Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Delivered by: Ustaz Taib Azamudeen b. md. Taib
Date: 6 Mac 1998

CINTAKAN DUNIA SENARIO UMMAH .

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Bertaqwalah kita kepada Allah S.W.T dalam tempoh hidup yang masih ada sebelum datangnya hari di mana harta dan anak pinak sudah tidak bermakna lagi. Hati yang tenteram dan sejahtera sahaja yang dapat memberi makna di hari tersebut.

Sesudah lebih kurang 52 tahun rata-rata Islam mencapai kemerdekaan. Jumlah penduduknya 20 peratus daripada penduduk dunia, namun ia masih merupakan umpama buih seperti yang pernah dimaksudkan baginda Rasulullah s.a.w. Rata-rata umat Islam di Asia dan Afrika masih dirundung malang. Kualiti rendah dari segi iman, ilmu, kemahiran, teknologi mahupun kegersangan produktiviti. Lebih memalukan lagi apabila tidak mampu untuk memperlihatkan akhlak dan moral yang baik.

Masyarakat Islam terus berpecah sama ada dalam politik, pemikiran aqidah, fahaman Islam, sosial dan semakin lemah dari segi kerjasama muhibah dan kasih sayang.

Para sahabat pernah bertanya kepada Nabi s.a.w, kenapa fenomena ini berlaku? Adakah jumlah umat Islam itu sedikit? Baginda menjawab: Tidak, mereka ramai! Tetapi mereka ditimpa dua penyakit, iaitu cintakan dunia dan bencikan mati.

Dalam bahasa tamadun cintakan dunia bermaksud kita menjadi umat yang suka berseronok, berhibur, hidup bermewah-mewah, berpesta, beromong-omong kosong. Anak-anak mudanya tanpa tujuan, tidak ada idealisme perjuangan, tidak produktif.

Inilah senario umat yang lemah, lebih banyak berprasangka dari bermuafakat. Lebih banyak mempersoalkan hal remeh temeh daripada membincangkan soal dasar dan prinsip. Yang selebihnya gejala-gejala rasuah, mengapu, beraksi dengan 'title' dan gelaran, tetapi dalam waktu yang sama sukar mengaku kesalahan diri sendiri. Berbanding di zaman kegemilangan Islam mereka merasa selesa kalau ada orang sanggup menegur kesalahan. Allah S.W.T amat murkai mereka yang hidup cenderong kepada dunia atau "hubbu al-Dunya" sehingga mendustakan ayat-ayat Allah S.W.T. Firman Allah yang bermaksud:

" Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan darjatnya dengan ayat itu, tetapi dia cenderong kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya juga. Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (Surah al-A'raf:176)

Kaum muslimin yang berbahagian,

hubbu al-Dunya atau cintakan dunia yang dimaksudkan itu juga makin dirasai bahangnya oleh umat Islam kita akhir-akhir ini. Akibat dari gejala sosial makin hebat menyerang masyarakat kita, bermula di bandar sehinggalah ke kampung pendalaman serta tidak kurang pula di tanah-tanah rancangan, semuanya menjadi seolah-olah tidak terkawal.

Banayak persoalan yang timbul di kalangan kita umpamanya, kenapa dan mengapa keadaan ini menjadi semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita? Lebih-lebih lagi yang terlibat peratusan yang tinggi ialah dari kalangan umat Islam, dari yang bergelar nenek hinggalah keperingkat yang baru mumayyiz.

Sebenarnya masalah sosial bukan masalah baru. Ia wujud dalam setiap masyarakat yang dinamik. Cuma bentuk mungkin berbeza mengikut masa. Umpamanya sebelum merdeka dahulu, Malaysia tidak menghadapi banyak masalah penyalahgunaan dadah, tetapi setelah merdeka dadah menjadi musuh nombor satu negara menggantikan ancaman komunis. Apabila tahap ekonomi negara meningkat baru-baru ini ada yang tidak dapat mengawal nafsu sehingga sanggup berbelanja boros serta membazir, akibatnya tabiat ini terbawa-bawa hingga ke zaman ekonomi meleset ini yang sepatutnya mereka berjimat cermat. Tetapi oleh kerana cintakan dunia itu lebih menguasai diri maka usaha-usaha ke arah yang tidak positif itu sulit kepada sesetengah orang.

Bahkan tidak dinafikan terdapat tanda-tanda yang cukup jelas di kalangan anggota masyarakat kita yang dipengaruhi "hubbu al-Dunya" cinta dunia lupa tanggungjawab sebagai ibu bapa yang baik, sebagai majikan yang penyayang, sebagai guru yang berdisiplin, sebagai peniaga atau saudagar yang amanah dan sebagai individu yang bermoral dan berakhlak. Yang paling menyayat hati apabila sebagai muslim yang beriman sanggup mengenepikan iman dan aqidah yang benar semata-mata kerana memenuhi nafsu cintakan dunia itu.

Kaum muslimin yang berbahagia,

Citarasa masyarakat yang dipengaruhi cintakan dunia akan lebih cenderong untuk meniru, memuja dan menyanjung untuk dijadikan model, contoh dan teladan tidak lagi kepada mereka yang terdidik, yang terpimpin dan yang banyak berjasa. Tetapi sebaliknya mereka cenderong untuk mengikuti langkah dan rentak mereka yang sedang menempah nama, sedang meningkat naik dan yang telah maju dalam dunia "glamour".

Dunia "glamour" di negara kita bukan dunia intelek, bukan dunia ulama' dan ilmu pengetahuan atau dunia kepimpinan dan politik, tetapi dunia hiburan, lakonan dan nyayian. Tambahan pula mereka yang dari kumpulan inilah yang sering mendapat tempat dalam masyarakat dan media. Orang-orang dunia glamour inilah yang dapat muncul di hadapan kamera beraksi sebagai pasangan yang amat intim semata-mata kerana mereka sedang bercinta atau bertunang. Berbaring di atas riba sofa dan penuh ghairah. Berpeluk-peluk seperti pengantin baru dan pelbagai lagak sumbang yang lain.

Andaianya keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa apa-apa langkah dan tindakan kawalan maka kualiti umat Islam sebagai 'khairu ummah' atau umat pilihan akan tersisih. Mereka memiliki iman, tetapi seperti kata al-marhum Malik bin Nabi: Yang mereka miliki ialah iman individu yang sudah hilang sinar sosialnya. Iman yang tidak punya kekuatan untuk mencerna kegemilangan peradaban dan tamadun iman yang rapuh. Iman yang seumpama ini juga terjumlah sebagai iman mereka yang mempersendakan agama. Firman Allah yang bermaksud:

"Orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau dan kehidupan dunia telah menipu merka maka pada hari ini (hari Kiamat) Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan sebagaimana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami. (Surah al-A'raf"51)".

Kaum muslimin yang berbahagia,

Dalam pada kita membincangkan tugas-tugas dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam dalam pelbagai sudut dan pelbagai bidang terhadap semua peringkat dan lapisan masyarakat kita agar kedaulatan umat Islam terpelihara jua sudahnya. Maka kita juga perlu peka dengan perkembangan media massa. Tidak dinafikan semakin kita membangun semakin banyak elemen-elemen negatif akan di bawa masuk menerusi rangkaian media yang semakin canggih.

Pakar-pakar komunikasi mengakui media adalah satu alat yang paling berkuasa dalam mencerna dan membentuk minda masyarakat. Sesuatu yang tidak dinafikan kebanyakakan filem-filem rancangan hiburan dan bahan maklumat yang dibawa masuk ke negara ini datangnya dari barat atau yang ditiru dari barat. Jadi dengan sendirinya masyarakat kita sedang dibayangi budaya barat yang sebahagian besarnya songsang dan bertentangan dengan budaya Islam.

Kemasukan bahan-bahan melalui internet pula lebih cepat sampai ke bandar-bandar berbanding di luar bandar. Ini bermakna masyarakat di bandarlah yang lebih 'advance' dalam mempelopori kemasukan elemen-elemen yang selain dari positif maka yang negatif juga dari barat. Hasil dari sesetengah keadaan negatif inilah masyarakat di bandar umumnya terbawa-bawa serta terpengaruh dengan cara hidup individualistik dan materialistik sehingga ada yang hilang langsung norma-norma budaya bangsa timur.

Kita juga amat sedih apabila melihat bangsa melayu yang terkenal dengan budaya bersopan-santun, lemah-lembut, berhemah tinggi, pemalu dan berakhlak mulia, telah bertukar menjadi jaguh dalam banyak kes keruntuhan akhlak, budaya samseng dan gejala sosial yang lain. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Jika kamu berbuat baik bererti kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat maka kejahatan itu bagi dirimu sendiri.(Surah al-Isra':7)".
 

[ Kembali  Ke Index Bicara Dari Alam Siber ]