Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 06. 04. 2000 / 01 Muharram 1421)

Bahagian Kedua
AHLI MAQAM MUSYAHADAH 2
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari r.a yang selanjutnya;
 
Adapun orang yang telah sampai,  maka kerana mereka telah sibuk kepada melihat kepada Allah.

Terjemahan dan Keterangan  oleh Tok Pulau Manis

Dan adapun segala orang yang sampai kepadaNya(Allah) itu,  maka dari kerana bahawasanya Allah Taala yang menghaibkan Ia(Allah) akan mereka itu daripada segala "halnya" dengan sebab memandang Dia(Allah) dalam Hadirat hampirNya.

Keterangan Suluk

Setelah diterangkan perihal orang-orang Salik yang sering rebah dan bangun dalam perjalanannya menuju kehampiran dengan Allah,  maka berikutnya dibahaskan perihal mengenai orang-orang yang Wasil.  Menurut keterangan guru suluk,  yang dimaksudkan dengan orang-orang yang telah sampai atau orang-orang Wasil ialah mereka yang telah sampai ke Hadratul Qudsi dimana dengan sampai di Hadirat HampirNya ini,  maka bererti sampailah orang-orang Wasil ini ke;

  • tempat Mufatahah dan
  • Muwajahah dan
  • Mujalasah dan
  • Muhadasah  dan
  • Musyahadah  dan
  • Muthola'ah.
  • Pengertian dan maksud mengenai istilah-istilah di atas,  boleh diketahui sebagaimana yang tersebut dalam Kitab Manhalus Shofi Fi Bayaanni Ahli Ssufi ialah sebagaimana berikut;

    Maka adalah pada Hadrat (Qudsiah) itu tempat tetap hati mereka tu dan kepadanya tempat kembali dan  padanya tempat kediaman.

    Inilah hal-ahwal yang membayangi  orang-orang Wasil di samping penuh dikelilingi oleh pelbagai keramat yang mencarik adat kebiasaan.  Sungguhpun begitu,  mereka tidak pernah menilik dan memandang kepada hal-ahwal dan keistimewaan yang ada pada mereka,  jauh sekali cenderung hatinya untuk mewar-warkannya kepada orang lain.  Ini adalah  kerana bahawasanya Allah Taala yang menghaibkan Ia(Allah) akan mereka itu daripada segala "halnya" dengan sebab memandang[hamba] akan  Dia(Allah) dalam Hadirat hampirNya.

    Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

    Maka tiada melihat mereka itu akan amal kerana bahawasanya barangsiapa memandang ia akan Dia(Allah),  nescaya muhal(mustahil) bahawa melihat ia sertaNya(Allah) lainnya.

    Keterangan Suluk

    Disebabkan kerana Allah Taala telah menghaibkan atau melenyapkan pandangan mata hati dan tilikan mereka kepada sesuatu yang lain untuk sentiasa tenggelam dalam lautan Musyahadah dengan Allah,  maka tidaklah lagi mereka melihat kepada amal,  usaha dan tadbir mereka.

    Ini adalah kerana orang yang Wasil ini telah berada di Hadirat hampir dengan Allah.  Orang yang berada di sini,  akan terarah dan tertumpu seluruh pandangannya kepada Allah semata-mata.  Dan apabila tenggelam dengan memandang Allah,  nescaya mustahillah terlihat sesuatu itu serta Allah Yang Maha Agung lagi Maha Suci.

    Inilah isyarat kepada Fana Fil-Zat di mana dengannya putus segala iktibar Sifat atau Asma.  Orang yang Fana Fil-Zat ini sebenarnya telah masuk dalam sempadan di luar kemampuan ilmu pengetahuan di mana tiada masuk ia di bawah ibarat  dan tiada disampaikan oleh isyarat dan tiada memikirkan dia oleh cita hati.  Ini adalah kerana tempat itu adalah tempat   yang "suci semata-mata".  Suci dalam erti kata bersih dari segala bandingan,  ibarat,  kiasan dan sesuatu yang boleh diungkapkan dengan kata-kata atau isyarat.

    Sukalah saya petik kata-kata Imam Ghazali sebagai tambahan bagi memperjelaskan lagi berkenaan orang-orang Wasil ini sebagaimana berikut;

    "Apabila keadaan ini wujud,  ianya digelar FANA, bahkan FANA DALAM FANA,  bagi orang yang mengalaminya,  kerana Ruh itu telah FANA dalam dirinya, bahkan FANA DALAM FANANYA,   kerana ia tidak sedar dirinya dan tidak sedar tentang tidak sedarnya.  Kalau ia sedar tentang tidak sedarnya,  maka sedarlah ia tentang dirinya. Bagi orang yang tenggelam  dalam keadaan ini ,  maka keadaan ini digelar dalam bahasa kiasan "persamaan"; dan dalam bahasa hakikat "penyatuan". Di bawah hakikat-hakikat ini ada tersimpan rahsia-rahsia yang mana kita tidak bebas untuk membincangkannya."
    (Intaha: Imam Ghazali)

    Kenyataan ini tidaklah bertentangan dengan keterangan Tok Pulau dalam keterangannya selepas ini yang berbunyi;

    Dan orang yang Wasil itu ghaib dengan sebab pandangan hingga daripada dirinya;   tiada memandang ia akan lainnya.  Dan demikian itu Ghayyah Qudsiyah(sehabis-habis kehampiran dengan Allah).

    Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

    Maka adalah orang yang Salik kepada Allah Taala itu tiada melihat ia akan sesuatu daripada segala amalnya pada halnya menyangka bagi dirinya dengan ketiadaan sempurnanya.

    Dan orang yang Wasil itu ghaib dengan sebab pandangan hingga daripada dirinya;   tiada memandang ia akan lainnya.  Dan demikian itu Ghayyah Qudsiyah(sehabis-habis kehampiran dengan Allah).  Maka sanya  telah menyempurnakan Allah Taala akan nikmat atas kedua Maqam itu tetapi Maqam yang kedua itu terlebih tinggi.

    Keterangan Suluk

    Di samping kita menemui isyarat mengenai Fana Fil Zat,  keterangan selanjutnya menjelaskan tingkat atau darjah perbezaan antara orang Salik(yang telah hampir dengan Allah) dengan orang yang Wasil(yang telah sampai kepada Allah).  Perbezaan dua golongan ini adalah semata-mata pada aspek pandangan atau Musyahadah atau kesedaran batinnya atau  lebih tepat lagi pada "Penghayatan" Tauhid.

    Orang-orang Salik yang telah dekat mencapai kehampiran dengan Allah,  "tidak melihat" kepada amal ibadatnya tetapi "masih" punya kesedaran kepada wujud dirinya yang masih tidak sempurna.  Berbeza dengan orang Wasil telah mencapai kesempurnaan diri dengan semata-mata memandang Allah.   Telah hilang atau hapus pandangannya kepada dirinya dan yang lain-lainnya.  Inilah kesudahan dan sehabis-habis kehampiran dengan Allah yang diistilah di sini sebagai Ghayyah Qudsiyah manakala di pada waktu-waktu yang lain pula,  ulama sufi menggunakan istilah-istilah seperti Haramil Qudsiyyah atau Hadrat Qudsiyyah.

    Kedua-dua Maqam ini sememangnya telah dianugerahkan dan disempurnakan oleh Allah Taala sebagai kemuncak nikmat kepada hamba-hamba pilihanNya di dunia ini,  tetapi Maqam orang yang Wasil itu lebih tinggi daripada Maqam orang-orang Salik.  Ini adalah kerana orang-orang Wasil telah teguh dan tahqiq Musyahadahnya dengan Allah dalam setiap nafasnya.

    Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

    Maka adalah hakikat Wasil mereka itu kepadaNya(Allah)[ialah] ghaib mereka itu daripada diri mereka itu;   dan memandang mereka itu sempurna QudratNya(Allah).  Maka tatkala sampai mereka itu kepada Maqam Makrifat dan memandang akan kesempurnaanNya(Qudrat Allah);   dan didapat mereka itu akan Dia(Allah);   iaitu Yang Menggerakkan dan Yang Mendiamkan semata-mata di sanalah kembali mereka itu atas hukumNya;  dan ditilik mereka itu kepada segala pekerjaan itu daripada keadaan kurnia;  dan terdindinglah mereka itu kepada barang yang lainnya kerana yang dipandang mereka itu akan dia dengan Dia(Allah).

