Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam pada hari Khamis ( 18.03.1999/29 Zulkaedah 1419)
Nur Tawajjuh dan Nur Muwajahah


Kata Syeikh Ibni Athoillah As-Kandary
 
Beroleh petunjuk segala orang yang berjalan kepada Allah dengan segala Nur Tawajjuh (dan) segala orang yang Washil itu bagi mereka itu Nur Muwajahah

Terjemahan oleh Tok Pulau Manis

Beroleh petunjuk segala orang yang berjalan kepada Allah dengan segala Nur Tawajjuh iaitu barang yang daripada mereka itu kepada Allah Taala daripada segala 'Amal dan Ahwal dan Mujahadah daripada segala ibadat (dan) segala orang yang Washil itu bagi mereka itu Nur Muwajahah iaitu barang yang dikurnia Allah Taala bagi mereka itu daripada segala Maa'rif dan Haqaiq dan Tajaliah seperti barang yang layak pada hadirat Yang Karim.

Keterangan Suluk

Orang yang berjalan hatinya kepada Allah ataupun Salik memulakan perjalanan mereka dengan petunjuk-petunjuk daripada Nur Tawajjuh. Nur Tawajjuh ini adalah hasil daripada ibadat Salik yang ikhlas ditujukan kepada Allah Taala yang terdiri daripada

Dengan Nur Tawajjuh(berhadap hati) inilah Salik mendapat kekuatan dan petunjuk untuk melakukan banyak amalan dan ibadat yang nantinya memimpin dan memandu mereka itu kepada Maqam-maqam yang lebih tinggi seperti fana, Mahabbah, baqa dan sebagainya.

(Peringatan!!!)Tanpa amal, ahwal dan mujahadah ini seseorang itu bukanlah berjalan ataupun boleh dipanggil Salik. Mereka tergolong dalam golongan orang awam yang ghaflah(lalai) dengan dunia. Dengan kata lain tiga perkara di atas merupakan syarat-syarat untuk menghasilkan Nur Tawajjuh. Sebaliknya tanpa tiga perkara ini jika seseorang mendakwa dirinya Salik, maka pengakuan itu hanyalah pengakuan yang dibayangi oleh tipu daya iblis dan syaitan yang menyesatkan.

Keterangan Suluk

"segala orang yang Washil itu bagi mereka itu Nur Muwajahah iaitu barang yang dikurnia Allah Taala bagi mereka itu daripada segala Maa'rifdan Haqaiq dan Tajaliah"

Ini adalah merujuk kepada satu golangan manusia lagi; iaitu mereka yang dianugerahkan Allah akan Nur Muwajahah. Nur Muwajahah ini dilimpahkan ke atas Qalbu tanpa sebarang usaha amal atau mujahadah atau sebarang sebab. Nur ini adalah kurnia Allah kepada hambanya yang telah Washil atau sampai kepada Allah. Ia adalah semata-mata dari limpah kurnia untuk hamba pilihanNya yang berjaya menongkah arus perjuangan untuk sampai kepada hakikat kepada segala hakikat iaitu Allah. Apabila Nur Muwajahah ini menerangi jiwanya, maka tersingkaplah segala Ma'arif(Makrifat yang boleh membezakan antara yang Haq dan yang batil) dan terarahlah syuhud(pandangan) mereka itu kepada pandangan hakikat bagi segala hakikat(Allah) di mana terbukalah dan zhohirlah pada pandangan mata hatinya apa yang sebelum ini terpendam dengan melihat tajali-tajali (penzhohiran) Allah mengikut hal yang layak pada hadirat Allah yang Karim.

Contohnya jika tajali yang datang itu sebagai menyatakan EsaNnya(Allah) dalam perbuatan(Afaal) Allah maka tidak dilihat oleh hati yang bermakrifat itu akan sesuatu melainkan kuasa Allah yang Nyata lagi Qadim. Pandangan yang menjejaki Hakikat itu mungkin dalam bentuk

Ahli Tasauf ada mengatakan berkata bahawa;

"Tajali bererti menunjukkan sesuatu pada dirinya dalam beberapa dan berbagai bentuk. Umpama satu biji benih menunjukkan dirinya sebagai beberapa ladang dan satu unggun api menunjukkan dirinya sebagai beberapa unggun api."

Terjemahan seterusnya Kalam Hikmah Syeikh Ibni Athoillah Oleh Pengarang (Tok Pulau Manis).
 

Maka segala mereka yang awal itu(salik) hamba bagi segala Anwar kerana wujud hajat mereka itu kepadanya(Anwar) dalam menyampaikan kepada maksud mereka itu (dan) segala mereka yang akhir itu yakni segala orang yang Washil itu segala Anwar itu bagi mereka itu kerana wujud kaya mereka itu daripada segala Anwar itu kerana bahawasanya mereka itu bagi Allah tiada bagi suatu yang lain daripada Allah

Maka hal atau kedudukan orang Salik sepanjang perjalanan mereka sentiasa mengharapkan agar sentiasa diterangi dengan Nur Tawajjuh dengan membanyakkan dan menyempurnakan amal dan ibadat mereka. Amal dan ibadat yang dikerjakan itulah yang menjadi Nur yang membawa mereka untuk naik dari satu tingkat ke satu tingkat untuk sampai kepada Allah. Dengan itu si Salik ini adalah sentiasa menagih dan berhajat kepada Anwar tersebut dan menjadi hamba kepada Anwar tersebut. Ini adalah kerana mereka sentiasa memerlukan amal dan ibadat untuk berhadap diri(bertawajjuh) dengan Allah. Dengan kata lain, tanpa amal dan ibadat mereka tak akan sampai kepada maksud mereka.

Adapun orang-orang yang telah sampai kepada Allah mereka tidak lagi memandang bahawa amal dan ibadat yang mereka kerjakan sebelum ini yang membawa mereka untuk sampai kepada Allah. Ini adalah kerana pada peringkat ini tiada mereka melihat dan tiada mereka memandang tiap-tiap sesuatu melainkan mereka itu adalah hamba Allah yang bisa diperlakukan apa sahaja ke atasnya. Bala, musibah, taat dan nikmat adalah sama pada mereka pada pihak Allahlah yang meliputi dan menguasai segala sesuatu waima dirinya dan amalannya. Sebab itu mereka tidak berhajat dan memandang sama sekali kepada Anwar yang hasil dari amal dan ibadat malah dipandangnya Anwar itu adalah bagi mereka dari Allah untuk Allah. Pendek kata telah hapus dan hilang segala sesuatu itu melainkan Allah jua Maujud pada pandangannya.

Perlu ditegaskan bahawa orang Washil ini bukannya meninggalkan amal ibadat mereka, tetapi mereka tidak merasai dan melihat yang mereka melakukan amal dan ibadat yang dikerjakan kerana kekuatan keruhanian mereka melenyapkan setiap apa yang dirasa dengan pancaindera. Malah ada antara mereka yang melakukan amal ibadat yang terlalu banyak yang tidak mampu dilakukan oleh kebanyakan orang awam atau orang Salik. Ini adalah kerana mereka sentiasa Istiqamah dengan hal mereka. Seorang Aulia Allah pernah berkata:

"Istiqamah itu terlebih baik daripada 1000 Karamah"

Berkata lagi Pengarang Kitab Hikam

Maka segala orang yang Salik itu beroleh terang hati ia dengan Nur Al-Hidayah dan segala orang yang Washil itu beroleh mesra makanan dengan Sir Al-'Inayah dan mereka itulah yang telah menunjukkan Haq(Allah) akan mereka itu dengan Dia(Allah) atasNya(Allah) daripada tiada lelah. Maka adalah perjalanan mereka itu dengan Dia(Allah) daripadaNya(Allah) dan kepadaNya(Allah) dan kepada mereka itulah isyarat firman Allah yang bermaksud:

"Kata olehmu ya Muhammad dengan (semata-mata)sendiri bagiNya(Allah). Maka tinggalkan olehmu mereka itu(makhluq) pada masuk mereka itu dalam suatu bermain-main(dunia)".

