Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Konsep Pendidikan Islam dan Matlamat

Persekolahan Ugama/Arab di Malaysia

Bahagian I

Pendahuluan

Ketika Singapura jatuh ketangan Jepun dalam tahun 1942, sebabnya yang terbesar adalah mudah sekali : meriam-meriam besarnya yang terikat secara permanent kepada landasan-landasan konkrit, semuanya menghala ke laut. Strategi tentera Inggeris membuat asumsi bahawa cabaran dari musuh akan datang dari arah laut. Apabila serangan Jepun datang dari belakang melalui hutan-hutan belantara, pertahanan singapura yang dianggap sebagai "kubu yang mustahil dapat ditembusi" ("invincible fortress") ternyata tidak berkesan lagi. Meriam-meriam itu memang perkasa tetapi ia menghadap ke arah yang salah.

Pendidikan pun akan gagal menghasilkan buah yang dinanti-nantikan sekiranya ia memilih strategi yang salah. Kegagalan dan kepincangan-kepincangan yang dialami oleh sistem pendidikan liberal dan sekular dan sekular dalam soal pembentukan peribadi insan dalam mana terdapat panduan yang harmonis antara ilmu, budi pekerti, jiwa yang luhur dan amal yang mulia, dan korelasinya dengan berbagai-bagai krisis sosio-budaya yang parah dalam masyarakat moden seharusnya memberi stimulus kepada suatu pemikiran kembali secara menyeluruh dan asasi terhadap persoalan pendidikan dalam zaman sekarang. Kertas kerja inipun tidak berpotensi lebih dari suatu panggilan untuk semua pihak yang berhubung erat dengan pendidikan Islam secara khusus dan mereka-mereka yang merupakan "decision-makers" dalam soal pendidikan nasional supaya melakukan suatu "rethinking" yang mendalam dan radikal (kalau perlu) untuk kebaikan bangsa, negara dan tanah air.

"Rethinking" itu, pada hemat kami harus diarahkan kepada pembentukan sistem pendidikan yang mengintegrasikan apa yang dikenal sebagai "ilmu-ilmu agama" dan "ilmu-ilmu duniawi" supaya peribadi mental yang lahir dari sistem itu bukan saja mempunyai kecerdasan mental dan ketrampilan (skill) tetapi juga -- dan ini sebenarnya lebih penting dalam perspektif Islam -- budi pekerti, jiwa yang luhur dan akhlak yang utama. Di dalam peribadi-peribadi itu, nilai-nilai morallah yang menentukan arah, tujuan dan penggunaan semua maklumat-maklumat yang mengalir masuk ke dalam dirinya melalui berbagai-bagai saluran atau proses pembelajaran (learning process). Asumsi pokok dalam kertas kerja ini ialah hanya dengan jalan itu saja suatu bangsa, bahkan suatu peradaban akan dapat mengelakkan diri dari malapetaka sosio-budaya yang maha dahsyat yang menggugat kesejahteraan dan ketenteraman hidup manusia akibat dari terpisahnya dan tersisihnya kebenaran-kebenaran Wahyu (revealed truths) dari kehidupan mental, kerohanian dan kebendaan manusia. Dari perspektif ini soal-soal seperti "pembasmian kemiskinan" semuanya diakui adalah masalah yang sangat urgent -- akan mendapat kedudukannya yang sebenar dalam scale of priorities atau skala urutan-urutan keutamaan yang berpaksikan Wahyu.

Sifat Pendidikan Islam dan Konsep Ilmunya

  1. Pendidikan yang tidak sama ertinya dengan pembelajaran atau pengajaran tetapi merangkumi kedua-duanya ditentukan sifatnya oleh pandangan hidup (Weltanschauung) sesuatu kebudayaan kerana ia merupakan alat terpenting untuk merealisasikan tujuan-tujuan dari pandangan hidup itu. Oleh kerana ruang lingkup agama Islam merangkumi semua aspek kehidupan insan sebagai homo sapien, homo politicus, homo aeconomicus, homo religious, dan sebagai theomorphic being (iaitu makhluk yang dapat mengenal Tuhan dan mencapai penghampiran denganNya ) maka pendidikan Islam mempunyai sifat yang serba merangkumi.
  2. Kecenderungan tabi'e pendidikan Islam ialah menyatukan semua ilmu pengetahuan di bawah authority dan pengendalian Al Quran dan Sunnah yang merupakan teras di dalam sistem pendidikannya dan kebudayaan Islam seluruhnya. Di dalam kebulatan dan kesatuan ilmu-ilmu itu akidah Islamiah yang menjadi pusatnya yang menentukan orientasi dan methodology dan matlamat ilmu-ilmu lain oleh kerana ia membicarakan soal-soal yang terpenting di dalam hidup manusia -- dari mana ia datang, apakah sifat manusia yang sebenar, untuk apakah ia dijadikan dan untuk apakah alam raya ini diciptakan, kemana ia akan pergi dan bagaimanakah seharusnya ia melakukan hubungan dengan Penciptanya dan bagaimanakah ia harus menjalani hidup di dunia ini. kebenaran-kebenaran mutlak yang terkandung di dalam "ilmu agama" (baik dalam bidang akidah, kerohanian, ibadah, akhlak, ilmu Al-Quran dan Hadith) mewarnai dan menjiwai seluruh pendekatan seorang Muslim kepada ilmu-ilmu lain seperti sains fizikal dan tabi'e, sains kemanusiaan dan sains kemasyarakatan.

  3. Konsep pendidikan yang unified ini yang berdasarkan kepada konsep ilmu yang integrated yang merupakan keistimewaan Islam berlawanan sekali dengan aliran pemikiran yang memisahkan ilmu ke dalam dua "water-tigh compartments" yang tidak dapat di damaikan iaitu yang disebut di Barat sebagai "theology" dan "science" atau "religious knowledge" dengan "secular knowledge" atau faith dan knowledge. Pengkotakan yang "antagonistic" ini tidak dapat berlaku dan tidak dibenarkan berlaku di dalam teori pendidikan Islam, oleh kerana isi kandungan "theology" dan "science" di dalam Islam tidak mengkontradik satu sama lain malah ia bersifat isi-mengisi dan lengkap melengkapi. Kedua-duanya lahir dari outlook yang satu iaitu Tauhid. sebaliknya sejarah peradaban Barat dari zaman Pertengahan sampai kepada zaman moden menunjukkan pertarungan yang hebat "theology" dan "science" yang akhirnya dimenangi oleh science. Sebab permulaan timbulnya permusuhan itu tidak lain oleh kerana "theology" mengemukakan dogma-dogma yang anti-rasional yang hendak dipertahankan mati-matian walaupun akal waras sudah tidak dapat menerimanya lagi. Pertentangan itu berubah menjadi konflik antara "authority" dan "truth". Dengan terpisahnya gereja dari Negara, terpisahlah juga "science" dari "religion", sehingga berkembanglah sains di atas dinamismanya sendiri, lepas dan bebas"autonomous" dari segala norma-norma agama. Sekularisma atau faham keduniaan semata-mata menjadi fait accompli dalam tamaddun Barat dan ini membolehkan akal manusia Barat dengan scientific methodnya berkembang tanpa sekatan dari irrational dogmas lagi. Akhirnya akal yang tidak lagi dikendalikan oleh norma-norma transcendant (samawi) membawa para cerdik pandai kepada faham scientism atau pendewaan sains dengan segala akibat-akibat buruk yang dapat dilihat dalam zaman technocentric ini.

  4. Selain daripada sifat kesatuannya, pendidikan Islam merangkumi pendidikan formal dan informal. Ia adalah pendidikan "sepanjang hayat". Di dalam pendidikan informal yang sangat berkesan ialah pendidikan di rumah tangga dalam lingkungan keluarga kerana di sinilah seorang Muslim mendapat asas-asas pembentukan peribadinya. Seterusnya pendidikan di dalam masyarakat, melalui proses sosialisasi seorang Muslim, tidak kurang besar pengaruhnya di atas pertumbuhan peribadi Muslim. Pendidikan formal dan pendidikan informal di dalam Islam mempunyai pengaruh timbal balik dan hubungan yang complementary yang satu tidak dapat berdiri sendiri tanpa mengalami sesuatu ketidakseimbangan.

Sejarah tamadun Islam menunjukkan bahawa bentuk pendidikan formal adalah biasanya responsive kepada perubahan zaman dan tingkatan kemajuan kehidupan sosio-politik masyarakat tanpa mengorbankan prinsip-prinsip yang asasi dalam pendidikan Islam. Adanya sistem halaqah di masjid-masjid, kitab-kitab untuk mengajar membaca dan menulis, sekolah istana, "sekolah" kedai buku, kumpulan-kumpulan diskusi (literary salons) untuk cendiakawan-cendiakawan tertentu, madrasah-madrasah, pusat-pusat pendidikan atau universiti-universiti di dalam pendidikan formal Islam menunjukkan juga bahawa bentuk lahiriah adalah masalah yang tidak begitu penting dalam Islam, asal isinya mampu membentuk manusia-manusia yang benar-benar terdidik. Organisasi pengajian yang berbeza-beza itu juga menunjukkan perkembangan pendidikan Islam dari tahap yang simple kepada tahap-tahap yang lebih kompleks dan sophisticated.

Kurikulum Pendidikan Islam

Sebagai satu contoh yang representatif mengenai luasnya ruang lingkup kurikulum pengajaran Islam formal dalam zaman kegemilangan kebudayaan islam dapatlah kita ambil ringkasan yang diberi olehAbu yahya Zakaria di dalam bukunya "Al-Lu'Lu' An-Nazim Fi Raum At-Ta'allum Wa't-Ta'lim. Kurikulum pengajaran waktu itu meliputi mata pelajaran:

  1. Syariat (pengajian-pengajian hukum) seperti fiqh, tafsir dan ilmu hadith.

  2. Adabiah (pengajian kesusasteraan) seperti nahu, sorof, balaghah, insya', membaca dan sejarah.

  3. Riyadiah (pengajian ilmu pasti) seperti ilmu ukur, ilmu bintang, ilmu hisab, algebra, seni muzik, ethika dan ekonomi rumah tangga.

  4. Aqliah (ilmu-ilmu akal) seperti logik, dialektika, ilmu kalam, metafisika, sains tabi'e, ilmu ketabiban dan kimia. Di samping itu terdapat juga ilmu kehaiwanan, pertanian, ta'bir mimpi dan astroloji.

Dalam hubungan ini ada baiknya kami kutip maklumat yang diberi oleh seorang sarjana yang mengkaji sejarah pendidikan Islam secara mendalam tentang luasnya manfaat yang terbit dari kurikulum pengajaran Islam pada zaman lampau.

The richnekss of the Islamic curriculum may be determined by its practical and useful consequences, leading to such ventures as calculating the angle of the ecliptic, measuring the size of the earth, calculating the procession of the equinoxes, inventing the pendulum clock, explaining in the field of optics and physics such phenomena as refraction of light, gravity, capillary attraction and twilight, using the globe in teaching geography of the round earth, developing observatories for the empirical study of heavenly bodies, making advances in the uses of drugs, herbs and foods for medication, establishing hospitals with a system of interns and externs, improving upon the science of navigation, introducing new concepts of irrigation, fertilization and soil cultivation, discovering causes of new diseases and developing correct diagnoses of them, proposing new concepts of hygiene, making use of anesthetics in surgery with newly innovated surgical tools, introducing the science of dissection in anatomy, furthering the scientific breeding of horses and cattle and finding new ways of grafting to produce new types of flowers and fruits. In the area of chemistry the curriculum led to the discovery of such substances as potash, alcohol, nitrate of silver, nitic acid, sulphuric acid and corrosive sublimate. It also developed to a high degree of perfection the arts of textiles, ceramics and metallurgy.

Adanya perkembangan-perkembangan asli dalam ilmu-ilmu sains tabi'e, fizikal dan ilmu hayat di dalam kebudayaan Islam tidak bermakna penterapan atau penerimaan sekularisma kerana pertama sekali ilmu-ilmu itu tidak bersifat "secular" dalam pandangan Islam : ia adalah tidak lain dari organisasi intelektual yang sistematik dari hukum-hukum alam yang berpunca dari Allah S.W.T dan yang merupakan sebahagian dari ayat-ayat Kauniyyah (tanda-tanda kebesaran Allah) yang dapat dipelajari dari alam syahadah. Kedua, sekularisma adalah suatu pandangan hidup keduniaan semata-mata dan ia bertentangan secara diametrikal dengan pandangan hidup Tauhid atau kesatuan hidup duniawi dan ukhrawi yang diajar oleh Islam. Kesatuan ilmu-ilmu syariah atau naqliah dengan ilmu-ilmu aqliah dalam kebudayaan Islam dalam skema mana ilmu-ilmu aqliah bukan sekular atau keduniaan sebagaimana terdapat dalam nomenclature (pendidikan Barat Moden) mendapat status secondary tapi bukan bererti tidak penting serta tidak pula ia telepas dari pengelolaan dan pengawasan dari akidah Islam. Ilmu-ilmu aqliah yang sekarang menjadi bidang garapan natural, physical, biological dan social sciences tetap menjadi subservient (tunduk) kepada ilmu-ilmu syariah yang menggarap bidang-bidang ilmu yang sentral dalam agama Islam. Peribadi-peribadi yang lahir dari sistem ini seperti para hukama' (sages atau Muslim intellectuals par excellence) di zaman lampau adalah contoh-contoh keperibadian yang benar-benar integrated yang jarang-jarang terdapat dalam sejarah tamaddun manusia. Tamaddun yang dibina atas karya-karya intelektual manusia "ulamak-saintist" seperti ini tidak sama kualitinya dari tamaddun atau pembangunan masyarakat yang dibina atas prinsip-prinsip scientism, secularism, materialism atau skepticism.

Pemisahan ilmu-ilmu syariah dari ilmu-ilmu aqliah dalam masyarakat orang-orang Islam adalah fenomena khas zaman penjajahan negeri-negeri Islam. Pemisahan sehingga membawa kepada dichotomy (pembelahan dua) aliran-aliran "secular" dan "religious" dengan segala implikasi-implikasinya merupakan mercu kejayaan siasah pendidikan (educational politics) penjajahan dunia Barat di atas dunia Islam. Dichotomy itu tidak pernah diredhai oleh teori pendidikan Islam.

Orientasi Pendidikan Islam

Penekanan kepada scope pendidikan formal dalam Islam tidak bererti bahawa soal jiwa atau orientasi pendidikan Islam tidak dianggap penting. Para ahli pendidikan Islam semuanya sepakat bahawa ;

Maksud pendidikan dan pengajaran bukanlah memenuhi otak anak didik dengan segala macam ilmu yang belum mereka ketahui tetapi maksudnya ialah mendidik akhlak dan jiwa mereka, menanamkan rasa fadhilah virtues, membiasakan mereka dengan kesopanan yang tinggi, mempersiapkan mereka untuk suatu kehidupan yang suci seluruhnya ikhlas dan jujur. Maka tujuan pokok dan terutama dari pendidikan Islam ialah mendidik budi pekerti dan pendidikan jiwa. Semua mata pelajaran haruslah mengandungi pelajaran-pelajaran akhlak, setiap juru didik haruslah memikirkan akhlak keagamaan sebelum yang lain-lainnya kerana akhlak keagamaan adalah akhlak yang tertinggi, sedang akhlak yang mulia itu adalah tiang dari pendidikan Islam. Ghazali berpendapat "tujuan dari pendidikan ialah mendekatkan diri kepada Allah, bukan pangkat dan bermegah-megah dan janganlah hendaknya seorang pelajar itu belajar untuk mencari pangkat, harta, menipu orang-orang bodoh atau bermegah-megah dengan kawan."

Pada saat pendidikan Islam mengutamakan segi-segi kerohanian dan moral maka segi-segi pendidikan mental, jasmani, matematik, ilmu sosial dan jurusan-jurusan praktis tidak diabaikan begitu saja sehingga dengan demikian pendidikan tersebut merupakan pendidikan yang komplit ....................

Tujuan Pendidikan Islam

Dengan orientasi moralistiknya dan scopenya yang menyatukan ilmu-ilmu syariah dan ilmu-ilmu aqliah dalam wadah iman kepada Yang Maha Esa maka lengkaplah pendidikan Islam untuk memenuhi keperluan sebenarnya dari hidup insan di atas muka bumi ini. Al-Quran telah menegaskan berkali-kali bahawa :

  1. Status manusia yang kekal abadi ialah sebagai "hamba Allah".

  2. Peranan manusia di dunia ialah melaksanakan kehendak Allah dan memanfaatkan alam raya ini untuk kebahagiaan hidupnya di dunia dan di akhirat nanti. Peranan ini dikenal sebagai peranan Khalifah Allah di bumi.

  3. Alam dijadikan untuk manusia mengambil manfaat seluas-luasnya.

Status hamba dan role Khalifah ini adalah ibarat "two sides of the coins". Dari ilmu-ilmu syariah dan aqliah manusia dididik untuk merealisasikan sepenuhnya erti status hamba dan role Khalifah. Manusia perlukan ilmu pengetahuan sains dan teknologi untuk memanfaatkan alam ini sebaik-baiknya. Dalam mengolah sumber-sumber alam yang fizikal atau non-fizikal ini dengan "know-how" yang diberikan oleh sains dan teknologi, manusia "Khalifah" tidak akan menjadi sebab timbulnya "ecological imbalance" dalam alam, exploitation yang rakus dan tamak didorong oleh suatu kebudayaan yang "power oriented", penemuan-penemuan yang merbahaya kepada keselamatan manusia atau penggunaan sains dan teknologi untuk tujuan-tujuan yang berkepentingan sempit. Ringkasnya, penyalahgunaan ilmu tidak dapat dan tidak dibenarkan berlaku dalam Islam oleh kerana role Khalifah itu diawasi dan dikendalikan oleh norma-norma yang terbit dari status hamba Allah termasuk di dalamnya;

  1. prinsip menjauhi kezaliman di atas alam luar atau di dalam diri sendiri

  2. prinsip berzikrullah (mengingati dan menyedari secara continue hubungan dan implikasi hubungan manusia dengan pencipta dan penguasa alam ini) dan

  3. prinsip bersyukur kepada Allah atas limpahan kurniaNya dan kemurahanNya dalam menyediakan kemudahan-kemudahan yang tak terhitung banyaknya. Prinsip syukur atas kemurahan Allah menimbulkan keinginan yang kuat untuk menggunakan semua kelengkapan-kelengkapan (fizikal dan non-fizikal) dalam batas-batasannya yang wajar. Rasa syukur bersama rasa bimbang akan kemurkaan Allah menimbulkan suatu mekanisma pengawasan diri sendiri yang "built-in". Dengan itu power yang begitu hebat yang diberikan oleh sains dan teknologi moden kepada manusia tidak akan disalahgunakan atau dijadikan sasaran pendewaan dalam bentuk scientism.
    Tujuan akhir Khalifah Allah tidak lain melainkan "hasanah fi'd-dunya" dan "hasanah fi'l-akhirah" dan matlamat pendidikan Islam pun tidak terkeluar dari landasan yang sama.

Pendidikan dan Pandangan Hidup Islam

Di permulaan kertas kerja ini ada disinggung bahawa pendidikan Islam adalah alat terpenting untuk realisasi tujuan-tujuan yang terkandung di dalam pandangan hidup atau world-view Islam sebagaimana juga pendidikan masyarakat Komunis adalah saluran untuk membentuk suatu masyarakat "tak berkelas" kerana ini adalah masalah pokok, kami akan membicarakannya dengan seberapa lengkapnya. Islam adalah suatu agama dalam erti suatu dasar hidup yang comprehensive yang menjadi petunjuk kepada kehidupan manusia dalam segala urusan kehidupannya. Ia meliputi bidang peribadatan yang khusus dan bidang kehidupan sosial manusia. Dasar hidup dan petunjuk itu timbul dari wahyu allah yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W dan membawa dua fungsi yang amat penting iaitu :

  1. Mewujudkan perlaksanaan yang sebenar mengenai hubungan manusia dengan Penciptanya (Allah).

  2. Mewujudkan perlaksanaan yang sebenar mengenai hubungan antara manusia sesama manusia. Semuanya ini jelas seperti yang dinyatakan Allah :

"Ditimpakan kehinaan (hilang kekuasaan) ke atas mereka di manapun mereka berada selain daripada mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia ............."

Islam sebagai suatu agama dalam erti Adden yang meliputi keseluruhan dasar hidup dengan jelas memberi petunjuk kepada manusia mengenai hakikat hubungan manusia dengan Khaliknya (Penciptanya) dalam bentuk sistem ibadat yang lengkap yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim.

Sistem ibadat dalam Islam membawa sistem nilainya yang tersendiri iaitu nilai pahala. Dalam peribadatan yang khusus ini yang menjadi matlamat utamanya ialah keselamatan dan kesejahteraan salam di akhirat. Sebab menurut Islam, kehidupan manusia di alam ini bukanlah merupakan matlamat terakhir kerana dunia tidak dianggap sebagai suatu yang merupakan Alfa dan Omega (yang awal dan yang akhir) tetapi kehidupan itu sendiri adalah hanya merupakan suatu amanah dari Allah yang menciptanya dan kerananya manusia bertanggungjawab terhadap amanah itu. Dengan menyedari hakikat ini maka menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk berusaha bagi merealisasikan amanah dan perintah Allah berhubung dengan aturcara dan tatacara kehidupan manusia Muslim di dunia ini ........ Demikian sebenarnya perlaksanaan tauhid dalam hidup.

Dalam Islam, dasar hidup mengenai perkara hubungan antara manusia sesama manusia adalah melahirkan sistem sosial yang meliputi cara perlaksanaan kehidupan manusia sebagai suatu kelompok masyarakat. Sistem sosial ini membawa nilai yang pada mulanya berbeda dengan bahagian pertama (hubungan manusia dengan Allah) tetapi pada penganalisaan akhirnya adalah menuju matlamat yang sama iaitu mencapai keredhaan Allah. Pada dasarnya, di dalam sistem sosial yang menjadi matlamat utamanya ialah keselamatan dan kesejahteraan (salam) di dunia.

Kehidupan itu sendiri harus didasarkan kepada usaha merealisasikan Iradah Allah (The will of Allah) yang diamanahkan kepada manusia Muslim. ini bermakna bahawa tugas manusia Muslim adalah berIradah Allah. Inilah sebenarnya yang menjadi asas kepada dasar pendidikan dan pelajaran Islam yang harus dijadikan pedoman kepada setiap Muslim yang insaf dalam usaha mereformasikan konsep pendidikan dan pelajaran.

Islam dalam sifatnya sebagai sistem sosial, membentuk kebudayaan ummat. Justeru itu dalam perlaksanaan pendidikan dan pelajarannya, ia akan merangkumi bidang-bidang kemasyarakatan, ekonomi, undang-undang, politik, kenegaraan dan antarabangsa, sains dan teknologi, seni dan falsafah. Ini disebabkan perkara-perkara tersebut telah menjadi persoalan kehidupan manusia sesama manusia. Jawapan-jawapan terhadap segala persoalan yang tersebut itu diimplimentasikan dalam kehidupan setiap Muslim. Dengan itu, ia akan melahirkan kebahagiaan manusia di dunia ini. hal yang demikian, tepat sebagaimana penjelasan Allah berhubung dengan harapan orang Muslim dalam menjalani hidupnya di dunia ini :

"Wahai Allah (Tuhan yang memelihara kami) berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat dan jauhkan kami dari siksaan neraka ......... "

 

Dengan ini jelas sekali bahawa matlamat Islam dalam kehidupan manusia ini di antara lain ialah untuk menyelesaikan dan mengatasi segala problem kehidupan sosial umat manusia yang meliputi problem-problem yang berhubungan dengan kerohanian dan moral, masalah kekeluargaan dan kemasyarakatan di segenap peringkat dan ketika supaya dengan itu wujud suatu bentuk kehidupan manusia yang dapat mengharmonikan antara keperluan-keperluan kerohanian dan kebendaan. Dengan itu, terbentuklah suatu masyarakat manusia yang adil terhadap diri sendiri dan masyarakat seluruhnya. Jadi, tumpuan pendidikan dan pelajaran adalah berasaskan kepada konsep ini. Ianya, haruslah berdasarkan kepada orientasi ideologi Islam itu sendiri.

Pendidikan Islam dalam konteks ini membawa fungsi untuk melahirkan manusia yang berpengetahuan dan punya kesejajaran dengan dasar kehidupan Islam. Pengetahuan yang dimaksudkan ialah pengetahuan-pengetahuan yang merangkumi ilmu mengenai hubungan antara manusia dengan penciptanya (Allah) yang dimanifestasikan dalam ilmu-ilmu akidah dan soal-soal cara perlaksanaan ibadah khusus dan dalam waktu yang sama berfungsi untuk menjadikan manusia itu berilmu pengetahuan mengenai hubungan antara manusia sesama manusia yang dimanifestasikan dalam ilmu-ilmu sosial Islam yang merangkumi ilmu-ilmu ekonomi, undang-undang, politik, kenegaraan dan antarabangsa, etika kebudayaan dan ilmu-ilmu natural sains dan teknologi yang berasaskan dasar hidup Islam.

Selain dari itu, tabi'e manusia itu sendiri yang dijadikan Allah bermula dari kejadian Adam A.S adalah dimulakan dengan persediaan penemuan ilmu pengetahuan dan cahaya kebenaran sebagai persediaannya membawa amanah sebagai wakil Allah di bumi (Khalifah Allah Fil Ardh).

"Dan diajar, diberi ilmu pada Adam mengenai nama-nama itu semuanya ............... Begitu juga mengenai hubungan Nabi Muhammad S.A.W yang pertama sekali dengan Allah."

"Bacalah dengan nama Tuhan pemelihara engkau yang mencipta. Yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhan yang memelihara dan termulia yang mengajar dengan kalam. Mengajar manusia sesuatu yang tidak diketahuinya ............ "

quran02.gif (2924 bytes)

Dua pengertian dapat difahami dari nas-nas Al-Quran itu :

  1. Sebelum menjalani tugasnya di atas muka bumi manusia lebih dahulu diberikan ilmu-ilmu pengetahuan yang lengkap sebab hanya dengan itu barulah dapat ia melaksanakan tugasnya sebagai Khalifah Allah di bumi dan barulah sempurna sifat kemanusiaannya.

  2. Ilmu pengetahuan yang lengkap adalah syarat bagi sifat-sifat manusia yang memimpin. Ilmu pengetahuan itu akan mengeratkan hubungan manusia dengan Tuhannya kalau ia dapat ditanggapi secara logik Islam yang sebenar. Ilmu pengetahuan bukanlah hanya tertakhluk di bawah suatu perbendaharaan sesuatu zaman tetapi ianya boleh dicapai dan difahami pada sebarang ketika dan tempat. Kerana itu, ilmu adalah sesuatu yang hidup dan harus sentiasa dicari dan dikaji khasnya ilmu-ilmu di bidang natural science. Apa yang harus disedari selalu ialah bahawa punca segala-galanya ialah Allah juga. Kerana itulah yang menjadi erti Tauhid dan asas pendidikan Islam. Konsep ilmu ini berasaskan kepada kemahaesaan Allah dalam segala-galanya (omnipotent, omnipresent dan omniscient).

Dengan menyedari hakikat Tauhid ini sebagai Muslim, ia akan menyedari bahawa kadar pencapaian intelek manusia tidak akan mencakup segala perkara dan kerana itulah wahyu diturunkan oleh Allah kepada RasulNya untuk menolong manusia mengatasi masalah-masalah yang asasi dalam kehidupan sosial dan ibadahnya. Dengan demikian, konsep pendidikan Islam adalah membawa tugas untuk meresapkan dasar ini supaya ianya menghayati kehidupan manusia. Pendidikan adalah asas perlaksanaan ideologi Islam itu sendiri.

Yang demikian, pendidikan Islam selain daripada membentuk peribadi manusia salih haruslah mampu menyahut cabaran dan mengatasi segala keperluan masyarakat Islam dari segi ideologinya dan mengatasi masalah-masalah yang ditimbulkan oleh kehidupan kebendaan masyarakat Islam dan kemajuan teknologinya.

Matlamat terakhirnya ialah menjadikan ummat Islam itu benar-benar sebagai ummat yang dapat memahami kewujudannya, erti dari kehidupannya di dunia ini, bagaimana hakikat seenar mengenai world-view Islam dan menghayatkan segala hakikat tersebut dalam segala aktiviti hidupnya. Dengan demikian, wujudlah kebudayaan dan tamaddun Islam yang benar-benar mencerminkan identiti Islam.

Dalam sejarah tamaddun Islam sememangnya pendidikan dan pengajian Islam itu merangkumi segala persoalan-persoalan ilmu sebagaimana yang telah disebutkan. Kerana itulah ia benar-benar mampu menghadapi segala masalah yang timbul dan mampu memperkembangkan ilmu pengetahuan serta menjadikan ideologi Islam itu sebagai dinama penggerak bagi aktiviti-aktiviti kehidupan .................

Konsep pendidikan dan pengajaran Islam pada masa itu benar-benar membawa fungsi institusi pendidikan dan pengajia yang lengkap iaitu :-

  1. Untuk memelihara perbendaharaan kebudayaan dan nilai tradisional yang murni dan contoh-contoh sosial dan nasional yang dapat dijadikan sebagai pengukur kepada tindak-tanduk manusia serta mewariskan kepada generasi yang berikutnya.

  2. Menjadikan pendidikan dan pengajian sebagai suatu alat untuk membangun dan mencpta pembangunan dan perubahan (innovation) dan menyahut segala cabaran yang sezaman dengannya serta mengatasi segala kemungkinan-kemungkinan yang baru timbul dan mungkin timbul dengan cara yang paling ilmiah dan praktikal sesuai dengan dasar Islam.

Konsep dan prinsip yang sedemikian rupa itu berjalan dalam sejarah Islam sejak zaman permulaan Islam hingga ke abad 13M yang merupakan sejarah gelap bagi dunia Islam dengan kejatuhan Baghdad di tangan Hulagu pada tahun 1258M dan diikuti oleh Granada di Spain, pertahanan akhir Islam pada tahun 1498M.

Akibat dari kejatuhan kuasa politik Islam di dunia maka konsep dan fungsi pendidikan dan pengajian Islam telah berubah. Hingga kini, apa yang disebut pendidikan agama atau Islam sudah tidak lagi membawa fungsi institusi pendidikan dalam ertikata yang sebenarnya. Institusi itu tidak lagi berfungsi sebagai suatu alat untuk membangun dan mencipta pembangunan dan perubahan yang dikehendaki oleh Islam serta menyediakan kemampuan intelek ummat bagi menyahut segala cabaran yang sezaman dengannya. Akibatnya, arus perjalanan kebudayaan ummat tidak lagi seiring dengan konsep Islam itu sendiri.

Matlamat Persekolahan Agama/Arab di Malaysia

1. Jenis Sekolah-Sekolah Agama/Arab

Sekolah-Sekolah Agama/Arab di Malaysia dapat digolongkan kepada empat jenis:-

  1. Sekolah Agama/Arab di bawah tadbiran dan kuasa Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekolah jenis ini hanya ada sebuah sahaja di Malaysia Barat iaitu Kolej Islam Kelang bertaraf sekolah menengah rendah dan atas yang berasrama penuh.

  2. Sekolah Agama/Arab Kerajaan-Kerajaan Negeri peringkat rendah dan menengah.

  3. Sekolah Agama/Arab di bawah kelolaan majlis-majlis Agama danzakat peringkat rendah dan menengah.

  4. Sekolah Agama/Arab rakyat peringkat rendah dan menengah.

Menurut perangkaan yang ada di Kementerian Pelajaran Malaysia, sekolah-sekolah Agama/Arab Rakyat yang dibantu oleh Kementerian Pelajaran berjumlah sebagai berikut :-

  1. Bilangan sekolah di Malaysia Barat - 530

  2. Bilangan murid seluruhnya - 65,932

  3. Bilangan guru - 2863

  4. Jumlah bantuan yang diberi pada tiap tahun lebih kurang RM 732,426

Sekolah-sekolah Agama/Arab Kerajaan Negeri dan yang di bawah kelolaan majlis-majlis Agama dan zakat tidak diberi bantuan oleh Kementerian Pelajaran. Adalah dianggarkan bahawa bilangan murid di kedua-dua jenis sekolah Agama/Arab ini lebih dari satu perempat bilangan murid-murid sekolah Agama/Arab Rakyat. Ini bermakna jumlah keseluruhan murid-murid sekolah Agama/Arab di Malaysia Barat lebih kurang 82,415 orang murid. Bilangan ini adalah besar nisbah kepad jumlah penduduk Islam di Malaysia dan dapat memberi kesan keapda pembangunan sosio-ekonomi masyarakat orang-orang Islam di tengah-tengah masyarakat majmuk Malaysia yang lebih 45% darinya adalah orang-orang bukan Islam.

2. Jenis dan Latar Belakang Murid-Murid Sekolah Agama/Arab

Selama ini sebahagian besar masyarakat orang-orang Islam Malaysia menganggap semua murid-murid sekolah Agama/Arab terdiri dari golongan murid yang tercicir dari sistem pesekolahan kebangsaan dan jenis kebangsaan atau dengan kata lain murid-murid "kelas dua". Anggapan yang demikian itu, tidak menepati hakikat yang sebenarnya berlaku. Kerana apa yang sebenarnya berlaku bukan semua yang memasuki sekolah Agama/Arab itu terdiri dari jenis murid-murid yang telah tercicir atau gagal dari persekolahan kebangsaan dan jenis kebangsaan. Adalah benar kalau sebahagian murid-murid sekolah Agama/Arab rakyat terdiri dari murid-murid yang tercicir dan telah gagal dari persekolahan rasmi Kementerian Pelajaran tetapi sebahagian yang lain pula sebenarnya terdiri dari murid-murid yang sengaja dihantar oleh ibu bapa mereka ke sekolah agama/Arab oleh kecenderungan dan kefahaman ibu bapa kepada sekolah Agama/Arab. Murid-murid jenis ini pada asasnya mempunyai daya kecerdasan otak yang sama dengan murid-murid lain yang dihantar ke sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan.

Bagi sekolah Agama/Arab Kerajaan Negeri seperti Sekolah Menengah Agama Izzuddin dan Raja Ta'yah di Ipoh, Perak, kemasukan kedua-dua sekolah ini melalui peperiksaan penilaian darjah lima sekolah rendah kebangsaan dengan minima pencapaian (4 B, 1 A) dalam mata pelajaran Agama Islam. Yang demikian, kedua sekolah tersebut sebenarnya termasuk dalam bilangan sekolah-sekolah pilihan berasrama penuh. Berdasarkan fakta ini, amat salah untuk menganggap seluruh murid-murid/penuntut-penuntut sekolah Agama/Arab sebagai murid kelas dua kerana dianggap terdiri dari golongan tercicir ata gagal dari persekolahan rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Selain dari itu, sekalipun ada golongan dari yang gagal atau tercicir tetapi masih terbukti bahawa dari antara mereka ramai juga akhirnya yang berjaya dalam pengajian dan berjaya ke peringkat universiti dengan mendapat ijazah kepujian dan sebagainya : satu pencapaian yang sama dengan murid-murid/penuntut-penuntut di sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan yang lain. Oleh yang demikian, dalam hal keciciran dan kegagalan murid seharusnya masyarakat tidak terus menghukum secara umum murid-murid tersebut sebagai murid kelas dua atau tiga. Dalam hal ini, perlu dikaji ialah sebab-sebab kegagalan, bukan memberikan hukuman secara arbitrary sekalipun tidak dinafikan wujudnya keciciran dan kegagalan yang disebabkan semata-mata oleh kerendahan daya kecerdasan otak murid tersebut. Kemampuan mahasiswa-mahasiswa hasil pemerosesan Yayasan Anda Akademik dan sekolah-sekolah swasta yang lain dalam bidang pelajaran di universiti yang setanding malah ada kalanya mengatasi kemampuan mahasiswa lain misalnya dapat menolak dakwaan melulu bahawa mereka murid kelas dua atau tiga.

Mungkin hasil dari anggapan di atas secara umum, timbul anggapan bahawa sekolah-sekolah Agama/Arab istimewanya sekolah-sekolah Agama/Arab Rakyat adalah tempat golongan yang sudah sukar untuk diolah selain dari sudah terkeluar dari struktur Pelajaran Kebangsaan. Oleh yang demikian, timbul rasa keraguan dan takut untuk melakukan investment oleh pihak yang berkenaan iaitu investment dalam bentuk bantuan material yang lebih besar dari yang telah sedia diberi atau mungkin timbul dari jastifikasi yang berhubung dengan persoalan matlamat yang akan dicapai dari struktur dan sistem persekolahan Agama yang belum jelas dan masih kabur. Yang demikian, mungkin melemahkan minat pihak berkenaan untuk menambah bantuan kewangan kerana yang ternyata berlaku dari keseluruhan sekolah-sekolah Agama/Arab itu tidak berlaku keseragaman baik dari segi sistem, struktur, kurikulum dan silibusnya. Masing-masing sekolah dengan caranya sendiri-sendiri. Keadaan yang demikian, menampakkan ketidakjelasan matlamat persekolahan yang dituju, dilihat dari aspek sekolah sebagai alat pemerosesan pembentukan tenaga manusia yang diperlukan untuk pembangunan material dan non-material yang diperlukan oleh masyarakat dan negara.