    Keterangan Suluk

    Melanjutkan lagi keterangan mengenai orang yang Wasil,  Tok Pulau Manis menjelaskan pula akan hakikat Wasil.  Adapun hakikat Wasil kepada Allah itu ialah ghaib atau hapus atau fana' perbuatan mereka,  sifat-sifat mereka malah wujud diri mereka sendiri.  Orang yang Wasil atau Fana Zat ini bukanlah yang pasif dan tidak berbuat-buat apa-apa,  malahan amal-ibadat mereka tersangat banyak  melebihi kebanyakan orang.   Adalah sesuatu yang amat salah,  kiranya ada pendapat yang mengatakan bahawa orang Fana Fil Zat tidak perlu lagi melakukan amal-ibadat dan gugur segala tuntutan syariat ke atasanya.  Pandangan ini adalah dari mereka yang sesat;  "ahli dakwa" bukannya Ahli Tasauf  tulen.

    Orang yang Wasil itu cuma pasif dalam memandang sesuatu yang lain.  Amal ibadat yang banyak dilakukan tidak diiktibarkan dan disandarkan kepada dirinya.  Mereka aktif dan ligat dengan bermusyahadah dengan Allah.  Segala percakapan,  pendengaran,  perbuatan,  usaha dan tabdir mereka adalah dari Allah,  dengan Allah,  kerana Allah  sebagaimana maksud hadis Qudsi;

    Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan dirinya kepadaku dengan (melakukan) segala yang sunat hingga Aku mencintainya.  Maka apabila Aku telah mencintainya,  adalah

    Tatkala mereka sampai kepada Maqam Makrifat ini dan memandang "La Maujud bi haqqi ilaLlah" yakni tiada yang sebenar-benar wujud melainkan Allah,  maka dapatlah dirasai dan disedari bahawa tidak ada yang menggerakkan dan mendiamkan sesuatu zarrah di alam ini melainkan Allah Taala.  Pada pandangan dan martabat inilah mereka kembalikan setiap hikmat penzhohiran ini kepada Allah Taala.  Orang yang begini mengikut guruku; Tambah guruku lagi,  jika ada mereka yang mendakwa mereka bahawa adalah Ahli Maqam Wasil ini,  tetapi suka dengan pujian dan kemuliaan dunia,  melenting marah apabila dilentangi kata-kata dan pendapatnya,  maka itu adalah  "dakwa"  semata-mata.

    Ini adalah kerana orang-orang yang Wasil itu,  ditilik mereka itu kepada segala pekerjaan itu daripada keadaan kurnia;  dan terdindinglah mereka itu kepada barang yang lainnya kerana yang dipandang mereka itu akan dia dengan Dia(Allah).  yakni mereka hanya menilik setiap yang zhohir di alam ini sebagai keadaan kurnia Allah Taala.  Tidak ada sebarang campurtangan makhluk atau fenomena alam.  Dengan kata lain;  Sesungguhnya Allah yang menjadi dinding kepada mereka daripada melihat makhluk dan alam ini,  bukannya alam ini yang menjadi dinding kepada(untuk melihat)  Allah sebagaimana pandangan tumpul  kebanyakan manusia.

    Tidak ada lagi pandangan dan tilikan kepada makhluk atau kepada alam.  Sesuatu yang dilakukan bukanlah kerana makhluk atau alam ini bahkan bukanlah untuk kepentingan dirinya  sendiri.  Hemahnya semata-mata tertumpu kepada Allah.  dari Allah,  dengan Allah,  kepada Allah dan kerana Allah.

    Inilah apa yang cuba dirumuskan oleh Tok Pulau Manis sebagai menyimpulkan maksud Kalam Hikmah dan keterangannya sepanjang yang berkaitan dengan Ahli Maqam Musyahadah sebagaimana kenyataan beliau yang berikutnya;

    Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

    Dan ketahui olehmu bahawa segala kebajikan itu berhimpun dalam meninggikan hemah daripada makhluk dan zahid pada barang yang lain daripada Allah Taala.

    Keterangan Suluk

    Segala kebajikan itu berhimpun dalam dua perkara iaitu;


    Bersambung dalam Pengajian yang berikutnya;  dengan Kalam Hikmah yang berikutnya;   berkaitan dengan  Cabang- Cabang Kehinaan

    [[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

    Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
    Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar