin menilik kepada tempat yang tinggi dan mulia ,
maka nafsu pula suka menilik kepada tempat yang rendah dan hina.
Dengan demikian, maka tiap-tiap firqah atau puak itu berlawan dan
berseteru dengan tabiat dan kecenderungannya yang tersendiri.
Keterangan
Tok Pulau Manis. selanjutnya
Maka
kerana demikian itu berperang antara kedua itu kalah menang dan adalah
medan berperang itu hati dan tak dapat tidak(mesti) bahawa lari di salah
satu daripada dua askar itu. Maka alamat beroleh kemenangan itu sentiasa
terang Nur Anwar, dan alamat beroleh kalah itu bertindih-tindih gelap
dengan segala rupa agyar.
Keterangan
Suluk
Bila berperang dan berlawan, maka akan adalah salah satu yang
akan menang dan yang tewas. Kadang-kadang menang Nur dan kadang-kadang
menang nafsu. Adapun gelanggang atau medan peperangan itu ialah hati.
Oleh kerana hati itu cuma satu, maka tidak dapat tidak dalam satu
masa, hanya yang menang sahaja boleh menetap dan mendudukinya.
Antara dalil atau tanda-tanda yang menunjukkan hati itu menang ialah
sentiasa terang hatinya dengan Nur Anwar yang membimbing dan menunjukkinya
kepada yang Haq.
-
Dengan
Nur Iman, yakinlah hati tersebut kepada sesuatu yang ghaib.
-
Dengan
Nur Taufik dan Hidayah, mampulah ia mengerjakan dan mendirikan amalan-amalan
yang terpuji.
-
Dengan
Nur Makrifat, dapatlah ia membetulkan pandangan dan kefahamannya
pada maksud kehambaan dan ketuhanan.
Antara alamat
beroleh kalah itu(ialah) bertindih-tindih gelap dengan segala rupa agyar
dengan maksud tanda-tanda hati yang ditundukkan
oleh hawa nafsu ialah mereka yang hanya akan memikirkan keseronokkan dan
kelalaian dunia ini semata-mata. Bertindih-tindih gelap itu ialah
bertindih-tindih kerakusannya, tebal kejahilannya dan luas
lingkungan lalainya kepada kelazatan dan keseronokan dunia yang hina ini.
Orang yang begini hanya akan memikirkan kesenangan dan keseronokan dunia
semata-mata tanpa memperdulikan amalan-amalan untuk dibawa bersamanya apabila
mati nanti. Jauh sekali mereka ini untuk mendapat dan mencium bau
adan aroma makrifatullah di dunia.
Keterangan
Tok Pulau Manis. selanjutnya
Bermula
Nur itu baginya membukakan daripada Hakikat segala perkara dan mata hati
itu baginya Hukum akan yang telah nyata baginya daripada yang baik
atau yang jahat.
|
Keterangan
Suluk
Bersambung dalam Pengajian yang berikutnya .......Nur
Yang Membukakan Hakikat.
Allahu Allah.
[[Kembali
ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi
taufik dan hidayahnya
|
Tiada daya dan upaya
melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar
|