3. Matlamat Persekolahan Sekolah-Sekolah Agama/Arab

Secara praktiknya, persoalan matlamat persekolahan sekolah-sekolah Agama/Arab dilihat dari ideal konsep pendidikan dan sistem persekolahan Islam masih kabur untuk dianalisa. Kekaburan ini wujud mungkin berpunca dari wujudnya tanggapan yang confused terhadap konsep pendidikan dan persekolahan serta konsep ilmu pengetahuan dalam Islam oleh setengah-setengah golongan orang-orang Islam baik dari kalangan sekularis atau apa yang disebut "golongan agama". Akibatnya wujud struktur persekolahan atau pengajian yang berbeza-beza dan lahirnya tanggapan terhadap Islam yang bersifat juz'i (partial). Oleh kerana dari mula lagi asas tanggapannya terhadap Islam dan ilmu pengetahuan berbentuk fragmented dan juz'i tidak bersifat totalistic dan integrated maka matlamat persekolahannya juga memusat ke arah suatu bahagian semata-mata. Yang demikian, banyak cabaran sezaman dari masyarakatnya yang berhubung dengan sosio-budaya yang melibatkan juga cabaran-cabaran ilmu pengetahuan di bidang sains dan teknologi, tidak dikenal secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat untuk kemudian dihurai secara teliti dan kemudian diberi jawapannya secara Islam diperingkat persekolahan tinggi. Akibat dari itu, hal-hal yang berhubung secara langsung dengan sosio-budaya masyarakat bebas berjalan dengan pedomannya yang tersendiri dengan tenaga-tenaga manusianya yang diolah oleh sistemnya yang tersendiri di luar dari sistem Agama atau Islam. Manakala apa yang dibuat dengan "golongan agama" pula berdiri di dalam compartmentnya yang tersendiri yang seolah-olahnya tidak ada relevansinya dengan yang pertama. Keadaannya yang sedemikian inilah sebenarnya secara tidak langsung yang membantu pesatnya aliran sekularistik di kalangan masyarakat orang-orang Islam di seluruh dunia amnya dan Malaysia khususnya.

Tidak menghairankan jika di Malaysia sejak zaman datangnya Islam kemudian melalui zaman penjajahan dan zaman merdeka dan lepas merdeka telah sedia wujud sekolah-sekolah agama baik yang berbentuk pondok atau madrasah tetapi ternyata selari dengan itu aliran sekular kian pesat perkembangannya. Memang diakui benarnya bahawa pengaruh sekularisma bermula dari zaman penjajahan yang secara bijak memberikan satu compartment yang khusus dan tersendiri di dalam kehidupan masyarakat dan perjalanan sosio-kebudayaan kepada agama dengan fungsi tertentu khusus bagi urusan kepercayaan dan ibadat serta urusan nikah kahwin. Di samping itu, mengkhususkan seluruh urusan hidup yang menyentuh soal-soal budaya, politik, hukum pentadbiran ilmu pengetahuan yang melibatkan hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan alam (nature) sebagai persoalan dunia yang mutlak yang tidak ada sangkut-pautnya dengan agama (Islam). Oleh kerana peruntukan compartment dalam perkara ini adalah bebas dari Agama Islam maka perlulah didirikan institusi khusus yang juga bebas dari agama bagi memenuhi keperluan-keperluan tenaga manusia di dalam compartment yang disebut sekularistik itu. Darinya berlakulah keduaan sistem (dualistic system) dalam pendidikan dan persekolahan, selari dengan kewujudan dua compartment yang bebas berasingan yang satu lebih tinggi nilainya dari yang satu lagi.

Kesedaran baru terhadap konsep pendidikan dan persekolahan di zaman lepas merdeka haruslah menuju ke arah usaha penyatuan struktur dan secara beransur-ansur menghilangkan diskriminasi yang memisahkan. Cabaran ini harus diterima dan diselesaikan kalau kita benar-benar ingin kebudayaan dan tamaddun Islam itu berlaku dan menghayati masyarakat orang-orang Islam yang sebenarnya menjadi ideal yang universal dari matlamat konsep pendidikan dan persekolahan Islam. Kiranya persekolahan masih berasaskan "dichotomy" yang ada dengan sendirinya pola masyarakat dan kebudayaannya menjadi seperti pola kristian yang membahagikan hak-hak gereja kepada Tuhan dan hak-hak dunia, urusan yang bersangkutan dengan soal hidup - sosio-budaya ummat dan segala yang bersangkutan dengannya kepada Caesar kerana hal dunia tidak ada sangkut-pautnya dengan Agama menurut dasar falsafahnya.

Dilihat dari pernyataan fenomena yang berlaku sehubungan dengan persoalan persekolahan Agama/Arab, kecenderungan ke arah dualisma masih menyelubungi sebahagian apa yang disebut golongan agama. Mungkin hal ini berlaku semata-mata atas asas kesalahfahaman. Dari kecenderungan itu, secara garis kasar dapat dibuat kesimpulan bahawa pada umumnya sekolah Agama/Arab bermatlamat setakat untuk memenuhi keperluan semerta iaitu untuk melahirkan apa yang disebut "ahli-ahli agama" yang alim dalam bidang peribadatan Islam (ritualistic side of Islam) sesuai dengan compartment yang telah diperuntukan. Iaitu memenuhi keperluan yang bersangkut dengan compartment itu seperti kadi-kadi (perkara urusan nikah cerai dan yang bersangkutan dengannya dan masalah harta pusaka), imam-imam dan juga urusan pengendalian jenazah orang-orang Islam dan guru-guru agama di dalam pengajaran fardhu 'ain yang bersangkutan dengan persoalan ibadah khusus yang wajib dalam Islam.

Ditinjau dari kurikulum dan silibus serta struktur pengajian di kebanyakkan sekolah-sekolah Agama/Arab, baik di peringkat rendah atau menengah dapat dimengertikan bahawa seluruh penekanan memang tertumpu kepada pekara-perkara yang tersebut di atas. Struktur persekolahannya merupakan satu ketakhasusan dari peringkat rendah menengah sehingga ke peringkat universiti. Kurikulum dan struktur pelajarannya sama dari awal hingga akhir hanya yang berbeza ialah kitab-kitab yang dibaca seperti mata pelajaran fiqh, tauhid, tasawwur, hadis dan yang bersangkutan dengannya, tafsir dan yang bersangkutan dengannya dan ilmu alat klasik iaitu bahasa Arab dan segala cabangnya.

Kurikulum yang demikian ini tentulah tidak dapat mewakili sepenuhnya dari konsep pendidikan dan persekolahan Islam sebagai yang dimaksud oleh kertas kerja ini. Apa yang berlaku itu masih banyak menghadapi persoalan seperti kemungkinan berlakunya pertentangan di Barat antara agama dan ilmu pengetahuan (Religion vs. Science) iaitu bila ilmu pengetahuan itu tidak ditanggapi berasaskan kepada world-view Islam. Nanti tidak mustahil misalnya berlaku pertentangan antara apa yang disebut seorang ahli agama yang tidak mengetahui latar belakang yang asas mengenai ilmu geografi dengan seorang guru geografi di sekolah umum. Mungkin yang akhir mengatakan dunia ini bulat manakala yang pertama atas nama agama mengatakan dunia ini leper.

Oleh kerana penekanan hanya tertumpu kepada memenuhi matlamat pendidikan dan persekolahan setakat keperluan semerta sebagai yang telah disebutkan maka persekolahan sekolah-sekolah Agama/Arab pada kebanyakkannya tidak mempunyai hubungan dengan pengarahan pertumbuhan kebudayaan dan tamaddun ummat Islam kecuali di bidang kekeluargaan dan ibadah khusus. Hal-hal sosio-budaya ummat diarah dan dipegang oleh tenaga-tenaga ahli yang dilahirkan dari sistem pendidikan dan persekolahan yang lebih liberal dan tidak diasaskan kepada tanggapan Islam. Berlakunya hal yang demikian, sebagaimana yang telah disebut kerana dirasakan oleh sebahagian ahli-ahli agama bahawa hal-hal yang berhubung dengan masalah sosio-budaya yang juga menyangkutkan ilmu pengetahuan sains dan teknologi sebagai di luar dari kurikulum sistem persekolahan Agama/Arab. Dapat dilihat misalnya melalui sistem persekolahan Agama/Arab setakat ini pada kebanyakkannya tidak memungkinkan di peringkat tingginya seorang murid itu akan menjadi ahli-ahli ekonomi (sekalipun Islam), sosial, politik dan segala cabang pengetahuan yang bersangkutan dengan pentadbiran dan pemerintahan negara disatu pihak dan ahli-ahli di bidang natural sciences di pihak yang lain kerana alat-alat menuju ke arah itu tidak disediakan secara teratur dari peringkat rendah dan menengahnya. Perkara-perkara tersebut hanya akan dapat dicapai melalui proses persekolahan umum.

Natijah dari keadaan yang sedemikian ialah penentuan perkembangan tamaddun dan kebudayaan ummat berada di tangan tenaga-tenaga ahli yang lahir dari sistem persekolahan bukan sekolah Agama/Arab. Maka berlakulah pemisahan individu dalam semua perkara dan ini menyulitkan pengislaman masyarakat dan kebudayaannya. Di sini jelas sekali bahawa perubahan ke arah pembaikan masyarakat dan kebudayaan ummat Islam hanya mungkin berlaku melalui perlaksanaan konsep pendidikan dan sistem persekolahan yang comprehensive atau unified. Iaitu satu struktur dan sistem persekolahan yang mampu memenuhi segala keperluan hidup masyarakat. Dalam konteks ini sekolah dianggap sebagai kilang pemeroses tenaga manusia yang akan mengisi keperluan yang dikehendaki negara, bukan sekadar menampung secebis dari keperluan semasa. Kalau sekolah itu tidak mampu memenuhi usaha pemerosesan tenaga manusia sebagai yang disebutkan maka ia pasti akan menerima tentangan dan cabaran yang hebat dari zaman dan alam sekitarnya. Ia tidak lagi punya relevansi dengan realiti masyarakatnya dan akan menjadi sebagai "fossil" sejarah. Golongan Islam yang insaf dan sedar rasanya perlunya benar-benar merenungi hal ini.

Penghuraian ini sama sekali tidak bermaksud menidakkan jasa sekolah-sekolah Agama/Arab. Sejarah tetap mengakui dan membuktikan jasa besar sekolah-sekolah Agama/Arab di zaman yang silam. Ia telah memainkan peranan yang besar sekali sesuai dengan zamannya. Tidak ada manusia yang berfikir di dunia ini yang cuba menidakkan peranan keris, pedang dan sebagainya di dalam peperangan di abad-abad yang lampau sesuai dengan keadaan zamannya. Tapi ini tidak bermakna bahawa kita mesti terus berperang dengan bersenjatakan keris dan pedang di zaman nuclear warfare ini.

Demikian keadaan yang wujud di tengah-tengah masyarakat kita berhubung dengan sistem persekolahan Agama/Arab dan persoalan matlamatnya dilihat dari segi ideal Islam dan realitinya yang berlaku.

Secara umum struktur, sistem dan kurikulum persekolahan sekolah-sekolah Agama/Arab dapat diterangkan seperti berikut :

1. Kolej Islam Kelang

Struktur pengajiannya pada dasarnya menerima dasar kebangsaan dengan penekanan yang lebih kepada bahasa Arab dan semata-mata pelajaran fekah dam akidah. Jangkamasa tahun pengajian sama dengan sekolah-sekolah umum, begitu juga sijil persekolahannya iaitu SPM dan STP. Matlamat persekolahan di Kolej Islam merupakan proses penyediaan penuntut-penuntut ke peringkat pengajian universiti dan institusi pengajian dalam berbagai cabang di dalam dan luar negeri. Melalui persekolahan Kolej Islam Kelang, penuntut-penuntut sesuai dengan kecenderungannya mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran tinggi dalam berbagai bidang tertakhluk kepada keputusan peperiksaan STPnya. Struktur dan sistem yang demikian ini diharapkan dapat menjadi perintis jalan ke arah pembentukan semula asas falsafah pengetahuan Islam yang totalistic dan integrated dan berteras kepada ideologi (atau sistem kepercayaan) Islam. Kalau pengajian tauhid ketuhanannya dapat dipusatkan kepada asas pandangan / pemahaman yang mendalam mengenai world-view Islam, diyakini dalam jangkamasa panjang mungkin akan lahir intelektual Islam yang mempunyai falsafah dan pandangan hidup Islam yang comprehensive dan integrated sekalipun ia berdiri sebagai ahli-ahli (takhassus) dalam bidang-bidang yang tertentu. Sebagai perintis jalan, buat sementara ini terpaksa diterima kurikulum yang sedang berjalan di sekolah kebangsaan dan digabungkan dengan apa yang disebut "pelajaran-pelajaran agama", sekalipun belum jelas dijelmakan sifat-sifat kepaduan Islam antara apa yang disebut keagamaan (religious knowledge) dan keduniaan (secular knowledge) tetapi di masa akan datang, bila pemerosesan orientasi telah berlaku lebih lama maka ketika itu pasti dapat dilahirkan generasi terpelajar yang mempunyai pandangan dan sikap keilmuan yang berbentuk integrated.

2. Sekolah-Sekolah Agama/Arab Kerajaan-Kerajaan Negeri

Terdapat dua kecenderungan dalam sekolah ini :

A. Kecenderungan menuju ke arah pola Kolej Islam Kelang dalam struktur dan sistem persekolahannya tetapi oleh kerana kekurangan tenaga guru-guru Islam yang berkelayakan dalam bidang-bidang natural sciences, humanities dan juga kurang penekanan terhadap asas orientasi ketuhanan tauhid yang melahirkan world-view Islam maka tidak mendapat kejayaan yang tinggi. Biarpun demikian, matlamat persekolahannya agak jelas dan agak meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis ini. Sekolah-sekolah yang terlibat dalam jenis ini ialah dua buah sekolah Agama/Arab Kerajaan Negeri Perak, sekolah Agama/Arab Kerajaan Negeri Sembilan Melaka, Pahang, Kedah dan Terengganu. Cuma yang tiga terakhir punya kecenderungan untuk berjalan atas asas dualisma dalam sistem persekolahannya. sekolah Agama/Arab Negeri selangor sedang dalam proses perubahan ke arah pola Kolej Islam Kelang.

B. Sekolah Agama/Arab Kerajaan Negeri Johor

Sekolah ini menolak sama sekali kemasukan kurikulum pelajaran umum dan dasar kebangsaan dan juga menolak pola pengajian Kolej Islam Kelang. Struktur dan kurikulum persekolahannya dari peringkat rendah hingga menengah semata-mata dikhususkan kepada pelajaran fekah, tauhid, tasawwur, hadis dan ilmu hadis, tafsir dan ilmu tafsir dan bahasa Arab serta cabang-cabangnya. Matlamatnya hanya bagi keperluan semerta untuk memenuhi jawatan-jawatan yang bersangkutan dengan aspek peribadatan ummat Islam dan urusan ahwal syakhsiyyah (personal status) Islam dan kepimpinan agama dalam perkara-perkara yang tersebut. Melalui sijil persekolahannya, pelajar-pelajar hanya dapat menyambung pengajian tinggi ke Azhar di Mesir dalam tiga fakulti iaitu Syariah, Usuluddin dan Lughah (bahasa Arab) atau kepengajian tinggi agama Islam Nilam Puri, Kelantan.

Dari struktur dan sistem serta kurikulum persekolahan ini penuntut-penuntut tidak boleh menyambung pengajian ke universiti-universiti dalam negeri. Ia sebenarnya lebih merupakan pengkhususan yang terasing dan terhad dari peringkat rendah, menengah terus ke peringkat fakulti di universiti sama seperti bentuk tiang lurus yang tegak dari bawah ke atas. Ramai dari penuntut-penuntut sekolah ini yang berkesedaran mengambil inisiatif sendiri melakukan adventure belajar di sebelah petang atau malam untuk mengambil peperiksaan SRP, SPM dan STP. Melalui kejayaan mereka dalam peperiksaan STP yang mereka ambil dari luar sistem dan struktur persekolahannya ramai antara mereka yang sekarang sedang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia (Pulau Pinang) dan juga yang telah lulus universiti dari fakulti-fakulti Pengajian Islam, sastera dan ekonomi. Secara saikologis, keadaan dichotomy persekolahan yang dilalui oleh pelajar-pelajar ini dengan pengalaman-pengalaman pahit yang terpaksa dilalui untuk lulus STP secara persendirian, sedikit sebanyak menimbulkan pandangan yang pasif dan negatif bagi setengah-setengah mereka terhadap persekolahan Agama/Arab di mana pada mula asasnya mereka berada dalam sistem itu. Akibat saikologis ini, diperingkat akhirnya sekalipun mereka berjaya dalam pengajiannya di universiti tetapi bertindak negatif dan indifferent terhadap cita-cita pengembalian falsafah ilmu pengetahuan Islam yang berasaskan world-view Islam malah ada antaranya secara tidak langsung menjadi sekularis.

Bagi penuntut-penuntut yang kurang adventurous untuk belajar dan mengambil peperiksaan SPM dan STP di sebelah malam yang bernasib baik di antara mereka dapat biasiswa menyambung pelajaran ke Azhar atau ke pengajian tinggi Agama Islam Nilam Puri, Kelantan. Demikian juga yang terdiri dari keluarga kaya terus belajar dengan belanja sendiri ke pusat pengajian tersebut. Manakala yang kurang bernasib baik dapat menjadi guru-guru Agama untuk mengajar hal-hal ibadah dan fardhu 'ain, imam-imam masjid dan tentera. Sebahagiannya tinggal sebagai pemuda biasa menjadi petani kampungan atau sebagainya.

3. Sekolah Agama/Arab Di Bawah Kelolaan Majlis Agama Negeri

Yang termasuk dalam jenis sekolah ini ialah seperti Alawiyah di Perlis dan setengah sekolah Agama/Arab di Kelantan. Sekolah Alawiyah cenderung kepada pola pengajian Kolej Islam Kelang tetapi seperti yang berlaku kepada sekolah Agama/Arab Kerajaan Negeri jenis "A" yang telah disebut di atas dengan wujudnya kekurangan-kekurangan kemudahan dan mungkin kewangan dari segi guru dan kemudahan alat kelengkapan maka kejayaannya tidak sama pencapaiannya dengan yang dicapai di Kolej Islam Kelang.

Di Kelantan trendnya ke arah aliran dualisma. Iaitu mengadakan kemudahan-kemudahan untuk kurikulum dan silibus SRP, SPM dan STP di samping struktur dan sistem persekolahan Agama/Arabnya yang tersendiri khusus untuk aliran apa yang disebut Agama semata-mata. Kemudahan-kemudahan untuk SRP, SPM dan STP yang dianggap sebagai luar struktur persekolahan asasnya diadakan bagi membolehkan penuntut-penuntutnya menyambung pelajaran ke universiti-universiti dalam negeri. Aliran Agama/Arab semata-mata berdasarkan sistem pengajian Agama Negeri Kelantan. Melalui sijil-sijil yang disebut ialah Sijil Rendah Agama dan Sijil Menengah Agama dimana penuntut-penuntutnya dikhusus untuk disalurkan ke pengajian tinggi Agama Islam Nilam Puri, Kelantan dan Azhar, Mesir dalam bidang yang disebut Agama. Dichotomy pendidikan terdapat dalam trend persekolahan ini dan demikian juga natijahnya sebagai merestui berterusnya dichotomy pandangan golongan pemimpin dalam menghadapi persoalan sosio-budaya ummat.

4. Sekolah Agama/Arab "Rakyat"

Sekolah jenis ini sebagai telah disebut merupakan bahagian terbesar sekolah-sekolah Agama/Arab dengan bilangan murid lebih kurang 65,932 orang di MalaysiaBarat sahaja. Sesuai dengan kedudukannya sebagai sekolah "Rakyat" dan secara kebetulan raja-raja rakyat Islam yang majoritinya bumiputera Melayu itu pada umumnya golongan miskin. Mereka terdiri dari buruh rendah (unskilled/semi-skilled), nelayan-nelayan, petani-petani kecil dan pekebun-pekebun kecil. Anak-anak dari golongan inilah yang menjadi sebahagian besar murid-murid/penuntut-penuntut sekolah Agama/Arab "Rakyat" maka sekolah-sekolah Agama/Arab Rakyat ini selamanya berada dalam keadaan serba kekurangan dan kemiskinan. Bantuan yang diberi oleh kerajaan melalui Kementerian Pelajaran hanya mampu sekadar menjamin survival sekolah-sekolah itu sahaja. Sebagai telah disebutkan di atas sekalipun sekolah ini sekolah Rakyat tetapi bukan semua murid dan penuntutnya terdiri dari golongan yang telah gagal atau tercicir yang dianggap golongan murid "kelas dua" atau "tiga".

Secara umum matlamat persekolahan Agama/Arab Rakyat dapat dibahagi kepada dua kecenderungan aliran (trend).

A. Struktur persekolahan yang sistem dan kurikulum serta silibusnya hanya berhubung dengan fekah, ibadat, masalah nikah cerai dan harta pusaka, sedikit mengenai hal-hal muamalat cara jual beli dan sebagainya, tauhid, tasawwur, tafsir dan hadis serta bahasa Arab dan cabang-cabangnya. Sekolah ini mengambil sikap sama sekali tidak mahu menerima pelajaran-pelajaran umum selain yang tersebut di atas dengan anggapan mata-mata pelajaran umum itu bukan tugas agama dan tidak ada sangkut-pautnya dengan persoalan agama. Dari struktur sekolah ini sebahagian penuntutnya ada yang berjaya melanjutkan ke Azhar, Mesir dan ke Nilam Puri, Kelantan. Setengah-setengah penuntutnya yang berkemampuan membuat adventure belajar melalui pos atau belajar di kelas-kelas petang atau malam, diluar waktu persekolahan sekolah Agama/Arab yang mereka menjadi penuntut rasminya untuk memasuki peperiksaan SRP, SPM dan seterusnya STP. Ramai juga antara mereka ini yang telah berjaya dan dapat menyambung pelajaran di universiti-universiti dalam negeri, hasil dari usaha dan inisiatif yang sifat adventure mereka.

Yang amat menarik perhatian, setengah-setengah guru besar dan guru-guru Agama/Arab sekolah-sekolah Agama/Arab dalam kategori ini merasa bangga bila setengah-setengah murid/penuntut sekolah nya lulus SRP, SPM dan seterusnya STP. Pada hal pelajaran-pelajaran umum itu sama sekali di exclude dari kurikulum persekolahannya. Sementara kejayaan murid-murid/penuntut-penuntut tersebut 100% dari usaha dan inisiatif mereka yang gigih. Walaupun demikian, bila ada pelawat pihak sekolah pasti akan menyebut ada murid dan penuntutnya yang telah lulus SRP, SPM dan STP dan seterusnya menyebut bekas-bekas penuntut yang telah lulus dari universiti-universiti Malaya dan kebangsaan dan juga yang sedang belajar. Mungkin para ilmukaji masyarakat dapat menganalisakan secara lebih teliti berhubung dengan erti dari fenomena ini.

B. Sekolah-sekolah Agama/Arab Rakyat yang benar-benar menyedari maksud dan matlamat persekolahan Islam dan memahami konsep pendidikan dan dasar kepaduan ilmu pengetahuan dalam Islam. Golongan ini ingin membuat perubahan dan penyelarasan sistem persekolahannya dengan konsep pendidikan Islam yang comprehensive dan ingin melahirkan ciri-ciri kepaduan ilmu pengetahuan dalam Islam tetapi sebagai sekolah Rakyat yang miskin tidak mampu sama sekali untuk melaksanakan hasrat dan cita-citanya itu. Kewangannya terlalu terhad kerana itu tidak berupaya untuk mendapatkan guru-guru yang benar-benar berkelayakan. Sedangkan untuk menaikkan yuran sekolah kepada murid-muridnya mustahil sama sekali kerana murid-murid itu umumnya dari keluarga-keluarga miskin sekalipun sebahagiannya mempunyai kecerdasan otak yang baik. Sekolah ini terus berjalan dengan serba kekurangan. Oleh yang demikian, ditekan oleh rasa kesedaran yang mendalam, pihak penuntut dan sekolah telah berusaha sedaya mungkin bagi menyelaraskan sistem persekolahannya dengan dasar pendidikan dan konsep ilmu dalam Islam. Hasil dari usaha itu sedikit sebanyak mencapai maksud persekolahannya dalam peringkat permulaan. Ramai juga dari murid-murid/penuntut sekolah ini yang akhirnya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di dalam negeri atau di luar negeri dengan kelulusan yang baik.

Akhir sekali, di luar dari persoalan kemiskinan kewangan sekolah-sekolah Agama/Arab Rakyat pada keseluruhannya sekolah-sekolah Agama/Arab tidak punya penyelarasan sama sekali.

4. langkah-langkah yang perlu diambil terhadap sekolah-sekolah Agama/Arab dalam usaha pembelaannya dan pembangunan smeula konsep pendidikan dan sistem persekolahan Islam di zaman kini.

Memandang kepada bilangan murid yang lebih 82,000 orang di seluruh sekolah-sekolah Agama/Arab di Malaysia Barat maka persoalan tentang kedudukan tenaga manusia dalam jumlah bilangan tersebut adalah amat besar ertinya bagi negara dan kepentingan pembangunan semula masyarakat ummat Islam di Malaysia. Yang demikian, seluruh masyarakat Islam dan negara haruslah memandang perkara ini dengan rasa serious dan penuh kesedaran dan keinsafan. Masyarakat Islam dan negara akan mengalami kerugian tenaga manusia yang besar kiranya sekolah-sekolah Agama/arab baik yang di bawah tadbiran Kerajaan-Kerajaan Negeri, Majlis-Majlis Agama dan zakat lebih-lebih lagi yang seratus peratus di bawah kelolaan Rakyat dibiarkan terapung-apung di tengah gelombang nasib dan keadaan. Akhirnya, sebahagian tenaga manusia yang begitu banyak akan hilang di bawa arus tanpa sebarang proses pengolahan tenaga mental dan rohani manusia untuk dapat dimanfaatkan bagi faedah pembangunan negara dan masyarakat Islam. Oleh itu, usaha pembelaan yang jujur atas asas pembangunan masyarakat dan tamaddun Islam di zaman moden ini haruslah segera dilakukan oleh kedua-dua pihak - Kerajaan dan Rakyat Islam.

Pembelaan yang dimaksudkan bukanlah semata-mata atas asas membela dan menerima persekolahan sekolah-sekolah Agama/Arab secara mutlak seperti adanya. Dengan asas semata-mata untuk memenuhi jawatan guru-guru Agama dalam hal-hal ibadah fardhu ain, kadi-kadi dalam nikah cerai dan harta pusaka dan segala yang bersangkutan dengan perkara-perkara agama dalam erti peribadatan rasmi. Kalau demikian adalah diyakini bahawa dalam jangka panjangnya matlamat untuk membangun kembali masyarakat dan tamaddun serta kebudayaan Islam di zaman moden itu sampai bilapun tidak akan terlaksana. Ini kerana pembelaan yang demikian bentuknya kalau dilakukan dan diterima sebagai penyelesaian yang kekal akan membawa implikasi pembenaran dan pengesahan Agama Islam terhadap konsep yang bersifat dichotomous antara AGAMA dan MASYARAKAT, antara AGAMA dan ILMU PENGETAHUAN (Science), antara AGAMA sebagai kepercayaan dan KEBUDAYAAN yang bersangkutan dengan tatacara hidup dan tamaddun manusia di dunia. Dengan itu, seolah-olah diakui bahawa problem-problem sosio-budaya manusia adalah persoalan keduniaan yang mutlak (tidak ada sangkut-pautnya dengan persoalaan Agama) dan harus diselesaikan secara penyelesaian keduniaan (secular) yang mutlak.

Penyelesaian dan pembelaan seperti disebut di atas, kalau dilaksanakan akan merupakan penyelesaian dan pembelaan secara Kristian yang memperakukan Agama hanya untuk urusan kepercayaan yang berhubung dengan urusan gereja (church) e.g. urusan sembahyang, sacrament, nikah kahwin dan pengendalian pengkebumian mayat yang berdasarkan dogma Kristian. Adapun urusan masyarakat seperti ketatanegaraan, ilmu pengetahuan dan kebudayaan serta segala yang bersangkut dengan sosio-budaya manusia tidak ada sangkut-pautnya sama sekali dengan agama. Kerana itu urusan agama dan pengajian agama tidak harus cuba dihubungkan dengan persoalan tersebut. Dengan maksud yang demikian itulah wujud di dalam istilah dan praktis negara-negara Eropah dan Amerika yang penduduknya beragama Kristian pengertian institusi yang disebut "The Ministry of the Church" atau Pengurusan Gereja yang bersifat bebas mutlak dari segala urusan negara dan kebudayaan manusia dalam praktis kehidupan harian. Di pihak hal-hal yang bersifat sekular (keduniaan) lahir istilah "The Ministry of the state" atau Pengurusan Negara/Keduniaan.

Akhirnya dengan penuh kesedaran dan keikhlasan dijelaskan bahawa pembelaan yang diutarakan di sini ialah usaha yang bersungguh-sungguh dari kedua pihak KERAJAAN dan RAKYAT ISLAM serta golongan cerdik pandai Islam untuk membela sekolah-sekolah Agama/Arab. Dari KERAJAAN diharapkan bantuan kewangan yang secukupnya untuk perlengkapkan alat-alat kemudahan persekolahan dan tenaga-tenaga guru. Dari kaum CERDIK PANDAI ISLAM YANG SEDAR DAN INSAF usaha penyusunan struktur, sistem, kurikulum dan silibus pelajaran yang benar-benar menggambar ke "uniquekan" konsep pendidikan dan sistem persekolahan Islam berasaskan pandangan hidup Islam.

Dengan pembelaan yang bersifat keIslaman ini, tentu sekali lebih dari 82,000 potensi tenaga manusia yang menjadi murid-murid sekolah Agama/Arab dapat dimanfaatkan sepenuhnya melalui pemerosesan persekolahan yang lengkap untuk pembangunan semula masyarakat dan negara serta kebudayaan dan tamaddun Islam yangselari dengan dasar Islam di tengah-tengah percaturan dunia moden yang serba menggugat kini. Semua pihak dari kalangan orang-orang Islam yang sedar dan insaf harus menyedari hakikat ini dan bersatu ke arah satu matlamat iaitu membentuk generasi Muslim yang terpelajar dan berperibadi Muslim yang sempurna di hari depan. Satu generasi terpelajar yang sekalipun mempunyai bidang keahlian yang berlainan tetapi mempunyai pandangan hidup yang satu iaitu Islam.

Memang disedari usaha ke arah pembangunan semula konsep pendidikan dan sistem persekolahan Islam yang lengkap ini merupakan satu usaha yang amat berat dan memerlukan pengorbanan yang besar dari setiap pihak. Tetapi pokoknya ialah sejauhmana kesedaran dan kemahuan kita terhadap pembangunan semula kebudayaan dan tamaddun Islam itu. Bagi golongan yang insaf dan sedar tetap meyakini bahawa persoalan sosio-budaya ummat Islam akan hanya dapat diselesakan melalui pengembalian semula konsep pendidikan dan sistem persekolahan yang lengkap (comprehensive, unified dan integrated). Usaha dan pembelaan yang berbentuk demikianlah yang sangat-sangat diperlukan oleh ummat Islam dalam hal persekolahan sekolah-sekolah Agama/Arab di Malaysia.

Sebenarnya jeritan kesedaran dan rintihan pembelaan yang sedemikian juga telah dan sdang dilaungkan oleh golongan Islam yang sedar dari ulamak dan intelektual-intelektual Islam yang terkemuka di seluruh dunia Islam. Di Muroko, 'Allal al-Fasi telah lama melaung supaya di negaranya diwujudkan hanya satu sahaja sistem persekolahan iaitu persekolahan Islam yang berasaskan konsep pendidikan Islam yang lengkap. Demi untuk pembentukan kembali kebudayaan dan tamaddun Islam di Muroko kini. 'Allal al-Fasi berkeyakinan adanya dichotomy pendidikan dan persekolahan yang berbentuk dualisma dalam pendidikan dan persekolahan tidak akan dapat menyatukan perkembangan kebudayaan ummat dengan konsep Islam.

Saranan

Di samping saranan-saranan yang terdapat di sana sini di dalam kertas ini, saranan berikut perlu diberi perhatian khusus.

A. Penyelesaian Jangka Panjang

  1. Oleh kerana matlamat pendidikan yang sebenarnya ialah untuk mengeluarkan manusia soleh (al insan as salih) yang berpengetahuan dan bertunjangkan kepada keimanan kepada Allah atau Tauhid maka pendidikan yang berlandaskan kepada Islam perlulah diterapkan ke dalam semua peringkat pengajian.

  2. Ternyata perkara yang membahayakan pemikiran ummat Islam ialah salah faham dan salah pendekatan (wrong approach) terhadap konsep ilmu, dimana pengajian ilmu-ilmu dibebaskan dari konsep ilmu yang sebenarnya maka lahir istilah-istilah yang telah tidak terkenal dalam sejarah Islam seperti istilah ilmu sekular, ilmu agama, pelajaran akademik dan lain-lain. Oleh itu, perlu ilmu-ilmu itu samada humanities, social, sciences, natural sciences dan apa yang digelar ilmu agama, diolah dari platform sistem kepercayaan Tauhid. Ilmu-ilmu itu hendaklah di Islamisasikan dari segi falsafahnya, titik-tolaknya, pendekatan kepadanya dan matlamatnya.

  3. Sistem pendidikan nasional perlu dikaji kembali dan disusun supaya sesuai dengan keperluan tabi'e manusiawi iaitu berdasarkan kepada sistem kepercayaan Tauhid.

  4. Penyelesaian kepada masalah pendidikan di negara ini dan secara khusus sekolah-sekolah Agama/Arab perlu dilakukan secara menyeluruh dalam konteks pendidikan kebangsaan. Penyelesaian secara serpihan dalam jangka panjang tidak dapat menyelesaikan masalah malah menambah rumit.

  5. Untuk menuju ke arah pelaksanaan yang berkesan konsep pendidikan Islam, guru-guru samada yang mengajar di sekolah-sekolah Agama/Arab atau sekolah kebangsaan perlulah diberi orientasi baru (new orientation) berasaskan kepada konsep ilmu dan pendidikan Islam yang berorientasikan Tauhid.

Penyelesaian Semerta

  1. Oleh kerana matapelajaran-matapelajaran yang diajar di sekolah-sekolah Agama/Arab berbeda antara sekolah-sekolah dan antara negeri-negeri di negara ini dan ini rasanya merugikan perkembangan dan kemajuan pengajian Islam itu sendiri maka perlulah ditubuhkan suatu Jawatankuasa Tetap untuk mengkaji kursus-kursus Ilmu Islam yang diajar di sekolah-sekolah Agama/Arab dengan tugas utamanya mengkaji dan menentukan kursus-kursus yang menjadi priority mengikut keperluan semerta pengajian Islam di negara ini.

  2. Oleh kerana sukatan pelajaran bagi kursus-kursus yang diajar di sekolah-sekolah Agama/Arab tidak lengkap dan sempurna, banyak terdapat kekurangan di sana sini dan dalam banyak perkara berulang-ulang maka perlu dibentuk suatu Jawatankuasa Kurikulum yang diamggotai oleh ahli-ahli ilmu Islam yang luas pengetahuan mereka dan pengalaman dari dalam dan luar negeri Malaysia. Kurikulum itu hendaklah disusun untuk memenuhi kehendak pendidikan Islam zaman kini yang berasaskan world-view Islam sebagai alat integrasi ilmu pengetahuan yang akan dapat mengeluarkan pelajar-pelajar yang mampu menjawab cabaran semasa.

  3. Ternyata pelajar-pelajar sekolah Agama/Arab mengalami tanggungan yang lebih over-loaded kerana terpaksa mengikuti dua aliran pelajaran dan mengambil dua jenis peperiksaan : peperiksaan sijil sekolah mereka dan peperiksaan sijil Kementerian Pelajaran dan masalah perjawatan memerlukan sijil Kementerian Pelajaran. Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini sistem dua sijil patut dihapuskan dan ditawarkan hanya sijil-sijil Kementerian Pelajaran dalam mana juga matapelajaran-matapelajaran asasi yang diajar di sekolah-sekolah Agama/Arab diintegrasikan dalam kumpulan matapelajaran-matapelajaran yang ditaja dan diakui oleh Kementerian Pelajaran.

  4. Perlu disarankan bahawa matapelajaran-matapelajaran yang diajar di sekolah-sekolah Agama/Arab juga dibuat dalam bentuk kumpulan (grouping) seperti :

  1. Fiqh-Tauhid

  2. Pengajian Al-Quran (Pengajian Hadis)

  3. Bahasa Arab dan cabangnya

  4. Kumpulan-kumpulan matapelajaran-matapelajaran umum yang sedang berjalan

10. Pelajar-pelajar sekolah Agama/Arab hendaklah diterima oleh Kementerian Pelajaran sebagai sebahagian dari kumpulan pelajar-pelajar kebangsaan dan mereka berhak mendapat hak-hak pendidikan dan pelajaran yang sewajarnya.

 




Disediakan oleh :

Dr. Mohd Kamal Hassan

Tuan Haji Faisal Haji Othman

Encik Razali Haji Nawawi

Fakulti Pengajian Islam . 20 Oktober 1976