Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam pada hari Khamis ( 13. 05. 1999 / 27 Muharram 1420)

Dan Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah". Katakanlah lagi: "Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk".{Al-An'aam:56}
Asal Segala Maksiat

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam

Dan ketahui olehmu bahawasanya tiada atas orang yang Tholib( iaitu orang yang menuntut kehampiran dengan Allah) yang memberi mudhorat{kemusnahan)  akan dia;  terlebih daripada redhonya daripada nafsunya.  Dan [adalah] demikian itu jalan [yang] menjauhkan dan memutuskan [daripada Allah]  seperti kata;

Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA.
 

"Bermula asal tiap-tiap maksiat dan ghaflah(lalai) dan syahwat itu redho daripada nafsunya dan asal tiap-tiap taat dan jaga akan ibadat dan memelihara dirinya itu ketiadaan redho daripada nafsu".

Keterangan Tok Pulau Manis

Bermula asal tiap-tiap  maksiat dan ghaflah dan syahwat itu redho daripada nafsu kerana redho itu menutup ia akan aib(jahat)  nafsu dan menegahkan ia daripada nazhor(tilik) kepada Haq Taala dalam segala ahwal dan;

Asal tiap-tiap  taat itu  [ialah] jaga akan ibadat dan memelihara dirinya itu ketiadaan redho daripadamu daripada nafsu.

Bermula redho  daripada nafsu itu asal sekelian maksiat yang mazmumah dan ketiadaan redho daripadanya itu asal sekelian sifat yang mahmudah kerana bahawasanya seorang hamba itu apabila redho ia daripada nafsunya; maka dilihatnya  segala perbuatan itu dalam baik dan dalam sempurna.

Keterangan Suluk

Melalui kalam hikmah ini...kita akan dapat mengenalpasti akan punca dan asal daripada segala sifat-sifat buruk yang ada pada seseorang.  Jika diselidiki, memang banyaklah pelakuan maksiat dan kejahatan yang dilakukan oleh seorang hamba hasil daripada kuatnya desakan dan tarikan nafsu syahwat.

Semasa makan,  hamba buat buat maksiat kerana mengikut nafsu dan selera mereka untuk bersedap-sedap dengan hidangan lauk-pauk yang lazat hinggakan melemahkan anggota dan hati untuk beribadat kepada Allah.

Semasa tidur, seorang hamba juga buat maksiat kerana mengikut nafsu syahwatnya untuk tidur di atas tilam yang empuk sehinggakan susah untuk Qiyamullail dan mungkin tertakhir sembahyang subuh  hingga mata hari terbit.

Semasa bercakap dan berbincang dengan kawan-kawan, seorang hamba banyak melakukan dosa dan maksiat kerana mengikut nafsunya yang suka bercakap mengenai sesuatu yang menyebabkan mereka banyak ketawa atau memperkatakan sesuatu perkara yang haram seperti mengumpat dan menghina orang lain.

Semasa beribadat hamba banyak juga buat dosa dan maksiat  kerana mengikut telunjuk nafsu syahwat dan redho dengannya untuk;


Semuanya adalah kerana redhonya hamha  dengan keinginannya yang jahat-jahat tetapi didatangkan dalam wajah yang  baik sehinggakan sesuatu yang

dan berbagai-bagai lagi dari sesuatu yang batil tetapi dianggap yang sebenar lantaran cenderungnya dan sebatinya hamba dengan sifat-sifat mazmumah yang tercela lagi merosakkan. Dengan sebab itulah maka Tok Pulau manis meneruskan penerangannya pada kalam hikmah di atas dengan kata-katanya seperti berikut;

Dan telah Ittifok(muafakat) atas segala orang yang arif dari segala orang yang  mempunyai Istibsor Qulub (mata hati) bahawasanya redho daripada nafsu itu mewajibkan menutup segala aib nafsu dan segala kejahatan dan jadilah jahatnya..baik.

Berkata lagi Tok Pulau Manis;

Maka barangsiapa mengikut nafsunya dan tiada menegahkan hawanya [tuju hatinya]; nescaya adalah rugi dunianya dan akhiratnya.  Dan barangsiapa menyalah nafsunya dan menegahkan hawanya daripada menyampaikan qasadnya, nescaya syurga tempatnya.

Keterangan Suluk

Syurga yang dimaksudkan di sini ialah  syurga yang kekal abadi dalam akhirat nanti.  Di samping itu juga mengikut pandangan ahli tasauf, ada satu lagi syurga yang disegerakan di dunia ini dan dianugerahkan kepada hamba-hamba Allah yang mematikan dirinya(nafsu syahwat dan sifat (Keakuan diri). Mereka telah bebas dari kurungan hawa nafsu ini akan diberikan "JAnnatul 'Ajila" yang  bermaksud hidup ruh dan jiwanya dengan sentiasa musyahadah akan Tuhannya mengikut maqam-maqam yang ditentukan buatnya. Demikianlah kurnia Allah Taala untuk mereka yang berjuang ke arah jalanNya dengan cara mematikan diri..

Sebaliknya hambanya yang sentiasa menjadikan hamba nafsu sebagai  Tuhannya dengan berlazat-lazat dan bersenang-senang dengan perhiasan dunia tidak akan dapat merasa keuntungan dan kelebihannya di dunia ini dan di akhirat nanti.  Di dunia mereka buta dan di akhirat lebih-lebih lagi.  Tidak hairanlah mereka memakai pakaian-pakaian ego, hipokrit, tamak, bermuka-muka dan sebagainya kerana sentiasa meredhoi hawa nafsunya. Mereka adalah golongan yang rugi dunia dan rugi di akhirat.  Syeikh Abu Hassan Sazali RA. pernah berkata;

"Barangsiapa mati dan tiada bersungguh-sungguh dalam belajar ilmu kami(Ilmu Tasauf); maka matinya dia  pada hal  masih  mengekali dosa-dosa besar".

Berkata lagi Tok Pulau Manis;

Kata setengah ahli sufiah; barangsiapa mengintai akan Tuhannya dan segala Kothrohnya [lintasan hatinya]; nescaya dipeliharakannya dalam segala harkahnya [gerak-gerinya].
 

Keterangan Suluk

Mengintai atau disebut juga sebagai Muroqabah mengikut istilah Sufiah membawa   maksud mata hati yang sentiasa memerhatikan;
 


Dengan adanya sifat-sifat hati yang sentiasa mengawasi setiap gerek-gerinya, nescaya hamba tersebut akan terpelihara daripada terjerumus kepada maksiat zahir dan batin pada setiap harkahnya(gerak-gerinya).

Berkata lagi Tok Pulau Manis;

Dan adalah redho daripada segala nafsu dan ketiadaan redho itu jadi daripada bersahabat dengan segala orang yang baik dan orang yang jahat kerana bahawasanya seseorang itu atas agama kekasihnya. Maka kerana demikian itulah; kata

Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA.

Bahawasanya bersahabat engkau dengan orang yang jahil yang tiada redho dengan nafsu terlebih baik daripada bersahabat engkau dengan orang yang Alim yang redho ia dengan nafsunya.

bersambung dalam pengajian yang seterusnya.

Allahu Allah.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar