![]()
Tulisan ini adalah berdasarkan warkah Suluk untuk seorang Sahabat
Satu waktu dulu pernah Suluk membariskan kata-kata yang berbunyi;
"Tidaklah mudah untuk menerima sesuatu kurnia dari Allah, dan tidaklah payah pada orang yang selalu bersyukur"
Kata-kata ini terbit sebagai respon apabila menerima satu pujian daripada
seorang hamba Allah yang telahpun dimaklumi mengenai 'Ainul
Basyirah' dan 'Tafakur'.
Sahabat juga telah mengerti untuk mendapat sesuatu makna atau maksud pada
sesuatu yang dilihat atau didengar atau diucapkan, kita
perlu melihat apa yang tersirat yang disebalik yang tersurat.
Suluk tampil kali ini untuk menjelaskan pada anda apakah kaitan 'Ainul Basyirah' dengan 'Tafakur' dan bagaimana ia boleh berkait dengan kata-kata Suluk tentang mudah dan payahnya kurnia dari Allah.
Lafaz itu sekali pandang nampak biasa sahaja, tetapi bagi "orang-orang yang mahu berfikir"[Kalam Allah) beliau akan menyedari dan mungkin "menyaksikan" keseluruhan makna dan maksud yang tersirat berada disebalik barisan kalam-kalam yang tertulis itu.
Insyaalah...Suluk akan cuba memperhalusinya mengikut jalan tafakur malalui Ainul Basyirah dengan keizinan Allah.
Ketahui olehmu wahai sahabatku,....Bermula lafaz 'KURNIA' itu adalah sesuatu yang menunjukkan pemberian atau anugerah yang diberikan oleh pemberi kepada seseorang. Kurnia juga dikaitkan dengan sesuatu yang membawa makna 'nikmat' kerana lazimnya orang yang mendapat pemberian anugerah daripada seseorang akan merasai bahawa itu adalah satu nikmat. Tidak hairanlah kerana kecenderungan untuk mendapat sesuatu nikmat memang dari sifat fitrah makhluk manusia. Biasanya ia akan disusuli dengan ucapan/perbuatan terima kasih atau bersyukur sebagai respon kepada kurnia yang diperolehinya.
Kurnia digunapakaikan mengikut tiga pengertian berdasarkan tingkat kefahaman/keimanan seseorang iaitu;
1.
Pengertian mengikut kebanyakan orang
Mereka mentafsirkan Kurnia berdasarkan kepada kebendaan semata-mata. Bila mendapat rezeki harta benda yang banyak, kejayaan dalam usaha, peningkatan dalam status kehidupan seperti pangkat, berupaya memiliki apa yang dihajati mereka akan menyambutnya dengan gembira dan ceria sekali hinggakan ada yang menzohirkan kesyukurannya dengan majlis kenduri, parti dan sebagainya. Sebaliknya bila rezeki kurang, gagal dalam usaha, kehidupan dunia merosot mereka akan menganggap sebagai tiada kurnia dari Allah lagi. Mereka akan rasa sedih, resah dan ada yang menterjemahkannya sebagai satu bala atau musibah.
Golongan ini memahami kurnia mengikut apa yang diburu oleh kebanyakan orang[ahli dunia]. Mereka akan merasa susah dan penat untuk mendapat sesuatu kurnia kerana terikat dengan keinginan nafsu mereka yang sentiasa mendapatkan sesuatu yang lebih. Mereka banyak bergantung kepada syahwat mereka.
Mereka membaca sesuatu mengikut apa yang tersurat.
2.
Pengertian mengikut sebilangan orang
Mereka akan merasa senang dan bertuah bila dapat merasai manis dalam ibadat. Sebaliknya bila timbul rasa segan dan pahit dalam ibadat mereka, mereka bersedih dan menyesali di atas kesalahan dan taksir mereka.
Golongan ini memahami kurnia dengan menilik kepada apa yang dikurniakan tetapi tidak melihat kepada Yang Mengurniakan. Ini adalah kerana mereka suka pada 'makhluk' [sesuatu selain dari Allah] dengan melupakan Yang Haq. Mereka ini pun akan merasa susah dan perit untuk mendapat sesuatu kurnia dari Allah kerana merasakan banyak pantang larang yang perlu dijaga untuk menjaga ibadat mereka. Mereka masih lagi bergantung dengan amalan mereka(makhluk} sendiri dengan melupakan Allah Yang Maha Pemberi.
Mereka ini pun tergolong dalam golongan orang-orang yang membaca sesuatu mengikut apa yang tersurat.
3.
Pengertian mengikut beberapa orang.
Golongan ini melihat dan mentafsir sesuatu itu mengikut maksud dan makna
yang tersirat. Mereka memandang sesuatu itu dengan pandangan
'Ainul Basyirah' atas
jalan "Tafakur"
yang seterusnya menterjemahkannya dengan
'Muraqobah'[mengintai-intai
perbuatan,sifat,asma Allah] yang hasil daripada gabungan tersebut.
Mereka melihat dan memahami kurnia itu adalah semata-mata dari Allah. Umpama seorang petani yang dhoif yang mendapat satu hadiah daripada seorang Raja yang mulia. Hadiah itu bukanlah menjadi nikmat kepadanya tetapi Ingatan Raja itu kepadaNya. Betapa bererti padanya ingatan raja kepadanya.
Pandangan hatinya jelas melihat dan kadang-kadang menyaksikan betapa
Allah sentiasa mengurniakannya
Nur Makrifat untuk membolehkan dia sentiasa memandang dan
melihat betapa hukum Allah sentiasa diluluskan ke atasnya. Sama pandangannya
sama ada puji manusia, kutukan manusia,bala, taat, sakit, gembira, takut
dan sebagainya semuanya datang dari Kehendak dan Kuasa Allah melalui Tajali(penzhohiran)
sifat KurniaNya yang jelas tertancap pada mata hatinya.
Golongan ini melihat atau menyaksikan kurnia Allah dalam bentuk-bentuk penzhohiranNya yang Mutlak. Tidak lepas sesuatu melainkan Allah meliputi tiap-tiap sesuatu. Mereka melihat Allah dalam tiap-tiap sesuatu dan mereka telah sampai kepada hakikat Syukur kerana hakikat Syukur itu ialah melihat kepada yang memberi bukan kepada apa yang diberi.
Oleh kerana itu tidaklah payah[malahan mudah] untuk mendapatkan kurnia Allah pada orang-orang yang selalu bersyukur bahkan mereka sentiasa tenggelam dalam lautan kurnia Allah Yang Maha Pemberi.
Sahabatku, dengan itu jelaslah pada anda betapa susahnya untuk menerima satu kurnia yang besar(Nur Makrifat) dari Allah tetapi sekali kita dapat bersyukur(mengikut hakikat bersyukur) mudahlah bagi kita menerima kurniaNya yang seterusnya
Semoga tulisan yang kerdil ini bisa membesarkan jiwa anda untuk meneruskan pendakian ke puncak idaman.
Wasallam,
Suluk.
![]()