Terjemahan Firman Allah tersebut oleh Tok Pulau Manis

(Yakni) Tauhidkan olehmu akan KeesaanNya(Allah) dengan tiada menilik kepada segala Agyar(dalam erti kata sesuatu selain Allah termasuk juga amal dan ibadat). Maka tinggalkan olehmu akan mereka itu yang membimbangkan mereka itu pada yang tiada hakikat baginya. Tiadakah tiap-tiap sesuatu barang yang lain daripada Allah Taala itu batil

Keterangan Suluk

Nur Al-Hidayah ialah cahaya petunjuk dari Allah Taala yang diberikan kepada hambaNya yang Salik. Nur Al-Hidayah ini memandu Salik untuk terus bersemangat dalam melakukan amal ibadat walaupun terpaksa mengharungi susah dan penat.

Manakala Sir Al-'Inayah ialah anugerah kurnia pertolongan dari Allah untuk hamba pilihanNya yang Washil .Anugerah kurnia ini adalah dalam bentuk-bentuk rahsia yang dibukakan antara hamba dan TuhanNya yang akan melenyapkan(meleburkan) pancainderanya dan sentiasalah hamba itu berada di majlis hadirat Allah dengan zauk dan wujdan.

Berkenaan dengan kata pengarang "dan segala orang yang Washil itu beroleh mesra makanan dengan Sir Al-'Inayah" Abu Hassan Al-Khorkani pernah mengajar muridnya dengan kata-kata seperti berikut:

"Makan dan minum Aulia Allah ialah mengenang Allah dan membicarakan tentang Allah".

Sebab itulah mereka yang mendapat Sir Al-'Inayah ini tidak akan memperkirakan atau memandang sesuatu hatta dirinya atau amalnya kerana telah diliputi dengan Hakikat Ketuhanan. Inilah maksud pengarang "Maka adalah perjalanan mereka itu dengan Dia(Allah) daripadaNya(Allah) dan kepadaNya(Allah)'

Seterusnya pengarang merujuk kepada firman Allah Taala yang menjelaskan perihal orang yang Washil itu di mana mereka tidak menilik dan memandang kepada sesuatu yang lain melainkan Allah. Sesuatu yang lain yang dimaksudkan ialah segala Agyar iaitu sesuatu yang membimbangkan atau menghalangkan daripada memandang Allah. Agyar ini bukan sahaja hal-hal yang berkaitan dengan dunia, atau keperluan basyariah malah termasuk juga perbuatan menilik kepada dirinya atau amal ibadat. Ini adalah kerana dengan menilik kepada diri dan amal ibadat yang dikerjakan itu termasuk juga dalam erti menilik kepada makhluk yang tidak mempunyai hakikatnya sebagaimana terjemahan pengarang seperti di atas "Maka tinggalkan olehmu akan mereka itu yang membimbangkan mereka itu pada yang tiada hakikat baginya. Tiadakah tiap-tiap sesuatu barang yang lain daripada Allah Taala itu batil."

Berkata lagi Pengarang Kitab Hikam

(Maka)adalah barang yang lain daripada pandang ini tiada dibilangkan dan tiada maksud.

Keterangan Suluk

Dengan menilik atau memerhatikan kepada sesuatu di dunia yang tidak memandang ianya datang dari Allah, dengan Allah, kerana Allah dan kepada Allah adalah sesuatu yang sia-sia dan tidak dikira sebagai Tauhid atau Makrifat malah ianya memandang kepada sesuatu yang batil dan kosong(kerana sesuatu selain Allah itu hakikatnya tiada) hampa dan tidak mempunyai apa-apa maksud. Benarlah kata-kata orang Washil tentang perjuangan ini dengan kata mereka:

Mujahadah ialah permainan kanak-kanak, dan memerhatikan yang Allah ada di mana sahaja adalah perjuangan.

Ini adalah pandangan dari mereka yang telah sampai(Washil). Kepada yang Salik eloklah jangan ditinggalkan mujahadah kerana jika Salik meninggalkan amal ibadat dan mujahadah, maka mereka seperti menafikan Nur Tawajjuh. Menafikan Nur Tawajjuh samalah seperti menafikan Nur Muwajahah. Ini adalah kerana Menafikan keperluan untuk bersusah payah dalam mendaki samalah menafikan kemampuan diri untuk sampai ke puncak gunung.

Allah memberi petunjuk Nur Tawajjuh dan Nur Muwajahah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar