Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam pada hari Khamis ( 24. 06. 1999 /10 Rabiul Awal 1420)

Adab Meminta

Terjemahan Kalam Hikmah  Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. oleh Tok Pulau Manis;
 

"Barangsiapa tiada kuasa mengangkatkan hajat daripada dirinya maka betapa kuasa bahawa ada ia mengangkat  hajat yang lain daripada dirinya".

Keterangan Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam

Maka barangsiapa adalah lemah daripada mengambil manfaat dan menolakkan mudhorat daripada dirinya maka iaitu daripada (orang) yang lainnya terlebih lemah pula.

Maka adalah minta tolong makhluk pada makhluk itu seperti minta tolong orang yang terpenjara kepada orang yang terpenjara.  Maka jangan kamu datangkan (hadapkan) hajatmu kepada yang lain daripada Tuhanmu (iaitu makhluk sepertimu termasuklah amalanmu).  Betapa engkau datangkan akan dia pada seorang hamba serta engkau ketahui akan lemahnya.

Maka barangsiapa tiada kuasa mengangkatkan bala yang tergantung atas dirinya,  maka betapa kuasa mengangkatkan dia daripada yang lainnya daripada jenisnya.

Dan setengah daripada mustahil {ialah} takluk (bergantung) dalam hajatmu pada orang yang berkehendak seumpama engkau.  Maka jangan engkau minta tolong melainkan kepada Tuhan Yang  "Ni'mal Mauli Wani'mal Wakil"

Maka kata setengah mereka (ahli tasauf);  barangsiapa berpegang ia atas yang lain daripada Allah Taala (iaitu makhluk) maka iaitu dalam "Ghururun" (tertipu oleh sesuatu yang dijadikan) kerana bahawasanya "Ghurur"  itu tiada kekal.  Dan tiadalah kekal sesuatu yang lain daripadaNya(Allah).  Maka hendaklah jangan engkau berpegang melainkan atas yang sentiasa atasmu daripada anugerahNya(Allah).

Dan Sheikh Abu Hassan As-Syazili r.a. Bermula orang yang SUFI itu ialah orang yang tiada cenderung  kepada makhluk dan sentiasa mengerjakan bagi yang dijanjikan Haq Taala.

Dan katanya pula;

Bermula memeliharakan hati daripada segala kejahatan itu atas empat perkara;

Keterangan Suluk

Hati akan sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan perlakuan serta peribadi seseorang akan mempamirkan sesuatu mulia apabila atau jiwa  seseeorang itu sentiasa mengingati Allah dan memandang Allah dalam setiap kejadian sama ada susah senang, bala dan taat.  Dingin hatinya kepada dunia dengan bersifat dengan sifat zuhud dengan tidak rakus dengan kesenangan dunia apatah lagi pangkat, kuasa dan kemasyhuran.  Di samping itu hati itu juga dapat dibaikkan apabila seseorang hamba itu tidak menghampiri perkara-perkara yang ditegahkan oleh Allah.  Biasanya hati yang sebegini ialah hati yang fakeh(mahir) dengan hukum syariat dan beradab dengan adab tasauf kerana tidak mungkin menjauhkan sesuatu yang haram melainkan terlebih dahulu mengetahui (memiliki ilmu pengetahuan) dengan jelas akan hukum sesuatu perkara  sama ada halal atau haram, makruh atau sunat atu harus.  Seterusnya mengikut Sheikh Abu Hassan As-Syazili r.a hati akan mencapai hakikat kebaikannya sekiranya hamba itu mengikhlaskan seluruh kehidupannya hanya kepada Allah dengan hakikat ikhlas yang sodiq(sebenar).

Berkata lagi Tok Pulau Manis,

Maka Mahasuci Allah yang memberi ilham akan mereka itu (ahli sufi) dengan "Husnul Dzan" {baik sangka) kepadaNya dan memutuskan segala angan-angan mereka itu daripada sesautu yang lain daripadaNya.  Maka kerana inilah;

mendatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya yang bermaksud;
 

"Jikalau tiada engkau perbaikkan sangkamu akan Dia(Allah) kerana sifatNya,  maka perbaikkanlah olehmu akan sangkamu akan Dia kerana mua'amalnya sertamu".

Bersambung dalam pengajian yang seterusnya

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar